Kitab Ritus | |||||||||||||||||||||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
![]() Versi beranotasi Kitab Ritus, bertarikh sebelum 907 | |||||||||||||||||||||||||||||||
Nama Bahasa Cina | |||||||||||||||||||||||||||||||
Tulisan Cina Tradisional | 禮記 | ||||||||||||||||||||||||||||||
Tulisan Cina Ringkas | 礼记 | ||||||||||||||||||||||||||||||
Maksud harfiah | "Catatan Ritus" | ||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||
Alternative Chinese name | |||||||||||||||||||||||||||||||
Tulisan Cina Tradisional | 禮經 | ||||||||||||||||||||||||||||||
Tulisan Cina Ringkas | 礼经 | ||||||||||||||||||||||||||||||
Maksud harfiah | Klasik Ritus | ||||||||||||||||||||||||||||||
|
Kitab Ritus atau Liji (禮記) ialah himpunan teks yang menghuraikan bentuk sosial, struktur pentadbiran, dan ritus upacara pada zaman Dinasti Zhou, seperti yang ditafsirkan pada zaman Zaman Negara Berperang serta awal Dinasti Han. Bersama-sama dengan Ritus Zhou (Zhōulǐ, 周禮) dan Kitab Etika dan Ritus (Yílǐ, 儀禮), ia membentuk kelompok "Tiga Li" (Sānlǐ, 三禮), iaitu komponen ritus (lǐ, 禮) dalam Lima Klasik himpuan teks asas dalam tradisi Konfusianisme. Setiap Lima Klasik ialah kompilasi karya, bukan sebuah teks tunggal.
Sebagai teks inti Konfusianisme, Kitab Ritus juga dikenali sebagai Klasik Ritus atau Lijing (禮經). Ada sarjana berpendapat bahawa Lijing merupakan judul asal sebelum ditukar oleh ahli sarjana Han iaitu Dai Sheng.
Sejarah
Kitab Ritus merupakan kompilasi teks yang beraneka dengan asal-usul dan tarikh yang tidak pasti. Berbeza dengan Ritus Zhou dan Kitab Etika dan Ritus, ia tidak mempunyai struktur menyeluruh yang konsisten.[1] Sebahagian bahagian memberikan takrif istilah ritual terutama yang terdapat dalam Kitab Etiket dan Ritus sementara bahagian lain memuatkan perincian tentang kehidupan serta ajaran Konfusius.[2] Ada bahagian teks yang dapat dikesan kepada karya pra-Han seperti Xunzi dan Lüshi Chunqiu, manakala bahagian lain dipercayai digubah pada zaman Han Awal.[3]
Semasa pemerintahan Qin Shi Huang, banyak teks Konfusianisme dimusnahkan dalam peristiwa "Pembakaran Buku" pada tahun 213 SM. Namun Dinasti Qin runtuh dalam masa kurang sedekad, dan sarjana Konfusianisme yang menghafal klasik atau menyembunyikan salinan bertulis membantu menyusun semula pada zaman awal Dinasti Han.[4] Kitab Ritus dikatakan berjaya dipulihkan sepenuhnya, manakala Klasik Muzik gagal disusun semula. Hanya serpihan teks tersebut kekal, terutamanya dalam bab "Catatan Muzik" (Yueji) dalam Kitab Ritus.
Selepas itu, usaha dilakukan untuk menyunting dan menyusun semula teks. Menurut Kitab Sui, sarjana Dai De menyemak koleksi ini pada abad ke-1 SM, mengurangkannya daripada 214 kitab kepada 85 buah, dikenali sebagai Catatan Ritus Dai Tua (大戴禮記; Dà Dài Lǐjì). Anaknya saudara, Dai Sheng, kemudian meringkaskan lagi kepada 46 kitab, dikenali sebagai Catatan Ritus Dai Muda (小戴禮記; Xiǎo Dài Lǐjì). Sarjana Ma Rong kemudian menambah tiga kitab lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 49.[5] Walau bagaimanapun, kajian moden mempertikaikan catatan ini kerana tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan penyusunan tersebut secara khusus dengan Dai De atau Dai Sheng, meskipun kedua-duanya diketahui sebagai sarjana Konfusianisme pakar teks ritual.[6]
Ketika itu, edisi teks bertulisan lama dan baru masih beredar, dan kandungannya belum diseragamkan. Zheng Xuan, murid Ma Rong, menghasilkan edisi beranotasi dengan menggabungkan pelbagai tradisi ritual. Himpunan 49 kitabnya menjadi versi berautoriti, dan kekal sebagai edisi standard hingga kini. Versi anotasi Zheng Xuan kemudiannya menjadi asas kepada Makna Benar Catatan Ritus (禮記正義; Lǐjì Zhèngyì), iaitu teks rasmi dengan huraian tentang Kitab Ritus yang diwartakan pada tahun 653 M.[7]
Pada tahun 1993, satu salinan bab "Jubah Hitam" ditemui dalam Makam 1 di makam Guodian di Jingmen, wilayah Hubei. Oleh kerana makam itu dimeterai sekitar 300 SM, penemuan ini membangkitkan kembali perdebatan akademik mengenai tarikh bab lain dalam Liji, khususnya kemungkinan asalnya dari zaman Zaman Negara Berperang.[8]
Li
Konfusius menjelaskan li (禮) merangkumi segala bentuk tradisi yang menyediakan ukuran kelakuan. Walaupun li sering diterjemahkan sebagai "ritus," ia juga boleh merujuk kepada "amalan upacara" atau "peraturan tingkah laku." Lama-kelamaan, istilah ini dikaitkan secara lebih luas dengan konsep seperti "adab," "tata tertib," dan "kesopanan."
