Agama Kush | |
---|---|
![]() | |
Jenis | Agama peribumi |
Orientasi | Politeistik Animisme (semasa Budaya Kerma)[1] |
Rantau | Nubia (kini Sudan) |
Markas | Kerma, kemudian Meroe |
Wilayah | Nubia |
Bubar | Pertengahan abad ke-4 Masihi |
Agama Kush merupakan sistem kepercayaan tradisional dan himpunan dewa-dewi yang dikaitkan dengan orang Kush kuno, yang mengasaskan Kerajaan Kush di tanah Nubia (juga dikenali sebagai Ta-Seti) di wilayah yang kini dikenali sebagai Sudan.[2][3]
Asal usul dan asas amalan serta beberapa dewa Kush awal yang direkodkan berasal ataupun dipengaruhi terutamanya oleh Budaya Kerma serta pengaruh daripada Budaya Kumpulan C, Budaya Kumpulan A, Budaya Kubur Dulang dan agama Mesir purba. Menjelang Kerajaan Pertengahan, orang Nubia mempunyai lebih banyak kawalan ke atas wilayah mereka sendiri dan ada yang berintegrasi ke dalam masyarakat Mesir. Pengasasan Kerajaan Kush, dengan ibu kotanya di Kerma, menandakan tempoh penting apabila orang Nubia mengekalkan amalan-amalan keagamaan unik mereka sendiri, seperti yang dilihat dalam pengebumian-pengebumian mewah Zaman Kerma Klasik (s. 1750-1450 SM).
Dalam Zaman Kerajaan Baru, Nubia dikawal oleh Mesir tetapi kemudian disatukan di bawah pemimpin seperti Raja Alara dan Raja Kashta, membawa kepada pengasasan "Kerajaan Kush Kedua." Era ini menyaksikan pengintegrasian dewa-dewi Nubia dan Mesir. Selepas kejatuhan Dinasti Kedua Puluh Lima, amalan-amalan agama Nubia berterusan sepanjang dijajah kuasa-kuasa asing. Semasa Zaman Meroitik, ibu kota berpindah ke Meruwi, dan tumpuan beralih kepada dewa-dewa peribumi seperti Apedemak. Menjelang pertengahan abad ke-4, wilayah itu memeluk agama Kristian, menandakan berakhirnya agama tradisional Kush.
Sejarah
Walaupun berdekatan dengan Mesir purba, sebuah tamadun yang dianggap oleh banyak sejarawan mengamalkan antara sistem keagamaan yang paling ekstensif di dunia purba, orang Kush mempunyai kedewataan unik yang rumit.[4] Disebabkan kekurangan teks dan artifak Nubia sebelum interaksi mereka dengan orang Mesir, banyak yang masih belum jelas tentang agama Nubia awal. Mujurnya, ahli arkeologi telah menemui banyak elemen amalan mereka menerusi pengebumian-pengebumian Kumpulan A, Napata, Kumpulan C, Kerma dan melalui tulisan-tulisan selepas ramai orang Nubia mengguna pakai bahasa Mesir semasa Zaman Napata.[4]
Budaya pra-Kush
Penggalian masyarakat-masyarakat Nubia awal juga mendedahkan petunjuk tentang bagaimana hidup sehari-hari mereka begitu mempengaruhi agama mereka. Budaya Kumpulan A (s. 3700-2800 SM) mendedahkan penternakan haiwan, bercucuk tanam, tembikar berhias yang digilapkan merah dan hitam, serta azimat, patung dan kalung halus yang diperbuat daripada gading.[4] Barangan ini juga ditemui dalam kubur-kubur di Tanah Perkuburan Terminal Kumpulan A di Qustul dan mencadangkan bahawa orang Nubia di Nubia Hilir juga mempunyai amalan ritualistik yang tersendiri daripada agama Mesir purba. Barang-barang yang diletakkan di dalam kubur juga mendedahkan bahawa orang Nubia kerap berdagang dengan Mesir dan orang-orang di Asia Barat, yang melihat Nubia sebagai "koridor ke Afrika sub-Sahara" dan barangan-barangan eksotiknya seperti kayu hitam, ekor zirafah, gajah, batu, telur burung unta, dsb.[4] Ahli arkeologi Bruce Williams menyimpulkan bahawa banyak budaya Pra-Dinasti awal yang sering dihubungkan dengan Mesir turut berasal dari Nubia. Beliau menegaskan bahawa Nubia membangunkan budaya berdinastinya yang kompleks sendiri dan bukannya meniru Mesir semata-mata, serta kedua-dua kerajaan adalah sebahagian daripada budaya Afrika Timur yang lebih besar.[3]
Sebahagian daripada siri |
Agama Kush |
---|
![]() |
![]() |
Semasa Zaman Dinasti Awal (s. 3050-2685 SM) dan Zaman Kerajaan Lama (s. 2685-2150 SM), keinginin Mesir untuk mengawal Nubia dan laluan perdagangan serta lombong-lombong emasnya membawa kepada kempen tentera ke Nubia, meningkatkan hubungan antara negeri-negeri itu.[3][4] Budaya Kumpulan C muncul sekitar 2300 SM. Penggalian arkeologi mendedahkan kubur-kubur bulat batu "dengan si mati dalam posisi terlentur tegak dikelilingi oleh barangan kubur" pada fasa awal budaya itu. Menjelang fasa seterusnya, pengebumian telah mengalami "pemesiran" pesat dengan kubur menjadi bentuk segi empat dan mempunyai barangan kubur Mesir. Di luar Kumpulan C, biografi makam tentang Pepy I oleh Weni the Elder mendedahkan nama enam kerajaan Nubia lain: Medja, Wawat, Yam, Irtjet dan Setju.[4]
