Kisah Batu Belah batu bertangkup merupakan sebuah kisah lagenda yang terkenal buat masyarakat Melayu. Batu Belah Batu Bertangkup mendapat nama sempena sebuah bongkah batu besar yang pada lagendanya mempunyai ruang mulut yang ternganga dan terbuka seperti sebuah gua atau batu terbelah dua, namun mengeluarkan suara yang kuat dan menyeramkan, dikatakan ia telah menelan ramai manusia yang memuja-mujanya untuk dimakan dan ditelan.
Penulis Abdul Samad pernah telah menulis buku mengenai Batu Belah Batu Bertangkup (1936).[1], [2] Ia juga telah dijadikan sebagai filem Batu Belah Batu Bertangkup.
Nasib batu
Khabarnya, gua Batu Belah Batu Bertangkup terletak di Kampung batu bertangkup Perlis.Kawasan ini berdekatan dengan gua kelam. Satu lagi tempat dipercayai terlekat di Kampung Batu Belah, Kapar, Klang. Lebih tepat lagi di sebidang tanah yang kini telah dijadikan kompleks Sekolah Rendah Agama Integrasi Tengku Ampuan Fatimah. Menurut sisipan Jurnal, akhbar kontemporari Malaysia, Kosmo, bertarikh 13 November 2011, halaman 46. Wartawan Kosmo iaitu Megat Lutfi Megat Rahim telah menebual salah seorang guru sekolah agama berkenaan iaitu, Cikgu Mohd. Faeez Mohd Yassin, 32, tentang nasib yang berlaku pada batu yang dimaksudkan itu. Menurut guru tersebut, tiada lagi bongkah batu besar yang boleh ditemui di kawasan sekolah itu melainkan saki-baki batu yang bersaiz kecil yang kini mejadi milik persendirian, ini kerana bongkah batu besar itu telah diletupkan (dibomkan) bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan sekolah baharu.
Dalam temubual yang sama, wartawan Kosmo itu juga telah mendapatkan maklumat lebih mendalam tentang Batu Belah Batu Bertangkup dari Ketua Kampung Batu Belah, iaitu Encik Salim Hassan, 64 tahun. Menurutnya, memang wujud bongkah batu yang besar di kawasan sekolah tersebut, namun batu itu terpaksa diletupkan kerana memberi laluan kepada pembinaan sekolah, lagipun batu itu sukar untuk dialihkan kerana saiznya yang begitu besar dan berat.
Pada awal tahun 1950-an, berdekatan batu besar itu juga terdapat sebuah kolam air semula jadi dengan struktur batu terbelah setinggi 2 meter pada lebar dan panjang bersaiz sama. Kolam air itu sering dijadikan sumber mendapat bekalan air seharian dan menjadi tempat bermandi-manda kanak-kanak kampung. Namun menurut Salim, tiada sebarang kejadian aneh berlaku disitu sepanjang hematnya bermandi-manda disitu. Cuma yang agak menghairankan adalah bentuk batu itu seakan-akan mulut manusia atau hidung manusia. Serta dalam jarak 500 meter radius dari bongkah batu tidak terdapatnya sebarang tumbuh-tumbuhan, serangga mahupun haiwan sedangkan kelilingnya dipenuhi hutan hujan yang tebal.
Batu Belah tersebut menurut Salim, telah mengalami 3 kali sesi letupan besar, pertama pada zaman British, diletupkan kerana terdapat aktiviti pemujaan batu beserta colok ditemui disekitarnya, kedua, ketika era penjajahan Jepun, bagi memberi laluan untuk pembinaan jalanraya, dan terakhir pada tahun 2006, dimana diletupkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu sekolah agama tersebut.
Walaupun sebanyak 3 kali letupan dibuat, sisanya sehingga sekarang masih wujud tetapi dalam saiz-saiz yang agak kecil dan dialihkan ke kawasan lapang berhampiran sekolah. Pihak kontraktor sekolah pernah menawarkan untuk membina sebuah monumen sejarah berkenaan lokasi batu belah tersebut dan sejarahnya menggunakan batuan asal yang telah diletupkan, namun projek RM10,000 itu tidak dijalankan kerana mendapat bantahan kerana kos yang tinggi dan mengelakkan pemujaan.
Sebagai usaha lanjutan bagi memperingati nilai sejarah kawasan terbabit, terdapat 2 buah taman perumahan di pekan Kapar diberi nama sebagai Taman Bunga Melur dan Taman Seri Pekan sempena nama Si Bunga Melur dan Si Pekan. Lokasi kisah Batu Belah itu juga pernah dijadikan tempat bersejarah di bandar Klang diantara tahun 1980 hingga 1990.
Pihak Majlis Perbandaran Klang pada akhir 2000an telah membina sebuah replika di pekan Taman Sentosa bersebelahan Sekolah Kebangsaan Batu Belah bagi memperingati lagenda 'Batu Belah' yang terkenal itu tidak jauh (350m) dari lokasi asal Batu Belah.
