Terdapat tujuh unit asas ditetapkan Sistem Unit Antarabangsa untuk menyukat seberapa kuantiti fizik: panjang, jisim, masa, suhu termodinamik, arus elektrik, bilangan bahan, dan keamatan berluminositi. Unit-unit yang memadan kepada kuantiti-kuantiti ini ialah meter (m), kilogram (kg), saat (s), kelvin (K), ampere (A), mol (mol), dan kandela (cd); unit-unit ini perlu ditulis berhuruf kecil.
Unit asas
Kuantiti fizik | Simbol | Unit SI | Unit |
---|---|---|---|
Jisim | m | kilogram | kg |
Suhu | T, θ | Kelvin | K |
Panjang | l | meter | m |
Masa | t | saat | s |
Arus | I | Ampere | A |
Kuantiti bahan | n | mol | mol |
Kecerahan cahaya | Iv | candela | cd |
meter
Satu meter ditakrifkan sebagai jarak yang dilalui oleh cahaya selama 1/299 792 458 saat dalam vakum.
kilogram
Satu kilogram ditakrifkan sebagai jisim satu silinder platinum-iridium yang disimpan di Peranchis.
saat
Satu saat ditakrifkan sebagai jangka masa 9 192 631 770 tempoh radiasi yang sepadan dengan peralihan antara dua paras tenaga hiperhalus untuk keadaan asas satu atom ceasium-133.
kelvin
Satu kelvin ditakrifkan sebagai 1/273.16 daripada suhu termodinamik takat tigaan air.
ampere
Satu ampere ditakrifkan sebagai arus yang jika ditetapkan dalam dua konduktor yang selari, panjangnya tidak terhingga, luas keratan rentas yang boleh diabaikan, dan dipisahkan sejauh satu meter di dalam vakum akan menghasilkan daya sebanyak 2E-7 newton per meter konduktor itu.
mol
Satu mol ditakrifkan sebagai bilangan bahan suatu sistem yang mengandungi bilangan zarah-zarah asas yang sama banyaknya dengan atom-atom dalam 0.012 kilogram karbon-12.
kandela
Satu kandela ialah keamatan cahaya, pada satu arah yang diberi, oleh satu sumber monokromatik yang memancarkan radiasi dengan frequensi 540E12 Hz dan mempunyai keamatan sinaran 1/683 watt pre steradian pada arah itu.