Vamana Purana (Sanskrit: वामन पुराण, IAST: Vāmana Purāṇa) ialah teks Sanskrit purba yang berusia sekurang-kurangnya 1,000 tahun dan merupakan antara lapan belas Purana utama dalam agama Hindu.[1] Teks ini dinamakan sempena salah satu penjelmaan Vishnu dan mungkin merupakan teks Vaishnava pada asalnya. Namun, manuskrip moden Purana ini yang masih ada lebih tertumpu kepada Shiva, meski pun mengandungi beberapa bab yang memuja Vishnu dan dewa-dewi Hindu lain.[2] Teks ini dianggap sebagai teks Shaivisme. Selain itu, teks ini tidak banyak memiliki ciri-ciri sebuah Purana, sebaliknya ia kebanyakannya adalah koleksi Mahatmya (panduan perjalanan) ke tempat -tempat suci berkaitan Shiva di India, termasuk legenda dan mitologi.[3]

Ini adalah sebuah Purana yang agak pendek dan disenaraikan dalam kalangan Maha Purana. Ia mungkin telah disusun pada zaman antara tahun Masehi 600-900. Versi yang ada sekarang mengandungi 5,400 ayat dalam 95 bab, walaupun menurut Matsya dan Vayu Purana, ia sebenarnya mempunyai 10,000 ayat.
Kemungkinan terdapat bahagian kedua Purana ini yang dikenali sebagai Brhad-Vamana-Purana, namun bahagian tersebut kini tidak lagi wujud.
Teks ini telah diceritakan oleh Resi Pulastya kepada Narada atas permintaannya.
Mengikut namanya, Purana ini berkaitan dengan jelmaan Vishnu sebagai Vamana, iaitu penjelmaan kelima dalam Dasavatara. Maka itu Purana ini dikategorikan sebagai teks Vaishnava. Walau bagaimanapun, kepentingan dan penghormatan yang sama turut diberikan kepada Siva dan Shakti.[4]
Kandungan
Kisah tentang Vamana dan Bali (raja para Asura) telah diceritakan dengan sangat terperinci dalam bab-bab berikut: 73; 74; 75; 77; 89; 91; 92; 93; 94; 95.
Subjek lain yang dibincangkan dalam teks ini termasuk: Siva memenggal salah satu daripada lima kepala Brahma; Siva diberkati di Varanasi; pemusnahan korban Daksha; Sati (permaisuri Siva) yang membakar dirinya sendiri dan dilahirkan semula sebagai Devi Parvati, puteri Himalaya; Siva membakar Kama (dewa cinta); pengamalan beberapa puasa; kisah Durga, Mahisasura, dan Andhaka; keagungan sungai Sarasvati; huraian terperinci mengenai Kurukshetra dan pusat ziarah yang berkaitan dengannya; kisah Dandaka dan Daṇḍa-karaṇya termasuk sumpahan Sukracharya; pelbagai peristiwa berkaitan dengan Prahlada; dan kisah pembebasan Gajendra.
Beberapa topik yang terdapat dalam teks Dharmasastra juga dihuraikan di sini, contohnya —Tirtha (sungai suci); kelakuan baik; samanya-dharma (kebajikan umum); Asrama-dharma (tugas-tugas dalam empat peringkat kehidupan); puasa (amalan agama) dan hukum karma
Berbeza dengan Purana lain, teks ini tidak memberikan salasilah raja-raja dan resi-resi. Namun, huraian geografi yang terperinci mengenai gunung-ganang, sungai-sungai, dan janapada (wilayah) terdapat dalam teks ini. Gunung-ganang yang disebut ialah: Mahendra, Malaya, Sahya, Suktiman, Ṛksha, Vindhya, dan Pariyatra. Pelbagai sungai yang mengalir dari gunung-gunung ini juga disebut.
Janapada yang dibahagikan mengikut arah tradisional termasuk: Aṅga, Bāhlīka, Bhārakaccha, Caula, Kāmbhoja, Kerala, Prāgjyotiṣa, Puṇḍra, Surāṣṭra, Tuṣāra, dan Vaṅga.
Beberapa adat sosial yang diamalkan ketika itu adalah: perkahwinan awal; Sulka-dharma (ibu bapa pengantin lelaki memberi wang dan hadiah kepada pengantin perempuan); sekatan kebebasan kepada gadis dan wanita; adat sati yang diamalkan dalam kalangan masyarakat tertentu; penolakan terhadap poligami dan mempunyai terlalu ramai anak; membunuh haiwan dan menebang pokok dilarang; pematuhan ketat kepada sistem kasta, tetapi kemungkinan untuk mencapai status Brahmana dengan mandi di sungai-sungai suci (dengan mematuhi semua disiplin yang diperlukan) diakui.
Walaupun bahasa teks ini serupa dengan Purana secara umum, ia sering mencapai tahap sastera yang tinggi ketika menggambarkan musim, gunung, kota Varanasi, dan pertempuran antara Dewa dan Asura.
Rujukan
- ^ Dalal, Rosen (2014). Hinduism: An Alphabetical Guide. Penguin. ISBN 978-8184752779.
- ^ Hazra, Rajendra Chandra (1987) [1940]. Studies in the Puranic Records on Hindu Rites and Customs. Motilal Banarsidass. ISBN 978-81-208-0422-7.
- ^ Glucklich, Ariel (2008). The Strides of Vishnu: Hindu Culture in Historical Perspective: Hindu Culture in Historical Perspective. Oxford University Press. ISBN 978-0-19-971825-2.
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism