| Serekh dalam hieroglif | |||||
|---|---|---|---|---|---|
(Unicode: 𓊁 ) srḫ/ serekh fakad (istana) | |||||

Dalam hieroglif Mesir, serekh ialah petak segi empat yang mewakili fakad atau bahagian luar istana berceruk ataupun berpintu gerbang yang di atasnya (biasanya) ada burung falkon Horus, menunjukkan bahawa teks yang terkandung nama diraja. Serekh merupakan konvensi terawal yang digunakan untuk membezakan nama diraja dalam ikonografi Mesir purba, mendahului kartusy yang lebih terkenal selama empat dinasti dan lima hingga tujuh ratus tahun.
Rupa
Serekh ialah bingkai hiasan yang menggabungkan pandangan fakad istana dan pelan lantai (pandangan dari atas) halaman istana. Istilah serekh berasal daripada perkataan Mesir untuk "fakad". Serekh-serekh yang berbeza pada pelbagai jenis objek memaparkan variasi fakad yang tidak terhitung dari segi kehalusan dan keterperincinya. Reka bentuk serekh seolah-olah tiada peraturan artistik yang ketat.[1][2][3]
Sejarah
Serekh kali pertama muncul sebagai miniatur hiasan semasa lewat Kebudayaan Gerzeh, digunakan hanya sebagai lambang diraja. Dari zaman Kerajaan Lama dan berikutnya, penggunaan pertamanya sebagai perkataan penuh muncul dalam papirus kuno.[1][2][3]

Serekh biasanya digunakan sebagai lambang diraja, menonjolkan dan memuliakan nama firaun. Penggunaannya boleh dikesan seawal kebudayaan Gerzeh (s. 3400 SM). Hieroglif yang membentuk nama raja diletakkan dalam sambungan segi empat tepat di atas serekh, yang mewakili halaman istana. Tambahan pula, falkon dewa Horus, ataupun dalam beberapa kes haiwan Set, berada di atas serekh, menunjukkan dewa penaung raja yang dinamakan itu.[1][2][3]
Jika perkataan "serekh" ditulis dalam huruf penuh (seperti yang ditunjukkan dalam infobox di atas), kadangkala disertai dengan miniatur serekh, ia juga boleh digunakan dalam teks.[1][2][3]
Salah satu elemen terpenting dalam paparan dan identiti diraja di Mesir purba ialah nama raja, penting kerana firaun ingin memastikan generasi akan datang tahu tentang pemerintahan mereka.[5] Serekh kali pertama muncul sejak pemerintah seawal Dinasti 0 dan digunakan oleh raja-raja sepanjang sejarah Mesir purba.[6] Sebagai contoh, serekh Senusret I, raja zaman Dinasti Kedua Belas, telah ditemui dan kini dipamerkan di Muzium Seni Metropolitan di Bandar Raya New York. Serekh-serekh raja dari Dinasti ke-30 juga boleh dilihat.[7] Serekh melambangkan pelan lantai serta aras tinggi istana. Petak segi empat ialah pelan lantai manakala kawasan bercorak itu pandangan sisi fakad.[8] Serekh yang diukir atau dicat dengan dakwat pada bekas menandakan kandungannya itu hasil dan/atau harta istana raja.[9] Serekh yang mengandungi nama raja digunakan pada pelbagai objek dan menyatakan ideologi raja.[10] Nama raja ditulis dalam hieroglif dan falkon Horus, merujuk kepada dewa langit Horus, biasanya bertenggek di atasnya.[5]
Nama Horus adalah yang pertama antara lima gelaran diraja yang digunakan menjelang Dinasti Kelima. Gelaran kedua ialah (Dia daripada) Dua Wanita, mewakili raja sebagai manifestasi—dan di bawah perlindungan—dewi Nekhbet dari Elkab dan Hierakonpolis di Mesir Hulu, dan Wadjet dari Buto di Mesir Hilir.[11] Gelaran ketiga ialah Horus Emas, dengan falkon Horus di atas tanda hieroglif untuk emas. Gelaran keempat sering diterjemahkan sebagai "Dia yang daripada Rusiga dan Lebah", dengan tumbuhan rusiga simbol Mesir Hulu dan lebah simbol Mesir Hilir.[11] Ini juga dikenali sebagai nswt-bìty, gelaran yang menyatakan berapa banyak perkara duaan yang raja itu menguasai: Mesir Hulu dan Hilir, Tanah Hitam tempat bertani dan Tanah Merah padang pasir, alam siang dan malam, serta alam nyata dan ghaib.[12] Gelaran kelima ialah Anak Ra.[11] Nama ini mengakui raja itu anak dewa matahari.[13] Nama Horus biasanya ditulis dalam serekh-serekh Mesir purba. Terdapat beberapa kes nama Horus digunakan tanpa serekh, dan hanya Peribsen dan Khasekhemwy mempunyai serekh tanpa nama Horus.
