Lokasi | |
---|---|
Wilayah | Sungai Batu |
Koordinat | 5°41′43.08″N 100°27′14.76″E / 5.6953000°N 100.4541000°EKoordinat: 5°41′43.08″N 100°27′14.76″E / 5.6953000°N 100.4541000°E |
Jenis | Tapak Arkeologi |
Sejarah | |
Diasaskan | 788 Sebelum Masihi |
Budaya | Tamadun sungai batu |
Dikaitkan dengan | Industri Besi dan Perdagangan |
Penemuan Arkeologi
Penemuan tapak ekskavasi Sungai Batu yang berkeluasan 4km persegi di Sungai Batu, Kedah membuktikan kewujudan sebuah tamadun prasejarahan bangsa melayu kuno seawal 788 Sebelum Masihi yang terkenal sebagai pusat peleburan bijih besi dan merupakan sebuah tamadun tertua di Asia Tenggara dan juga meletakkan tamadun awal Sungai Batu lebih tua dari pengasasan Rom kuno. Penemuan ekskavasi ini bermula dari permintaan Jabatan Warisan Negara (JWN) agar Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melengkapkan data kawasan Lembah Bujang. Permintaan ini dibuat kerana berdasarkan rekod Geographike Hyphegesis, Ptolemy menyatakan terdapat sistem dagangan diantara dunia Barat dan Timur melalui laluan Semenanjung Emas (Golden Chersonese) yang lebih dikenali sebagai Malay Peninsular pada abad pertama.
Hasil penemuan dari ekskavasi arkeologi menunjukkan wujudnya pusat pelabuhan kuno dan aktiviti perdagangan. Penemuan runtuhan binaan seperti jeti kuno, dinding bangunan pentadbiran dan tapak ritual setempat yang unik dibina menggunakan asas binaan bata menunjukkan masyarakat setempat pada masa itu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam seni bina infrastruktur dan bangunan. Pada tahun 2015, para arkeologi di Sungai Batu telah berjaya menemui bebarapa buah kapal kuno yang tertanam di dasar tasik sekitar kawasan ekskavasi. Kapal-kapal yang ditemui sepanjang 40-100 kaki dan dianggarkan berusia 2500 tahun dipercayai digunakan bagi tujuan perdagangan.
Rekod-Rekod Luar
Selain penemuan arkeologi, rekod-rekod luar juga ditemui membuktikan kewujudan tamadun awal Sungai Batu. Antara rekod-rekod yang ditemui berkenaan tamadun awal Sungai Batu:
- Rekod Arab ( Hoyland and Gilmour 2006; Krenkow, 1936; Rahman, 1955,1959)
- Rekod Tamil ( Nilakanta Sastri, 1038,1949; Thani Nagayam, 1968)
- Al-Kindi
- Al-Biruni
Di dalam rekod-rekod luar, nama kawasan tamadun awal Sungai Batu dikenali melalui dialek penulis rekod. Antara nama lain bagi kawasan tamadun awal Sungai Batu adalah Kalah, Kataha atau Kataram, dan Queada. Di dalam catatan Al-Kindi pada abad ke-9 juga pernah menyebutkan bahawa kualiti pedang yang terbaik diperbuat dari besi Yemen, Qalai(Kalah) dan Hindi.
فالعتيق ينقسم ثلاثة أقسام أولها وأجودها اليماني ثم ثانيها القلعي ثم ثالثها الهندي
Tamadun Berasaskan Ekonomi
Tamadun awal Sungai Batu dikenali sebagai tempat peleburan besi dan besi-besi yang ditempa digunakan sebagai barang dagangan. Industri peleburan besi ini juga disokong dengan rangkaian pelabuhan bagi tujuan eksport dalam dan luar kawasan semenanjung. Dengan penemuan relau-relau peleburan besi dan tuyere, ini membuktikan semasa tamadun awal Sungai Batu menjadi tempat tumpuan perdagangan besi dari tamadun-tamadun yang lain di seluruh dunia. Di sekitar kawasan ekskavasi juga terdapat lambakan bijih-bijh besi dan tuyere. Besi-besi yang ditempa dieksport ke dunia Barat dan Timur melalui laluan air kuno menggunakan kapal dagang.
Penggunaan utama besi-besi yang ditempa adalah untuk pembuatan senjata kerana kualitinya yang baik. Kualiti besi yang dieksport dari kawasan tamadun awal Sungai Batu ini diiktiraf sendiri oleh [Al-Biruni] apabila beliau menyatakan tentang pedang Qala (Kalah) dimana tempat asal besi yang digunakan.
Tapak Ritual
Binaan bongkahan bata dan mempunyai struktur bulat merupakan bentuk tapak ritual yang unik berbanding dengan tapak ritual tamadun-tamadun yang lain. Para pengkaji mendapati tapak ritual ini bersifat setempat dan berpendapat ia dibina oleh masyarakat setempat yang pernah tinggal pada waktu itu. Ini membuktikan bahawa masyarakat setempat pada waktu itu sudah mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menghasilkan bongkahan bata sebagai bahan binaan.
Para pengkaji juga berpendapat bahawa sebelum kedatangan Islam pada kurun ke-12 di Kedah dan Hindu-Buddha pada kurun ke-5, tapak ritual di Sungai Batu digunakan untuk amalan animisme. Ini adalah kerana struktur bulatan yang terdapat pada tapak ritual nempunyai ciri-ciri animisme bagi penyembahan Gunung Jerai yang terletak di bahagian utara kawasan tersebut.
References
- ^ "Kajian PPAG di Sungai Batu singkap tamadun Kedah Tua". Berita Kampus.
- ^ Bujang Valley and Early Civilisations in Southeast Asia. Department of National Heritage, Ministry of Information, Communications and Culture, 2011.
- ^ "History of Science and Technology in Islam".