Nama lain | Husky Kamchatka, laika tarikan Kamchatka, anjing Koryak | ||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Rusia | ||||||||
| |||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing tarikan Kamchatka[a] ialah baka tempatan laika kereta luncur salji jarang yang dikembangkan oleh orang Itelmen dan orang Koryak di Kamchatka, Rusia.[1][2][3] Buat masa ini, terdapat usaha berlangsung untuk menghidupkan baka ini semula.[4] Sebuah piawaian untuk anjing kereta luncur salji diluluskan oleh Persekutuan Pembiakbakaan Anjing Khidmat Rusia pada Februari 1992.[2]
Perihal

Anjing tarikan Kamchatka ialah anjing besar, tahan lasak, dan tahan sejuk dengan lapis bulu ganda tebal yang mampu menahan angin kencang dan suhu melampau.[2][5] Anjing ini mempunyai bingkai kuat dan memanjang dengan tungkai panjang yang mampu menarik muatan berat dengan penjagaan minimum di sepanjang jarak jauh dalam salji dalam.[2][5] Warna kebanyakannya hitam, kelabu gelap atau cerah, dengan telinga mencucuk dan mata kuning, perang, atau biru serong.[2] Anjing patut memaparkan dimorfisme seks.[2]
Anjing tarikan Kamchatka ialah anjing setia dan cerdas yang ramah kepada manusia.[2] Ia pada umumnya tidak menyalak dan terlalu ramah untuk digunakan sebagai anjing pengawal.[5] Seperti anjing kereta luncur salji lain, ia mampu mengharungi denai walaupun dalam keadaan ribut salji.[2] Secara tradisional, anjing tarikan Kamchatka diberi makan salmon, kerap pada setiap hari.[2][5] Ini mungkin ditokok dengan sisa makanan manusia, bluber anjing laut, atau makanan anjing yang dibeli di kedai.[5] Anjing ini mempunyai dorongan pemangsa tinggi dan diketahui menyerang rusa kutub, iaitu haiwan ternakan ruji di rantau itu.[5]
Piawaian diasaskan pada tahun 1992; walau bagaimanapun, oleh sebab panjang jarak Semenanjung Kamchatka, terdapat variasi ketara di sepanjang semenanjung.[2] Banyak populasi anjing tarikan Kamchatka masih dikekalkan sebagai landrace dengan menggunakan kaedah tradisional termasuk pembiakbakaan silang ke luar sekali-sekala untuk menghasilkan anjing serigala.[2]
Sejarah

Ahli arkeologi telah menemukan bukti anjing kereta luncur salji semasa pengorekan berusia ribuan tahun di Semenanjung Kamchatka.[2] Para penulis awal abad ke-18 melaporkan banyaknya anjing kereta luncur salji di rantau itu dan pergantungan tempatan pada anjing kereta luncur salji untuk pengangkutan.[5] Walau bagaimanapun, anjing tarikan Kamchatka juga digunakan untuk pakaian dan tujuan rohani oleh orang Koryak asli.[5] Orang Koryak percaya bahawa pintu ke akhirat dijaga oleh anjing yang terpaksa disogok untuk membolehkan si baru mati melaluinya.[5]
Semasa tahun 1890-an, anjing tarikan Kamchatka dieksport secara aktif ke Alaska, untuk mengangkut pelombong emas ke Yukon sebagai sebahagian daripada Kerubut Emas Klondike.[2] Walaupun pada umumnya anjing tarikan Chukotka dianggap sebagai progenitor kepada husky Siberia, terdapat teori bahawa anjing tarikan Kamchatka mungkin juga telah bercampur, lalu menyumbangkan ciri mata biru yang terlihat pada husky Siberia yang tidak piawai pada anjing tarikan Chukotka.[2]