Menjelang Tempoh Perantaraan Pertama (s. 2150-2008 SM) dan awal Zaman Kerajaan Pertengahan (s. 2009-1760 SM), Nubia mempunyai kawalan penuh ke atas tanah sendiri dan berhubungan aman dengan Mesir. Orang Nubia juga tinggal dan bekerja di tanah jiran mereka. Sesetengah sarjana percaya terdapat bukti bahawa orang Nubia berkahwin dan melahirkan anak ke dalam kerabat diraja Mesir.[4] Firaun Mentuhotep II dan permaisurinya, Kemsit, dikatakan berasal dari Nubia, kerana baginda melantik pemanah-pemanah Nubia ke dalam tentera Mesir dan permaisuri digambarkan dengan muka hitam atau merah jambu. Tetapi Mentuhotep II-lah yang memulakan semula minat Mesir untuk mengawal seluruh Nubia. Pada permulaan Dinasti Kedua Belas, ini akhirnya dicapai oleh Amenemhat I, yang juga mungkin berketurunan Nubia.[4]
Pengasasan Kush

"Kerajaan Kush Pertama," dengan ibu kotanya di Kerma, pertama kali disebut dalam tulisan-tulisan Mesir semasa Dinasti Kedua Belas. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada Kush adalah kuasa berpusat yang dominan yang menyatukan Nubia atau terdapat politi-politi kecil yang merdeka di seluruh Nubia. Walaupun Nubia terus dikawal oleh Mesir hingga memasuki Tempoh Perantaraan Kedua (s. 1685-1550 SM), budaya Kerma mendedahkan orang Nubia bertekad menyebarkan kepercayaan peribumi mereka.[4] Dari Zaman Kerma Awal (s. 2500-2050 SM) hingga Zaman Kerma Klasik (s. 1750-1450), mereka mengukuhkan amalan pengebumian mereka. Di Kerma, si mati dikebumikan dalam tumulus (anak bukit tiruan) yang besar, bulat dan mewah. Mereka diletakkan di atas kulit lembu atau katil dan dibuat mengiring "dalam posisi terlentur lipat dengan muka menghadap utara, kepala menunjuk ke timur dan kaki ke barat."[4] Mereka juga berpakaian cawat atau dibalut kulit kambing, dikelilingi oleh barangan kubur seperti senjata, perhiasan, cermin, bekas air, tembikar dan harta peribadi lain. Di Medja, si mati dikebumikan dalam "kubur bulat cetek," yakni kubur dulang, dengan barang kubur yang terdiri daripada busur dan panah, tengkorak lembu, tembikar, dan barang kemas.[4]
Semasa Zaman Kerajaan Baru (ca 1550-1077 SM), Ahmose I dan Thutmose I melancarkan kempen di Nubia, yang berlangsung selama lapan puluh lapan tahun. Pertempuran ini dipercayai berakhir sekitar tahun 1460 SM apabila Nubia sekali lagi jatuh ke dalam kawalan Mesir. Nubia melancarkan beberapa buah pemberontakan untuk membebaskan mereka daripada Mesir, dengan kebanyakan daripadanya gagal.[4] Menjelang Tempoh Perantaraan Ketiga (s. 1076-723 SM), Napata dianggap sebagai salah satu pusat perdagangan yang paling penting di Dunia Lama, dan Nubia terbahagi kepada kelompok-kelompok budaya yang merdeka. Raja Alara (s. 785-765 SM) menyatukan Nubia dari Nubia Hulu ke Riam Ketiga dan membentuk "Kerajaan Kush Kedua." Raja Kashta (s. 765-753 SM) memperluaskan kerajaan untuk merangkumi Nubia Hilir dan Thebes. Penaklukan mereka membuka jalan untuk Raja Piankhi (juga dipanggil Piye) menakluk seluruh Mesir dan mengasaskan Dinasti Kedua Puluh Lima (s. 722-655/53 SM), menandakan permulaan Zaman Akhir (s. 722-332 SM).[4] Semasa era ini, aspek-aspek agama Nubia mula mengalami "pemesiran" lagi. Dewa-dewa Nubia sedia ada yang dipadankan dengan dewa-dewa Mesir menerima pakai nama-nama padanan Mesir mereka tetapi mengekalkan ciri-ciri Nubia mereka, menghasilkan ikonografi-ikonografi baru.[4] Makam Alara (s. awal hingga pertengahan abad ke-8 SM) dan makam-makam lain Dinasti Napata pertama menonjolkan makam diraja Nubia yang tradisional dengan unsur-unsur Mesir.[4][6]
Kendall menyatakan bahawa penghuni Ku.9 (kemungkinan Alara):
