Nama lain | Terier Glen of Imaal Terier Wicklow | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Nama ringkas | Glen, glennie | |||||||
Negara asal | Ireland | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Terier Glen of Imaal Ireland[a] atau hanya terier Glen of Imaal[b] ialah satu baka anjing daripada kategori terier dan salah satu daripada empat baka terier Ireland. Ia kadang-kadang dipanggil terier Wicklow[c] dan nama baka ini kerap disingkatkan oleh para penggemar kepada hanya glen.
Baka ini berasal dari Glen of Imaal di Kaunti Wicklow, Ireland dan dinamai sempenanya. Ia diiktiraf buat kali pertama oleh Irish Kennel Club pada tahun 1934 dan paling terkini oleh American Kennel Club pada tahun 2004. Canadian Kennel Club mengundi untuk sepenuhnya mengiktiraf glen pada tahun 2017 selepas baka ini meluangkan bertahun-tahun dalam Senarai Lain-lain; kelulusan oleh pihak Pertanian Kanada sedang menunggu.
Sejarah glen dilaporkan bermula semasa zaman pemerintahan Elizabeth I, yang mengupah askar Perancis dan Hessian untuk menamatkan pemberontakan di Ireland. Selepas persengketaan ini, ramai askar ini menetap di kawasan Wicklow. Ia membawa hound rendah mereka bersama, yang dibiakbakakan dengan ternakan terier tempatan, akhirnya menghasilkan baka distingtif yang kemudian dikenali sebagai terier Glen of Imaal.[perlu rujukan]
Glen pada asalnya digunakan untuk membasmi haiwan lain seperti tikus, rubah, bejar, dan berang-berang, dan juga sebagai anjing ladang tujuan umum untuk penggembalaan dan pendampingan keluarga. Tidak seperti banyak terier lain, ia merupakan "anjing kuat", iaitu yang menggunakan kekuatan, lebih daripada "penyuara", iaitu yang menggunakan suara—ia dibiakbakakan untuk bekerja dengan senyap ke dalam tanah, dengan senyap-senyap pergi ke dalam lubang buruannya dan bukan menyalak untuk memberitahu pengendalinya. Dalam ujian perburuan, yang pernah diwajibkan oleh banyak kelab kenel untuk kejuaraan, glen' disingkirkan sekiranya berbunyi terhadap buruan. Atas sebab ini, kini ia merupakan antara terier tersenyap.
Menurut cerita rakyat Ireland, terier Glen of Imaal juga digunakan sebagai anjing turnspit untuk memutarkan daging di atas api untuk pemasakan. Bukti untuk ini adalah jarang dan ukiran anjing sedemikian dari abad ke-19 tidak banyak menyerupai glen kini. Walau bagaimanapun, ia diulangi dalam banyak gambaran baka ini dan kerap digunakan dalam ulasan warna oleh pengumum pertunjukan anjing.
Baka ini hampir pupus sebelum dipulihkan semula pada awal abad kedua puluh oleh pembiak baka di tanah airnya. Paddy Brennan Tinahely Co Wicklow dan Willie Kane Tipperary diiktiraf sebagai dua orang pembiak baka yang memulihkan baka ini.[perlu rujukan] Kini, terier Glen of Imaal masih merupakan salah satu baka anjing terjarang[1] (di Amerika Syarikat, bilangan haiwan berdaftar dalam ratusan) dan baka terier Ireland yang paling kurang dikenali. Ia dianggap sebagai baka asli rentan oleh The Kennel Club, yang menjejak baka yang mempunyai kurang daripada 300 ekor anak anjing yang didaftarkan pada setiap tahun.[2]
Saiz populasi global semasa glen dianggarkan pada 3100 ekor anjing.[3]
Penampilan
"Anjing besar dengan tungkai pendek," terier Glen of Imaal ialah baka kerdil akondroplastik. Ia lebih berisi daripada yang mungkin dijangkakan daripada fotograf; glen dewasa tipikal berukuran seberat kira-kira 36 paun (16 kg) dan berdiri setinggi 14 inci (36 cm) pada paras kelasa. Piawaian baka AKC menetapkan ketinggian 12–14 inci (30–36 cm) dan berat "hampir-hampir" 35 paun (16 kg) untuk jantan dan "agak kurang" untuk betina, dengan nisbah panjang dengan tinggi 5:3. Banyak glen juara adalah lebih besar daripada piawaian baka, dengan sesetengah individu yang melebihi 40 atau bahkan 45 paun. Dengan tiga peringkat pertumbuhan, glen dapat mengambil masa sehingga empat tahun untuk mencapai kematangan penuh.
