Abu Bakar Riayatuddin Muazzam Shah | |
---|---|
Sultan | |
Pemerintahan | 22 Jun 1932 - 5 Mei 1974 |
Pendahulu | Abdullah Mutassim Billah Shah ibni Ahmad Muazzam Shah |
Pengganti | Ahmad Shah al-Musta’in Billah |
Raja Muda | Tengku Ahmad |
Pasangan | Raja Fatimah binti Alang Iskandar Shah II Che Siti Nah Tengku Hajah Azaem binti Tengku Umar Che Mek Mas Che Hafsah binti Imam Mat Che Siti Zainab binti Sheikh Ahmad Che Hathifah binti Abdul Rashid Alias Maria Menado |
Anakanda | |
Putera sulung baginda mangkat ketika masih kecil
Tengku Tan Sri Ibrahim | |
Nama penuh | |
Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah | |
Tempat persemayaman | Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang |
Ayahanda | Abdullah Mutassim Billah Shah ibni Ahmad Muazzam Shah |
Bonda | Che Kalsum binti Abdullah |
Keputeraan | Istana Hinggap, Pekan, Pahang, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Malaya British | 29 Mei 1904
Kemangkatan | 5 Mei 1974 Istana Peninjau, Kampung Padang Polo, Pekan, Pahang | (umur 69)
Dimakamkan | 7 Mei 1974 Makam Diraja Masjid Sultan Abdullah, Pekan, Pahang |
Agama | Islam |
Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah (Jawi: سلطان ابو بكر رعاية الدين المعظم شاه ابن المرحوم سلطان عبدﷲ المعتصم بالله شاه) adalah Sultan Pahang moden ke-4. Baginda diputerakan pada hari Ahad, 29 Mei 1904 Masihi bersamaan 14 Rabitul Awal 1322 Hijrah. Baginda merupakan putera kedua kepada al-Marhum Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah dengan Che Kalsum binti Abdullah.[1]
Pendidikan Awal
Baginda telah diasuh, dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Hajjah Aishah sehingga dewasa. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan. Selepas itu, Baginda menyambung pendidikannya di dalam aliran Inggeris di Maktab Melayu Kuala Kangsar atau dikenali sebagai MCKK di Negeri Perak.
Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang.
Semasa remajanya, Baginda mempunyai kegemaran dan minat dalam seni budaya seperti Gamelan, Zapin, Inang, Canggong, Cinta Sayang hinggalah tarian-tarian moden yang lain. Pada tahun 1972, Baginda telah membawa balik Gamelan ke Negeri Pahang yang telah dibeli dari Tengku Mariam, ibu saudara Baginda dari Terengganu. Selain itu, Baginda juga begitu aktif dalam lapangan sukan seperti permainan Polo, Tenis, Lumba Kuda, Lumba Perahu, dan sebagainya.
Kerabat
Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Ampuan Pahang, Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Iskandar Shah ibni al-Marhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah Rahmatullah, di Kuala Kangsar, Perak. Perkahwinan baginda merupakan perkahwinan di antara dua kerabat diraja yang mempunyai pertalian persaudaraan iaitu saudara sepupu melalui bonda Tengku Ampuan Fatimah yang bernama Tengku Nong Fatimah binti Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah ibni al-Marhum Bendahara Sri Maharaja Tun Ali.
Menaiki takhta
Pada 4 Jun 1930, Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ahmad al-Mu’azzam Shah telah berkenan melantik Tengku Abu Bakar ibni Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.
Baginda merupakan putera raja yang pertama dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam sejarah Kesultanan Pahang.
Berikutan kemangkatan ayahanda baginda, baginda menaiki takhta Kerajaan negeri Pahang pada 23 Jun 1932. Baginda kemudiaannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Mu’azzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Pada waktu itu, usia baginda baru mencecah 28 tahun, dan baginda merupakan sultan yang paling muda dalam kalangan Raja-Raja Tanah Melayu pada ketika itu.
Pemerintahan
Di zaman pemerintahan Baginda, bermulalah mercu tanda pembangunan Negeri Pahang moden, di mana perubahan dari segi politik dan sosial berlaku dengan cukup pesat walaupun dengan kemaraan Tentera Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.
Semasa penjajahan Jepun
Semasa penjajahan Jepun dalam tahun 1941 hingga tahun 1945, Al-Marhum telah bersetuju dengan secara sulit supaya orang-orang Melayu dalam negeri ini menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah yang dikenali dengan nama "Pasukan 136" yang ketika itu diketuai oleh Yoep Mahidin, Tun Haji Abdul Razak Hussain, Tan Sri Ghazalie Shafie dan Abdul Rahman Ismail. Peranan yang dimainkan oleh baginda dalam menghadapi jajahan Tentera Jepun di Pahang telah membuktikan kewibawaan baginda sebagai sultan yang berdaulat.
Peristiwa di mana baginda ditahan selama 27 hari di Ladang Getah Ng Tiong Kiat, Sungai Jerik (17 Ogos 1945 - 9 September 1945) menjadi natijah kecekapan, kecekalan, kesabaran dan kewibawaan baginda dalam mengatasi saat-saat yang sangat kritikal. Kejadian tersebut telah menggemparkan masyarakat Pahang pada ketika itu.
Pembangunan
Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan baginda sejurus selepas kemerdekaan Tanah Melayu. Semasa pemerintahan baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan. Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di Negeri Pahang, baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Di antaranya, pada Mac 1950 menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, menghidupkan kembali jawatan Mufti kerajaan kepada jawatan Kadi Besar serta mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.
Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat.
Kemangkatan
Baginda mangkat pada Ahad, 5 Mei 1974, di Istana Peninjau, Kampung Padang Polo, Pekan, pada jam 12:44 tengah malam setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun, dan digantikan oleh putera baginda Sultan Ahmad Shah.
Anugerah dan kehormatan
Pahang
- Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (DK I) — 25 Mei 1967
- Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) — 27 Disember 1968
Malaysia
- Persekutuan Tanah Melayu:
- Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) — 31 Ogos 1958[2]
- Johor:
- Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati (DK I) — 1965[3]
- Kedah:
- Darjah Kerabat (DK) — 1969[4]
- Perak:
- Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) — 1970[5]
Antarabangsa
- United Kingdom:
- Darjah St Michael dan St George (GCMG) – Sir (1 Jun 1953)[6]
- Brunei:
- Darjah Kerabat Seri Utama Yang Amat Dihormati (DK) — Dato Seri Utama (1958)[7]
Lihat juga
Rujukan
- ^ "almarhum sultan sir abu bakar riayatuddin almuadzam shah". Bendahara Zamin Eran. Putra Zamin Eran. 2010. Dicapai pada 17 Disember 2010.
- ^ "Senarai Penuh Penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1958" (PDF).
- ^ "Sultan of Johore's Birthday Awards". The Straits Budget. 3 November 1965. m/s. 17.
- ^ "Sultan terima anugerah". Berita Harian. 29 October 1969. m/s. 5.
- ^ "Darjah kerabat di-Raja Perak". Berita Harian. 29 May 1970. m/s. 11.
- ^ "No. 39863". The London Gazette (Supplement). 26 May 1953. m/s. 2945.
- ^ "Brunei ruler honours 7 Malayans". Straits Budget. 1 October 1958. m/s. 9.
Gelaran pemerintah | ||
---|---|---|
Didahului oleh Sultan Abdullah Al-Mutasim Billah Shah |
Sultan Pahang Moden ke-4 1932-1974 |
Diikuti oleh: Sultan Ahmad Shah |