Horus

Nama raja ditulis dalam hieroglif dan falkon Horus, merujuk kepada dewa Horus, biasanya berada di atasnya.[5] Disebabkannya, nama raja dalam serekh dikenali oleh ahli Egiptologi sebagai "nama Horus"-nya.[8] Menulis nama raja dalam serekh melambangkan raja di istana sebagai pusat pentadbiran dan kuasa diraja. Serekh secara keseluruhannya adalah simbol keberajaan. Kehadiran falkon Horus menunjukkan bahawa raja itu manifestasi dewa tersebut.[8] Selain itu, nama Horus beberapa raja Dinasti Pertama menyatakan autoriti agresif Horus, mungkin mencerminkan kuasa paksaan raja pada peringkat awal Mesir menjadi negeri. Contoh nama sedemikian ialah "Horus sang pejuang" (Hor-Aha), "Horus yang kuat" (Djer), dan "Horus pengangkat senjata" (Qa'a). Semua nama ini menampilkan ikonografi peperangan monumen-monumen diraja terawal dari zaman pembentukan Mesir. Ia menekankan autoriti berdasarkan kekuatan tentera dan kuasa hidup dan mati.[14] Namun dalam Dinasti Kedua, penekanannya mula berubah mungkin kerana tempoh ketidakstabilan yang dihadapi raja tetapi sebab sebenar masih dipertikaikan. Ini membawa kepada sedikit pengubahsuaian dalam struktur serekh, semata-mata semasa pemerintahan Peribsen dan Khasekhemwy. Oleh sebab pengubahsuaian ini hanya berlaku semasa dua pemerintahan ini, ia dilihat sebagai pengecualian, kerana raja-raja berikutnya kembali kepada ikonografi sebelumnya.
Perkembangan
Serekh terawal kosong kerana simbol itu sendiri menyampaikan mesej kuasa diraja. Lama-kelamaan, raja mula menulis nama julukan dalam serekh.[15] Serekh-serekh ini didominasi oleh simbol Horus. Hanya semasa Dinasti Kedua, perubahan dalam perumusan nama Horus kepada nama Seth dan kemudian nama Horus-dan-Seth dilihat.[14] Perubahan ini hanya berlaku semasa Dinasti Kedua dan dilihat sebagai pengecualian kepada penggunaan biasa nama Horus seperti yang dibuktikan oleh penggunaan berterusan Horus dalam serekh raja Mesir sebelum dan selepas Peribsen dan Khasekhemwy.[15] Banyak cadangan telah dibuat mengenai sebab perubahan ini berlaku, namun sebab sebenar masih dipertikaikan.
Peribsen dan Khasekhemwy

Atas sebab yang masih tidak jelas, Seth mencapai tahap kepentingan pada lewat Dinasti Kedua, buat sementara waktu menggantikan, kemudian menyertai, Horus sebagai dewa di atas serekh diraja.[17] Apabila nama Peribsen, raja kedua terakhir Dinasti Kedua, ditulis dalam serekh, di atas serekh bukan ada falkon Horus tetapi haiwan Seth, makhluk seperti anjing atau serigala dengan ekor lebar dan lurus.[18]
Peribsen dengan itu membuat kenyataan visual bahawa baginda jelmaan duniawi Seth.[10] Kepentingan Seth dalam pemerintahan Peribsen juga tercermin dalam cap raja dari Abydos. Ia merujuk kepada dewa bernama "yang keemasan" atau, mungkin lebih tepat, "dia yang dari Nubt (Naqada)", julukan lazim Seth dalam sejarah. Seth kelihatannya diambil oleh Peribsen sebagai dewa peribadinya. Ini ditekankan oleh susunan kata inskripsi: "Dia yang dari Nubt telah menyerahkan Dua Tanah kepada anaknya, raja duaan Peribsen".[17]
Salah satu tafsiran perubahan dramatik dalam format nama diraja ini ialah ia mewakili pemberontakan yang ditumpaskan atau didamaikan oleh raja terakhir dinasti itu, Khasekhemwy, yang namanya muncul dalam serekh yang terletak di atasnya kedua-dua falkon Horus dan haiwan Seth.[18] Asalnya dipanggil Khasekhem, yang bermaksud "Yang Bangkit berkenaan Kuasa", namanya akhirnya menjadi Khasekhemwy yang bermaksud "Yang Bangkit berkenaan Dua Kuasa". "Dua Kuasa" dalam namanya telah ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai falkon Horus dan haiwan Seth.[19] Penambahan pada nama Khasekhem ini bukti lanjut bahawa baginda cuba menggabungkan idea kedua-dua Horus dan Seth.
