Si Tanggang (atau dieja "Si Tenggang") ialah sebuah cerita dongeng masyarakat Melayu yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda bernama Si Tanggang yang menderhakai ibunya, dan akhirnya bertukar menjadi batu kerana disumpah oleh si ibu dengan makbul Tuhan.
Ia digunakan dalam buku teks sekitar 1960-an berdasarkan karya Abdul Samad Ahmad 1955 [1]. Dongeng ini dikenali juga dengan beberapa nama lain, antaranya Malin Kundang atau Malim Kundang (Minangkabau) dan Nakhoda Manis (Brunei). Masing-masing merupakan versi yang sedikit berbeza, tetapi memiliki isi cerita yang sama.
Kisah ini lebih awal lagi telah dirakamkan pada 1900 dalam buku Malay Magic yang ditulis oleh Walter William Skeat sebagai satu cerita rakyat berjudul Charitra Megat Sajobang dalam buku Malay Magic (1900) ms 54-55 dicetak oleh The Macmillan Company : New York, yang diceritakan oleh orang Melayu Selangor Ulu Klang.[2], [3], [4], [5] Ia jelas membuktikan bahawa ia telahpun menjadi kisah rakyat pada akhir 1800-an lagi di Selangor.
Si Tanggang merupakan antara dongeng yang paling popular dalam kalangan orang Melayu. Ia diceritakan melalui lisan secara turun-temurun. Kanak-kanak akan didedahkan dengan cerita ini. Ini kerana dongeng ini mengandungi pengajaran penting yang merupakan salah satu pantang larang dalam adat Melayu: jangan derhaka kepada orang tua. Pengajaran ini juga selaras dengan ajaran Islam yang menghormati kedudukan ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak mahu menurut suruhan ibu atau bapa akan cepat-cepat diusik dengan panggilan "Si Tanggang" untuk mengingatinya mengenai kisah tersebut.
Beberapa tempat di Kepulauan Melayu dikaitkan dengan dongeng Si Tanggang. Antaranya ialah Jong Batu di Brunei, Batu Caves Selangor ,dan Bukit Treh Johor di Malaysia, dan Batu Malin Kundang di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat. Tempat-tempat ini, menurut kepercayaan masyarakat setempat, mengandungi bekas sejarah Si Tenggang menjadi batu.
Sinopsis
Si Talang dan Si Deruma merupakan bapa dan ibu kepada seorang anak lelaki yang bernama Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai (dalam sesetengah versi: sungai). Kehidupan mereka amatlah miskin. Si Tanggang merupakan seorang kanak-kanak yang bercita-cita tinggi. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Akan tetapi, keadaan hidupnya yang serba kekurangan dan ketiadaan peluang menjadi penghalang kepada cita-citanya.
Pada suatu hari, ketika sudah meningkat usia, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pun pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.
Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.
Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang.
Si Tanggang memiliki kecekapan dalam berniaga. Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi terkenal. Namanya sampai ke telinga Sultan dan dijemput ke istana. Tidak lama kemudian, Sultan mengahwini puterinya dengan Si Tanggang. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di merata negeri.
Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya. Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu kepada orang tuanya.
Gembira dalam hati, Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda Tanggang. Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik. Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya. Si Tanggang malu melihat keadaan ibu dan bapanya yang daif di hadapan isterinya. Si Talang dan Si Deruma memanggil-manggil Si Tanggang, tetapi dia berpura-pura seperti tidak mengenali mereka. Isterinya bertanya mengenai mereka, tetapi dia mengatakan bahawa ibu dan bapanya sudah tiada.
Si Tanggang menghalau ibunya dengan biadap. Si Talang dan Si Deruma berdayung ke tepi dengan perasaan sedih dan kecewa. Apabila tiba di daratan, Si Deruma memandang ke langit dan memengangkat kedua-dua belah tangannya, kemudian berseru, "Oh, Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya."
Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Walau bagaimanapun, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu
Senarai watak utama
- Si Tanggang - Protagonis dongeng ini.
- Si Talang - Bapa Si Tanggang.
- Si Deruma - Ibu Si Tanggang.
- Nakhoda - Nakhoda kapal yang mengambil Si Tanggang sebagai anak kapal.
- Sultan - Sultan di negeri tempat perantauan Si Tanggang.
- Puteri Sultan - Puteri kepada Sultan, diisterikan oleh Sultan dengan Si Tanggang.
Variasi lain
Dongeng Si Tanggang disampaikan secara lisan. Oleh itu, ia mempunyai banyak versi yang berbeza mengikut tempat di Nusantara.