Konfusius menekankan bahawa li mesti mencerminkan semangat bakti serta rasa hormat terhadap orang lain, dizahirkan melalui tingkah laku wajar dan pematuhan ritual. Seperti yang digariskan dalam Kitab Ritus, li berfungsi memulihkan nilai tradisi dengan mencontohi kesederhanaan dan ketertiban masa lampau. Konfusius percaya bahawa kembali kepada piawaian kelakuan ini mampu menstabilkan masyarakat sewaktu kemerosotan Dinasti Zhou.
Kepentingan li ditonjolkan dalam Kitab Ritus yang menyatakan: "Daripada segala sesuatu yang menjadi sandaran kehidupan manusia, ritus adalah yang paling utama..."[9] Lama-kelamaan, konsep li dikaitkan erat dengan sifat manusia, etika, dan keharmonian sosial, apabila individu menghayati amalan ini dalam kehidupan seharian.
Li dilihat bermanfaat kepada masyarakat kerana ia membimbing individu untuk mengenal pasti dan menunaikan tanggungjawab terhadap orang lain, lalu menyumbang kepada perpaduan sosial dan ketertiban moral.
Legasi
Beberapa bab dalam Kitab Ritus menjadi asas bagi karya kemudian, termasuk Pengajian Besar dan Doktrin Jalan Tengah. Kedua-dua teks ini secara tradisi dikaitkan dengan murid Konfusius, manakala Doktrin Jalan Tengah dipercayai digubah oleh cucunya, Zisi.
Pada zaman Dinasti Song, sarjana Neo-Konfusianisme Zhu Xi menghimpun dan menyunting versi Pengajian Besar serta Doktrin Jalan Tengah, lalu mengangkat kedudukannya dalam tradisi Konfusianisme. Bersama Analekta dan Mencius, teks-teks ini dikenali sebagai Empat Buku. Tafsiran Zhu Xi memberikan pengaruh besar terhadap masyarakat, pendidikan, dan ideologi negara di China.
Selepas Dinasti Yuan dan kemudian disahkan oleh Dinasti Ming serta Dinasti Qing memilih Lima Klasik dan Empat Buku sebagai teks ortodoks Konfusianisme, karya-karya ini menjadi kurikulum standard peperiksaan perkhidmatan awam empayar. Dari tahun 1313 hingga 1905, penguasaan teks ini menjadi syarat penting bagi sesiapa yang mengejar jawatan rasmi. Oleh itu, Kitab Ritus dan karya terbitannya memainkan peranan pusat dalam membentuk kehidupan intelektual serta birokrasi China berabad lamanya.
