Nama lain | Anjing gembala Bosnia-Herzegovina dan Croatia | ||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Bosnia dan Herzegovina Croatia | ||||||||||
| |||||||||||
| |||||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Tornjak[a] atau anjing gembala Bosnia-Herzegovina dan Croatia[b] ialah satu baka anjing penjaga haiwan ternakan ciptaan semula yang asli di Bosnia dan Herzegovina dan di Croatia.[1] Ia merupakan anjing gunung jenis molosser,[1] yang serupa dengan baka-baka anjing penjaga haiwan ternakan lain di rantau ini, iaitu anjing Pergunungan Šar, anjing gembala Bukovina, dan anjing gembala Yunani.
Sejarah
Rujukan bertulis terawal kepada baka ini bertarikh kembali ke abad ke-11.[2] Perihal tentang tornjak hadir dalam tulisan-tulisan daripada Peter Horvat, uskup Đakovo, pada tahun 1374, dan Peter Lukić, Kanun Keuskupan Đakovo, pada tahun 1752. Anjing ini diperihalkan sebagai anjing penjaga, yang cerdas dan dibiakbakakan untuk membatasi agresi. Ia merupakan anjing gembala pindah ternak bagi orang Vlach di Bosnia Zaman Pertengahan.[3]
Prevalens tornjak beransur-ansur menurun dengan pengakhiran penggembalaan nomad di rantau ini. Pada awal tahun 1970-an, sekumpulan ahli kinologi memulakan projek untuk mengenal pasti dan membiakbakakan anjing yang mengongsi ciri-ciri serupa dengan yang terdapat dalam tulisan-tulisan bersejarah tentang baka ini.[4] Pembiakbakaan darah tulen bermula pada tahun 1978 dan ternakan asasi bagi baka moden ialah anjing gembala baka tempatan yang homogen secara genetik yang dikenal pasti melalui proses ini.[2]
Tornjak pertama kali diimport ke United Kingdom pada tahun 2013 dengan niat untuk berusaha ke arah pengiktirafan The Kennel Club United Kingdom.
Nama
Banyak nama digunakan untuk memerihalkan anjing dari rantau ini yang mengongsi ciri-ciri serupa dan memenuhi peranan serupa.
Nama piawai FCI-nya, tornjak, diterbitkan daripada perkataan tor, yang memaksudkan pagaran biri-biri.[5] Baka ini dipanggil toraši di Sinj dan di gunung Kamešnica, manakala gembala di pergunungan Dinara memanggil baka ini dinarci ("anjing Dinara"). Bosanski ovčar tornjak, yang memaksudkan "anjing gembala Bosnia tornjak"[6] dan hrvatski pas planinac, yang memaksudkan "anjing gunung Croatia", juga digunakan.
Ciri
Penampilan
Tornjak ialah anjing besar dengan ciri-ciri tubuh lebih kurang berbentuk segi empat sama dan pergerakan agak tangkas. Walaupun begitu, tulangnya tidak ringan. Tornjak ialah baka berbulu panjang dengan bulu pendek di bahagian muka dan tungkai. Bulunya jelas panjang dan lebat di bahagian leher (surai) dan di belakang paha atas (punggung). Ekornya sangat berbulu dan terangkat seperti bendera semasa anjing berkenaan bergerak. Lapis bulunya sangat padat dan tidak dapat dipisahkan.
Sebagai peraturan, tornjak berwarna-warna, dengan putih sebagai warna dasar dominan. Penandaan putih paling kerap ditemukan di sekeliling leher, di atas kepala, dan di sepanjang tungkai. Tompok-tompok boleh memiliki apa-apa warna. Serupa dengan anjing penjaga haiwan ternakan lain, tanda-tanda berbeza berfungsi untuk tujuan utilitarian, iaitu membantu gembala membezakan anjing mereka daripada biri-biri dan serigala.
Perangai
Tornjak mempunyai perangai tenang. Tornjak dewasa tipikal ialah haiwan tenang, damai, dan kelihatan acuh tak acuh, tetapi apabila keadaan menuntut, ia merupakan anjing pengawas berjaga-jaga dan berwaspada. Perwatakannya sama dengan perangai; ia tidak gementar mahupun agresif.[perlu rujukan] Pada umumnya, ia merupakan anjing sangat teguh, tegap, dan tidak terlalu menuntut. Dengan keluarga manusianya, ia dapat menjadi sangat penyayang. Apabila hidup dalam kawanan, ia merupakan haiwan sangat sosial, tanpa pergaduhan sesama anggota kawanan. Terhadap orang asing atau haiwan lain, sebagai peraturan, tornjak tidak terlalu agresif. Walau bagaimanapun, apabila keadaan memerlukannya, tornjak cukup tegas dan ia mampu menyerang lawan lebih kuat tanpa pertimbangan. Gembala pernah mengatakan bahawa tornjak yang menjaga kawanan ternakan ialah padanan adil dengan dua ekor serigala dan bahawa sepasang tornjak akan menghadap dan mengusir seekor beruang. Dalam situasi ini, tornjak dapat menjadi sangat tabah.
