Sebelum kedatangan pedagang India ke Kepulauan Melayu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat setempat dikenali sebagai Bahasa Melayu Purba. Bahasa ini kemudiannya dinamakan Bahasa Melayu Kuno setelah mendapat pengaruh India. Bahasa Melayu Kuno mencapai kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Mereka yang bertutur bahasa Melayu Kuno merangkumi Riau dan Sumatra dan semenanjung Tanah Melayu . Bahasa Melayu Kuno diterima ramai kerana:
- Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
- Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
- Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa.
Pengaruh Sanskrit,Bahasa Pallava(Tamil)dan Hindu
Bahasa Melayu Kuno banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit dan bahasa Tamil pallava. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu beragama Hindu yang telah dibawa masuk oleh Raja Pallava yang berbangsa Tamil dan Bahasa Sanskrit sebagai bahasa rasmi agama Hindu.Selain itu, sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan juga antara penyebab bahasa asing seperti sanskrit diterima. Ini boleh dibuktikan daripada pengaruh tulisan atau aksara Pallava (Tulisan Pallava)/tulisan Tamil purba) dari Kanchipuram,Tamil Nadu dan Devanagari yang datang dari India, kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, rangkai-rangkai kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, dan fonem-fonem Sanskrit. Kesan daripada bahasa sanskrit ini menyebabkan penambahan kosa kata Bahasa Melayu Kuno. Contoh contoh perkataan yang diambil daripada Bahasa Sanskrit adalah seperti syukasyitta, athava, karana, tatakala dan sebagainya. Bahasa Melayu Kuno tidak mempunyai pengaruh Parsi atau Arab.
Perkaitan antara Bahasa Melayu Kuno dan Bahasa Melayu Moden dapat dilihat daripada perkataan-perkataan yang kekal daripada dahulu sehingga sekarang seperti curi, makan, tanam, air dan sebagainya, serta perkataan yang mempunyai bentuk atau format yang serupa seperti dalam jadual jadual di bawah:
Bahasa Melayu Kuno | Bahasa Melayu |
---|---|
wulan | bulan |
nasyik | asyik |
nayik | naik |
mangalap | mengambil |
mamava | membawa |
saribu | seribu |
dangan | dengan |
vanakna | banyaknya |
sukhacitta | sukacita |
ko | ke |
samvau | sampan |
datam | datang |
vari | bari = berisekarang |
rajaputra | putra raja |
vatu | batu |
Awalan ni- menjadi di-
Penggunaan awalan di- dalam Bahasa Melayu Moden sama dengan awalan ni- dalam Bahasa Melayu Kuno dan awalan diper- sama seperti nipar-.Ni bermaksud kamu dalam bahasa Tamil.
Bahasa Melayu Kuno | Bahasa Melayu |
---|---|
nimakan | dimakan |
niminumna | diminumnya |
niparvuat | diperbuat |
nipaihumpa | dipersumpah |
nivunuh | dibunuh |
Awalan mar- menjadi ber-
Awalan ber- dalam Bahasa Melayu moden hampir sama dengan awalan mar- dalam Bahasa Melayu Kuno.
Bahasa Melayu Kuno | Bahasa Melayu |
---|---|
marvanum | berbangun |
marvuat | berbuat |
marlapas | berlepas |
marppadah | berpadah |
Akhiran -na menjadi -nya
Akhiran -na yang digunakan dalam Bahasa Melayu Kuno sama dengan -nya pada masa kini.
Bahasa Melayu Kuno | Bahasa Melayu |
---|---|
vinina | bininya |
vuahna | buahnya |
Akhiran -ku adalah singkatan aku yang masih digunakan sehingga sekarang
Contohnya:
- catrunku
- hulutuhanku
- niraksanku
Ringkasan
Secara ringkasnya berikut merupakan ciri ciri Bahasa Melayu Kuno
- Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit dan Tamil seperti tatkala, air dan sebagainya
- Bunyi b ialah w dalam Bahasa Melayu Kuno. Contohnya bulan ialah wulan
- Bunyi e pepet tidak wujud. Contoh: dengan - dngan atau dangan
- Awalan ber- ialah mar- dalam Bahasa Melayu Kuno (contoh: berlepas-marlapas)
- Awalan di- ialah ni- dalam Bahasa Melayu Kuno (Contoh: diperbuat - niparvuat)
- Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
- Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua - samuha; saya - sahaya)
Batu bersurat dan candi
Salah satu bukti sejarah bahasa Melayu yang penting ialah batu bersurat. Beberapa batu telah ditemui di sekitar Sumatera dan Jawa yang memperlihatkan penggunaan Bahasa Melayu kuno pada abad ke-7. Tulisan yang digunakan ialah aksara Pallava iaitu sejenis tulisan yang berasal dari selatan India. Berikut adalah antara batu bersurat yang ditemui.
- Batu Bersurat Sojomerto (Batang, Jawa Tengah), Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Jawa Kuno (Kawi).
- Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M. Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Pallava.
- Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M. Batu
- Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.
- Batu Bersurat Karang Brahi (Jambi), bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.
- Batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
- Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356 M)
Pengaruh agama Hindu dan Buddha cukup kuat dalam bahasa dan budaya pada zaman bahasa Melayu kuno. Bahkan banyak candi yang dibina di Alam Melayu yang dipengaruhi oleh budaya Hindu dan Buddha dari India, seperti candi-candi di Lembah Bujang, Muara Takus dan Pagarruyung di Sumatera, dan candi Borobodur dan Prambanan di Pulau Jawa.
Bahasa Melayu Kuno dan Kerajaan Melayu
Bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang diguna pakai dalam kerajaan Melayu kuno. Kerajaan-kerajaan Melayu kuno yang diketahui adalah (tidak menurut sebarang susunan) ialah
- Mataram Kuno (Medang)
- Sriwijaya
- Lembah Bujang
- Ko-ying
- Kerajaan Funan
- Oc-eo
- Kerajaan Angkor
- Kedah Tua
- Melaka
Lihat juga
Rujukan
- ^ Guy, John (7 April 2014). Lost Kingdoms: Hindu-Buddhist Sculpture of Early Southeast Asia. Metropolitan Museum of Art. m/s. 21. ISBN 9781588395245. Dicapai pada 7 November 2014.
Pautan luar
- Bahasa Malaysia Simple Fun Diarkibkan 2010-12-26 di Wayback Machine ,halaman artikel berkaitan Bahasa Melayu Kuno (terjemahan Bahasa Inggeris)