- Rencana ini mengenai ahli sejarah Rom. Untuk jeneral Rom yang menghancurkan pemberontakan Boudica, sila lihat Gaius Suetonius Paulinus.
Gaius Suetonius Tranquillus (k.k. 75- selepas 130), juga dikenali sebagaiSuetonius, merupakan seorang ahli sejarah dan periwayat Rom yang terkenal.
Kehidupan
Suetonius ialah anak lelaki Suetonius Laetus yang mungkin berasal dari Hippo Regius (Annaba, Algeria). Laetus adalah seorang penunggang kuda yang berkhidmat sebagai kolonel dan bertempur dalam Perang Bedriacum yang pertama untuk Maharaja Otho terhadap bakal Maharaja Vitellius pada tahun 69.
Suetonius ialah kawan yang rapat kepada Pliny si Lebih Muda, seorang senator dan ahli sejarah. Pliny memerihalkan Suetonius sebagai seorang pendiam yang rajin belajar dan berdedikasi kepada penulisan. Beliau membantu Suetonius membeli sebuah harta tanah yang kecil di Itali dan berunding dengan Maharaja Trajan untuk memberikan kekebalan kepadanya, walaupun Suetonius tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak. (Kekebalan hanya dikhaskan kepada seorang lelaki yang mempunyai sekurang-kurang tiga anak (jus trium liberorum)). Melalui Pliny, Suetonius memenangi hati Trajan dan Hadrian.
Suetonius berkhidmat sebagai kakitangan Pliny ketika Pliny menjadi Prokonsul Bithynia Pontus (Asia Minor utara) antara tahun 110 dan 112. Di bawah Trajan, beliau berkhidmat sebagai setiausaha kajian (tugas-tugas yang tepat tidak dapat dipastikan) serta pengarah perpustakaan-perpustakaan empayar. Di bawah Hadrian, Suetonius menjadi setiausaha Maharaja.
Pada tahun 122, Hadrian memecat Suetonius disebabkan sikap tidak hormat terhadap Permaisuri Vibia Sabina. Suetonius kemudian mungkin memenangi semula hati Hadrian dan kembali ke jawatannya. Hipotesis ini berdasarkan fakta bahawa "Jawatan Negara" (Office of State) merupakan salah satu karya terakhirnya, dan perkara itu telah dipilih untuk membayangkan pembaharuan-pembaharuan pentadbiran Hadrian. Bagaimanapun, tidak terdapat bukti kerjaya perkhidmatan awam Suetonius yang dapat dipastikan selepas 122.
Karya
Dua belas Caesar
Suetonius diingati khususnya sebagai penulis Dua belas Caesar (juga dikenali sebagai Kehidupan Caesar-Caesar) yang merupakan karyanya yang masih wujud, selain daripada cebisan-cebisan yang dicatatkan di bawah. Dua belas Caesar yang mungkin ditulis pada masa Hadrian ialah sebuah biografi pemimpin-pemimpin Empayar Rom yang pertama yang termasuk: Julius Caesar (beberapa bab pertama telah hilang), Augustus, Tiberius, Caligula, Claudius, Nero, Galba, Otho, Vitellius, Vespasian, Titus dan Domitian. Buku ini didedikasikan kepada kawannya, Gaius Septicius Clarus, seorang pengawas Pengawal Praetoria pada tahun 119. Karya itu menceritakan kehidupan setiap Caesar mengikut satu rumus yang tertentu: pemerian tentang rupa, petanda, sejarah keluarga, petikan, dan kemudiannya sejarah, mengikut susunan yang tekal bagi setiap Caesar. Suetonius menganggap maharaja-mahajara yang mengumpulkan kekayaan daripada wang orang ramai sebagai orang yang "tamak", dan mungkin membayangkan sikap-sikap kelas menengah Rom yang biasa.
Karya yang lain
Cebisan yang masih wujud
- De Viris Illustribus ("Mengenai Tokoh Masyhur" — dalam bidang kesusasteraan) yang merangkumi:
- De Illustribus Grammaticis ("Kehidupan-kehidupan Ahli Tatabahasa")
- De Claris Rhetoribus ("Kehidupan-kehidupan Ahli Pidato")
- Kehidupan-kehidupan Pemuisi
Karya yang telah hilang
- Kehidupan-kehidupan Pelacur Masyhur
- Biografi-biografi Diraja
- Roma ("Mengenai Rom"), dalam empat bahagian:
- Tingkah Laku & Adat Resam Rom
- Tahun Rom
- Perayaan-perayaan Rom
- Pakaian Rom
- Permainan-permainan Yunani
- Mengenai Jawatan-jawatan Perkhidmatan Awam
- Mengenai Republik Cicero
- Kecacatan-kecacatan Fizikal Manusia
- Cara-cara untuk Mengira Masa
- Sebuah Esei mengenai Alam Semula Jadi
- Kata-kata Makian Yunani
- Masalah-masalah Tatabahasa
- Tanda-tanda Genting yang Digunakan dalam Buku-buku
Pautan luar
- Kehidupan-kehidupan Dua belas Caesar di LacusCurtius (bahasa Latin, terjemahan dalam bahasa Inggeris)
- Karya-karya Suetonius di Perpustakaan Latin (bahasa Latin)
- Karya-karya oleh Suetonius di Projek Gutenberg
- Kehidupan-kehidupan Dua belas Caesar di Projek Gutenberg (terjemahan bahasa Inggeris – termasuk Kehidupan-kehidupan Ahli Tatabahasa, Pidato, dan Pemuisi)
- Suetonius dan pemerintahan Tiberius: perbandingan dengan sumber-sumber lain
- Dua belas Caesar oleh Suetonius Diarkibkan 2006-07-08 di Wayback Machine di RomansOnline.Com
- Dua belas Caesar oleh Suetonius di Kesusasteraan Rom dalam talian
Riwayat Hidup Dua Belas Caesar, atau de vita Caesarum oleh Suetonius |
---|
Julius Caesar - Augustus - Tiberius - Caligula - Claudius - Nero - Galba - Otho - Vitellius - Vespasianus - Titus - Domitianus |