Olahragawati dan pengarang M. G. Dmitrieva-Sulima memerihalkannya sebagai "laika Koryak" dalam buku tahun 1911 beliau, "Laika dan Perburuan Dengannya".[6]
Penjelajah kutub Jerman Erich von Drygalski menggunakan anjing tarikan Kamchatka dalam ekspedisi Gauss 1901–1903 dan berjaya dengan lebih baik berbanding dengan ekspedisi sebelumnya kerana anjing-anjing beliau sudah terbiasa dengan kesejukan dan beliau mengupah pengendali anjing berpengalaman.[7] Anjing-anjing beliau diizinkan untuk membiak dengan bebas dan banyak anak anjing terpaksa dieutanasia kerana kekurangan ruang dalam pelayaran pulang.[7] Sesetengah anjing ditinggalkan di Kepulauan Kerguelen.[7]
Anjing tarikan Kamchatka popular di serata Semenanjung Kamchatka sehingga tahun 1950-an dan tahun 1960-an, apabila penambahbaikan prasarana dan perjalanan berjentera sekali dengan pengenalan rusa kutub dan dasar Soviet mengenai minoriti kebangsaan mengakibatkan keruntuhan populasi anjing kereta luncur salji peribumi.[2][5] Sebelum pengenalan rusa kutub, anjing tarikan Kamchatka diizinkan untuk berkeliaran dengan bebas semasa musim panas untuk mencari makanan sendiri. Dengan pengenalan rusa kutub, anjing perlu diikat semasa musim panas, lalu mewujudkan kebergantungan pada manusia untuk pemberian makan.[5] Permintaan untuk pakaian bulu anjing meningkat semasa tempoh ini dan pemburu menyasarkan anjing untuk bulunya yang popular pada topi dan kot.[2]
Sejak tahun 1990-an, usaha telah dijalankan untuk memelihara contoh baka tulen.[2] Pada tahun 1990, perlumbaan kereta luncur salji Beringia pertama dianjurkan untuk mempamerkan penggunaan kereta luncur salji anjing tradisional dan anjing tarikan Kamchatka.[5]
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ تاريقن کمچتکا; Rusia: камча́тская ездова́я соба́ка, rumi: kamčátskaja jezdovája sobáka; bahasa Inggeris: Kamchatka sled dog
Rujukan
- ^ Bogoslovskaya, Lyudmila Sergeyevna (Mac 2010). "Sled Dogs Of Russia" [Anjing Kereta Luncur Salji Rusia]. The Fan Hitch (dalam bahasa Inggeris). 12 (2).
- ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q Panyukhina, Yelena (18 April 2016). "Камчатская ездовая лайка" [Laika tarikan Kamchatka] (dalam bahasa Rusia). EGIDA.BY. Dicapai pada 17 Mei 2025.
- ^ Bogoslovskaya, Lyudmila Sergeyevna (Disember 2009). "SLED DOGS OF RUSSIA" [ANJING KERETA LUNCUR SALJI RUSIA] (PDF). Primitive and Aboriginal Dog Society Newsletter (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Anjing Primitif dan Peribumi (21): 11–14.
- ^ "Камчатская ездовая собака" [Anjing tarikan Kamchatka] (dalam bahasa Rusia). Zoovet. Dicapai pada 17 Mei 2025.
- ^ a b c d e f g h i j k l Losey, Robert Justin; Wishart, Robert P.; Loovers, Jan Peter Laurens, penyunting (13 Jun 2018). Dogs in the North: Stories of Cooperation and Co-domestication [Anjing di Utara: Kisah-kisah Kerjasama dan Pembelajinakan Bersama] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Abingdon-on-Thames, United Kingdom: Routledge. ISBN 9781315437712. OCLC 1307497942.
- ^ Dmitrieva-Sulima, Maria Georgievna (2003). Лайка и охота с ней [Laika dan Perburuan Dengannya] (dalam bahasa Rusia) (ed. 2003). Sankt-Peterburg, Rusia: Akvarium. ISBN 9785948381251.
- ^ a b c Mills, William James (11 Disember 2003). Exploring Polar Frontiers: A Historical Encyclopedia [Menjelajahi Perbatasan Kutub: Ensiklopedia Bersejarah] (dalam bahasa Inggeris). Santa Barbara, California, Amerika Syarikat: ABC-Clio. m/s. 189–192. ISBN 9781576074220. OCLC 470501021.
Pautan luar
- BERINGIA 2014. The DIARY. part 2. Берингия 2014. серия 2. Дневник [BERINGIA 2014. DIARI. bahagian 2] (dalam bahasa Inggeris). YouTube. 7 Mac 2014. Dicapai pada 17 Mei 2025.