Tuan guru atau tok guru ialah satu gelaran kehormatan yang diberikan oleh masyarakat Melayu-Islam kepada seseorang yang mempunyai ketinggian ilmu-ilmu Islam, khususnya dalam bidang pengajian Islam, fiqh, tauhid dan tasawuf. Gelaran ini diberikan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap peranan seseorang tokoh dalam mendidik masyarakat serta melahirkan ramai anak murid dalam bidang keilmuan Islam.[1]
Istilah tok guru ialah bentuk sebutan loghat Melayu bagi istilah rasmi tuan guru. Di Malaysia, gelaran ini digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat dan tokoh agama, manakala di Indonesia istilah yang membawa maksud hampir sama ialah Kiai.
Asal-usul dan penggunaan
Secara bahasa, istilah guru berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud seseorang yang mengajar, mendidik dan menjadi pengasuh. Dalam manuskrip Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, istilah ini digunakan bagi orang yang memiliki kepakaran dalam ilmu persilatan dan ilmu ghaib. Namun dalam perkembangan tradisi Islam Melayu, makna guru berubah kepada orang yang mengajar ilmu agama di masjid, surau, atau sekolah pondok.[2]
Dalam masyarakat Melayu tradisional seperti di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah, gelaran tuan guru lazim diberikan kepada ulama yang mengajar agama dan mempunyai sekolah pondok serta ramai anak murid.[2] Gelaran ini juga digunakan terhadap tokoh yang mendalam ilmunya dan disegani atas sumbangan mereka dalam membimbing masyarakat Islam.
Pengiktirafan dan sumbangan
Tiada piawaian rasmi atau sistematik yang menentukan seseorang itu layak digelar "tuan guru". Gelaran ini biasanya diberi secara kolektif oleh masyarakat berdasarkan ketinggian ilmu dan jasa tokoh berkenaan dalam mendidik masyarakat.[1] Antara tokoh-tokoh terkenal yang digelar tuan guru termasuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Haji Abbas Besut, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein, dan Tuan Guru Haji Salleh Musa.
Sebagai pengiktirafan formal, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) memperkenalkan anugerah Alim Haraki yang membawa gelaran "Tuan Guru" kepada penerima yang cemerlang dalam keilmuan Islam dan perjuangan dakwah.[1] Salah seorang penerima anugerah tersebut ialah Dato’ Tuan Guru Dr Mahfodz Mohamed, seorang ilmuan dan ahli politik Malaysia.
Penggunaan dalam politik
Dalam konteks politik Malaysia, gelaran tuan guru mula mendapat nilai simbolik apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggunakan panggilan tersebut bagi mengetengahkan identiti keagamaan dan keilmuan pemimpin mereka. Pada pilihan raya 1990, gelaran ini digunakan secara rasmi oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan bagi membezakan beliau daripada pemimpin sebelumnya.[2] Sejak itu, gelaran tuan guru menjadi identiti politik penting dalam PAS, dan digunakan oleh tokoh-tokoh seperti Abdul Hadi Awang dan Hashim Jasin.
Penggunaan gelaran ini memperkukuh kedudukan moral dan keagamaan pemimpin dalam parti serta menonjolkan imej kepimpinan berasaskan ilmu dan agama.
Tradisi dalam masyarakat
Gelaran tuan guru bukan sahaja sinonim dengan bidang agama, tetapi turut dikaitkan dengan keilmuan tradisional Melayu seperti ilmu silat, perubatan Islam, dan tasawuf. Dalam konteks ini, seseorang mahaguru silat atau ahli spiritual yang mempunyai ramai pengikut turut digelar tok guru.
Walaupun terdapat perbezaan penggunaan mengikut negeri dan konteks, gelaran tuan guru tetap melambangkan penghormatan tertinggi dalam masyarakat Melayu-Islam terhadap tokoh ilmu dan agama.
Lihat juga
Rujukan
- ^ a b c "Dato' Dr Mahfodz secara rasmi bergelar 'Tuan Guru'". Harakah Daily. 18 Februari 2020. Dicapai pada 10 Januari 2025.
- ^ a b c Dr Muhaimin Sulam (16 Februari 2020). "Tuan Guru politik". Malaysiakini. Dicapai pada 10 Januari 2025.








