Pemain | 1 - 5 atau lebih |
---|---|
Julat umur | tiada had |
Masa penyediaan | - |
Masa permainan | tiada had |
Peluang rawak | Rendah |
Kemahiran yang diperlukan | Melambung, menangkap |
Selambut atau juga dikenali sebagai Batu Seremban[1] atau Serembat ialah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di Malaysia. Selambut adalah sebutan di sebelah utara dan pantai timur Semenanjung, manakala di pantai barat semenanjung permainan ini dikenali sebagai Seremban. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara individu atau secara berkumpulan seramai dua hingga lima orang.[2]
Permainan selambut cuma memerlukan beberapa biji buah, guli kaca, biji getah, anak batu kerikil atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasa digunakan, lazimnya sebanyak lima biji. Selain itu, karung kain yang dijahit dan diisi dengan biji saga, pasir dan sebagainya juga digunakan.
Permainan ini sering dimainkan pada waktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah, di taman atau di mana-mana sahaja yang terdapat permukaan yang rata dan bersih. Para pemain akan duduk di atas lantai, dan bermain mengikut giliran.