Bendera
Lihat: Bendera Singapura
Lambang negara
Lihat: Lambang negara Singapura
Lagu kebangsaan
Lihat: Majulah Singapura
Ikrar
Lihat: Ikrar Negara Singapura
Ikrar negara Singapura dikarang oleh Encik S Rajaratnam pada tahun 1966, berlatar-belakangkan insiden perusuhan kaum Cina-Melayu yang berleluasa dari tahun 50 ke 60-an. Beliau akur bahawa bahasa, bangsa dan ugama boleh menjadi sebab yang memecah-belahkan sebuah masyarakat. Dengan ikrar ini, beliau ingin menekankan bahawa perbalahan dapat diatasi jika rakyat Singapura benar-benar mengambil kisah akan negara mereka. Draf teks ikrar diserahkan kepada perdana menteri pada masa itu, Encik Lee Kuan Yew, yang memperbaiki lagi teks tersebut sebelum mengemukakannya pada Kabinet. Ikrar ini diucapkan dalam bahasa Inggeris oleh pelajar-pelajar sekolah setiap hari dan juga oleh rakyat Singapura pada Hari Kebangsaan setiap 9 Ogos.
Bunga kebangsaan
Asal
Vanda Miss Joaquim, satu spesis orkid, adalah bunga kebangsaan Singapura. Ia adalah hibrid di antara Vanda teres dan Vanda hookeriana dan pertama kali dijumpai di kebun Cik Agnes Joaquim pada tahun 1893. Pada 15 April 1981, selepas pengumuman oleh Menteri Kebudayaan pada ketika itu, S. Dhanabalan, bunga orkid Vanda Miss Joaquim dipilih sebagai bunga kebangsaan negara Singapura. Pemilihan ini adalah salah satu langkah untuk memupuk kebanggaan dan identiti negara.
Signifikasi
Bunga orkid Vanda Miss Joaquim dipilih di antara 40 jenis bunga, termasuk 30 jenis bunga orkid yang lain. Bunga ini dipilih kerana sifatnya yang keras dan tahan lama yang membolehkannya berbunga sehingga sepanjang tahun. Sifat-sifat ini mencerminkan usaha Singapura untuk maju dan berjaya di dalam semua aspek kehidupan.
Lambang Kepala Singa
Lihat: Merlion
Lambang Kepala Singa direka supaya ia menjadi sebuah simbol kebangsaan yang mudah dikenali ramai, dan bersifat tidak rasmi berbanding simbol-simbol negara yang lain. Ia boleh digunakan secara bebas untuk mempromosi identiti Singapura.
Asal usul
Diriwayatkan dalam Sejarah Melayu bahawa bahtera seorang putera dari Palembang telah tenggelam dan putera itu dibawa arus ke sebuah pulau. Di sana, beliau melihat seekor binatang yang dipercayainya sebagai seekor singa. Putera ini menganggap perkara ini sebagai sesuatu petanda yang baik dan menamakan pulau itu "सिंह siṃha (singa) पुर புர pura (bandar)", dalam bahasa Sanskrit atau "Bandar Singa".
Makna
Kepala Singa melambangkan keberanian, kekuatan dan kecermelangan dan keupayaan menghadapi segala kecabaran. Ia berwarna merah berlatarbelangkan warna putih - warna yang sama dengan bendera Singapura. Tengkuk singa yang lima melambangkan prinsip-prinsip negara yang dipegang Singapura iaitu demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesaksamaan.