| Serangan Serban Merah ke atas Korea | |||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|
| |||||||
| Pihak yang terlibat | |||||||
| Goryeo | Tentera Serban Merah | ||||||
| Komandan dan pemimpin | |||||||
|
An U Yi Bang-sil Kim Deuk-sil Kim Deuk-bae Ch'oe Yŏng Jeong Seun Yi Sŏng-gye |
Mao Ju-jing Pan Cheng Sha Liu † Guan Xiansheng † Zhou Yuan-shuai | ||||||
| Kekuatan | |||||||
|
~20,000 (1359) ~200,000 (1360) |
~40,000 (1359) ~100,000 (1360) | ||||||
Serangan Serban Merah ke atas Goryeo berlaku pada abad ke-14 ketika Pemberontakan Serban Merah terhadap Dinasti Yuan yang diperintah Mongol merebak ke Semenanjung Korea. Pasukan Serban Merah yang berasal dari wilayah Zhejiang menentang kekuasaan Yuan dan, setelah menguasai Liaodong, mereka melancarkan dua siri serangan besar ke atas Goryeo pada 1359 dan 1360.
Latar belakang
Pencerobohan Mongol ke atas Goryeo berlangsung dari 1231 hingga 1259, dan akhirnya Goryeo menyerah di bawah syarat adat tempatan harus dihormati. Mulai tahun 1270, Goryeo menjadi Bumaguk atau "negara menantu" kepada Yuan akibat hubungan perkahwinan antara keluarga diraja kedua-dua negara. Keadaan ini berlanjutan sehingga 1356.
Menjelang pertengahan abad ke-14, Dinasti Yuan mula runtuh akibat pemberontakan Serban Merah. Raja Gongmin mengambil kesempatan ini untuk melakukan reformasi besar dengan menghapuskan pangkalan tentera Mongol di Korea, membersihkan pengaruh pro-Yuan dalam birokrasi, dan merampas kembali wilayah utara yang hilang kepada Mongol.[1]
Para pemberontak Serban Merah menyerang Goryeo kemungkinan besar kerana terdesak secara ketenteraan setelah kehilangan laluan pulang dan sumber bekalan di benua China.[2]
Serangan pertama
Pada Disember 1359, sebahagian pasukan Serban Merah memindahkan pangkalan mereka ke Semenanjung Liaodong. Namun demikian, mereka menghadapi kekurangan bekalan perang dan kehilangan akses ke tanah besar China. Dalam keadaan terdesak, pasukan Serban Merah yang dipimpin Mao Ju-jing menyeberang Sungai Yalu dan menyerang Goryeo, lalu menawan Pyongyang.
Pada Januari 1360, tentera Goryeo di bawah pimpinan An U dan Yi Bang-sil berjaya menewaskan mereka, dan merebut kembali Pyongyang serta wilayah utara yang sempat diduduki. Daripada seluruh pasukan Serban Merah yang menyeberang ke Korea, hanya sekitar 300 orang yang berjaya kembali ke Liaoning.
Serangan kedua
Pada November 1360, tentera Serban Merah sekali lagi menceroboh sempadan barat laut Goryeo dengan angkatan berjumlah kira-kira 200,000 orang. Mereka berjaya menawan Gaegyeong, ibu kota Goryeo untuk suatu tempoh yang singkat, memaksa Raja Gongmin melarikan diri ke Andong.
Walau bagaimanapun, tentera Goryeo yang dipimpin oleh Jeneral Choe Yeong, Yi Sŏng-gye (kemudian bergelar Taejo, pengasas Dinasti Joseon), Jeong Seun, dan Yi Bang-sil berjaya mengusir pasukan Serban Merah keluar dari ibu kota. Dua jeneral Serban Merah, Sha Liu dan Guan Xiansheng terbunuh dalam pertempuran tersebut. Pasukan Goryeo terus mengejar musuh sehingga mereka dihalau sepenuhnya dari Semenanjung Korea.
Kesan
Walaupun Goryeo berjaya menangkis ancaman Serban Merah, negara itu mengalami kerugian besar dari segi penduduk dan ekonomi. Pada masa sama, lanun Wokou semakin aktif menyerang wilayah selatan semenanjung. Raja Gongmin sekali lagi memanggil Jeneral Choe Yeong dan Yi Sŏng-gye untuk memerangi ancaman ini, yang secara tidak langsung meningkatkan pengaruh politik kedua-dua jeneral tersebut. Jeneral Yi Sŏng-gye khususnya mula mengaitkan dirinya dengan puak reformis Sinjin, yang menentang golongan konservatif dalam kerajaan.
Pada 1388, setelah enggan memimpin kempen menyerang Liaodong bagi menentang Dinasti Ming, Yi Sŏng-gye melakukan pemberontakan terhadap Raja U dan jeneralnya, Choe Yeong. Yi berpatah balik dari Wihwado menuju Gaegyeong dan merampas kuasa kerajaan, dengan peristiwa yang dikenali sebagai Pengunduran Wihwado. Akhirnya, pada 1392, Yi Sŏng-gye menamatkan Dinasti Goryeo dan mengasaskan Dinasti Joseon.
Catatan
- ^ Bowman, John (2000). Columbia Chronologies of Asian History and Culture (dalam bahasa Inggeris). Columbia University Press. m/s. 207. ISBN 9780231500043. Dicapai pada 1 February 2017.
- ^ Robinson, David M. (2009). Empire's Twilight: Northeast Asia Under the Mongols. Harvard University Press. m/s. 150. ISBN 978-0-674-03608-6. Dicapai pada 2 May 2020.








