Rencana ini mungkin boleh dikembangkan melalui teks yang diterjemah daripada rencana yang sepadan dalam Wikipedia Bahasa Arab. (September 2024)
Klik [tunjuk] pada sebelah kanan untuk melihat maklumat penting sebelum menterjemahkan.
|
Rencana ini mungkin boleh dikembangkan melalui teks yang diterjemah daripada rencana yang sepadan dalam Wikipedia Bahasa Perancis. (September 2024)
Klik [tunjuk] pada sebelah kanan untuk melihat maklumat penting sebelum menterjemahkan.
|
Republik Tunis ريڤوبليك تونيس الجمهورية التونسية Al-Jumhūriyyah at-Tūnisiyyah | |||||
---|---|---|---|---|---|
| |||||
Cogan kata: Kebebasan, Kedamaian dan Keadilan | |||||
Lagu kebangsaan: Himat Al Hima | |||||
Ibu negara dan bandar terbesar | Tunis | ||||
Bahasa rasmi | Bahasa Arab | ||||
Kerajaan | Republik | ||||
• Presiden | Kais Saied (قيس سعيد) | ||||
Kamel Madouri (كمال المدوري) | |||||
Kemerdekaan daripada Perancis | |||||
• Diisytiharkan | 20 Mac 1956 | ||||
5 | |||||
Penduduk | |||||
• Perkiraan 2020 | 11,708,370[1] (ke-81) | ||||
71.65/km2 (185.6/sq mi) (ke-144) | |||||
KDNK (PPP) | 2023 | ||||
• Jumlah | ▲ USD162.097 billion[2] (ke-82) | ||||
▲ USD13,248[2] (ke-113) | |||||
KDNK (nominal) | 2023 | ||||
• Jumlah | ▲ USD51.271 bilion[2] (92nd) | ||||
▲ USD4,190[2] (ke-129) | |||||
Gini (2021) | 33.7[3] sederhana | ||||
HDI (2022) | ▲ 0.732[4] tinggi · ke-101 | ||||
Mata wang | Dinar Tunisia ( TND ) | ||||
Zon waktu | UTC+1 (CET) | ||||
• Musim panas (DST) | UTC+2 (CEST) | ||||
Arah memandu | kanan | ||||
Kod panggilan | +216 | ||||
Kod ISO 3166 | TN | ||||
DPT internet | .tn |
Tunis (Jawi: تونيس ,[5] Arab: تُونِس, rumi: Tūnis ) atau nama Baratnya Tunisia (Perancis: Tunisie ) –secara rasminya Republik Tunisia[a]– adalah sebuah negara yang terletak di pantai Mediterranean di Afrika Utara. Ia adalah negara Afrika yang paling utara serta negara terkecil yang terletak di Banjaran Atlas. Lebih kurang 40% daripada negara ini terdiri daripada gurun Sahara, dengan kebanyakan kawasan yang lain terdiri khususnya daripada tanih subur. Kedua-dua kawasan tersebut memainkan peranan yang utama pada zaman kuno, awal-awalnya kepada kota Carthage Phoenicia yang termasyhur dan kemudiannya, sebagai Provinsi Afrika yang kemudian dikenali sebagai bakul roti Empayar Rom. Panjang garis pinggir lautnya 1,300 kilometer.
Nama Baratnya Tunisia melatinkan nama kota utamanya yang juga bernama Tunis (bahasa Arab untuk kedua-dua negara dan ibu negara dipinjam terus ke dalam bahasa Melayu[5]) dianggap berasal daripada bahasa Barbar yang membawa pengertian "tanjung tinggi" atau "menghabiskan malam".[6]
Sejarah
Pada permulaan sejarah tercatat, Tunisia dihuni oleh puak Barbar. Pantainya kemudian dihuni oleh orang-orang Phoenicia bermula seawal abad ke-10 SM lagi. Pada abad ke-8 SM, kota Carthago diasaskan oleh peneroka-peneroka dari Tyrus (Lubnan kini). Legenda mengatakan bahawa Ratu Dido mengasaskan kota ini, sebagaimana diceritakan oleh Aeneid, mahakarya Rom. Peneroka-peneroka Carthago membawa kebudayaan dan agama mereka daripada kaum-kaum Phoenicia dan Kanaan.
