Kuwait ditubuhkan pada abad ke-16 ketika beberapa suku Badwi dari puak "Al Aniza" berhijrah ke pesisir utara Teluk Arab dari Najd, tanah air mereka di negeri Arab Tengah yang dilanda kebuluran. Mereka menetap di tempat yang kini dikenali sebagai Qatar selama melebihi 60 tahun sebelum berhijrah sekali lagi menyeberangi laut untuk menetap di Kepulauan De Chader, dan membina sebuah "kut" (kubu yang kecil) di sana.
Pemerintah-pemerintah negara ini yang terkini dari keturunan Sabah I. Sabah I telah dipilih oleh komunitinya yang terdiri terutamanya daripada saudagar-saudagar, dan ditugaskan untuk mentadbirkan hal ehwal negara, termasuk hal ehwal luar negeri dan pencukaian. Cara ini berbeza dengan kebanyakan amiriah yang lain di Teluk Parsi yang dikuasai oleh para pemerintah yang merampas kuasa.
Abad ke-17 melihat Semenanjung Arab mengalami masa-masa yang huru-hara. Kawasan yang kini merupakan Kuwait ketika itu dihuni oleh puak-puak dan dipergunakan untuk perdagangan rempah dari India. Menjelang abad ke-18, kebanyakan orang tempatan mencari rezeki melalui penjualan mutiara. Akan tetapi ketika perladangan mutiara dikembangkan di Jepun semasa dekad 1930-an, Kuwait jatuh miskin.
Pada tahun 1899, pengaruh British yang semakin bertambah menyebabkan Kuwait menjadi salah satu negeri naungan British. Minyak mengubah Kuwait menjadi salah satu negara yang terkaya di Semenanjung Arab. Pada tahun 1953, Kuwait menjadi pengeksport minyak yang terbesar di Teluk Parsi. Pertumbuhan yang pesat ini menarik banyak buruh pendatang yang jarang diberikan kewarganegaraan. Setelah mengumpulkan banyak kekayaan, Kuwait menjadi negara pertama di Teluk Arab untuk mengisytiharkan kemerdekaan pada 19 Jun 1961. Iraq mencabar pengisytiharan ini, dan menuntut bahawa Kuwait merupakan sebahagian wilayahnya. Iraq mengugut untuk menyerang Kuwait tetapi dihalang oleh pihak British yang menurunkan tenteranya.
Satu tempoh yang penting dalam perkembangan politik, sosial, dan ekonomi Kuwait ialah kejatuhan pasaran saham Souk Al-Manakh pada tahun 1982. Kejatuhan yang utama ini mempunyai akibat-akibat yang meluas dan kekal dalam ingatan awam selama berdekad-dekad kemudian.
Setelah bersekutu dengan Iraq dalam Perang Iran-Iraq sehingga pengakhirannya pada tahun 1988 (Kuwait membayar Iraq untuk melindunginya daripada apa yang dianggap sebagai ancaman yang ditimbulkan oleh Iran), Kuwait diserang dan diilhakkan oleh Iraq (di bawah Saddam Hussein) pada 2 Ogos 1990. Alasan utama Hussein termasuk tuduhan bahawa wilayah Kuwait sebenarnya merupakan sebuah provinsi Iraq, dan pengilhakan itu merupakan tindakan balas terhadap "perang ekonomi" Kuwait yang dikatakan dimulakannya melalui penggerudian condong untuk memperoleh bekalan minyak wilayah-wilayah Iraq. Hussein menggulingkan pemerintahan beraja selepas pengilhakannya dan melantik seorang gabenor Kuwait yang baru.
Diberikan kuasa oleh Majlis Keselamatan PBB, sebuah angkatan tentera campuran yang terdiri daripada 34 buah negara, diketuai oleh Amerika Syarikat, bertempur dalam Perang Teluk untuk membebaskan Kuwait. Selepas enam minggu pertempuran yang ganas pada awal 1991, angkatan tentera Iraq terpaksa berundur dari Kuwait pada 26 Februari 1991. Semasa pengunduran, Angkatan Tentera Iraq mengenakan dasar pembakaran tanah melalui membakar medan-medan minyak Kuwait. Kebakaran itu mengambil melebihi sembilan bulan untuk mematikannya, dengan kos pembaikan infrastruktur minyak melebihi ASD$5 bilion. Sesetengah bangunan dan kemudahan infrakstruktur (termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait) juga mengalami kerosakan yang teruk semasa peperangan.
Kuwait kini di bawah pemerintahan Amir Sabah Al-Ahmad Al-Jabir Al-Sabah (sejak 29 Januari 2006) sebagai sebuah negara merdeka dan mempunyai kepentingan yang strategik untuk Amerika Syarikat.