- "...dikebumikan mengikut cara Nubia tradisional, terbaring di atas katil dan diletakkan di kamar sisi kecil tertutup di bahagian bawah lubang menegak, superstruktur makam yang kelihatan itu memadukan banyak ciri Mesir. Puncaknya seolah-olah dihiasi dengan patung ba gangsa berongga yang dituang secara kasar... Bilik keramatnya mengandungi meja persembahan gaya Mesir batu keras yang polos, dan dinding bilik keramat dihiasi dengan ukiran tohor yang kasar. Satu blok memelihara apa yang kelihatan seperti bahagian atas kepala seorang lelaki, memakai mahkota dengan superstruktur dan reben serta hiasan gelung di atas dahi, menyerupai ureus..."[6]
Dewa-dewa Mesir juga mula mengalami "pengnubianan" di Mesir.[4] Orang Mesir pada asalnya menggambarkan Aman sebagai lelaki berkepala manusia tetapi menjelang Kerajaan Baru, kedua-dua Mesir dan Kush menggambarkannya sebagai lelaki berkepala biri-biri jantan, gambaran yang sangat menyerupai dewa-dewa air dan kesuburan peribumi Nubia yang berkepala biri-biri jantan yang pada asalnya disembah di Kerma.[4] Walaupun banyak yang telah didokumentasikan tentang orang Nubia menyembah dewa-dewa Mesir, seperti Aman (juga dipanggil Amen dan Gem Aten) dan Isis, artifak-artifak juga mendedahkan bahawa orang Mesir juga menyembah dewa-dewi Nubia, seperti Dedwen (juga dipanggil Dedun), Bes, Menhit dan Mandulis (Melul dalam bahasa Meroitik).[4] Terdapat juga dewa-dewa yang "dikongsi" di sempadan Nubia Hilir dan Mesir Hulu dan dianggap sebagai kedua-dua dewa Nubia dan Mesir, seperti Bastet, Satis dan Anaka.[4] Sesetengah sejarawan mencadangkan bahawa Bastet mempunyai asal usul dari Nubia.[4][7]
Kejatuhan Dinasti ke-25 Mesir
Sekitar 655/53 SM, Kerajaan Kush hilang pegangan ke atas wilayah utara Nubia Hilir, menjadikan Dinasti Kedua Puluh Lima sebagai pemerintah Kush terakhir Mesir. Bermula dari Zaman Akhir, Kush dan Mesir beralih mengalami berabad-abad dengan pelbagai pemerintah, yang mengasimilasikan budaya Kush/Mesir dan meninggalkan kesan mereka sendiri. Empayar Neo-Assyria (s. 671–663 SM) memulakan penaklukan di bawah Esarhaddon[8] dan akhirnya mengalahkan Firaun Taharqa (690-664 SM) di bawah Ashurbanipal.[9] Mesir yang ditakluk jatuh di bawah pemerintahan Psamtik I. Apabila pemerintahannya berakhir, pengaruh Kush ke atas Mesir rasminya tamat.[4] Semasa pemerintahan Assyria, penjarahan Thebes mengakibatkan banyak kuil dewa-dewa Kush dan Mesir musnah.[10][11] Baki pemerintahan Assyria ditandai dengan perang penaklukan menentang orang Babylon dan Medes (s. 626-609 SM).[12] Dalam tempoh ini, kaum kerabat Mesir sekali lagi mengambil alih kerajaan sementara Empayar Assyria merosot.[13]
Mesir kemudiannya ditakluk oleh Empayar Hakhamaniyah (Parsi) (s. 524-330 SM) di bawah Cambyses II, yang mengasaskan Dinasti Kedua Puluh Tujuh (s. 525-404 SM).[14][15] Di bawah pemerintahan Parsi, Cambyses II dan Ochus (juga dipanggil Artaxerxes III) menganiaya pengikut agama tradisional Mesir. Kedua-dua raja diketahui telah mengarah para pengawal untuk merompak kuil, menjarah bandar, mencuri teks-teks agama, dan menyembelih haiwan-haiwan suci.[16] Semasa Zaman Yunani Helenistik, Mesir ditakluk oleh Empayar Macedonia (s. 332-323 SM) di bawah Alexander Agung.[17][4] Daripada memposisikan dirinya sebagai penakluk, Alexander mengisytiharkan dirinya sebagai "pembebas" Mesir. Ini membayangkan bahawa Yunani datang untuk membebaskan rakyat Mesir daripada cengkaman firaun dan agama Mesir lama. Dalam usaha lanjut untuk mengurangkan peranan dewa-dewa Mesir dalam urusan kerajaan, kultus Alexander mula menyamakan Alexander dengan dewa-dewa Yunani Zeus dan Apollo daripada Amun dan Ra.[18] Selepas kematian Alexander, Dinasti Ptolemaik (305-30 SM) mengawal Mesir di bawah Ptolemy I dan anaknya Ptolemy II.[4][19][20] Mereka terus menyembah dewa-dewa Yunani, dan para pemerintah Ptolemaik begitu dikaitkan dengannya.[21]
Agama Kush selepas Mesir