Selepas suatu siri peperangan dengan Yunani pada abad ke-6 SM, Carthage bangkit untuk berkuasa dan akhirnya menjadi peradaban yang utama di Mediterranean. Masyarakat Carthago menyembah dewa-dewa Timur Tengah yang termasuk Baal dan Tanit. Lambang Tanit, bentuk wanita yang muda dengan pakaian panjang serta tangan yang dihulurkan, merupakan ikon yang popular yang banyak terdapat di tapak-tapak kuno. Para pengasas Carthago juga mengasaskan kota Tophet yang diubah pada zaman Rom. Walaupun Rom merujuk kepada empayar baru yang bertumbuh di kota Carthago sebagai Punik atau Phoenicia, empayar tersebut merupakan sebuah entiti politik merdeka yang berbeza daripada petempatan-petempatan Phoenicia yang lain di Mediterranean Barat.
Suatu serangan Carthago ke atas Itali oleh Hannibal semasa Perang Punik Kedua, sebuah siri peperangan dengan Rom, hampir melumpuhkan kebangkitan Empayar Rom. Carthago akhirnya ditaklukkan oleh Rom pada abad ke-2 SM, suatu titik peralihan yang menyebabkan peradaban Mediterranean kuno dipengaruhi khususnya oleh orang-orang Eropah berbanding dengan kebudayaan-kebudayaan Afrika. Selepas penaklukan Rom, kawasan itu menjadi salah satu jelapang Rom. Ia ditaklukkan oleh puak Vandal pada abad ke-5 dan ditaklukkan semula oleh komander Belisarius pada abad ke-6 semasa pemerintahan Justinianus, maharaja Empayar Rom Timur.
Pada abad ke-7, kawasan ini ditaklukkan pula oleh kaum Muslim Arab yang mengasaskan kota Kairouan. Dinasti-dinasti Muslim yang berturut-turut memerintah, digendalakan sekali-sekala oleh pemberontakan-pemberontakan Barbar. Pemerintahan Dinasti Aghlabid (abad ke-9) dan Dinasti Zirid (sejak 972), pengikut-pengikut Kerajaan Fatimiyyah Barbar, amat makmur. Apabila Zirid menyebabkan Fatimid di Kaherah (1050) marah, Fatimid menghantar puak Banu Hilal untuk menjarah Tunisia.
Pada abad ke-12, pantai-pantai Tunisia ditakluk oleh kaum Norman dari Sicily buat tempoh yang singkat. Tunisia kemudian ditakluk oleh para khalifah Al-Muwahhidun pada tahun 1159. Mereka digantikan oleh kaum Hafsid Barbar (k.k. 1230–1574) dan di bawah kaum ini, Tunisia berkembang maju. Pantai tersebut menjadi sebuah kubu lanon (sila lihat Negara-negara Barbary) pada akhir abad ke-16. Pada tahun-tahun terakhir Dinasti Hafsid, Sepanyol merampas banyak daripada kota-kota pantai, tetapi kota-kota tersebut kemudian didapat balik oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Di bawah para Bey, gabenor-gabenor Turki, Tunisia mencapai kemerdekaan sebenarnya. Dinasti Hussein para Bey yang diasaskan pada tahun 1705 wujud sehingga tahun 1957.
Imperialisme Perancis
Pada pertengahan dekad 1800-an, kerajaan Tunisia di bawah pemerintahan Bey menjejaskan kewajarannya dengan membuat beberapa keputusan kewangan yang penuh dengan perbalahan dan yang akhirnya mengakibatkan kejatuhannya. Perancis mula merancang untuk menguasai Tunisia apabila Bey meminjam banyak wang dalam percubaannya untuk membaratkan Tunisia. Negara yang gagal ini memudahkan serangan-serangan Algeria yang berlaku tidak lama kemudian. Bey yang lemah tidak berupaya untuk mengatasi serangan-serangan tersebut ataupun menentang penjajahan Eropah.