Glen mempunyai kepala besar dengan telinga mawar atau separuh mencucuk; tungkai pendek melengkung; dan garis atas lurus yang naik sedikit ke arah ekor. Bahu, dada, dan pinggul adalah tegap dan berotot (piawaian baka AKC menyatakan kesan "isi maksimum untuk saiz") dan kaki hadapan terpusing ke luar. Baka ini dianggap tidak diperhalus, dengan ciri-ciri antik yang lazim pada terier awal tetapi sejak itu kurang digemari oleh penggemar dan pembiak baka.
Pada belakangnya, glen mempunyai lapis bulu ganda unik yang mirip dawai dengan lapis bulu bawah lembut. Kepala, sisi, dan tungkai hanya mempunyai lapis bulu lebih lembut, yang biasanya membentuk suatu takat keberalunan. Warna lapis bulu mungkin gandum atau biru (biru biasanya dengan kesan brindle), yang kedua-dua merangkumi pelbagai cahaya warna. Pewarnaan lain kadang-kadang hadir pada glen (termasuk campuran gandum dan biru yang dirujuk sebagai "grizzle" dan "biru dan sawo matang" yang berwarna biru di atas dengan jumbai gandum) tetapi variasi jarang ini, walaupun bukan syarat penyingkiran, kurang digemari oleh para penggemar.
Anak terier Glen of Imaal gandum kerap mempunyai serlahan hitam pada bulunya dan semasa muda mungkin menunjukkan "jalur dorsal" bulu lebih gelap di tengah-tengah belakangnya, tetapi ini biasanya tidak muncul pada lapis bulu dewasanya.
Terier Glen of Imaal tidak banyak bersalin bulu dan perlu diberus atau disikat setiap minggu atau dua minggu untuk memastikan lapis bulu lembut dalam keadaan baik dan bebas daripada kusustan. Juga ada kelaziman untuk melucutkan bulu lebihan daripada lapis bulu keras sebanyak dua hingga empat kali setahun; bulu "mati" ini dicabut dengan mudah dan tanpa rasa sakit dengan alat betul.
Walaupun sesetengah penjagaan bulu tambahan diperlukan untuk penunjukan (contohnya, lapis bulu bawah lembut berwarna cerah kerap "di-carding" dari belakang untuk menyerlahkan warna lapis bulu dawai lebih gelap), glen diniatkan untuk mempunyai penampilan "kasar dan sedia", dan pendandanan pertunjukan memerlukan kurang usaha berbanding dengan pada baka lain. Glen patut kelihatan kemas tetapi semula jadi, tidak pernah terias atau bulunya tidak pernah tergunting, dalam gelanggang pengakuran.
Dari segi sejarah, ekor baka ini biasanya terpotong hingga cukup panjang untuk berfungsi sebagai pegangan untuk menarik anjing keluar dari lubang bejar. Pemotongan ekor masih lazim di Amerika Syarikat, walaupun sesetengah pembiak baka telah berhenti melakukannya, dan ekor utuh bukan kecacatan dalam penunjukan pengakuran AKC. Banyak negara, walau bagaimanapun, melarang pemotongan ekor untuk penunjukan sepenuhnya. Ireland telah melarang penunjukan anjing yang ekornya dipotong pada 6 Mac 2014 atau selepas 6 Mac 2014 (prosedur itu juga menyalahi undang-undang dengan pengecualian sangat terbatas). Di United Kingdom pula, terier pekerja masih boleh ditunjukkan dengan ekor terpotong, tetapi anjing yang dibela sebagai anjing peliharaan tidak boleh.
