| Zaitun | |
|---|---|
| Olea europaea, Laut Mati, Jordan | |
| Pengelasan saintifik | |
| Alam: | |
| (tanpa pangkat): | |
| (tanpa pangkat): | |
| (tanpa pangkat): | |
| (tanpa pangkat): | |
| Order: | |
| Keluarga: | |
| Genus: | |
| Spesies: | O. europaea
|
| Nama binomial | |
| Olea europaea | |
Zaitun (Jawi: زيتون , nama saintifik: Olea europaea)[1] ialah sejenis spesies tumbuhan, malah juga spesies jenis, dalam genus Olea keluarga Oleaceae bertaburan asal di lembangan sekitar Laut Mediterranean. Ia ditanam untuk mendapatkan buahnya yang dimanfaatkan baik sebagai ramuan makanan mahupun sebagai sumber mendapatkan minyak perahan tersendiri; penanaman pokoknya diusahakan di semua negara rantau Mediterranean serta di kawasan-kawasan yang beriklim mirip seperti benua Amerika Utara malah juga di Hemisfera Selatan yakni Amerika Selatan, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan.[2][3]
Zaitun merupakan spesies tumbuhan paling tertua diusahakan di dunia. Rekod sejarah menunjukkan pokok zaitun mempunyai pelbagai guna khasnya dalam bidang perubatan sejak zaman Mesir purba. Buah zaitun yang paling baik kualitinya dihasilkan di Yunani. Walau bagaimanapun, Sepanyol dan Itali merupakan negara pengeluar minyak zaitun terbesar.
Etimologi
Nama zaitun dipinjamkan daripada perkataan bahasa Arab زَيْتُون zaytūn yang dijejak daripada perkataan زَيْت zayt "minyak".[1][4]
Botani
Pokok zaitun jenis malar hijau yang tumbuh merenek tidak lebih dari antara 8 hingga 15 meter dengan batang yang berpintal. Daunnya lonjong hijau terang atau kekelabuan dengan ukuran 4 hingga 10 sm panjang dan 1 hingga 3 sm lebar.[5]

Bunga-bunganya kecil dan tumbuh dari ketiak daun. Sekuntum bunga zaitun terdiri daripada empat kelopak putih kekuningan yang bercantum di pangkal; di tengahnya ada sepasang sulur.[6] Bunga-bunga ini cepat kembang di kawasan beriklim panas.[7]
Buah yang dihasilkan dari persenyawaan berupa kecil berukuran 1-2.5 sm; ia mentah berwarna hijau sebelum masak berwarna ungu gelap atau kehitaman.[8]
-
Bunga-bunga zaitun yang kembang
-
Buah zaitun mentah yang dibelah dua dan biji.
-
Buah zaitun masak.
Kegunaan
Seperti pokok kelapa, setiap bahagian pokok zaitun ada kegunaan kepada manusia. Sememangnya zaitun ialah satu lagi anugerah alam ciptaan Allah yang amat bermanfaat kepada kesihatan kita. Ini telah diakui dunia perubatan.
Minyak
Minyak zaitun amat jernih dan berkilau, lagi mahal harganya. Minyak zaitun baik untuk kesihatan luaran dan dalaman manusia. Paras asidnya yang rendah memudahkan penghadaman kita. Vitamin E yang terkandung di dalam minyak zaitun didapati boleh merendahkan kolestrol LDL(kolestrol jahat), tekanan darah, dan risiko koronori jantung.
Ibnu Qayyim meriwayatkan bahawa minyak zaitun yang dibancuh dengan sedikit garam boleh meredakan radang gusi dan gigi. Menurutnya lagi minyak zaitun dapat menawarkan racun dan mengeluarkan cacing.
Minyak zaitun juga amat popular digunakan dalam produk kecantikan. Ia boleh menguatkan akar dan melembutkan kulit.
Kajian saintifik pula mendapati amalan memakan minyak zaitun amat membantu mengurangkan risiko barah payudara kerana ia kaya dengan Vitamin E.
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Makanlah minyak zaitun dan lumurlah minyaknya, kerana ia berasal daripada pohon yang penuh berkat.
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
.
Minyak zaitun jernih dan berkilau seperti cahaya. Ini disebut di dalam al-Quran surah An-Nur:35:
...yang dinyalakan dengan minyak yang banyak faedahnya (iaitu) zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api...
Daun dan batang zaitun
Daun zaitun bermanfaat sebagai penggalak sistem imun manusia. Masyarakat Timur Tengah telah mengamalkan meminum teh daun zaitun sejak berabad yang lalu untuk merawat batuk, sakit tekak, demam, dan gout.
Ibnu Qayyim juga menjelaskan bahawa daun zaitun boleh merawat luka dan gatal-gatal.