Pada tahun 1878, suatu urus janji rahsia antara United Kingdom dan Perancis memutuskan takdir negara Afrika ini. Asalkan Perancis mengakui penguasaan British terhadap Cyprus yang baru-baru itu diberikan kepadanya, pihak British akan membalas dengan mengakui penguasaan Perancis terhadap Tunisia. Ini meyakinkan pihak Perancis dan menyebabkan penguasaannya ke atas Tunisia pada tahun 1880. Tunisia secara rasmi dijadikan sebuah negeri naungan Perancis pada 12 Mei 1881.
Perang Dunia II
Pada tahun 1942–1943, Tunisia merupakan tempat untuk operasi-operasi utama yang pertama antara Amerika Syarikat dan sekutu Britishnya semasa Perang Dunia II. Bahagian utama tentera British di bawah kuasa pemerintahan Marsyal Tentera Darat Montgomery yang mara daripada kemenangan mereka dalam Pertempuran el-Alamein masuk ke Tunisia dari selatan, manakala Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang lain menyerang dari barat selepas serangan-serangan mereka ke atas Algeria dan Maghribi dalam Operasi Obor.
Jeneral Rommel, komander angkatan tentera Kuasa Paksi di Afrika Utara, mengharap-harapkan kejayaan ke atas tentera Pihak Berikat di Tunisia yang serupa dengan kejayaan angkatan tentera Jerman dalam Pertempuran Perancis pada tahun 1940. Sebelum pertempuran untuk menaklukkan Tunisia, angkatan-angkatan tentera Pihak Berikat umumnya tidak dapat bertahan daripada blitzkrieg Jerman ataupun menyeleraskan operasi-operasi mereka dengan baik. Oleh itu, pertempuran untuk Tunisia merupakan sebuah ujuian utama bagi Pihak Berikat. Mereka membelajari bahawa supaya dapat menewaskan Jerman, mereka harus menyeleraskan tindakan-tindakan mereka dan memulihkan dengan cepat daripada sebarang halangan yang dikenakan pada mereka oleh angkatan tentera Jerman yang berpengalaman.
Pada 19 Februari 1943, Jeneral Rommel melancarkan sebuah serangan ke atas angkatan tentera Amerika Syarikat di kawasan Genting Kasserine yang terletak di Tunisia Barat, dengan harapan untuk mencapai suatu kekalahan yang dapat mematahkan semangat dan memecahkan Pihak Berikat yang serupa dengan apa yang dikenakan oleh Jerman pada Poland dan Perancis. Keputusan-keputusan awal merupakan suatu bencana kepada Amerika Syarikat, dengan kawasan di sekitar Genting Kasserine merupakan suatu tapak untuk banyak kubur perang Amerika Syarikat dari masa ini.
Bagaimanapun, angkatan tentera Amerika akhirnya dapat menterbalikkan pengunduran mereka. Selepas membelajari pengajaran yang genting dalam perang kereta kebal, tentera Pihak Berikat mematahkan barisan Mareth Jerman pada 20 Mac 1943. Angkatan-angkatan tentera Pihak Berikat akhirnya bergabung pada 8 April 1943 dan dengan itu, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis Bebas, dan Poland (serta angkatan-angkatan tentera yang lain) dapat memenangi sebuah pertempuran utama sebagai suatu angkatan tentera bersekutu.
Perang ini, walaupun sering dibayangi oleh perang Stalingrad, mewakili sebuah kejayaan Pihak Berikat yang utama dalam Perang Dunia II kerana ia mengikat Pihak Berikat yang kemudian membebaskan Eropah Barat.
