Jenis transmisi |
---|
Manual |
Boleh laras berterusan |
Gear basikal |
Transmisi manual berjujukan ialah sejenis transmisi manual yang digunakan pada motosikal dan kereta berprestasi tinggi untuk perlumbaan kereta, yang mana gear dipilih secara berjujukan dan tidak boleh dipilih secara terus.
Pada transmisi manual yang biasa, pemandu boleh beranjak dari gear ke gear dengan mengalihkan penganjak gear terus ke kedudukan yang dikehendaki. Jenis transmisi ini sering dipanggil "corak H" sempena runut yang dilalui oleh aci gear apabila memilih gear. Klac mesti dilepaskan sebelum gear baru dipilih untuk melepaskan enjin yang berjalan dari transmisi, maka menyampuk segala pemindahan tork. Dalam perlumbaan kereta, proses ini perlahan dan terdedah kepada kesilapan manusia, maka lahirnya transmisi berjujukan. Transmisi berjujukan yang sejati selalunya menggunakan sistem cekam kokot sebagai ganti sistem sirat segerak yang terpasang pada kotak gear corak H yang biasa. Sistem cekam kokot hanya memerlukan sampukan tork enjin yang amat singkat untuk melengkapkan anjakan kepada gear berdekatan. Ini membolehkan anjakan sesama gear tanpa menggunakan klac. Klac biasanya hanya digunakan untuk menahan kereta di permulaan perlumbaan.
Am
Transmisi manual berjujukan bertujuan membolehkan pemandu memilih gear yang betul-betul sebelum atau selepas gear yang dipilih semasa. Biasanya, tuil anjakan ditarik ke belakang untuk memilih gear yang lebih rendah, atau ditolak ke hadapan untuk gear yang lebih tinggi. Dalam kotak gear berjujukan yang sejati, tuil aci mengendalikan mekanisme gear sehala (ratchet) yang menukarkan gerakan hadapan-belakang tuil anjakan kepada gerakan putaran. Gerakan putaran ini memutarkan gelendong pemilih yang mempunyai tiga atau empat runut di keliling lilitannya. Pada runut-runut itu berjalannnya cabang-cabang pemilih, sama ada secara terus atau melalui rod pemilih. Runut-runut ini bersisih di sekitar lilitan dan apabila gelendong itu berputar, cabang-cabang pemilih yang menerusi runut-runut itu dialihkan untuk memilih gear yang dikehendaki. Hanya transmisi berjujukan yang sejati yang mempunyai mekanisme anjakan yang beroperasi sedemikian.
Kotak gear berjujukan juga digunakan dalam hampir semua motosikal moden kerana penganjak corak H yang biasa adalah terlalu besar dan memakan ruang bagi rangka motosikal. Penganjak gear biasanya dikawal dengan kaki kiri penunggang, membolehkan kedua-dua belah tangan penunggang mengendalikan klac dan brek tanpa melepaskan hendal.
Transmisi manual berjujukan merupakan transmisi manual yang sejati, dan jangan disamakan dengan transmisi automatik yang sedikit sebanyak membolehkan anjakan gear secara terus. Satu contoh jenis transmisi automatik sedemikian ialah transmisi Tiptronic. Anjakan secara butang atau tuil tidak semestinya bermaksud transmisi itu adalah manual.
Kelebihan
Selain kesenangan penggunaan dari sudut pandang pemandu, satu lagi kebaikan kotak gear manual berjujukan ialah penggunaan klac menerusi pedal kaki atau kawalan tangan boleh diminimumkan atau dijadikan tidak perlu sama sekali, yang mana klac hanya digunakan untuk menggerakkan kereta yang pegun. Kereta-kereta Formula Satu 1990-an memperkenalkan teknologi ini kepada dunia sukan bermotor. Kini, transmisi manual berjujukan masih digunakan oleh kebanyakan kereta lumba.
Tindakan mekanisme anjakan yang sedakar tolak-tarik ini juga membuatnya seolah-olah kawalan separa automatik dengan menggunakan penggarak hidraulik atau pneumatik, iaitu anjakan padel (paddle-shift). Sebagai ganti tuil gear manual, pemandu menggunakan sepasang padel sirip (flipper paddles) pada roda stereng. Kereta rali biasanya hanya menggunakan sebatang padel dwitindakan. Padel kanan apabila ditarik menganjak ke atas, sementara padel kiri pula ke bawah. Sistem anjakan padel menggunakan unit kawalan elektronik canggih untuk membekalkan logik yang perlu untuk mengendalikan mekanisme anjakan. Jenis sistem anjakan padel yang terpasang dalam kereta lumba dan rali jangan disamakan dengan sistem "anjakan padel" yang terpasang pada kereta jalanan tercanggih masa kini, yang hanya sekadar transmisi automatik biasa. Smart Car buatan Mercedes merupakan salah satu contoh transmisi manual berjujukan.
Persepsi
Sungguhpun transmisi manual berjujukan mampu mempercepat kelajuan, namun ramai peminat kereta jalanan lebih menggemari transmisi manual biasa (dengan pedal klac dan kebolehan melangkau gear) demi pengalaman pemanduan yang lebih kebiasaan.[1]
Rujukan
- ^ Frank Marcus. "BMW M3 SMG - Short Take Road Test - Auto Reviews". Car and Driver. Dicapai pada 2011-08-29.