Sebahagian daripada siri tentang |
---|
Sejarah Malaysia |
Portal Malaysia |
Kulai masih merupakan sebuah hutan liar pada tahun 1892. Orang terawal yang menerokai Kulai ialah Huang Guo Mao yang pulang ke China untuk mengambil banyak orang Cina supaya dapat menjalankan kerja penerokaan dan pembinaan.
Pada tahun 1902, Tan Yoke Fong dari China Selatan tiba di Kulai dan menerokai Pekan Baru Kulai (bahasa Cina: Xin Jie Chang). Fu Wen Zhang dari Melaka juga melibatkan diri dalam kerja penerokaan Pekan Baru serta Taman Kluang yang seluas 4,000 ekar. Pada tahun 1910, Ngu Wan Zhi tiba di Kulai dan membeli tiga buah pondok daripada seorang penghuni Melayu. Beliau memajukan tanah itu menjadi lima buah pondok. Kemudian, pondok-pondok itu dibina semula menjadi lima belas buah rumah kedai atap sederet. Kebanyakan kedai ini dijadikan perniagaan kedai kopi atau menjual petrol.
Pada tahun 1937, sepuluh buah rumah kedai batu dua tingkat sederet (iaitu kedudukan Klinik Kulai sekarang) serta sederet rumah kedai di hadapannya dibina oleh Fu Teck Hui dan Fu Teck Nan. Dengan terbinanya bangunan-bangunan yang lain, terbentuklah pekan Kulai.
- Perang Dunia II dan selepas
Pada tahun 1941, semasa Perang Dunia II, pihak British membakar kedua-dua baris rumah kedai itu. Ketika tentera Jepun tiba, mereka mengebom dan memusnahkan pekan Kulai. Selepas Jepun menyerah kalah, bangunan-bangunan termusnah ini dibina semula menjadi kedai-kedai papan dua tingkat.
Pada tahun 1947, terjadinya kebakaran kali kedua di Kulai yang melibatkan kedai-kedai yang berada di tapak bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekarang. Melebihi dua puluh buah kedai termusnah. Ini diikuti oleh kebakaran kali ketiga pada tahun 1960 yang memusnahkan Kedai Runcit Seng Fat yang terletak di dalam kawasan pasar lama. Sepuluh tahun kemudian pada tahun 1970, tujuh buah kedai dan empat buah rumah di Jalan Pasar pula dijilat api.
- Kebakaran-kebakaran terbesar
Bagaimanapun, kejadian kebakaran yang paling dahsyat berlaku pada kali kelima dan keenam, iaitu pada 4 Julai 1981 dan 29 Ogos 1981. Melebihi seratus buah bangunan termusnah dalam kebakaran-kebakaran tersebut. Setelah berlakunya kebakaran-kebakaran ini, sebanyak 21 buah kedai makan dan 7 buah kedai getah telah menamatkan perniagaan mereka. Menurut feng-shui, kedua-dua jenis perniagaan ini tidak sesuai dijalankan di kawasan-kawasan itu. Selain itu, sewa kedai antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan juga terlalu tinggi untuk memperoleh sebarang keuntungan.
Mengikut kajian feng-shui, Kulai adalah sebidang tanah yang makmur. Bangunan-bangunan yang terbakar itu kini digantikan dengan 7 buah bank, 8 buah kedai emas, 9 buah syarikat kewangan dan lebih kurang 50 buah kedai menjual kereta. Kini, hanya tertinggal sebuah kedai makan yang paling lama dalam sejarah Kulai, iaitu Kedai Makan Yan Yan Loi. Kedai tersebut telah dibina pada dekad 1940-an dan pernah merupakan kedai yang terkenal di Johor dan Singapura.
Sejak kebakaran terakhir di Kulai, pelbagai aspek, khususnya dari segi pembinaan dan perkembangan, telah bertambah maju. Tidak lama kemudian, tempat ini telah dijadikan tapak perindustrian yang baru. Ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada penghuni-penghuni tempatan.