Kemerdekaan
Sebelum zaman penjajahan,Tunisia diperintah oleh satu rentetan Bey sehingga tahun 1881. Sehingga saat itu, para Bey meminjam wang untuk membiayai pemodenan Tunisia. Wang itu dipinjam daripada Eropah dan apabila penduduk-penduduk berasa geram terhadap kenaikan-kenaikan cukai untuk membiayai pembayaran pinjaman, negara itu mendapati diri muflis. Adalah ketika itu bahawa kuasa-kuasa besar Perancis, Britain dan Itali meletakkan kewangan Tunisia di bawah kuasa pentadbiran melalui perjanjian antarabangsa.
Pada mula-mulanya, Itali merupakan negara yang menunjukkan paling banyak minat untuk menjajahkan Tunisia, dengan pelaburan, warganegara, dan dekatnya lokasi itu sebagai dorongan. Bagaimanapun, ini ditolak apabila Britain dan Perancis bekerjasama untuk menghalangnya antara tahun-tahun 1871–1878 yang berakhir dengan Britain menyokong pengaruh Perancis di Tunisia sebagai balasan untuk Perancis mengiktiraf penguasaan British ke atas Cyprus. Perancis masih menghadapi persoalan pengaruh Itali dan oleh itu, memutuskan untuk mencari-cari suatu alasan untuk melancarkan serangan terlebih dahulu. Dengan dalih serangan mendadak Tunisia ke atas Algeria, Perancis memarakan angkatan tenteranya yang terdiri daripada kira-kira 36,000 orang masuk ke Tunisia dan memaksa Bey untuk memeterai Perjanjian Bardo (Al Qasr as Sa'id) pada tahun 1881. Perjanjian itu memberikan Perancis penguasaan terhadap Tunisia dan menyebabkannya menjadi sebuah negeri naungan de-facto.
Tunisia mendapat banyak faedah daripada pemerintahan Perancis. Walaupun begitu, keinginan untuk pemerintahan sendiri masih wujud dan pada tahun 1910, Ali Bach Hamba dan Bechir Sfar menubuhkan sebuah kumpulan pemuda Tunisia yang kemudian menyebabkan penubuhan parti “Destour” (perlembagaan) pada tahun 1920. Untuk mengawal gerakan yang baru ini, pihak Perancis mempergunakan gabungan taktik ganjaran dan hukuman yang walaupun berkesan, tidak berupaya untuk menghentikan desakan untuk kemerdekaan. Pada tahun 1934, unsur-unsur parti Destour yang lebih muda dan lebih membara, muncul dengan Habib Bourguiba, Dr. Mahmoud Materi, Tahar Sfar, dan Bahri Guiga sebagai pemimpin-pemimpinnya. Dipanggil Neo-Destour, parti yang baru itu diharamkan dengan segera oleh pentadbiran Perancis.
Habib Bourguiba menghabiskan banyak masa di dalam penjara-penjara Perancis. Bagaimanapun, ini tidak dapat menyekat pengaruhnya ataupun menghentikan desakan untuk perubahan. Perang Dunia II memanfaatkan Bourguiba ketika beliau dipindah dari penjara-penjara Vichy Perancis ke Rom, dan kemudian ke Tunisia apabila Kuasa Paksi menempah pengaruhnya di Tunisia. Bourguiba tidak pernah melayani permintaan-permintaan tersebut. Dua bulan kemudian, Pihak Berikat menawan Tunisia.
Pada tempoh sepuluh tahun yang berikut, perjuangan untuk kemerdekaan semakin bertambah kuat. Antara tahun-tahun 1952–1954, Bourguiba sekali lagi dipenjarakan, dan mengakibatkan serangan-serangan oleh para penyokongnya. Keadaan berubah dengan tiba-tiba pada tahun 1954, apabila Pierre Mendes-France menjadi ketua kerajaan Perancis dan mengejarkan dasar untuk menarik diri daripada tanah-tanah jajahan Perancis, dengan Tunisia termasuk dalam kategori ini. Ini menyebabkan perjanjian April 1955 yang memberikan autonomi dalaman kepada Tunisia, manakala hubungan antarabangsanya diurus oleh Perancis, suatu keadaan yang serupa dengan kaedah pemerintahan Bey Turki sebelum tahun 1881.