Dalam versi yang disampaikan oleh orang Minangkabau, Si Tanggang dikenali dengan nama Malin Kundang.
Dalam versi Brunei, Si Tanggang dikenali dengan nama Nakhoda Manis dan ibunya bernama Dang Ambon, manakala bapanya sudah meninggal dunia ketika dia masih kecil. Mereka tinggal berdekatan dengan Sungai Brunei. Nakhoda Manis merantau di sebuah pekan yang bernama Sulok. Adalah diperkatakan bahawa batu yang ditukarkan daripada seluruh kapal Nakhoda Manis berserta isinya adalah Jong Batu di Sungai Brunei.[6]
Adaptasi moden
Kisah Si Tenggang kerap kali dijadikan tema dalam karya-karya Melayu serta digambarkan dalam televisyen dan filem supaya dapat dipadankan dengan kehidupan zaman moden. Berikut adalah antara beberapa karya yang dihasilkan:
- Si Tanggang (1961), sebuah filem arahan Dato' Haji Jamil Sulong. Watak Si Tanggang dipegang oleh Jins Shamsudin. Filem ini ditayangkan semula dalam saluran televisyen Malaysia sehingga hari ini.
- The travel journals of Si Tenggang II (1979, ASIN: B0000D7NFT), oleh Muhammad Haji Salleh. Buku ini merupakan koleksi puisi yang bertumpu kepada tema Si Tanggang. Antaranya ialah si tenggang's homecoming yang menjadi bahan pelajaran di sekolah-sekolah di Malaysia. Dalam puisi ini, Muhammad Haji Salleh memperkenalkan Si Tenggang II, versi Si Tanggang yang mempunyai nilai-nilai positif. Si Tenggang digambarkan sebagai seorang perantau yang memperoleh banyak pengalaman dari dunia luar dan mengalami perubahan dalam dirinya. Dia menjadi lebih matang dan, tidak seperti cerita asal, tidak menyombongkan diri. Puisi ini melihat kisah Si Tanggang dari sudut positif.
- Nakhoda Tanggang, sebuah drama televisyen Melayu yang mula ditayangkan di saluran RTM TV1 pada 22 Mei 1997.
- Malin Kundang, sebuah drama bersiri terbitan MD Entertainment yang mula ditayangkan di saluran televisyen SCTV, Indonesia pada 11 Januari 2005. Penerbit menggunakan kisah Si Tanggang ke dalam dunia moden. Cara yang sama juga digunakan dalam menghasilkan Bawang Merah Bawang Putih.[7]
- Akukah Tanggang? merupakan drama televisyen Melayu yang ditayangkan melalui saluran TV9 pada tahun 2008. Watak protagonis dibintangi oleh Ady Putra.
Cerita ini pernah diterbitkan oleh Balai Pustaka, Jakarta pada 1975 sebagai judul Nakoda Tenggang : sebuah legenda dari Malaysia / oleh A. Damhoeri. [8]
Lihat juga
Bacaan lanjut
- Nakhoda Tenggang anak derhaka-riwayat Batu Keb.. Abd. Samad Ahmad (1955). Kuala Lumpur: The Khee Meng Press.
- The Stony Penitence of Si Tenggang. Adibah Amin (1992). New Straits Times Annual, pp. 146-9.
Rujukan
- ^ Malayan library journal By Persatuan Perpustakaan Persekutuan Tanah Melayu.
- ^ Malay Magic: Being an Introduction to the Folklore and Popular Religion of the Malay Peninsula By Walter William Skeat
- ^ Full text of "Malay magic : being an introduction to the folklore ...
- ^ Malay magic: an introduction to the folklore and popular religion of the ... By Walter William Skeat, Charles Otto Blagden
- ^ Malay magic: an introduction to the folklore and popular religion of the ... By Walter William Skeat, Charles Otto Blagden
- ^ Nakhoda Manis. ASEAN Stories Project.
- ^ (Indonesia) MD Entertainment Rilis Lagenda Malin Kundang. Astaga!com.
- ^ http://www.livelife.ecitizen.gov.sg/recreation/nlb/search/ItemDetail.asp?Type=LIB&ID=4142058&Media=Book
Pautan luar
- Kisah singkat mengenai Si Tanggang
- Nakhoda Manis (versi Brunei)
- Junus, Umar. "Malin Kundang dan Dunia Kini" (PDF). Dicapai pada 7 Ogos. Unknown parameter
|accessyear=
ignored (|access-date=
suggested) (bantuan); Check date values in:|accessdate=
(bantuan) - Tradisi orang asli Temuan.
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Si Tanggang. |