Lagenda batu
Kisah Batu Belah Batu Bertangkup merupakan sebuah kisah lagenda yang terkenal buat masyarakat Melayu, khususnya di Malaysia. Ia meceritakan tentang kisah sepasang suami isteri yang miskin, Si Kantan (suami) dan Si Tanjung (isteri) yang dipercayai menetap di Bukit Berapit, kira-kira sebatu dari Pangkalan Kapar, Klang. Mereka berdua menyara hidup dengan mengambil upah menganyam atap nipah, bersawah, menganyam tikar, menangkap ikan sungai dan sebagainya sehinggalah berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.
Pada suatu hari, mereka pergi ke pinggir hutan untuk mencari sayur. ketika sedang asyik memetik daun cemperai, mereka terdengar akan suara yang kuat lagi menggerunkan. Si Kantan memberitahu kepada isterinya bahawa itulah gua Batu Belah Batu Bertangkup sebagaimana pernah diceritakan oleh datuknya suatu ketika dahulu. Selang beberapa tahun kemudian, mereka dikurniakan 2 orang cahaya mata, seorang anak perempuan Si Bunga Melur namanya dan seorang lagi anak laki-laki Si Pekan gerangannya. Namun, sayang Si Kantan telah meninggal dunia sewaktu anak-anak mereka masih kecil, ini menjadikan Si Tanjung hidup tidak keruan, dan hilang tempat bergantung.
Pada suatu hari, Si Tanjung telah berjaya mengail seekor ikan tembakul sementelah dia mengidam telur ikan tersebut. Disuruhnya Si Melur merebus telur ikan itu sementara dia pergi mandi. Apabila telur itu masak, sebahagiannya diberikan kepada Si Pekan dan sebahagian lagi disimpan untuk ibunya. Si Pekan menangis kerana dia ingin makan lagi telur ikan bahagian ibunya sehingga memaksa kakaknya memberikan telur itu kepadanya. Si Melur mendapat sebiji telur ayam untuk mengantikan telur ikan sebagai lauk ibunya. Perbuatan Si Pekan membuatkan Si Tanjung merajuk, terkilan dan amat terkecil hati.
Tanpa memikir panjang dan membuat keputusan terburu-buru, Si Tanjung akhirnya lari meninggalkan rumah, sambil memanggil-manggil nama "Batu Belah Batu Bertangkup" untuk memakan dan menelannya. Walaupun dirayu belas kasihan dengan tangisan oleh Si Bunga Melur yang terus berlari sambil mendukung Si Pekan. Sebagai kanak-kanak, langkahnya tidak secepat ibunya. Sampai di pintu gua batu itu, ibunya sudah ditelan oleh batu itu, Si Melur pun jatuh pengsan.
Sewaktu pengsan, Si Bunga Melur sedang bermimpi didatangi seorang tua menasihatinya supaya tidak pulang lagi ke rumahnya. Sebaliknya disuruh mengambil tujuh helai rambut ibunya yang terjulur itu serta membawa telur ayam yang mahu dibuat lauk ibunya itu. Dia hendaklah berjalan mengikut arah kakinya dan membakar sehelai daripada rambut ibunya setiap kali hendak tidur. Si Melur mendukung Si Pekan meredah hutan belukar dan semak samun sehingga sampai ke rumah Dato’ Penghulu. Orang tua itu bersimpati dan ingin memelihara mereka. Sewaktu tidur, Si Bunga Melur bermimpi didatangi orang tua yang sama menyuruh dia meneruskan perjalanan ke kampung yang ketiga.
Si Bunga Melur dan adiknya Si Pekan meneruskan perjalanan sehingga tiba di Kampung Bukit Perah Lantan, mereka menemui Tok Batin yang melayani mereka dengan baik. Malam itu Si Pekan menangis tanpa henti walaupun dijampi Tok Batin sehinggalah dikalungkan dengan sekeping besi kuning di lehernya. Keesokan harinya Si Bunga Melur meneruskan perjalanan ke Kampung Bukit Kapar dan menumpang bermalam di rumah keluarga seorang petani dan tinggal di situ beberapa malam. Petani itu menceritakan kepada Si Bunga Melur tentang kegemaran Ratu Jayang Sakti menyabung ayam.
Tinggal satu kampung lagi untuk dituju. Si Bunga Melur dan adiknya meneruskan perjalanan dan tiba di Kampung Kerayung Tamarulan, di sini mereka bertemu dengan Nenek Kebayan yang tertarik dan bersimpati dengan penderitaan mereka berdua. Pada malam itu, Si Bunga Melur sekali lagi bermimpi didatangi orang tua yang sama. Kali ini menyuruh Melur meletakkan telur yang dibawa itu ke dalam sangkar ayam di belakang rumah. Tujuh hari lagi telur itu akan menetas dan peliharakanlah anak ayam itu sebaik mungkin. Orang tua itu meramalkan Si Pekan kelak akan menjadi juara ayam tersohor dan meminta Si Bunga Melur meletakkan besi kuning kalung Si Pekan ditaji ayam apabila hendak bersabung kelak.