Parti Neo-Detour kini memiliki penguasaan, tetapi Bourguiba enggan mengetuainya sehingga pihak Perancis melepaskan segala kuasanya terhadap Tunisia. Beliau tidak perlu menunggu lama, apabila Perang Kemerdekaan Algeria yang dahsyat mengubah minat Perancis terhadap penjajahan dan menyebabkan pemansuhan Perjanjian Bardo. Tunisia mencapai kemerdekaan penuh pada 20 Mac 1956. Bourguiba menjadi Perdana Menteri dan selepas tahun 1957, beliau menjadi presiden pertama Republik Tunisia ketika peranan perlembagaan Bey dibubarkan.
Pembahagian pentadbiran
Tunisia dibahagikan kepada 24 kawasan kegabenoran seperti yang berikut:
- Ariana
- Béja
- Ben Arous
- Bizerte
- Gabès
- Gafsa
- Jendouba
- Kairouan
- Kasserine
- Kebili
- Kef
- Mahdia
- Manouba
- Medenine
- Monastir
- Nabeul
- Sfax
- Sidi Bouzid
- Siliana
- Sousse
- Tataouine
- Tozeur
- Tunis
- Zaghouan
Geografi
Tunisia terletak di Afrika Utara, antara Laut Mediterranean dan Gurun Sahara. Ia disempadani oleh Algeria di barat dan Libya di tenggara. Kebanyakan kawasannya merupakan kawasan separa gersang dan padang pasir. Bahagian utaranya bergunung-ganang, dengan iklim sederhana yang terdiri daripada musim sejuk sederhana yang berhujan dan musim panas yang kering. Sebahagian besar bahagian selatan negara ini terdiri daripada Gurun Sahara.
Politik
Politik Tunisia berlaku dalam rangka republik demokratik wakil separuh presiden kesatuan, [7] dengan Presiden yang berkhidmat sebagai ketua negara, Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan, badan perundangan unikameral dan sistem mahkamah yang dipengaruhi oleh undang-undang sivil Perancis . Antara tahun 1956 dan 2011, Tunisia beroperasi sebagai negara satu parti secara de facto, dengan sistem politik yang dikuasai oleh Perhimpunan Demokratik Berperlembagaan (RCD) sekular di bawah bekas Presiden Habib Bourguiba dan kemudian Zine el Abidine Ben Ali. Walau bagaimanapun, pada tahun 2011 kebangkitan nasional membawa kepada penyingkiran Presiden dan pembongkaran RCD yang membukakan jalan kepada parti demokrasi berbilang. Oktober 2014 menyaksikan pilihan raya parlimen demokratik yang pertama sejak revolusi 2011, mengakibatkan kemenangan oleh parti sekular Nidaa Tounes dengan 85 kerusi dalam dewan yang mempunyai 217 ahli. [8]
Demografi
Sedangkan kebanyakan orang Tunisia moden menganggap diri sebagai orang Arab, kebanyakan mereka sebenarnya berketurunan daripada kaum Barbar yang asli: kurang daripada 40% takung gen berasal dari Timur Tengah. [9] Banyak peradaban telah menyerang, berhijrah, dan diserap ke dalam masyarakat Tunisia pada sepanjang alaf-alaf yang lalu. Pemasukan penduduk yang banyaknya telah disebabkan oleh penaklukan oleh Phoenicia, Rom, Vandal, Arab, Turki Uthmaniyyah, dan Perancis. Banyak orang Moor dan Yahudi Sepanyol juga tiba pada akhir abad ke-15.