Kesihatan
Ujian genetik tersedia untuk atrofi retina progresif (jenis crd3), iaitu gangguan kongenital yang secara beransur-ansur mengakibatkan kebutaan mulai usia sekitar lima tahun. Oleh sebab kebutaan daripada sebab ini tidak menjadi jelas sehingga tahun-tahun pembiakbakaan, ada kesukaran untuk mengeluarkan trait ini melalui pembiakbakaan sebelum kedatangan ujian. Pembasian penuh bagi gen cacat akan menjadi sukar walaupun sekarang, kerana pembiakbakaan hanya anjing bebas dengan anjing bebas akan sangat membatasi pilihan dalam takungan gen yang sudah kecil. Walau bagaimanapun, ada kemudahan untuk menghasilkan perinduk yang tidak akan terjejas akibat jenis PRA ini, walaupun sesetengah individu dalam perinduk berkenaan mungkin membawa gen tersebut. Oleh sebab traitnya adalah resesif, haiwan dengan hanya satu salinan gen cacat tidak menghidap PRA dan hanya perlu ada satu induk yang bebas untuk mencapai ini. Pembiak baka bertanggungjawab menggunakan ujian untuk merancang perinduk bebas PRA dan terus menguji mata haiwan mereka pada setiap tahun untuk mengesahkan ujian dan memantau masalah mata lain.
Masalah jantung hampir tidak wujud pada baka ini. Sesetengah terier Glen of Imaal menghidap alahan dan kegatalan kulit, terutamanya pada kaki, masalah tipikal dengan kaki merupakan kemerahan, kegatalan, dan kudis semasa cuaca basah.[4] Terier Glen of Imaal pada umumnya tidak terjejas akibat masalah belakang yang umum pada baka berbelakang panjang lain. Displasia pinggul, walaupun kadang-kadang terlihat, biasanya ringan dan tidak kerap mengakibatkan ketempangan kerana binaan baka ini yang biasanya berotot. Pembiak baka bertanggungjawab menggunakan penilaian OFA atau PennHIP untuk memastikan bahawa pinggul ternakan pembiakbakaan mereka sihat.
Oleh sebab ia berat di hadapan dan akondroplastik, terier Glen of Imaal muda khususnya rentan terhadap kecederaan plat pertumbuhan yang dapat menjejaskan perkembangan tulang tungkai hadapan dengan ketara. Pemilik dinasihati untuk mencegah terier Glen of Imaal mereka daripada melompat dari sofa, kerusi, dan katil sehingga sekurang-kurangnya berusia setahun dan untuk merujuk doktor haiwan pada tanda pertama ketempangan.
Selepas usia 12 bulan, terier Glen of Imaal pada umumnya bertahan dengan baik dengan diet rendah protein berbanding dengan baka lain.
Perangai dan tingkah laku
Terier Glen of Imaal dapat menjadi bertenaga dan kuat, tetapi ia cenderung untuk menjadi lebih sekata, lebih santai, dan kurang bersuara berbanding dengan kebanyakan terier lain. Walaupun ia menyukai aktiviti, ia tidak menuntut, dan gembira untuk bersantai di sisi pemiliknya.
Salakannya dalam dan berkuasa, seperti yang pada anjing lebih besar, dan ia dikatakan sebagai anjing pengawal baik.
"Glen sit" ("gaya duduk glen"), iaitu apaibla anjing duduk di punggungnya dan menahan seluruh tubuhnya menegak, ialah postur yang tidak lazim terlihat pada baka lain.
Sebagai terier, glen dapat mempunyai kesan kedegilan, namun cerdas, cepat belajar, dan mudah bersosialisasi. Ia biasanya tidak takut dan setia dan hebat dengan orang termasuk kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sesetengah dapat menjadi agresif terhadap anjing, terutamanya apabila diprovokasi.
Menjelang kematangan, kebanyakan glen membangunkan dorongan pemangsa teguh dan akan sedia mengejar haiwan perosak seperti tikus. Maka, ia perlu disosialisasi dengan baik dengan haiwan lain semasa muda—khususnya dengan haiwan peliharaan rumah kecil yang mungkin disalah anggap sebagai buruan, seperti kucing dan arnab.