Kegiatan
Paras senaman tornjak biasanya tidak menuntut, terutamanya dalam 9–12 bulan pertama (semasa tempoh pertumbuhan intensif terakhir). Ia lebih suka berjalan jauh-jauh tanpa cawak dan banyak bermain dengan anjing lain. Ia juga berpuas hati dengan hanya berjalan kaki selama 20 minit jika pemiliknya tergesa-gesa. Tornjak belajar dengan cepat dan tidak mudah lupa; ia gembira melaksanakan tugas dan, oleh itu, mudah dilatih. Kuat dan tahan lasak, anjing ini berbaring di atas tanah semasa malam musim sejuk bersalji dan kerap dilitupi oleh salji tanpa membeku oleh sebab lapis bulu tebalnya. Ia digunakan terutamanya untuk penggembalaan dan perlindungan haiwan ternakan.[perlu rujukan]
Penjagaan
Tornjak tidak sesuai untuk kehidupan pangsapuri. Ia memerlukan banyak ruang dan bertahan dengan terbaik dengan sekurang-kurangnya halaman luas. Oleh sebab lapis bulu tebalnya melindunginya dengan baik, ia mampu mengatasi kehidupan di luar rumah dengan baik asalkan ia mempunyai tempat perlindungan sesuai. Baka ini paling sesuai untuk keluarga dengan ruang di sekeliling rumah yang dapat digunakan untuk memenuhi keperluan senaman sendiri.[perlu rujukan]
Sendi keting dapat rosak atau displasia pinggul dengan menaiki dan menuruni tangga dalam enam bulan pertama.[perlu rujukan]
Tornjak memerlukan sosialisasi awal. Pengalaman awal (sebelum umur 9 bulan) mempunyai kesan sangat ketara sepanjang hayat anjing berkenaan. Ia perlu berhadapan dengan rangsangan yang berpotensi menakutkan seawal mungkin untuk mengelakkan tindak balas ketakutan kemudiannya. Hingar-bingar lalu lintas, trak besar, dan bas bakal menimbulkan tindak balas ketakutan pada usia dewasa jika tornjak berkenaan tidak pernah menghadapi situasi ini sebagai anak anjing. Pada usia awal ini, semua anak tornjak perlu bertemu seramai mungkin orang yang tidak dikenali, dan juga haiwan, anjing, dan haiwan peliharaan lain terutamanya, untuk membangunkan tingkah laku sosial baik dan stabil sebagai dewasa.[perlu rujukan]
Pelarangan
Baka ini dilarang di Denmark.[7]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: تورڽک , Sebutan bahasa Melayu: [torˈɲak]; Templat:Lang-sh-Latn-Cyrl, disebut [torɲâk]
- ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا بوسنيا-هيرزيݢوۏينا دان کروءيشا ; Templat:Lang-sh-Latn-Cyrl; bahasa Inggeris: Bosnian and Herzegovinan-Croatian shepherd dog
Rujukan
- ^ a b "FCI breeds nomenclature: TORNJAK (355)" [Tatanama baka FCI: TORNJAK (355)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 9 Januari 2024.
- ^ a b "FCI-Standard N° 355 TORNJAK (Bosnian and Herzegovinian – Croatian Shepherd dog)" [Piawaian FCI No. 355 Tornjak (Anjing Gembala Bosnia-Herzegovina dan Croatia)] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Reicher, Dubravka. Disemak oleh Jennifer Mulholland dan Raymond Triquet. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 23 November 2017. Dicapai pada 15 Jun 2024.CS1 maint: others (link)
- ^ Cathie Carmichael, A Concise History of Bosnia (dalam bahasa Inggeris), Cambridge University Press, 2 Julai 2015 - 221, hlm. 17
- ^ "Tornjak - A Breed Resurrected - Dogs and dog breeds and dog pictures" [Tornjak - Baka Bangkit Semula - Anjing dan baka anjing dan gambar anjing]. 123dog.net (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
- ^ Morris, Desmond (2012). "Tornjak" [Tornjak]. Spirit of Bosnia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 15 Jun 2024.
- ^ "TORNJAK - Bosnian shepherd dog" [TORNJAK - Anjing gembala Bosnia]. Bhtornjak.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 19 Januari 2024.
- ^ "Danish Legislation on Dogs" [Perundangan Denmark mengenai Anjing]. www.foedevarestyrelsen.dk (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2013. Dicapai pada 19 Januari 2024.
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Tornjak |
- Tapak web Tornjak Bosnia-Herzegovina (dalam bahasa Inggeris)
- Pangkalan data pedigri dalam talian tornjak (dalam bahasa Inggeris)
- Tapak web Tornjak UK (dalam bahasa Inggeris) Diarkibkan 24 Mei 2023 di Wayback Machine