Hampir semua orang Tunisia (98% daripada jumlah penduduknya) adalah orang Muslim. [10] Terdapat sebuah masyarakat Yahudi di pulau Djerba di selatan sejak dari 2,500 tahun lagi. Walaupun jumlahnya telah berkurangan secara ketara, masih terdapat sebuah masyarakat Yahudi yang kecil di Tunis yang berketurunan daripada pelarian Sepanyol pada akhir abad ke-15. Adanya juga sebuah masyarakat Kristian asli yang kecil. [11] Kebanyakan golongan minoriti nomad asli yang kecil telah diserap ke dalam masyarakat yang lebih besar.
Ekonomi
Tunisia mempunyai sebuah ekonomi yang berbeza-beza, dengan pertanian, perlombongan, tenaga, pelancongan, petroleum, dan perkilangan merupakan sektor-sektor yang penting. Kawalan kerajaan terhadap hal-ehwal ekonomi, walaupun masih ketat, beransur-ansur berkurangan pada sepanjang dekad yang lalu dengan penambahan penswastaan, pemudahan struktur cukai, dan pendekatan yang cermat terhadap hutang. Pertumbuhan benar adalah 5.0% pada puratanya pada dekad 1990-an, dengan inflasi semakin berkurangan.
Pertumbuhan perdagangan dan pelancongan merupakan unsur-unsur yang utama dalam pertumbuhan ekonomi yang tetap ini. Perjanjian perhubungan Tunisia dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan persetujuan pertama antara EU dengan sebuah negara Mediterranean, dikuatkuasakan pada 1 Mac 1998. Di bawah perjanjian ini, Tunisia akan beransur-ansur menghapuskan halangan perdagangannya terhadap EU pada sepanjang dekad yang berikut. Penswastaan yang lebih luas, pembebasan kod pelaburan yang lebih lanjut untuk meningkatkan pelaburan asing, serta pembaikan-pembaikan kecekapan kerajaan adalah antara cabaran-cabaran untuk masa hadapan Tunisia. Menurut buku peta universiti Philip British pada tahun 2000, Tunisia juga memiliki simpanan fosfat yang utama di bahagian tengah negara itu.
Pendidikan
Sebelum tahun 1958, pendidikan di Tunisia hanya boleh diperolehi oleh sekumpulan minoriti (14%). Bagaimanapun, ia kini diberikan keutamaan yang amat tinggi, dengan peruntukan sebanyak 6% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Pendidikan asas untuk kedua-dua lelaki dan perempuan antara umur 6 dan 16 tahun diwajibkan sejak tahun 1991.
Sedangkan kanak-kanak umumnya memperoleh bahasa Arab Tunisia di rumah, mereka diajar bahasa Arab Klasik ketika memasuki sekolah pada umur 5 tahun. Dari umur 8 tahun, mereka diajar bahasa Perancis, dengan bahasa Inggeris diperkenalkan ketika mereka berumur 10 tahun.
Kolej-kolej dan universiti-universiti di Tunisia termasuk:
- Universiti Tunis Antarabangsa
- Universite Libre de Tunis
- Universiti Penerbangan dan Teknologi, Tunisia
Lihat juga
Nota
Rujukan
- ^ "National Institute of Statistics-Tunisia". National Institute of Statistics-Tunisia. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 November 2019. Dicapai pada 2 March 2020.
- ^ a b c d "World Economic Outlook Database, October 2023 Edition. (Tunisia)". IMF.org. International Monetary Fund. 10 October 2023. Dicapai pada 14 October 2023.
- ^ "GINI index". World Bank. Dicapai pada 19 January 2013.
- ^ "Human Development Report 2023/24" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Rancangan Pembangunan PBB. 13 March 2024. m/s. 275. Dicapai pada 2024-05-09.