Di selatan, Kush telah memasuki Zaman Meroitik (pertengahan abad ke-3 SM – pertengahan abad ke-4 Masihi). Ibu kotanya berpindah dari Napata ke Meruwi di Nubia Hulu. Jauh dari kultus-kultus agama Mesir tradisional, orang Kush Meroitik mencipta himpunan dewa baru yang mengetengahkan dewa-dewa Nubia dan amalan peribumi dengan sedikit pengaruh Mesir. Apedemak, dewa pelindung singa, dan pasangannya, Amesemi, menjadi dewa yang paling utama. Aman digambarkan memegang objek-objek yang dikaitkan dengan Apedemak, seperti anak panah kedaulatan, menekankan bahawa Apedemak lebih banyak pengaruh di Meruwi. Walau bagaimanapun, Aman masih digambarkan seperti dewa-dewa berkepala biri-biri jantan Nubia, manakala Isis diserap dan menjadi representasi dewi-dewi Nubia tradisional.[4]
Pemerintah Kush juga mengalihkan perhatian mereka untuk melindungi sempadan mereka daripada penceroboh. Pada 319 SM, Ptolemy I menghantar tentera untuk menyerang Kush.[4] Pada 270-an SM, Ptolemy II menyerang Nubia dan mengalahkan Kerajaan Kush, mendapat akses ke wilayah Kush dan kawalan ke atas deposit emas yang menguntungkan di kawasan yang dikenali sebagai Dodekasoinos.[22] Perdagangan berjaya diteruskan antara orang Kush dan orang Mesir kerana Kush terus-menerus memperolehkan gajah perang, yang penting kepada kerabat Ptolemy.[4]
Empayar Rom (30 SM-641 Masihi) akhirnya menakluk Mesir selepas Caesar Augustus mengalahkan Mark Antony dan Cleopatra VII.[23][4] Semasa pemerintahan Rom, berlakunya pergeseran agama dan politik yang lebih besar menjauhi amalan Mesir tradisional di Mesir. Maharaja-maharaja Rom mengekalkan gelaran asal mereka, mengakhiri penggunaan gelaran firaun dan hubungan bersejarah pemerintah dengan dewa-dewa Mesir dan Kush. Kultus imperial juga dicipta di Mesir untuk memperingati Augustus tetapi dia dipadankan dengan Zeus dan dewa-dewa Olympus lain.[24][18] Pada 25 SM, Amanirenas, seorang Kandake Kush, memerintahkan sebuah tentera dengan kira-kira 30,000 pahlawan Nubia dan berjaya menghalang pengembangan Empayar Rom ke Nubia. Amanirenas ialah yang pertama dalam begitu ramai Kandake yang memerintah dan melindungi Kush.[25] Walaupun terdapat pengaruh daripada penceroboh-penceroboh dari Mesir, orang Kush terus mengekalkan kultus untuk dewa-dewa peribumi Nubia.[4]
Menjelang pertengahan abad ke-4, Kerajaan Kush jatuh. Orang Nubia, tanpa kerajaan yang berfungsi dan mungkin terdesak untuk mengekalkan sisa kawalan yang mereka ada ke atas perdagangan gading, menyerang Kerajaan Aksum. Di bawah Raja Ezana, Aksum membalas dengan pasukan tentera yang besar dan menjarah Meruwi sekitar tahun 350 Masihi.[26][27] Pada abad ke-5, Nubia terbahagi kepada tiga kerajaan baru: Nobatia (s. 350-590 Masihi) dengan ibu kotanya di Faras, Makuria (s. abad ke-5-1518) dengan ibu kotanya di Dongola, dan Alodia (s. abad ke-6–s. 1500) dengan ibu kotanya di Soba.[27] Sekitar 580 Masihi, kerajaan-kerajaan ini memeluk Kristian[4] dengan Kuil Taharqa diubah suai untuk ada gereja.[4] Faras juga menjadi pusat agama untuk uskup-uskup Nubia Kristian.[27] Dengan kedatangan agama Kristian, kebanyakan kuil yang didedikasikan untuk dewa-dewa peribumi Kush digantikan dengan gereja dan biara yang ditahbiskan untuk Yahweh.[4] Amalan pengebumian juga berubah daripada bulatan batu gaya Kerma, kubur dulang gaya Medjayu dan tumulus gaya Meroitik dengan barangan pengebumian kepada kubur segi empat gaya Kristian tanpa barang pengebumian dan salib atau batu nisan kecil di atas.[4][28]
Dewa-dewi
Amun | (juga dipanggil Asha Renu, Amen, Aman dan Gem Aten) Dewa berkepala biri-biri jantan dengan tanduk beralun dan tanduk melingkar yang digambarkan memakai cakera matahari besar. Namanya diterjemahkan kepada "Cakera Matahari Ditemui."[4][29] |
---|---|
Amanete | Dinamakan dalam inskripsi pegawai dari Karanog, lebih banyak maklumat belum ditemui tentang dewa ini.[4] |
Amesemi | Dewi bulan, langit Meruwi dan pasangan Apedemak, dia sering digambarkan dengan rambut keriting pendek dan hiasan kepala yang dihiasi dua ekor helang dan bulan sabit.[4][30] Di Kuil Aman di Naqa, imejnya diukir pada stele bersama Amanishakheto dari Meruwi dan Apedemak.[31] |
Anhur | (juga dipanggil Onuris) Dewa perburuan dan perang yang merupakan pasangan Mehit atau Atari apabila dia dikaitkan dengan Tefnut dalam motif "Dewi Jauh" semasa Zaman Amarna.[4][32] Dia dipercayai ialah dewa yang memburu Mata Ra di Nubia dan membawanya kembali kepada Ra.[33] |
