Sharif Babu | |
---|---|
Kelahiran | Sharif bin Babu 1927 |
Meninggal dunia | 16 Mei 1985 (berumur 57–58) |
Sebab kematian | Komplikasi pelbagai jenis penyakit |
Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Taman Kota, Kuala Lumpur |
Pekerjaan | Pelakon |
Tahun aktif | 1965–1982 |
Terkenal kerana | Cetti |
Pasangan | Mak Enon |
Anak-anak | 3 |
Sharif Babu (1927 – 16 Mei 1985) merupakan seorang pelakon filem Melayu, yang paling dikenali Sinonim dengan watak Cetti di layar perak dalam trilogi Do Re Mi dan Anak Bapak bersama arahan Tan Sri P. Ramlee.
Kehidupan awal
Nama sebenar beliau ialah Sharif bin Babu, dilahirkan di Sungai Pinang, Pulau Pinang pada tahun 1927. Beliau mendapat pendidikan sehingga darjah 5 di Sekolah Melayu Kampung Jawa, Pulau Pinang. Selepas meninggalkan alam persekolahan. Sharif terus dibawa ke dunia seni oleh keluarganya, beliau mendapat bimbingan bapa saudaranya, Pak Jab.
Kerjaya
Beliau banyak beraksi dalam filem-filem terbitan Merdeka Filem Studio yang turut membabitkan seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, antaranya Masam-Masam Manis, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Keluarga 69, Ahmad Albab dan Anak Bapak. Watak yang kerap dibawa oleh beliau ialah sebagai Ceti atau Samseng, Sharif Babu memang sinonim dengan watak-watak ini, malah kalau disebut 'ceti' maka wajah beliaulah yang menerpa difikiran. Diakhir penglibatan beliau dilayar perak, Sharif sempat berlakon bersama seniman Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad filem Kami pada tahun 1982, beliau membawakan watak Pak Du, lelaki budiman yang berbeza dengan watak yang lazimnya diberikan kepada beliau. Menerusi Filem Kami, Sharif Babu telah dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-3, namun anugerah itu tidak dimenanginya.
Mungkin ramai yang tidak tahu, selain mewarnai layar perak dengan watak komedi, Sharif Babu juga merupakan seorang pemuzik, beliau merupakan seorang pemain gendang dan rebana dalam kumpulan muzik tradisional yang terkenal di Pulau Pinang, kumpulan Pak Jab Ronggeng yang juga merupakan bapa saudaranya. Selain daripada itu beliau juga pernah menyertai kumpulan muzik yang diketuai oleh pemuzik terkenal, Hamzah Dolmat. Penglibatan beliau dalam kumpulan muzik ini telah membawanya mengembara sambil membuat persembahan di luar negara, antaranya di London, Berlin, Manila, Sri Lanka, Indonesia dan Thailand. Bakat seni muzik yang mengalir dalam tubuhnya itu dikatakan diwarisi dari bapanya, Pak Babu yang terkenal di pentas bangsawan, selain pakar bermain rebana.
Satu fakta menarik tentang Sharif Babu ialah, beliau merupakan salah seorang bekas suami kepada seniwati terkenal, Mak Enon, mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1952. Pada ketika itu, Sharif Babu baru berusia 25 tahun, sementara Mak Enon pada ketika itu telah pun berusia 41 tahun.[1] Rumahtangga mereka tidak kekal lama, mereka berpisah dan Sharif terus menduda, sementara Mak Enon telah menemui jodoh baru.
Pada 1982, Sharif bersara dari bidang lakonan.
Kematian
Sharif Babu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari khamis, 16 Mei 1985[2] di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat penyakit jantung, selain komplikasi beberapa penyakit lain seperti kencing manis, batuk kering dan darah tinggi ketika itu beliau berusia 58 tahun. Jenazahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kota, Allahyarham meninggalkan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan.
Filemografi
Filem
Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
1965 | Masam-Masam Manis | Peragut Beg | Filem pertama |
1966 | Do Re Mi | Chetty | |
Nasib Do Re Mi | Sharif | ||
1967 | Keluarga 69 | Karim | |
1968 | Anak Bapak | Cetty Linggam | |
Ahmad Albab | Sarjan Polis | ||
1969 | 6 Jahanam | Mumbala (Ahli Kumpulan Enam Jahanam) | |
Keranda Jingga | Ahmad | ||
1970 | Gelora | ||
1971 | Pedang Sakti | Jamong | |
1973 | Satu Penentuan | Ayah Murad | |
Satria | Kawan Ketua Kampung | ||
1975 | Si Buta | Datuk Berempat | |
Pertiwi | |||
Jiwa Remaja | Majikan Hairi I | ||
1979 | Tuan Badul | ||
1981 | Langit Tidak Selalu Cerah | Si Luncai | |
Si Luncai | Pembantu Demang | ||
Setinggan | |||
1982 | Sikit Punya Gila | Bomoh | |
Kami[3] | Pak Du | Filem terakhir |
Drama
Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV |
---|---|---|---|
1965 | Keluarga Si Tompel | TV1 | |
1969 | Cahaya Dari Ka'bah | ||
Korban Kerana Keturunan | |||
Debaran |