- ^ a b Contoh penggunaan nama تونيس Tunis dalam terbitan penulisan Jawi:
- Ustaz Ar-Rasyid Idris (Mei 1952). "Masalah Tunis yang sebenar". Qalam no. 46. m/s. 33 - melalui Persatuan Penyelidikan Jawi Jepun, Pusat Pengajian Bidang Bersepadu Universiti Kyoto
- "Tunis terletak di bawah telanjuk kekuasaan Perancis". (Mei 1952). ibid. no. 4. m/s. 33 - melalui Persatuan Penyelidikan Jawi Jepun, Pusat Pengajian Bidang Bersepadu Universiti Kyoto
- al-Marbawi, Mohamad Idris bin Abdul Rauf (1931). "الجَزَائِر". Kamus Al-Marbawi. Mesir: Syarikat Mustafa al-Babīy al-Halabīy. m/s. 100.
Negeri hampir dengan negeri Tunis.
- ^ Room, Adrian (2006). Placenames of the World: Origins and Meanings of the Names for 6,600 Countries, Cities, Territories, Natural Features and Historic Sites. Jefferson: McFarland. m/s. 385. ISBN 978-0-786-42248-7.
- ^ Choudhry, Sujit; Stacey, Richard (2014) "Semi-presidential government in Tunisia and Egypt". International Institute for Democracy and Electoral Assistance. Retrieved 7 January 2016.
- ^ "Secularist Nidaa Tounes party wins Tunisia election" BBC, 2014
- ^ "Kajian DNA mendedahkan hubungan Phoenicia-Malta". National Geographic. 1 Oktober 2004. Dicapai pada 9 September 2006.
- ^ "Buku Fakta Dunia CIA — Tunisia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-05-09. Dicapai pada 13 Januari 2007.
- ^ "TUNISIE — Ils ont choisi le christianisme[[Category:Rencana yang mengandungi teks bahasa Perancis]] [[Category:Lang and lang-xx using deprecated ISO 639 codes|fr]]" (dalam bahasa Perancis). 7 Julai 2005. Dicapai pada 9 September 2006. URL–wikilink conflict (bantuan)
Pautan luar
Ketahui lebih lanjut tentang Tunisia di Wikipedia: | |
Takrifan dari Wikikamus | |
Imej dan media dari Commons | |
Sumber pembelajaran dari Wikiversity | |
Berita dari Wikiberita | |
Petikan dari Wikipetikan | |
Teks sumber dari Wikisumber | |
Buku teks dari Wikibuku |
Kerajaan
- (Perancis) Laman web rasmi Kerjaan Tunisia
- (Arab) Laman web rasmi Dewan Perundangan Tunisia
Berita
- Laman web AllAfrica.com : Tunisia — pautan-pautan tajuk berita
- Media Tunisia Dalam Talian Diarkibkan 2008-10-09 di Wayback Machine — sumber kerajaan
- Jurnal Afrika Utara Diarkibkan 2008-09-07 di Wayback Machine — berita perniagaan
- (Perancis) (Arab) (Inggeris) Berita dan Pandangan Maghribi
Gambaran keseluruhan
- Profil Negara Berita BBC — Tunisia
- Ensiklopedia Britannica, Tunisia — Halaman Negara
- Buku Fakta Dunia CIA — Tunisia Diarkibkan 2007-05-09 di Wayback Machine
- Projek Direktori Terbuka — Tunisia — kategori direktori
- (Perancis) (Arab) (Inggeris) Maklumat Negara dan Senarai Tokoh Utama
- Buku panduan tentang Tunisia
Pelancongan
Wikikembara memiliki panduan pelancongan bagi Tunisia. |
Lain-lain
- Tunisia di Wookieepedia, wiki mengenai Star Wars
- Nawaat
- Tunjuk perasaan Tunisia dalam talian sebagai bantahan terhadap kediktatoran
- Untuk pembebasan Tawanan Politik di Tunisia
- Laman web TunisiaOnline
- Undang-undang Tunisia Diarkibkan 2005-12-25 di Wayback Machine daripada Jurispedia
- Tunisia Harian
- (Perancis) Senarai perkahwinan Katolik di Tunisia 1801–1949
- (Perancis) Tunisia Kini
- Pusat Komuniti Tunisia (Pertubuhan Amerika-Tunisia)