Walaupun kesahihan cadangan ini boleh dipertikaikan, julukan Khasekhemwy daripada cap-cap menyokong tanggapan ini. Ia ditafsirkan sebagai "Dua Dewa berdamai dalam dirinya" yang boleh dilihat seolah-olah baginda menyelesaikan beberapa konflik dalaman, terutamanya jika "Dua Dewa" dianggap merujuk kepada Horus dan Seth dan pengikut mereka masing-masing.[18] Yang lain melihat bukti ini sebagai cara mengisytiharkan pembaharuan negara di bawah Khasekhemwy kerana baginda dapat menyatukan Mesir Hulu dan Hilir. Akan tetapi, ini tetap spekulatif kerana kekurangan bukti kukuh untuk menyokong tanggapan ini.[20] Pun begitu, nampaknya hubungan luar negara mencapai tahap baru di bawah Khasekhemwy, kerana kesan cap pemerintahannya menunjukkan munculnya gelaran ìmì-r3 h3st yang bermaksud "penyelia tanah asing". Ia sangat mencadangkan hegemoni Mesir terhadap wilayah asing.[21]
Perubahan imej dewa pada serekh adalah penting: Walaupun nama raja kadangkala muncul dalam serekh tanpa imej dewa di atas, tiada dewa selain Horus setakat ini diketahui muncul pada serekh raja sehingga pemerintahan Peribsen.[19] Walau bagaimanapun, serekh beberapa orang permaisuri mempunyai dewa lain di atas. Contohnya ialah Neithotep, yang serekhnya mempunyai lambang dewi Neith di atasnya.[22] Disebabkan bukti bahawa stele-stele Peribsen telah dipadamkan haiwan Sethnya, telah disimpulkan bahawa apa sahaja alasan Peribsen untuk menggantikan falkon gagal diterima oleh keturunan diraja selepas Khasekhemwy.[19]
Lihat juga
Rujukan
- ^ a b c d Jürgen von Beckerath: Handbuch der ägyptischen Königsnamen. Münchner Ägyptologische Studien. Bd. 49. Philipp von Zabern, Mainz 1999, ISBN 3-8053-2591-6, p. 7-9.
- ^ a b c d Rolf Gundlach: Horus in the Palace: The centre of State and Culture in pharaonic Egypt. In: Rolf Gundlach, John H. Taylor: Egyptian royal Residences: 4. Symposium zur Ägyptischen Königsideologie (4th edition, London 2004). Harrassowitz, Wiesbaden 2009, ISBN 978-3-447-05888-9, p. 45–68.
- ^ a b c d Toby A. H. Wilkinson: Early Dynastic Egypt: Strategy, Society and Security. Routledge, London 1999, ISBN 0-415-18633-1, p. 56-57, 201–202.
- ^ Wengrow, David, The Archaeology of Ancient Egypt Cambridge University Press, ISBN 978-0-521-83586-2 p.207
- ^ a b c d Kathryn A. Bard, An Introduction to the Archaeology of Ancient Egypt (Malden: Blackwell Publishing, 2008), p. 114.
- ^ Ian Shaw, The Oxford History of Ancient Egypt (New York: Oxford University Press Incorporated, 2000), p. 6.
- ^ Stephen Quirke, Who Were The Pharaohs?: A history of their names with a list of cartouches (London: British Museum Publications Limited, 1990), p. 29.
- ^ a b c d Gay Robins, The Art of Ancient Egypt (Cambridge: Harvard University Press, 2000), p. 33.
- ^ Toby A.H. Wilkinson, Early Dynastic Egypt (New York: Routledge, 2000), p. 44.
- ^ a b Robins (2000), p. 36.
- ^ a b c Bard (2008), p. 123.
- ^ Wilkinson (2000), p. 200.
- ^ Quirke (1990), p. 11.
- ^ a b Wilkinson (2000), p. 202.
- ^ a b Wilkinson (2000), p. 201.
- ^ After Hermann Alexander Schlögl: Das Alte Ägypten. S.77ff.
- ^ a b Wilkinson (2000), p. 295.
- ^ a b c Bard, Kathryn A. (2000). "The Emergence of the Egyptian State (c. 3200–2686 {{sc}BC}})". Dalam Shaw, Ian (penyunting). The Oxford History of Ancient Egypt. New York, NY: Oxford University Press. m/s. 86.
- ^ a b c Robins (2000), p. 37.
- ^ Wilkinson (2000), p. 91.
- ^ Wilkinson (2000), p. 92.
- ^ Toby A. H. Wilkinson: Early Dynastic Egypt - Strategy, Security and Society. Routledge, London 1999, ISBN 0-415-26011-6, p. 70 & 291
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Serekh |








