Raja Sri Parameswara Dewa Shah سلطان شاهد شاه ابن المرحوم سلطان محمد شاه | |||||
---|---|---|---|---|---|
Sultan Melaka ke-4 | |||||
Sultan Melaka | |||||
Pemerintahan | 1444–1446 | ||||
Didahului oleh | Muhammad Shah | ||||
Diikuti oleh | Muzaffar Shah | ||||
Kemangkatan | 1446 | ||||
| |||||
Kerabat | Kesultanan Melayu Melaka | ||||
Ayahanda | Muhammad Shah | ||||
Agama | Islam (bekas) Hinduisme |
Sultan Abu Syahid Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah atau nama sebenarnya, Raja Ibrahim merupakan salah seorang dari putera Sultan Muhammad Shah, Sultan Melaka yang keempat yang memerintah dari 1444 hingga 1446.[1]:246
Sultan Abu Syahid yang menaiki takhta Kesultanan Melaka melalui monopoli pengaruh dan kuasa bondanya Puteri Rokan dan nendanya, Raja Rokan, yang mempengaruhi pembesar-pembesar Melaka untuk membelakangi pewaris takhta yang merupakan abang tiri kepada Sultan Abu Syahid yang bernama Raja Kassim melalui bondanya, Tun Ratnawati dengan menyatakan Raja Kassim bukan dari keturunan berdarah gahara.
Tun Ratnawati merupakan adinda kandung kepada Bendahara Muslim Tamil, Datuk Seri Nara Diraja Tun Ali, yang mana mereka berdua merupakan anak kepada Raja Mani Purindan yang berkahwin dengan Tun Ratna Sundari.
Bila Sultan Abu Syahid naik takhta ketika umur yang masih muda, Raja Kassim dan bondanya dihalau keluar dari istana.
Islam mula diwartakan sebagai agama rasmi Melaka di zaman Sultan Muhammad Syah tetapi bila Sultan Abu Syahid naik takhta, baginda lebih mengamalkan cara hidup yang mirip kepada Hindu, malah baginda lebih suka menggunakan gelaran Raja Sri Parameswara Dewa Shah. Ini menandakan sebuah aliran tradisionalis terhadap Islam di Melaka, agama yang terbaru.
Kerana umur baginda juga yang sangat muda, baginda mudah di bonekakan oleh bondanya dan nendanya, Raja Rokan yang memang berniat hendak merampas kuasa pemerintahan Kesultanan Melaka.
Sehinggalah Raja Kassim dibantu oleh pamannya, Tun Ali dan juga pembesar Melaka yang menentang cara hidup Sultan Abu Syahid, termasuk mereka yang bencikan Raja Rokan, sebuah pemberontakkan diadakan dan istana Melaka di ceroboh.
Dalam pencerobohan itu, Raja Ibrahim dijadikan perisai oleh Raja Rokan tetapi akhirnya baginda terbunuh oleh Tun Ali dan Raja Kassim. Oleh sebab itu, Raja Ibrahim diberikan gelaran Abu Syahid.
Pemerintahan Sultan Abu Syahid hanya bertahan selama dua tahun, dan kemudian Raja Kassim ditabalkan sebagai Sultan Melaka yang ke-5, bergelar Sultan Muzaffar Shah.
Rujukan
- ^ Cœdès, George (1968). The Indianized states of Southeast Asia. University of Hawaii Press. ISBN 9780824803681.
Sumber
- Tun Perak: Pencetus Wawasan Empayar Melaka, Muhd. Yusof Ibrahim, 2009: Tinta Publishers, Kuala Lumpur
- Modul Latihan Pengajaran dan Pembelajaran Sejarah, Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.
- Malaysia Kita, International Law Book Services, Kuala Lumpur, 2005
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Muhammad Shah |
Sultan Melaka 1444-1446 |
Diikuti oleh: Muzaffar Shah |