Universitas Islam Indonesia
Diasaskan | 8 Julai 1945 |
---|---|
Jenis | Universiti swasta |
Rektor | Prof Dr. H. Edy Suandi Hamid, M.Ec. |
Lokasi | Yogyakarta, D.I.Y. Yogyakarta |
Laman web rasmi | http://www.uii.ac.id |
Universitas Islam Indonesia ialah sebuah universiti swasta yang terletak di Kota Yogyakarta, Daerah Istimewa Yogyakarta, Indonesia.
Sejarah
Universiti ini diasaskan pada 8 Julai 1945, iaitu 40 hari sebelum Pengisytiharan Kemerdekaan Republik Indonesia, dengan nama Sekolah Tinggi Islam (STI), di Jakarta. STI merupakan cita-cita mulia para negarawan Indonesia yang melihat kenyataan bahawa ketika itu, institusi-institusi pendidikan tinggi yang ada adalah milik Belanda:
- Technische Hoogeschool atau Institut Teknologi Bandung kini
- Recht Hoogeschool di Jakarta
- Sekolah Tinggi Pertanian di Bogor, iaitu Institut Pertanian Bogor kini.
STI lahir untuk menjadi bukti bahawa adanya kesedaran berpendidikan di kalangan masyarakat pribumi.
Dibidani oleh para negarawan seperti Dr. Mohd. Hatta (pengasas dan bekas Naib Presiden Republik Indonesia), Mohd. Natsir, Prof. KHA. Muzakkir, Mohd. Roem, K.H. Wachid Hasyim, serta tokoh-tokoh yang lain, STI diasaskan sebagai suatu asas pembangunan pendidikan yang bercorak nasional dan Islam serta menjadi tumpuan harapan kepada seluruh anak bangsa.
Seiring dengan perpindahannya ibu negara Republik Indonesia ke Yogyakarta, maka STI pun berpindah dan dirasmikan kembali oleh Presiden Sukarno pada 10 April 1946 di Dalem Pangulon Yogyakarta. Untuk meningkatkan peranannya dalam perjuangan tersebut, maka STI yang ketika itu merupakan satu-satunya institusi pendidikan tinggi Islam di negara diubah menjadi sebuah universiti dengan nama Universiti Islam Indonesia (Al Jami¿ah Islamiyah Al Indonesiyah) pada tahun 1947.
Pencapaian perubahan STI menjadi UII didahului dengan pembukaan kelas pendahuluan (sejenis pra-universiti) yang dirasmikan pada bulan Mac 1948 di Pendopo nDalem Purbojo, Ngasem Yogyakarta. Pembukaan UII (menggantikan STI) secara rasmi diadakan pada 4 Jun 1948 di nDalem Kepatihan Yogyakarta dan dikunjungi oleh para menteri serta pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan tentera, antara lain. Maka dengan demikian, wujudlah Universiti Islam Indonesia yang merupakan wajah baru STI yang telah beroperasi sejak tiga tahun sebelumnya. Pada saat ia dirasmikan, UII membuka empat buah pusat pengajian, iaitu: Fakulti Ekonomi, Fakulti Undang-undang, Fakulti Pendidikan, dan Fakulti Agama.
UII sebagai universiti swasta yang tertua di Indonesia kemudian berkembang secara pesat dengan melebihi 22 buah cabang yang tersebar di seluruh Indonesia (Surakarta, Madiun, Purwokerto, Gorontalo, Bangil, Cirebon dan Klaten) dengan pusatnya di Yogyakarta. Namun seiring dengan kebijaksanaan pemerintah bahawa cabang-cabang universiti harus ditiadakan, maka cabang-cabang tersebut kemudian dijadikan institusi-institusi pendidikan tinggi yang baru (baik kerajaan mahupun swasta) atau digabungkan dengan institusi-institusi pendidikan tinggi kerajaan yang telah ada.
Jadi secara tidak langsung, UII telah mendorong pertumbuhan dan pembangunan institusi-institusi pendidikan tinggi di berbagai-bagai bandar di Indonesia, dan secara nyata telah memainkan peranan yang utama dalam sejarah pendidikan Indonesia. Dalam ucapan perasmian STI pada 8 Julai 1945, Mohammad Hatta telah berkata: "...di Sekolah Tinggi Islam ini akan bertemu agama dengan ilmu dalam kerjasama yang baik untuk membantu peningkatan kesejahteraan masyarakat".