Glen kerap cemerlang dalam ujian anjing bumi, perburuan bangsal, dan dalam ketangkasan. Walaupun biasanya bukan perenang kuat kerana tungkai pendek dan tubuh padat, sesetengah glen mampu bekerja di dalam air, dan yang lain telah dilatih untuk menggembala dan menggiring biri-biri dan lembu.
Hubungan dengan baka lain
Walaupun asal usul sebenar terier Glen of Imaal hilang dalam sejarah, sesetengah orang berkata bahawa baka ini mungkin berkaitan dengan terier gandum berbulu lembut, satu lagi baka terier Ireland (malah, sesetengah sumber mendakwa semua baka terier Ireland diterbitkan daripada terier gandum berbulu lembut) dan/atau terier biru Kerry. "Anjing pemburu rendah" dalam warisan glen kadang-kadang dianggap sebagai pendahulu kepada baset grifon kecil Vendée dan sumber kekerdilan. Walaupun glen mempunyai keserupaan cukup dengan terier Dandie Dinmont dari Scotland, dan juga terdapat dengan dua warna yang serupa dengan "mustard" dan "lada" bagi terier Dandie Dinmont, ia kelihatannya tidak berkait rapat dengan baka itu.
Analisis DNA menunjukkan bahawa terier Glen of Imaal lebih berkait rapat dengan anjing jenis mastif berbanding dengan kaitan dengan terier. Para penyelidik memerhatikan bahawa terier Glen of Imaal ialah salah satu yang mengalami konflik penetapan genetik dengan penetapan fenotip/fungsian.[5]
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: تيريئر ݢلين اوف ايمل اءيرلند ; bahasa Inggeris: Irish Glen of Imaal terrier
- ^ Jawi: تيريئر ݢلين اوف ايمل ; Ireland: brocaire Uí Mháil, lit. 'terier Imaal' ; bahasa Inggeris: Glen of Imaal terrier
- ^ Jawi: تيريئر ويکلو ; bahasa Inggeris: Wicklow terrier
Rujukan
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Terier Glen of Imaal Ireland |
- ^ "World's Rarest Dog Breed" [Baka Anjing Terjarang di Dunia] (dalam bahasa Inggeris). PetMedsOnline.Org. Dicapai pada 24 Januari 2024.
- ^ [1] (dalam bahasa Inggeris)
- ^ [2] (dalam bahasa Inggeris)
- ^ "Glen health - Albert" [Kesihatan glen - Albert] (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Julai 2015. Dicapai pada 7 Mac 2024.
- ^ vonHoldt, Bridgett Marie; Pollinger, John P.; Lohmueller, Kirk Edward; Han, Eunjung Christine; Parker, Heidi G.; Quignon, Pascale; Degenhardt, Jeremiah D.; Boyko, Adam R.; Earl, Dent A.; Auton, Adam; Reynolds, Andy; Bryc, Kasia; Brisbin, Abra Gail; Knowles, James C.; Mosher, Dana S.; Spady, Tyrone C.; Elkahloun, Abdel G.; Geffen, Eli; Pilot, Małgorzata; Jędrzejewski, Włodzimierz; Greco, Claudia; Randi, Ettore; Bannasch, Danika L.; Wilton, Alan Norman; Shearman, Jeremy Ross; Musiani, Marco; Cargill, Michelle; Jones, Paul G.; Qian, Zuwei; Huang, Wei; Ding, Zhaoli; Zhang, Yaping; Bustamante, Carlos Daniel; Ostrander, Elaine Ann; Novembre, John Peter; Wayne, Robert Keith (17 Mac 2010). "Genome-wide SNP and haplotype analyses reveal a rich history underlying dog domestication" [SNP seluruh genom dan analisis haplotip mendedahkan sejarah kaya di sebalik pembelajinakan anjing]. Nature (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 464 (7290): 898–902. Bibcode:2010Natur.464..898V. doi:10.1038/nature08837. hdl:11585/901523. ISSN 1476-4687. PMC 3494089. PMID 20237475. S2CID 1030127.