Pendek kata, daun zaitun bersifat antibiotik. Oleh yang demikian, pengambilan daun zaitun mestilah mengikut dos tertentu.
Batang zaitun pula boleh dibuat perabot. Malah ada juga tasbih yang diperbuat daripada kayu zaitun. Tasbih daripada kayu zaitun ini kelihatan agak berminyak dan agak harum.
Sesungguhnya setiap ciptaan Allah di alam ini ada manfaat bagi manusia.
Bagi anda yang gemar makan piza, pilihlah yang ditabur dengan zaitun. Ingat! Zaitun amat berkhasiat. Untuk mendapat rambut yang sihat dan lebat pula, gunalah minyak zaitun untuk mendandan rambut dan urut di kepala.
Menurut riwayat, setelah bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh, pokok zaitun merupakan objek pertama yang kelihatan.
Khasiat
Buahnya amat kaya dengan vitamin A, B1, B2, C, D, E, K, dan zat besi.
Hubungan dengan manusia
Buah dan pokok zaitun memainkan peranan penting dalam masyarakat rantau Syam dan Palestin zaman-berzaman, lagi-lagi dalam agama-agama samawi pegangan mereka: Kitab Kejadian umat Yahudi dan Kristian menceritakan seekor burung merpati membawakan sebatang ranting zaitun kepada Nuh di bahtera baginda menandakan tamatnya bencana banjir besar; minyaknya dikatakan bahan urap untuk Daud dan anakandanya Sulaiman dalam kitab-kitab susulan penganut Kristian.[9] Sebuah surah dalam Al-Quran pegangan umat Islam bersumpah atas nama zaitun yang banyak ditafsirkan mengias kepada Baitulmuqaddis.[10]
Semua orang Palestin tanpa mengira agama memandang pokok zaitun sebagai lambang kekuatan diri dan hubungan mereka kepada alam sekitar.[11][12][13]
Rujukan
- ^ a b Ghaleb 1988, m/s. 738.
- ^ "Olea europaea L." Plants of the World Online. Taman Botani Diraja Kew. 2025. Dicapai pada 17 September 2025.
- ^ "Olea europaea (map)". Biota of North America Program. Dicapai pada December 5, 2014.
- ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam, Selangor, Malaysia: Oxford Fajar. m/s. 177. ISBN 967-65-7321-3.
- ^ Eddo Rugini; Luciana Baldoni; Rosario Muleo; Luca Sebastiani (2016). The Olive Tree Genome. Springer. m/s. 14. ISBN 978-3-319-48887-5.
- ^ Seifi dll. 2015, m/s. 1265–1266.
- ^ Seifi dll. 2015, m/s. 1266.
- ^ Apostolos Kiritsakis and Fereidoon Shahidi (2017). Olives and Olive Oil as Functional Foods: Bioactivity, Chemistry and Processing. John Wiley & Sons. m/s. 129. ISBN 978-1-119-13531-9.CS1 maint: uses authors parameter (link)
- ^ "Olive Tree". Muzium Alkitab Münster. Universiti Münster. Dicapai pada Ogo 2, 2024.
- ^ Prawer, Joshua; Ben-Shammai, Haggai (1996). The History of Jerusalem: The Early Muslim Period (638-1099). NYU Press. m/s. 353. ISBN 978-0-8147-6639-2.
- ^ Ababneh, Mohammad Daher (April 2023). "Olive Symbolism in Palestinian and Spanish Poetry: A Comparative Study". International Journal of Linguistics, Literature and Translation. 6 (4): 55–65. doi:10.32996/ijllt.2023.6.4.8. ISSN 2617-0299.
- ^ Sarafa, Rami (2004). "Roots of Conflict: Felling Palestine's Olive Tress". Harvard International Review. 26 (1): 13. ISSN 0739-1854. JSTOR 43649049.
- ^ Simaan, Juman (Oktober 2017). "Olive growing in Palestine: A decolonial ethnographic study of collective daily-forms-of-resistance". Journal of Occupational Science. 24 (4): 510–523. doi:10.1080/14427591.2017.1378119. ISSN 1442-7591. S2CID 148876900.
Sumber-sumber
- Seifi, Esmaeil; Guerin, Jenny; Kaiser, Brent; Sedgley, Margaret (January 2015). "Flowering and fruit set in olive: a review" (PDF). Iranian Journal of Plant Physiology. 5 (2): 1263–1272.
- Ghaleb, Edouar (1988). الموسوعة في علوم الطبيعة (dalam bahasa -bahasa Arab, Latin, dan Perancis). 2. Beirut, Lubnan: Darul Masyriq. ISBN 2-7214-2148-4.CS1 maint: unrecognized language (link)
Pautan luar
- Fakta buah zaitun (Inggeris)