Anuket | (juga dipanggil Anaka) Dewi berkepala biri-biri jantan bagi perlindungan ilahi yang dikaitkan dengan air. Dia juga sebahagian daripada sekumpulan tiga dewa bersama Satis dan Khnum. Secara kolektifnya, mereka dilihat sebagai sumber banjir tahunan Nil. Kultus Anuket berada di Kawa, di mana dia digambarkan sebagai pasangan Aman dan madu Satis.[4] Dia membentuk triad Elephantine dengan Satis dan Khenmu.[4][33] |
Apedemak | Dewa perang dan perlindungan yang digambarkan dengan kepala singa, sering membawa busur dan panah besar sambil mempersembahkan tawanan dan sekoi kepada qore (raja) yang memerintah. Tanaman ini adalah bukti bahawa dia juga mempunyai aspek bulan.[4][34] Apedemak juga digambarkan berjalan dengan gajah dan singa yang memakai tali.[4] |
Aqedise | Dewa bulan Nubia yang dianggap setara dengan Khonsu.[4] |
Arensnuphis | (mungkin dipanggil Tabo) Dewa perang dan pemburu berkepala singa gurun yang sering dipasangkan dengan Sabomakal. Imej mereka sering diletakkan di atas pintu masuk kuil, menekankan peranan mereka sebagai penjaga. Dalam bentuk manusia, dia juga "memakai kain pendek, mahkota bulu tinggi dan janggut kudus." Asalnya dari Nubia, dia mempunyai kuil di Philae dan dikaitkan dengan Dedwen, Isis dan Anhur.[4][33] |
Ariten | Dinamakan dalam inskripsi pegawai dari Karanog, lebih banyak maklumat belum ditemui tentang dewa ini.[4] |
Atari | (juga dipanggil Hathor di Mesir) Dewi "Empuan Dewa" langit, matahari, dan kewanitaan[35] dia sering digambarkan sebagai lembu, melambangkan aspek keibuannya dan langit, namun rupa paling lazimnya ialah wanita memakai hiasan kepala tanduk lembu dan cakera matahari.[36][37] Dia juga boleh diwakili sebagai singa betina, kobra, atau pokok sycamore.[38] |
Bastet | Dewi kucing, dia pada asalnya digambarkan sebagai dewi singa kesuburan dan perlindungan.[39] Kedudukannya jauh lebih hebat di Nubia daripada Mesir, mencadangkan bahawa dia mungkin mempunyai asal usul Nubia atau dewi yang setara dalam kepercayaan peribumi Nubia. Kuil Bastet di Tare (juga dipanggil Per-Bast) sering dikunjungi oleh pemerintah yang baru dimahkotakan dan azimat-azimat dengan gambarannya juga ditemui dalam makam-makam bangsawan Nubia, menunjukkan kepentingannya dalam perlindungan golongan raja.[4][39] |
Bes | Dewa yang dikaitkan dengan perlindungan wanita Nubia semasa bersalin, imejnya ditemui dalam mammisi, atau kuil kelahiran kudus. Kedudukannya jauh lebih hebat di Kush daripada Mesir, mencadangkan bahawa dia mungkin mempunyai asal usul Nubia atau dewi yang setara dalam kepercayaan peribumi Nubia.[4] Gelaran Mesirnya "Raja Punt" dan "Pemerintah Nubia" juga menekankan permulaannya di Nubia. Dia juga digambarkan dengan Atari yang juga dikaitkan dengan kelahiran anak.[4] |
Breith | "Saudara kudus" Mandulis, dia digambarkan dengan badan helang dan kepala manusia. Lebih banyak maklumat belum ditemui tentangnya.[4] |
Dedun | (juga dipanggil Dedwen) Digambarkan sebagai dewa singa pelindung, dia pertama kali disebut dalam Teks Piramid Mesir sebagai dewa kemenyan Nubia, yang membakar kemenyan semasa kelahiran orang bangsawan.[40][41] Disebabkan penggunaan kemenyannya, dia juga dikaitkan dengan nasib, kemakmuran dan kekayaan. Kuil Osiris-Dedwen (B 700) di Jebel Barkal, dibina atas permintaan Atlanersa, mendedahkan bahawa Aman-Re bertukar menjadi Osiris-Dedwen. Dia kemudiannya dikaitkan dengan perlindungan orang bangsawan Nubia yang telah meninggal.[42] |
Khnum | (juga dipanggil Khenmu) Dewa berkepala biri-biri jantan kejantanan dan kesuburan pada asalnya adalah dewa Nubia yang membentuk manusia daripada tanah liat dan kemudian meletakkannya di dalam rahim ibu untuk dilahirkan di bumi. Dia anggota triad Elefantin dengan Anaka dan Satis.[33] |
Makedeke | Dinamakan dalam inskripsi pegawai dari Karanog, lebih banyak maklumat belum ditemui tentang dewa ini.[4] |
Mandulis | (juga dipanggil Merul dan Melul) Dewa matahari yang digambarkan sebagai dewa dengan badan helang dengan kepala manusia dan "saudara kudus" Breith. Dia muncul semula semasa Zaman Rom, di pintu gerbang Kuil Dendur dengan Maharaja Augustus mempersembahkan dia dan Arensnuphis dengan persembahan.[4][43] Kuil Kalabsha juga ditahbiskan untuknya.[4] |
