The Disappearance of Irdina Adhwa | |
---|---|
Pengarah | Kyle A. Halim |
Penulis | Kyle A. Halim |
Dihasilkan oleh | Kyle A. Halim |
Dibintangi | |
Sinematografi | Hafiz Rashid |
Syarikat penerbitan | Kotaki Studios |
Tarikh tayangan | 24 Februari 2022 (Malaysia) |
Masa tayangan | 90 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
The Disappearance of Irdina Adhwa ialah sebuah filem seram thriler Malaysia 2022 arahan Kyle A. Halim,[1] dibintangi oleh Alicia Amin, Syazuwan Hassan dan Josiah Hogan. Filem ini ditayangkan di Astro First pada 24 Februari 2022.[2]
Premis
Sofia menyertai tujuh rakan kolej bercuti dan berkelah sebaik majlis graduasi selesai. Namun, berlaku kejadian tidak diingini dan diselubungi misteri apabila salah seorang rakannya terbunuh ketika mereka menginap di sebuah rumah peranginan pada malam pertama. Bagaimanapun, Sofia dan rakan-rakannya terperangkap dalam rumah peranginan berkenaan dan tidak boleh keluar minta pertolongan untuk menyelamatkan diri.
Pelakon
- Alicia Amin sebagai Sofia Arianna
- Syazuwan Hassan sebagai Daniel Farhan
- Josiah Hogan sebagai Izdan Adhwa
- Bulan Terry sebagai Amanda
- Melanie Tan sebagai Natasya
- Abbas Mahmoud sebagai Adam Zikri
- Hazmira Fazmi sebagai Irdina Adhwa
- Nelissa Nizam sebagai Yana
- Nafiz Muaz
Penerbitan
The Disappearance of Irdina Adhwa ialah karya sulung Kyle A. Halim, pengarah kelahiran Sandakan, Sabah dan filem pertama terbitan syarikat milik Kyle, Kotaki Studios dengan dana RM700,000 yang diperolehi daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).[3] Beliau turut berkhidmat sebagai penerbit.[4] Sebelum mengarahkan filem ini, Kyle memiliki pengalaman mengarahkan beberapa filem pendek. Menurut beliau, filem ini diinspirasikan daripada filem Friday The 13th dan Tomb Raider dan mengambil masa selama setahun untuk disiapkan bermula proses pra-produksi.[5]
Untuk filem ini, Kyle memilih Alicia Amin sebagai teraju utama.[6][7] Ditanya mengenai pemilihan Alicia untuk membintangi filem ini, beliau berkata: "Asalnya, saya memilih pelakon lain. Bagaimanapun, disebabkan tiada kata persetujuan, pengurus produksi mencadangkan nama Alicia. Saya terus bersetuju dan tidak menganggap pemilihan Alicia sebagai satu masalah. Bagi saya, bukan kontroversi atau sensasi jadi ukuran, sebaliknya, saya mahukan pelakon yang boleh membawa karakter dengan baik. Kali pertama bertemunya, nyata Alicia berbeza dengan persepsi yang dilemparkan kepadanya. Jauh beza bagaikan bumi dengan langit. Alicia mesra, mudah didekati dan sangat baik hati. Dia tahu saya berasal dari Sandakan, Sabah dan tinggal bersendirian sepanjang penggambaran di Semenanjung Malaysia, jadi, dialah yang selalu mengambil berat mengenai saya,".[4]
Menurut Kyle, Alicia juga banyak membantunya sepanjang penggambaran filem itu termasuk mendapatkan peralatan memanah. Beliau pada mulanya tidak bercadang membeli peralatan memanah, namun Alicia mengambil peralatan itu dan membayarnya. Beliau turut mengakui kebolehan Alicia bertutur dalam dialek Sabah dengan baik menjadi salah satu faktor untuknya membawa watak Sofia.[4][6]
Alicia pula mengakui watak lakonannya bertutur dialek Sabah benar-benar mencabar kemampuannya.[8] Beliau dipetik oleh mStar Online sebagai berkata: "Cuma yang paling susah bila ada babak memerlukan saya bermain dengan emosi, dalam masa sama kena cakap bahasa Sabah,".[9]
Filem ini menggunakan 20 peratus dialek Sabah, selebihnya bahasa Melayu. Penggambaran dijalankan selama 15 hari di Melaka dan Kundasang, Sabah.[4][6] Kyle menambah, filem ini merupakan filem Malaysia pertama yang menggunakan dialog Bahasa Melayu Sabah dan menonjolkan sukan memanah.[10]
Keluaran
The Disappearance of Irdina Adhwa dikeluarkan pada 24 Februari 2022 di Astro First.[2] Majlis tayangan perdana filem ini diadakan di GSC Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya, Selangor beberapa hari sebelum tayangan perdana rasmi.[9]
Rujukan
- ^ Aqmar Mustaza (8 Februari 2022). "Langkah berani Kyle A. Halim". Sinar Harian. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ a b Sudirman Mohd Tahir (7 Mac 2022). "Filem tonjol busur panah". Harian Metro. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ Serimah Mohd Sallehuddin (20 Januari 2022). "Pengarah muda terima DKD RM700,000". Berita Harian. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ a b c d Serimah Mohd Sallehuddin (11 Januari 2022). "Alicia labur duit bantu penerbit filem". Berita Harian. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ Siti Athirah Dzulkifly (17 Februari 2022). "Tuah pengarah muda, Kyle A. Halim". Utusan Malaysia. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ a b c Najiy Jefri (18 Januari 2022). "Terharu sikap pemurah Alicia". Harian Metro. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ Amri Hassan (17 Januari 2022). ""Pengarah & Penerbit Kyle A Halim Dedah Sikap Sebenar Alicia Amin Ketika Shooting Filem - "Walau Sebelum Ini Ada Kontroversi, Namun..."". Astro Gempak. Dicapai pada 15 Mac 2022.
- ^ Jared Wee (1 Mac 2022). "Model-actress Alicia Amin says she's 'ready for more' acting challenges" (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ a b Qarami Hashim (25 Februari 2022). "Alicia Amin cabar diri cakap dialek Sabah… Buku lali bengkak gara-gara babak aksi dalam filem 'The Disappearance of Irdina Adhwa'". mStar Online. Dicapai pada 13 Mac 2022.
- ^ "#Showbiz: New thriller film promotes Sabah Malay dialect" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 22 Februari 2022. Dicapai pada 13 Mac 2022.