Segenting Kra (Jawi: سݢنتيڠ کرا ) merupakan bahagian genting dan sempit di selatan Thailand dan di utara Semenanjung Tanah Melayu. Bahagian barat Segenting Kra menjadi milik Myanmar. Bahagian timur menjadi milik negara Thailand. Segenting Kra menghadap Laut Andaman dan Lautan Hindi. Pantainya menerima kesan yang teruk akibat dari tsunami Acheh pada 26 Disember 2004.
Muara Sungai Kra menjadi daratan paling sempit dengan lebar 44 km. Tingginya 75 meter dari aras laut. Bandar utama ialah Krai Buri dalam Wilayah Rhundang (Ranong), Thailand.
Segenting Kra adalah sebahagian dari rantaian gunung yang menganjur dari Tibet. Selatannya digelar rantaian Pulau Bukit Tanjung Salang (Phuket). Bahagian utara ialah Banjaran Tanah Seri sepanjang 400 km dan dikenali sebagai "Banjaran Tiga Pagoda".
Terusan Kra
Terusan ini dicadangkan dari Lautan Hindi di barat ke Laut China Selatan di timur. Walau bagamanapun sehingga kini projek ini tidak dapat dilaksanakan walaupun amat menguntungkan ekonomi serantau kerana dapat menjimatkan jarak kapal dagang dari negara India, Asia Tengah dan Eropah ke negara China, Jepun dan Korea. Jika terlaksana negara yang paling rugi ialah Singapura.