Mash | Dinamakan dalam inskripsi pegawai dari Karanog, lebih banyak maklumat belum ditemui tentang dewa ini.[4] |
Mehit | Dewi singa bulan semasa Zaman Dinasti Awal (31250-2613 SM) di Nubia dan pasangan Anhur, dia sering digambarkan sebagai singa betina berbaring dengan tiga batang kayu menonjol dari belakangnya. Dia juga digelarkan "Dewi Jauh."[33] |
Menhit | Dewi suria dan pelindung yang berasal dari Nubia sering digambarkan sebagai singa betina berbaring. Dalam satu versi motif "Dewi Jauh," Mata Ra dikatakan sama ada menjadi atau melahirkan Menhit.[33] |
Miket | (juga dipanggil Mekhit) Dewi singa perang Meroitik yang berasal dari Nubia sering dikaitkan dengan bulan dan sering digambarkan sebagai singa betina mengaum.[4][33] Sesetengah sumber mengatakan dialah "Dewi Jauh," bukannya Mehit. Dalam satu legenda, Mata Ra melarikan diri dari Mesir. Rakan sejawatnya, Ra, menghantar dewa lain untuk menjejakinya di Nubia, di mana dia bertukar menjadi singa betina. Apabila dia dikembalikan kepada Ra, dia sama ada menjadi atau melahirkan Menhit. Selepas itu, dia dikatakan menjadi pasangan Anhur.[33] |
Sebiumeker | (juga dipanggil Sabomakal) Dewa pelindung singa Meroitik mungkin mempunyai asal usul sebagai dewa tertinggi dalam Nubia pra-dinastik, yang mana dia dikaitkan dengan pembiakan dan kesuburan.[33] Dia kemudian menjadi dewa perang dan pemburu berkepala singa gurun yang sering dipasangkan dengan Arensnuphis. Imej mereka sering diletakkan di atas pintu masuk kuil, menekankan peranan mereka sebagai penjaga. Dalam bentuk manusia, dia juga digambarkan "memakai kain pendek, mahkota berganda Mesir, dan janggut kudus."[4][33][44] |
Satis | Dewi berkepala biri-biri jantan bagi perlindungan uahi yang dikaitkan dengan air.[4] Dia juga digambarkan sebagai wanita memakai Mahkota Putih Mesir Hulu dengan tanduk antelop.[33] Dia juga dipuja sebagai dewi perang, perburuan dan kesuburan.[45] Kuil pertamanya dibina semasa zaman Naqada III di Elephantine, yang mana dia dikaitkan dengan kebanjiran Nil. Dia juga sebahagian daripada triad Elephantine dengan Anaka dan Khenmu.[4][33] Semasa Kerajaan Pertengahan, Mentuhotep II juga membina kuil untuknya.[4] Dia dikaitkan dengan Mata Ra dan motif "Dewi Jauh."[33] |
Wusa | (juga dipanggil Isis)[46] "Ratu Kush" dan "Ratu Langit, Bumi, dan Alam Bawah Tanah," dialah dewi ibu yang memeluk semua dan pelindung. Dia diserap ke dalam imej dewi-dewi ibu peribumi Nubia dan menjadi representasi Bonda-Bonda Ratu dan Kandake Kush.[47] Kultus Nubianya berpusat di Philae, tetapi dia juga mempunyai kuil yang terletak di seluruh kerajaan. Dia juga dipanggil Weret-Kekau, yang diterjemahkan kepada "Sihir Hebat" dan dikaitkan dengan tukang tilik dan sihir Nubia.[47][48] Sebagai sebahagian daripada adat peribumi Nubia, orang Kush melakukan ziarah ke Kuilnya di Philae.[47] |
Rujukan
- ^ Emberling, Geoff; Minor, Elizabeth (2022). "Early Kush: The Kingdom of Kerma". The Oxford History of the Ancient Near East: Volume III: Volume III: From the Hyksos to the Late Second Millennium BC. Oxford University Press. doi:10.1093/oso/9780190687601.003.0025. ISBN 9780197601204.
- ^ Mark, Joshua J. (2018-02-26). "The Kingdom of Kush". World History Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ a b c Williams, Bruce B. (2011). "Relations Between Egypt and Nubia in the Naqada Period". Dalam Teeter, Emily (penyunting). Before the Pyramids: The Origins of Egyptian Civilization (PDF) (dalam bahasa Inggeris) (ed. 1st). Chicago: University of Chicago Press. m/s. 87–91. ISBN 978-1-885923-82-0.
- ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y z aa ab ac ad ae af ag ah ai aj ak al am an ao ap aq ar as at au av aw ax ay az ba bb bc bd Fisher, Marjorie M.; Lacovara, Peter; Ikram, Salima; D'Auria, Sue; Yellin, Janice W.; Knoblauch, Christian (2012). Ancient Nubia: African Kingdoms on the Nile (dalam bahasa Inggeris). Cairo, Egypt: American University in Cairo Press. m/s. 14–17, 20–25, 33–36, 38–40, 62, 124–127, 129–131, 132–135, 139, 177, 223, 296, 367, 388, 394, 406–408, 411. ISBN 9789774164781.
