
Sutera udara (aerial silk) (Jawi: سوترا اودارا) (juga dikenali sebagai peliukan udara, reben udara, tisu udara, fabrik, reben atau tissu) ialah sejenis persembahan di mana seorang atau lebih artis melakukan akrobatik udara sambil bergantung pada fabrik khas. Fabrik tersebut boleh digantung sebagai dua helai, atau sehelai yang dilipat untuk membentuk gelung, yang dikelaskan sebagai sutera buaian (hammock silks). Para penghibur memanjat fabrik yang digantung tanpa menggunakan tali keselamatan dan hanya bergantung pada latihan dan kemahiran mereka untuk memastikan keselamatan. Mereka menggunakan fabrik itu untuk melilit, menggantung, menjatuhkan, mengayun dan memutar badan mereka masuk dan keluar dari pelbagai posisi. Fabrik tersebut juga boleh digunakan untuk terbang di udara, membuat gaya dan bentuk. Sesetengah penghibur menggunakan rosin (dikeringkan atau dicampur dengan alkohol gosok) pada tangan dan kaki mereka untuk meningkatkan geseran dan cengkaman pada fabrik. Sutera udara ialah seni yang menuntut dan memerlukan tahap kekuatan, kuasa, fleksibiliti, keberanian, stamina dan keanggunan yang tinggi untuk melatihnya.
Teknik
Tiga kategori utama teknik ialah panjatan, lilitan dan jatuhan. Panjatan yang digunakan oleh artis udara berkisar daripada yang praktikal dan cekap, seperti panjatan Rusia (Russian climb), hinggalah yang atletik dan elegan, seperti panjatan kangkang. Lilitan adalah posisi statik di mana artis udara melilitkan sutera di sekeliling satu atau lebih bahagian badan mereka. Secara amnya, lebih rumit lilitan itu, lebih kuat daya geseran dan lebih sedikit usaha yang diperlukan untuk menahan diri. Beberapa lilitan, seperti imbangan-belakang-kangkang, sebenarnya membolehkan penghibur melepaskan tangan mereka sepenuhnya. Kunci kaki adalah subkategori lilitan di mana sutera dililitkan pada sekeliling satu atau kedua-dua kaki; contohnya, gantung buku lali. Dalam jatuhan, penghibur melilitkan diri mereka tinggi di atas sutera sebelum jatuh ke posisi yang lebih rendah. Jatuhan boleh menggabungkan aspek jatuh bebas, berguling atau memutar diri sebelum mendarat dalam gaya baru. Persediaan untuk jatuhan boleh menghasilkan lilitan yang cantik tetapi matlamat utamanya adalah jatuh dan bukannya bergaya. Daripada tiga jenis teknik itu, jatuhan memerlukan kekuatan paling banyak dan juga yang paling berpotensi berbahaya.

Fabrik
Fabrik yang digunakan sebagai "sutera" sangat kuat dengan sedikit keanjalan dan fleksibiliti. Ia sama ada spandeks atau nilon regangan dua hala. Lebarnya berbeza bergantung pada rutin dan akrobat. Fabrik ini digandakan, memberikan artis dua jalur untuk digunakan semasa persembahan mereka.[1]
Regangan
- Fabrik regangan rendah: Fabrik regangan rendah terutamanya digunakan oleh pemula yang belum membangunkan teknik pemanjatan yang betul.
- Fabrik regangan sederhana: Fabrik regangan sederhana adalah pilihan utama pengudara perofessional (aerialist) dan graduan program latihan profesional.
Lebar
Lebar fabrik kebanyakannya adalah pilihan peribadi. Ketebalan fabrik apabila digulung juga dipengaruhi oleh denier atau ketebalan teknikal tenunan fabrik. 40 denier adalah pilihan yang biasa. Berikut adalah aplikasi untuk fabrik nilon 40 denier:
- 60 inci: Sempit apabila terbuka, nipis apabila digulung. Agak biasa kerana fabrik ini mudah didapati.
- 72-84 inci: Purata untuk penghibur dewasa.
- 96 inci: Lebar apabila terbuka, tebal apabila digulung. Terbaik untuk orang dewasa dengan tangan besar.
- 108 inci: Sangat lebar dan tebal. Untuk orang dewasa dengan tangan yang sangat besar atau aksi khas.
Panjang
Panjang fabrik adalah fungsi ketinggian ruang yang tersedia.
- Untuk pemula, adalah bermanfaat jika fabrik menjangkau melebihi paras tanah, membolehkan mereka berlatih lilitan pada paras yang lebih rendah di mana mereka boleh dibantu.
- Untuk pengguna pertengahan dan ke atas, adalah mencukupi jika fabrik mencapai paras tanah.
- Untuk semua pengguna, ruang yang diperlukan biasanya antara 20 kaki (6 m) dan 30 kaki (9 m). Terdapat banyak teknik yang boleh dilakukan pada fabrik udara setinggi 12 hingga 15 kaki (3.7 hingga 4.6 m) dan beberapa jatuhan memerlukan lebih daripada 30 kaki, tetapi kebanyakannya 20 hingga 30 kaki (6 hingga 9 m) adalah yang terbaik.
