Ungka tangan putih | |
---|---|
Pengelasan saintifik | |
Alam: | |
Filum: | |
Kelas: | |
Order: | |
Keluarga: | |
Genus: | |
Spesies: | Hylobates lar
|
Nama binomial | |
Hylobates lar (Linnaeus, 1771)
| |
Peta taburan spesies |
Ungka tangan putih (nama saintifik: Hylobates lar)[3][4] merupakan spesies ungka yang tinggal di barat daya China dan Myanmar timur ke Thailand serta di barat laut Sumatera dan di seluruh Semenanjung Melayu.[5]
Ia ditemukan di hutan hujan. Ia hinggap di pokok dan jarang turun ke tanah, tetapi menggunakan lengan yang panjangnya untuk berayun dari satu batang pokok ke satu batang pokok yang lain.
Subspesies
Terdapatnya lima subspesies:
- Hylobates lar lar
- Hylobates lar vestitus
- Hylobates lar entelloides
- Hylobates lar carpenteri
- Hylobates lar yunnanensis
Ciri-ciri
Beratnya Ungka Tangan Putih antara 4.5 hingga 6 kilogram. Warna kulit Ungka Tangan Putih berbeza-beza dari warna hitam dan coklat tua ke warna coklat muda. Walau bagaimanapun, mereka sentiasa mempunyai gegelung bulu putih pada sekeliling mukanya yang hitam. Tangan dan kakinya juga berwarna putih. Kedua-dua ungka jantan dan betina mempunyai kesemua kelainan warna dan saiznya juga tidak banyak berbeza. Serupa dengan ungka yang lain, ungka ini mempunyai tangan yang panjang tetapi tidak berekor.
Tabiat
Ungka tangan putih aktif pada waktu siang.
Pemakanan
Makanan utamanya terdiri daripada buah-buahan yang masak sahaja, walaupun mereka kekadangnya juga makan daun muda, tunas dan serangga.
Pembiakan
Ungka ini mengamalkan monogami dan mengawan seumur hidup tanpa musim yang tertentu. Kumpulan-kumpulan keluarga tinggal di kawasan-kawasan tertentu sepanjang hidupnya dan melindungi kawasannya dengan teriakan duet (yakni ungka jantan bersama dengan ungka betina) untuk mencegah ungka lain daripada memasuki kawasan mereka.
Tempoh kebuntingan ungka betina ialah tujuh bulan dan biasanya, mereka melahirkan satu anak setiap dua tahun. Walaupun penjagaan anak ungka adalah tanggungjawab ibunya, bapa dan saudara kandung yang lebih tua juga membantu. Anak ungka disusui selama kira-kira dua tahun dan menjadi matang pada sekitar lapan tahun. Walaupun mereka kemungkinan boleh berdikari pada umur yang lebih awal, mereka tidak meninggalkan kumpulan keluarganya sehingga mereka mencapai kematangan seks. Ungka ini boleh hidup selama 25 tahun di hutan belantara.
Status pemuliharaan
Ungka ini diancam dalam pelbagai cara: adakalanya mereka diburu untuk dagingnya dan ada juga, ungka dewasa dibunuh untuk menangkap anak-anaknya bagi menjadikan binatang kesayangan. Walau bagaimanapun, kehilangan habitat merupakan bahaya yang terbesar. Dengan pantasnya, hutan-hutan Asia Tenggara telah dibasmi untuk menjadikan ladang dan petempatan manusia. Walaupun terdapat taman-taman negara dan kawasan-kawasan perlindungan, tempat-tempat itu sering tidak diawasi dengan baik dan undang-undang perlindungan yang tersedia jarang dikuatkuasakan.
Spesies ini haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memerlukan lesen pemburuan.[3]
Rujukan
- ^ Brockelman, W.; Geissmann, T. (2020). "Hylobates lar". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2020: e.T10548A17967253. doi:10.2305/IUCN.UK.2020-2.RLTS.T10548A17967253.en. Dicapai pada 26 Julai 2024.
- ^ "Appendices". CITES. Dicapai pada 26 Julai 2024.
- ^ a b Akta 716 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (PDF). Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Semenanjung Malaysia. 2010. m/s. 150.
- ^ Schlitter, D.A. (2005). Wilson, D.E.; Reeder, D.M. (penyunting). Mammal Species of the World (ed. ke-4). Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat: Johns Hopkins University Press. m/s. 179–180. ISBN 978-0-8018-8221-0.
- ^ Brandon-Jones, D.; Eudey, A. A.; Geissmann, T; Groves, C. P.; Melnick, D. J.; Morales, JC; Shekelle, M; Stewart, CB (2004). "Asian primate classification". Int J Primatol. 25: 97–164. doi:10.1023/B:IJOP.0000014647.18720.32. S2CID 29045930.