- ^ ""Pan Grave" Necklace". www.brooklynmuseum.org. Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ a b Kendall, Tim (1999). "The Origin of the Napatan State: El Kurru and Evidence for the Royal Ancestors". Dalam Wenig, Steffen (penyunting). Meroitica: Studien Zum Antiken Sudan (dalam bahasa Inggeris). Germany: Harrassowitz Verlag · Wiesbaden. m/s. 65. ISBN 978-3-447-04139-3.
- ^ Mackenzie, Donald A. (1907). Egyptian Myth and Legend: (with Historical Narrative, Notes on Race Problems, Comparative Beliefs, Etc. ) (dalam bahasa Inggeris). Independently Published. m/s. 312. ISBN 978-1-6733-4385-4.
- ^ Frahm, Eckart (2017-06-12). "The Neo-Assyrian Period (ca. 1000–609 BCE)". A Companion to Assyria (dalam bahasa Inggeris). John Wiley & Sons. m/s. 187. ISBN 978-1-4443-3593-4.
- ^ Novotny, Jamie (2018). "Ashurbanipal's Campaigns". Dalam Brereton, Gareth (penyunting). I am Ashurbanipal: king of the world, king of Assyria (dalam bahasa Inggeris). London: Thames and Hudson. m/s. 199. ISBN 978-0-500-48039-7.
- ^ Petrie, William Matthew Flinders; Mahaffy, John Pentland; Milne, Joseph Grafton; Lane-Poole, Stanley (1905). A History of Egypt Vol. 3: From the XIXth to the XXXth Dynasties (dalam bahasa Inggeris) (ed. 5th). New York: Charles Scribner's Sons. m/s. 307–308.
- ^ Ancient Near Eastern Texts Relating to the Old Testament with Supplement. Princeton University Press. 1978. ISBN 978-0-691-03532-1. JSTOR j.ctt19wccw4.
- ^ Lipschitz, Oded (2005). The Fall and Rise of Jerusalem: Judah Under Babylonian Rule (dalam bahasa Inggeris). Eisenbrauns. m/s. 16. ISBN 978-1-57506-095-8.
- ^ Rowton, M. B. (1951). "Jeremiah and the Death of Josiah". Journal of Near Eastern Studies. 2 (10): 128–130. doi:10.1086/371028 Templat:S2CID
- ^ Briant, Pierre (2002-06-23). From Cyrus to Alexander: A History of the Persian Empire (dalam bahasa Inggeris). Penn State Press. m/s. 52–55. ISBN 978-1-57506-574-8.
- ^ Ulrich Wilcken (1967). Alexander the Great. W.W. Norton & Company. p. 146. ISBN 978-0-393-00381-9
- ^ Hirschy, Noah Calvin (1909). Artaxerxes III Ochus and His Reign: With Special Consideration of the Old Testament Sources Bearing (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Chicago: University of Chicago Press. m/s. 34–35. ISBN 978-1-01-828943-4.
- ^ Gilley, Dawn L.; Worthington, Ian (2010). "Alexander the Great, Macedonia and Asia". In Roisman, Joseph; Worthington, Ian (eds.). A Companion to Ancient Macedonia. Oxford: Wiley-Blackwell. pp. 186. ISBN 978-1-4051-7936-2
- ^ a b Pfeiffer, Stefan (2019). "A Successful Ruler and Imperial Cult". Dalam Vandorpe, Katelijn (penyunting). A Companion to Greco-Roman and Late Antique Egypt (dalam bahasa Inggeris) (ed. 1st). Hoboken, NJ: John Wiley & Sons. m/s. 429–438. doi:10.1002/9781118428429.ch27. ISBN 978-1-118-42840-5. S2CID 193089548.
- ^ Strootman, R. (2009). "The Hellenistic royal court" (PDF). Mnemosyne. 62 (1): 168 doi:10.1163/156852509X340291. hdl:1874/386645. S2CID 154234093.
- ^ "Ancient Egypt | History, Government, Culture, Map, & Facts | Britannica". www.britannica.com (dalam bahasa Inggeris). 2023-09-04. Dicapai pada 2023-09-24.
- ^ Hölbl, Günther (2001). A History of the Ptolemaic Empire. London & New York: Routledge. pp 94-98. ISBN 0-415-20145-4
- ^ Burstein, Stanley Mayer (2007). The Reign of Cleopatra (dalam bahasa Inggeris) (ed. 1st). Norman, OK: University of Oklahoma Press. m/s. 6–7. ISBN 978-0-8061-3871-8.
- ^ Grant, Michael (1972). Cleopatra (dalam bahasa Inggeris). London: Weidenfeld and Nicolson. m/s. 5–6. ISBN 978-0-297-99502-9.
- ^ Riggs, Christina (2012). "The Imperial Cult in Egypt". The Oxford Handbook of Roman Egypt (dalam bahasa Inggeris). Oxford: Oxford University Press. m/s. 83–87, 98. ISBN 978-0-19-957145-1.
- ^ Mora, Kai (2022-03-23). "The Nubian Queen Who Fought Back Caesar's Army". History.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ Welsby, Derek A. (1996). The Kingdom of Kush: The Napatan and Meroitic Empires (dalam bahasa Inggeris). Trustees of the British Museum. m/s. 64–65. ISBN 978-0-7141-0986-2.