Perbandingan
Penyunting Han Feizi, W.K. Liao (1939), membandingkan bab keenam Han Feizi dengan Kitab Ritus (Li Ji), dan menafsirkan sebahagian isi bab itu sebagai "bertentangan secara langsung dengan semangat Konfusianisme" dan visi "Komuniti Agung Konfusius." Unsur dalam Han Feizi turut dibandingkan dengan Tao Te Ching, menonjolkan perbezaan falsafah antara Konfusianisme, Legalisme, dan Daoisme.[10]
Kandungan
## | Bahasa Cina | Pinyin | Terjemahan |
---|---|---|---|
01-02 | 曲禮上下 | Qūlǐ | Ringkasan Peraturan Kesopanan Bahagian 1 & 2 |
03-04 | 檀弓上下 | Tángōng | Tangong Bahagian 1 & 2 |
05 | 王制 | Wángzhì | Peraturan Diraja |
06 | 月令 | Yuèlìng | Urusan Pemerintahan Mengikut Bulan |
07 | 曾子問 | Zēngzǐ Wèn | Pertanyaan Zengzi |
08 | 文王世子 | Wénwáng Shìzǐ | Raja Wen sebagai Putera dan Waris |
09 | 禮運 | Lǐyùn | Perjalanan Ritus |
10 | 禮器 | Lǐqì | Peralatan Ritus |
11 | 郊特牲 | Jiāotèshēng | Satu Korban di Sempadan |
12 | 內則 | Nèizé | Corak Kehidupan Keluarga |
13 | 玉藻 | Yùzǎo | Gantungan Manik Jed pada Mahkota Raja |
14 | 明堂位 | Míngtángwèi | Kedudukan dalam Dewan Keagungan |
15 | 喪服小記 | Sāngfú Xiǎojì | Catatan Perkara Kecil tentang Pakaian Berkabung |
16 | 大傳 | Dàzhuàn | Risalah Agung |
17 | 少儀 | Shǎoyí | Peraturan Tingkah Laku Kecil |
18 | 學記 | Xuéjì | Catatan tentang Pendidikan |
19 | 樂記 | Yuèjì | Catatan tentang Muzik |
20-21 | 雜記上下 | Zájì | Catatan Pelbagai Bahagian 1 & 2 |
22 | 喪大記 | Sàng Dàjì | Catatan Besar Ritus Berkabung |
23 | 祭法 | Jìfǎ | Undang-Undang Korban |
24 | 祭義 | Jìyì | Makna Korban |
25 | 祭統 | Jìtǒng | Ringkasan Korban |
26 | 經解 | Jīngjiě | Ajaran Berbeza Raja-raja |
27 | 哀公問 | Āigōng Wèn | Pertanyaan Adipati Ai |
28 | 仲尼燕居 | Zhòngní Yànjū | Zhongni Bersantai di Rumah |
29 | 孔子閒居 | Kǒngzǐ Xiánjū | Konfusius Berehat di Rumah |
30 | 坊記 | Fāngjì | Catatan tentang Benteng |
31 | 中庸 | Zhōngyōng | Doktrin Jalan Tengah |
32 | 表記 | Biǎojì | Catatan tentang Teladan |
33 | 緇衣 | Zīyī | Jubah Hitam |
34 | 奔喪 | Běnsàng | Peraturan Menyegerakan Ritus Berkabung |
35 | 問喪 | Wènsāng | Pertanyaan tentang Ritus Berkabung |
36 | 服問 | Fúwèn | Persoalan tentang Pakaian Berkabung |
37 | 間傳 | Jiānzhuàn | Risalah tentang Hal Sampingan dalam Adat Berkabung |
38 | 三年問 | Sānnián Wèn | Pertanyaan tentang Berkabung Tiga Tahun |
39 | 深衣 | Shēnyī | Pakaian Panjang Satu Helai |
40 | 投壺 | Tóuhú | Permainan Pitch-Pot |
41 | 儒行 | Rúxíng | Tingkah Laku Sarjana |
42 | 大學 | Dàxué | Pengajian Besar |
43 | 冠義 | Guānyì | Makna Upacara Memakai Topi Dewasa |
44 | 昏義 | Hūnyì | Makna Upacara Perkahwinan |
45 | 鄉飲酒義 | Xiāngyǐn Jiǔyì | Makna Pesta Minum Arak di Daerah |
46 | 射義 | Shèyì | Makna Upacara Memanah |
47 | 燕義 | Yànyì | Makna Jamuan |
48 | 聘義 | Pìnyì | Makna Pertukaran Misi antara Istana |
49 | 喪服四制 | Sàngfú Sìzhì | Empat Prinsip Asas Pakaian Berkabung |
Rujukan
- ^ Riegel (1993), m/s. 283.
- ^ Riegel (1993), m/s. 295.
- ^ Riegel (1993), m/s. 295–296.
- ^ "Annotated Edition of "The Book of Rites"". Perpustakaan Digital Dunia. 1190–1194. Dicapai pada 2013-09-04.
- ^ Müller, Max, penyunting (1879). "Preface". The Sacred Books of China. The Sacred Books of the East. 3. Terj. James Legge. Oxford: Clarendon Press. m/s. xviii–xix. Dicapai pada 2011-05-31.
- ^ Jeffrey K. Riegel, "Li chi 禮記," dalam Michael Lowe, peny., Early Chinese Texts: A Bibliographical Guide (Berkeley CA: The Society for the Study of Early China and the Institute of East Asian Studies, University of California, Berkeley, 1993), hlm. 293-97; Michael Lowe, "Dai De," dalam Xinzhong Yao, peny., RoutledgeCurzon Encyclopedia of Confucianism (New York: Routledge, 2003).
- ^ Liu, Yucai; Habberstad, Luke (2014-11-01). "The Life of a Text: A Brief History of the Liji 禮記 (Rites Records) and Its Transmission". Journal of Chinese Literature and Culture. 1 (1–2): 289–308. doi:10.1215/23290048-2749455. S2CID 162511233.
- ^ Puett, 137 n.19.
- ^ Dawson (1981), m/s. 32.
- ^ Liao, W.K. (1939). The Complete Works of Han Fei Tzu. Arthur Probsthain. Bab VI. Having Regulations: A Memorial; Nota kaki.