Sejarah
Tidak diketahui secara pasti siapa yang mencipta bentuk seni tarian udara menggunakan fabrik ini. Fred Deb dari Drapés Aériens dikenali secara meluas sebagai salah seorang pengasas sekitar tahun 1992.[2] André Simard telah diambil bekerja oleh Cirque du Soleil pada tahun 1987 untuk membangunkan dan menyelidik akrobatik, tugasnya adalah untuk mencari cara yang asli dan imaginatif untuk menarik penonton, dan juga dianggap sebagai salah seorang pengasas sekitar tahun 1995.[3] Kini, sutera telah digabungkan ke dalam seni sarkas dan diamalkan sebagai satu bentuk kecergasan udara.[4]
Pemasangan

![]() |
Pemasangan udara (aerial rigging) merujuk kepada penggantungan sutera udara. Kebanyakan perkakasan pemasangan termasuk dalam kategori peralatan pelindung diri (PPE) dan diwajibkan untuk diperakui sebagai sistem penangkap jatuh (fall arrest system). Pensijilan yang paling umum dan diiktiraf ialah CE yang diuji mengikut piawaian EN yang ditetapkan oleh badan pemberi notis (peneraju industri di rantau EU).[5] Peralatan pemasangan sutera udara lazimnya termasuk:
- Pengunci tali (figure-eight descender), rescue eight, cincin, atau perkakasan lain untuk melekatkan sutera.
- Pemutar ayun alas bebola (ball-bearing swivel) untuk mengelakkan sutera daripada berpintal dan membenarkan putaran.
- Karabiner untuk menyambung perkakasan sutera ke pemutar ayun, dan untuk menyambung pemutar ayung ke titik pemasangan. Bergantung pada persediaan, mungkin terdapat beberapa karabiner digunakan pada satu masa.
Karabiner adalah komponen pemasangan yang paling banyak digunakan untuk semua seni udara, tetapi hanya dua atau tiga jenis yang selamat untuk kegunaan udara; ini adalah karabiner kunci automatik (auto lock gate) dan karabiner kunci skru (screw gate carabiner). Kekuatan dinilai dalam dua cara berbeza, satu untuk tulang belakang (spine) dan satu untuk pintu (gate). Mengagihkan berat pada pintu tidak disyorkan, kerana ia kira-kira 1/3 daripada penarafan kN tulang belakang. Untuk sutera udara seperti seni udara yang lain, karabiner kunci skru digunakan dengan skru diputar ke bawah untuk mengurangkan risiko karabiner terbuka secara tidak sengaja atau skru kunci menjadi longgar.
- Span set atau daisy chain sering digunakan untuk menambah panjang sutera jika diperlukan, ia juga digunakan untuk melilit pada rasuk.
- Span set adalah gelung poliester yang boleh menampung sehingga 44 kN (10,000 lbs), bergantung pada kualiti.
- Daisy chain diperbuat daripada webing nilon dengan gelung yang dijahit padanya, untuk menawarkan lebih banyak variasi panjang, tetapi ia kurang kuat berbanding span set dan mungkin tidak dapat menahan daya ke bawah daripada jatuhan dan teknik udara lain. Daisy chain asas mencapai kira-kira 4 kN (1,000 lbs) pada setiap gelung, dan hujung ke hujung adalah sekitar 22 kN (5,000 lbs).[6]
Lihat juga
Rujukan
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Sutera udara |
- ^ Santos, Steven (2014). Introduction to Rigging: Aerialist Essentials (dalam bahasa Inggeris). Simply Circus. ISBN 978-0986364402.
- ^ "Fred Deb' - world experience - education" (dalam bahasa Inggeris).
- ^ "The Beautiful Yet Dangerous Art of Aerial Silk". www.aerialists.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-05-15. Dicapai pada 2025-07-05.
- ^ "AntiGravity Fitness*Yoga*Wellness" (dalam bahasa Inggeris).
- ^ "Your Guide on Aerial Rigging Hardware—Testing and Certification". www.orbsoul.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 23 Aug 2024.
- ^ Cossin, Marion; Ross, Annie; Gosselin, Frédérick P. (2017). "Making single-point aerial circus disciplines safer". Proceedings of the Institution of Mechanical Engineers, Part P: Journal of Sports Engineering and Technology (dalam bahasa Inggeris). 231 (4): 362–373. doi:10.1177/1754337117705478. S2CID 117356359.
- FM 5-125: Teknik, Prosedur, dan Aplikasi Pemasangan Tali Temali. [PDF, 3.6 MB] Tentera Darat AS, 1995.
- Sharon McCutcheon, Geoff Perrem. Buku Panduan Sarkas di Sekolah. Tarook Publishing, 2004. (ISBN 0975687409)
- Hovey Burgess, Judy Finelli. Teknik Sarkas. Brian Dube, 1989. (ISBN 0917643003)
- Carrie Heller. Manual Latihan dan Keselamatan Sarkas Udara. National Writers Press, 2004. (ISBN 0881001368)
- Jayne C. Bernasconi dan Nancy E. Smith. Tarian Udara. Amerika Syarikat: Human Kinetics, 2008. (ISBN 0736073965) Lihat di Google Books
- Elena Zanzu, M.A. Il Trapezio Oscillante: Storie di Circo nell'Aria. (Trapez Ayun: Kisah Sarkas di Udara.) Universiti Bologna, Itali, 2004-2005. Bahasa: Itali.
Rujukan teknikal
- Manual Arahan Seni Sarkas Asas: Bab 2 - "Trapez Statik, Tali dan Sutera." [PDF, 6.2 MB] dan Bab 8 - "Manual untuk Keselamatan dan Pemasangan." [PDF, 3.3 MB] Persekutuan Sekolah Sarkas Profesional Eropah (FEDEC), 2008. (dalam bahasa Inggeris)
- Penyelamatan Sarkas (dalam bahasa Inggeris)
- Fabrik Udara yang Sudah Ditinggalkan (dalam bahasa Inggeris)
- 32 Projek Udara untuk dibuat di rumah (dalam bahasa Inggeris)
- Teknik Pemasangan untuk Menakutkan Pengudara (dalam bahasa Inggeris)
- Pengenalan kepada Keperluan Pengudara Rigging (dalam baahasa Inggeris)