- ^ a b c Cartwright, Mark. "Kingdom of Axum". World History Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ Hafsaas-Tsakos, Henriette (2010). "Between Kush and Egypt: The C-Group people of Lower Nubia during the Middle Kingdom and Second Intermediate Period". Dalam Łajtar, Adam; Godlewski, Włodzimierz (penyunting). Between the Cataracts: Proceedings of the 11th Conference for Nubian Studies, Warsaw University, 27 August - 2 September 2006 (dalam bahasa Inggeris). 2: Session Papers. Warsaw, Poland: Warsaw University Press. m/s. 392–394. ISBN 9788323507475.
- ^ Asante, Molefi Kete; Mazama, Ama (2009). Encyclopedia of African Religion (dalam bahasa Inggeris). Thousand Oaks, CA: SAGE Publications, Inc. m/s. 37. ISBN 978-1-4129-3636-1.
- ^ Rilly, Claude; Voogt, Alex de (2012). The Meroitic Language and Writing System (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press. m/s. 185. ISBN 9781139560535. Dicapai pada 23 January 2019.
- ^ Khruner. "Candace Amanishakheto of Meroe". World History Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ Fleming, Fergus; Lothian, Alan (1997). The Way to Eternity: Egyptian Myth (dalam bahasa Inggeris). Time-Life Books. m/s. 56. ISBN 978-0-7054-3503-1.
- ^ a b c d e f g h i j k l m Mark, Joshua J. "Egyptian Gods - The Complete List". World History Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ Kuckertz, Josefine; Lohwasser, Angelika (2019). Introduction to the Religion of Kush. Germany: J.H. Röll GmbH. m/s. 115–118. ISBN 978-3-89754-543-4.
- ^ Troy, Lana (1986). Patterns of Queenship in Ancient Egyptian Myth and History (dalam bahasa Inggeris). Los Angeles, CA: Almqvist and Wiksell. m/s. 53–54. ISBN 978-91-554-1919-6.
- ^ Fischer, Henry George (1962). "The Cult and Nome of the Goddess Bat". Journal of the American Research Center in Egypt. 1: 7–18. doi:10.2307/40000855. ISSN 0065-9991. JSTOR 40000855.
- ^ Richter, Barbara Ann (2012). The Theology of Hathor of Dendera: Aural and Visual Scribal Techniques in the Per-wer Sanctuary (Tesis) (dalam bahasa Inggeris). UC Berkeley.
- ^ Pinch, Geraldine (2004). Egyptian Mythology: A Guide to the Gods, Goddesses, and Traditions of Ancient Egypt (dalam bahasa Inggeris). Oxford: Oxford University Press. m/s. 129–130. ISBN 978-0-19-517024-5.
- ^ a b "The Temple of Bastet". Egyptian Ministry of Antiquities (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ Creasman, Pearce Paul; Yamamoto, Kei (2019). "The African Incense Trade and Its Impacts in Pharaonic Egypt". The African Archaeological Review. 36 (3): 347–365. doi:10.1007/s10437-019-09348-8. ISSN 0263-0338. JSTOR 45219182. S2CID 202317837.
- ^ Lichtheim, Miriam (1975). Ancient Egyptian Literature, Vol 1. London, England: University of California Press. ISBN 978-0-520-02899-9.
- ^ Kendall, Timothy; Ahmed Mohamed, El-Hassan (2016). "A Visitor's Guide to The Jebel Barkal Temples" (PDF). The NCAM Jebel Barkal Mission. Khartoum: Sudan. Nubian Archeological Development Organization (Qatar-Sudan). 94-99.
- ^ Nock, Arthur Darby (1934). "A Vision of Mandulis Aion". The Harvard Theological Review. 27 (1): 56. doi:10.1017/S0017816000021398. ISSN 0017-8160. JSTOR 1508171. S2CID 163057156.
- ^ "The Nubian kingdom of Kush, rival to Egypt". History (dalam bahasa Inggeris). 2016-11-15. Diarkibkan daripada yang asal pada March 20, 2021. Dicapai pada 2023-09-25.
- ^ Wilkinson, Richard H. (2003), "Satis", The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt, London: Thames & Hudson, m/s. 164–6, ISBN 0-500-05120-8.
- ^ Quack, Joachim Friedrich (2018). "What is a Priest of Ēse, of Wusa, and of Isis in the Egyptian and Nubian World?". Dalam Gasparini, Valentino; Veymiers, Richard (penyunting). Individuals and Materials in the Greco-Roman Cults of Isis: Agents, Images, and Practices, Vol. 1 (dalam bahasa Inggeris). Boston · Leiden: Brill. m/s. 108–109. ISBN 978-90-04-38134-6.
- ^ a b c Fisher, Marjorie M.; Lacovara, Peter; Ikram, Salima; D'Auria, Sue; Yellin, Janice W.; Knoblauch, Christian (2012). Ancient Nubia: African Kingdoms on the Nile (dalam bahasa Inggeris). Cairo, Egypt: American University in Cairo Press. m/s. 14–17, 20–25, 33–36, 38–40, 62, 124–127, 129–131, 132–135, 139, 177, 223, 296, 367, 388, 394, 406–408, 411. ISBN 9789774164781.
- ^ Mark, Joshua J. "Egyptian Gods - The Complete List". World History Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-09-25.