Beberapa tahun telah berlalu kedua-dua mereka telah meningkat remaja. Si Bunga Melur kelihatan begitu cantik dan pandai mengubah bunga serta annyaman lain untuk dijual oleh Nenek Kebayan sementara Si Pekan sentiasa menang di gelanggang sabung ayam. Kemasyurannya sampai kepada pengetahuan Ratu Jayang Indera Sakti, raja negeri tersebut. Akhirnya Si Pekan diundang bersabung dengan ayam raja di istana. Bertemu ayam Jalak Bukit Berapit kepunyaan Si Pekan dengan ayam raja. Pertaruhannya, Si Pekan akan menjadi hamba raja sekiranya kalah dan berkehendakkan makanan serta pakaian dari istana jika menang.
Seperti biasa, ayam Si Pekan dapat membunuh ayam raja. Hulubalang dan bentara diperintahkan membawakan makanan dan pakaian ke rumah Nenek Kebayan. Di sana mereka terpandang akan kecantikan dan budi pekerti Si Bunga Melur, kakak Si Pekan lantas apabila pulang mereka pun menyembah maklum kepada Sang Ratu. Si Bunga Melur diperintahkan ke istana dan raja akhirnya tertawan dengan kejelitaan dan kesantunan Si Bunga Melur. Si Bunga Melur dikahwinkan dengan raja lalu diangkat sebagai permaisuri. Pada suatu hari Si Bunga Melur dilihat raja bermuram durja dan sentiasa termenung. Raja ingin tahu apa yang difikirkan oleh permaisuri baginda apabila melihat isterinya sedemikian rupa. Akhirnya Si Bunga Melur pun menceritakan tentang Batu Belah Batu Bertangkup yang telah menelan ibunya itu. Rombongan raja hadir ke hadapan gua batu tersebut dan raja sendiri memanah ke dalam gua yang menyeramkan itu. Sejak dari itu tiada terdengar lagi suara seram dan sebarang pergerakan dari batu tersebut.
Sejarah sebenar batu
Cerita mengenai batu belah batu bertangkup yang berpuaka itu bagaimanapun benar - benar wujud . sebenarnya batu itu wujud di sarawak di sebuah pekan kecil tatau
Beberapa tahun kemudian barulah timbul kisah mengenai keluarga Pak Uda Daik dan isterinya Mak Timah yang mempunyai seorang anak perempuan bernama Mawar dan seorang anak lelaki bernama Pekan.
Ketika Mak Timah mengandungkan Pekan dahulu, Mak Timah pernah mengidam telur ikan Tembakul tetapi tidak kesampaian. Pak Uda pula meninggal dunia selepas ditimpa sebatang pokok yang tumbang akibat hujan lebat dan ribut semasa mencari telur ikan tersebut. Setelah kematian Pak Uda, Mak Timah bersama dengan anak-anaknya telah meninggalkan tempat tinggalnya
Mak Timah memang pernah dikatakan merajuk kerana kempunan telur ikan tembakul. Bagaimanapun tiada keterangan dan bukti yang mengatakan Mak Timah mati ditelan batu belah batu bertangkup.
Sebenarnya Ramai orang kata batu itu terletak di semenanjung itu murupakan maklumat yang salah , batu itu terletak di atas bukit kana , tatau jalan sangan kini , bukit kana tersebut menjadi tempat melancong kerana ada bukit kana resort , namun begitu ramai orang tidak sedar bahawa batu itu di atas bukit sana .
Dalam budaya masyhur
Filem
- Batu Belah Batu Bertangkup muncul dalam filem Magika, sebuah filem fantasi muzikal tahun 2010 yang menghimpunkan pelbagai watak cerita rakyat Melayu[3][4]. Dalam filem tersebut, ia berfungsi sebagai jalan keluar dari dunia Magika ke dunia manusia.
Referensi
Rujukan
- ^ A biography of Malaysian writers, Baharuddin Zainal
- ^ Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Volume 19, Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland. Malaysian Branch
- ^ Wahiduzzaman (23 September 2010). ""Magika" Bukan Filem "Gebang Kosong"". mStar. Dicapai pada 28 Januari 2022.
- ^ "Kelainan "Magika" Berjaya Pikat Hati Penonton". mstar. 24 September 2010. Dicapai pada 6 Mac 2023.
Pautan luar
- Dongeng warisan 'Batu Belah Batu Bertangkup' (diberi nafas baru di weblog TeechConsult's KIDSpad).
- PNM Sastera Rakyat, Batu Belah Batu Bertangkup.[pautan mati kekal]