Tukang ekor kecapi | |
---|---|
Male in NW Ecuador | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Animalia |
Filum: | Chordata |
Kelas: | Aves |
Order: | Caprimulgiformes |
Keluarga: | Caprimulgidae |
Genus: | Uropsalis |
Spesies: | U. lyra
|
Nama binomial | |
Uropsalis lyra (Bonaparte, 1850)
| |
Sinonim | |
Hydropsalis lyra |
Tukang ekor kecapi (Uropsalis lyra) ialah spesies tukang dalam keluarga Caprimulgidae. Ia ditemui di Argentina, Bolivia, Kolombia, Ekuador, Peru, dan Venezuela.[2]
Taksonomi dan sistematik
[sunting | sunting sumber]Ia berkongsi genusnya dengan Uropsalis segmentata. Ia mempunyai tiga subspesies, subspesies penama U. l. lyra, U. l. peruana, dan U. l. argentina.[2]
Pemerihalan
[sunting | sunting sumber]Jantannya mempunyai bulu ekor luar yang sangat panjang; bulu tersebut lebih daripada dua kali ganda panjang badannya. Ekor betina jauh lebih pendek dan kurang bersenggat. Panjang dewasa subspesies penama ialah 23.5 hingga 28 cm (9.3 hingga 11 in) tidak termasuk bulu ekor. Ekornya melebihi 60 cm (24 in) panjangnya. Berat jantan kira-kira 70 g (2.5 oz) dan betina kira-kira 77 g (2.7 oz). Bahagian atas jantannya perang. Gombak dan tengkuknya bertompok putih-kelabu, kuning pucat, kuning keperangan, dan lelang; bahagian belakangnya juga mempunyai tompok perang dan lelang. Ia mempunyai relang perang yang luas di sekeliling tengkuk. Ekornya perang dan mempunyai hujung putih kelabu yang luas serta bersorot dan berbelak kuning keperangan dan kuning pucat. Sayapnya juga perang keseluruhannya dengan tompok dan belak kuning pucat, kuning keperangan, dan lelang. Dagu dan tekaknya kuning keperangan atau kuning pucat dengan sorot dan tompok perang serta relangnya merentangi tekak. Dada dan perut atasnya perang dengan tompok dan sorot kuning keperangan padat. Perut bawah dan lambungnya bersorot kuning pucat dengan perang. Gombak betinanya kelabu dan bukannya perang dan bulu sayap primernya mempunyai tanda karat yang lebih menonjol berbanding jantan.[3]
U. l. peruana agak lebih besar daripada subspesies penama dan mempunyai warna keseluruhan yang lebih merah. U. l. argentina adalah yang terbesar dalam kalangan tiga subspesies tersebut. Berbanding dengan subspesies penama, tanda dadanya lebih putih, dan bulu ekornya dihiasi dengan kelabu dan bukannya putih.[3]
Taburan dan habitat
[sunting | sunting sumber]Subspesies penama ditemui di Andes di barat Venezuela, barat Kolombia, dan Ekuador, dan mungkin di utara Peru. U. l. peruana ditemui di lereng timur Andes Peru dan ke tengah Bolivia. U. l. argentina ditemui di Andes di utara Argentina dan mungkin di selatan Bolivia. Dalam ketinggian, julatnya kebanyakannya dari 1,100 hingga 2,100 m (3,600 hingga 6,900 ka) tetapi juga ada serendah 800 m (2,600 ka) dan setinggi 3,500 m (11,500 ka). Ia mendiami hutan pergunungan yang lembap, terutamanya bahagian sisi dan bukaannya. Ia menyukai tebing dan jurang berhampiran air yang mengalir.[3]
Tingkah laku
[sunting | sunting sumber]Pemakanan
[sunting | sunting sumber]Ia bersifat krepuskul dan nokturnal. Ia meramu dengan menangkap mangsa dari batu atau tenggeran rendah di sepanjang pinggir hutan. Ia mungkin terbang agak jauh tetapi biasanya kembali ke tenggeran yang sama. Walaupun dietnya tidak diperihalkan, ia diandaikan sebagai serangga seperti tukang lain. Pada siang hari, ia bertengger di dahan atau tebing, biasanya sekurang-kurangnya separa tersembunyi oleh tumbuh-tumbuhan.[3]
Pembiakan
[sunting | sunting sumber]Ia dianggap berpoligini. Jantan membuat paparan dalam penerbangan kepada betina di lek komunan. Musim pembiakan belum ditentukan walaupun nampaknya berbeza mengikut julatnya. Satu sarang yang dikaji dengan baik ialah kaisan yang dibersihkan serpihannya dalam pendiangan batu terbengkalai di hutan terganggu berhampiran padang rumput. Betina menjaga seekor anak dan tiada jantan kelihatan berdekatan.[3]
Vokalisasi
[sunting | sunting sumber]Seruannya ialah "5-11 nada wéiou-ti menaik riang...". Ia kebanyakannya dinyanyikan pada waktu senja, dari tenggeran atau tanah. Ia juga dibunyikan dalam penerbangan atau ketika mengejar betina. Penerbangan paparan jantan termasuklah tubian pantas bunyi " wip-wip-wip-wipupup".[3]
Status
[sunting | sunting sumber]IUCN telah menilainya sebagai Kurang Membimbangkan. Walaupun populasinya tidak diukur, ia kelihatan stabil. Tiada ancaman segera telah dikenalpasti walaupun penyahhutanan mungkin berlaku pada masa hadapan.[1][3]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b BirdLife International (2016). "Lyre-tailed Nightjar Uropsalis lyra". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016. Dicapai pada 10 October 2021. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "IUCN" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ a b Gill, F.; Donsker, D.; Rasmussen, P. (July 2021). "IOC World Bird List (v 11.2)". Dicapai pada July 14, 2021. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "IOC11.2" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ a b c d e f g Van Doren, B. (2020).