Sangkar | |
---|---|
Pengarah | Kabir Bhatia |
Penulis | Mira Mustaffa |
Dihasilkan oleh | Eksekutif
|
Dibintangi | |
Sinematografi | Labu |
Disunting oleh | Kabir Bhatia |
Muzik oleh | Luka Kuncevic |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Primeworks Studios |
Tarikh tayangan | 29 Ogos 2019 ( Malaysia, Singapura, Brunei) |
Masa tayangan | 112 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Bajet | RM2.80 juta |
Pecah panggung | RM12 juta |
Sangkar merupakan sebuah filem drama aksi Malaysia 2019 yang diarahkan oleh Kabir Bhatia serta dibintangi oleh Zul Ariffin, Remy Ishak dan Mira Filzah.[1][2] Filem ini mengisahkan permusuhan dan penebusan antara dua orang atlet MMA tempatan, serta perjuangan mereka demi maruah dan keluarga masing-masing.[3]
Filem ini ialah filem MMA pertama di Malaysia. Ia ditayangkan pada 29 Ogos 2019 di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Sinopsis
Adam dan Johan merupakan atlet sukan bela diri campuran (MMA). Adam bersikap angkuh dan telah menang sebuah pertarungan dengan taktik kotornya. Mereka ialah musuh dan selalu bersaing. Suatu hari, apabila dicabar di luar sangkar, Adam secara tidak sengaja mencederakan Johan. Johan tercedera parah dan ahli keluarganya hilang punca rezeki dan harapan.
Untuk menebus kesalahannya, Adam kembali bertarung di pertarungan bawah tanah untuk mendapatkan habuan supaya dapat membantu Johan sekeluarga. Johan pula sedang bertarung dengan kesihatan dan pemulihan demi keluarganya. Pada saat ini, Adam mengingatkan tujuan diri sebagai pejuang MMA dan mengambil cabaran untuk berlawan dengan pejuang MMA antarabangsa.
Pelakon
- Zul Ariffin sebagai Adam "Ace" Abdullah
- Remy Ishak sebagai Johan "Jedi" Kamaruddin
- Mira Filzah sebagai Liya
- Nik Adam Mika sebagai Reza
- Ray (Era) sebagai Bob
- Emelda Rosmila sebagai Hajar
- Aman Graseka sebagai Hassan
- Fadlan Hazim sebagai Hafiz
- Carliff Carleel sebagai Farid
- Niezam Zaidi sebagai Jai
- Peter Davis sebagai Pengulas Matt
- Rashid Salleh sebagai Pengulas John
- Sanjna Suri sebagai Priya
- James McSweeney sebagai Atlet MMA
- Zarul Albakri sebagai Bapa Adam
Penerbitan
Sangkar ialah sebuah filem bertemakan seni bela diri campuran (MMA). Ia merupakan filem terbitan bersama empat syarikat penerbitan—Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment.[4] Remy Ishak dan Zul Ariffin dipilih menjayakan watak utama sebagai Johan dan Adam. Menurut Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-Lin Pillai, pemilihan Remy dan Zul dibuat berdasarkan kebolehan mereka membawakan genre aksi selain ramai yang ingin melihat dua orang pelakon ini bergabung dalam sebuah naskhah.[5]
"Saya menerima banyak permintaan daripada peminat yang ingin melihat dua pelakon ini beraksi dalam sebuah filem. Justeru, kami sepakat memilih Remy dan Zul untuk menerajui Sangkar. Kebolehan lakonan dua bintang ini tidak perlu dipersoalkan. Malah mereka juga memiliki nilai komersial untuk menarik penonton ke panggung. Lagipun, filem ini akan menyaksikan pertembungan mereka membawakan watak utama bersama buat julung kalinya".[5]
Pelakon dan pengacara TV, Mira Filzah diberikan peranan sebagai Liya, adik kepada Johan lakonan Remy. Sangkar ialah filem kedua Mira dan gandingan sulung beliau bersama Remy sebelum mereka membintangi drama Pujaan Hati Kanda. "Walau tidak terbabit dengan babak lasak, saya kena buat persediaan dari segi emosi kerana watak Liya ada cabaran tersendiri," kata Mira dalam temu ramah bersama Harian Metro.[6] Pelakon lain yang terlibat termasuk Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleell.
Kos pembikinan filem ini sebanyak RM 2.8 juta. Penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Banting, Selangor dari 7 Mei hingga 11 Jun 2018. Pejuang MMA tempatan Saiful Reza mereka koreografi aksi dan melatih para pelakon. Filem ini juga menyaksikan kemunculan beberapa atlet profesional MMA antarabangsa sebenar seperti bekas petarung UFC James 'Sledgehammer' Mcsweeney dan Davron Kuronboev, serta atlet MMA tempatan seperti Saiful Merican, Peter Davis, Jihin Radzuan, Rashid Salleh dan Andy Teh.[7]
Keluaran
Sangkar telah ditayangkan di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 29 Ogos 2019. Bagi mempromosikan filem ini, satu siri jelajah bermula dari utara tanah air, Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada 30 Ogos sehingga 1 September 2019.[8] Filem ini bersama-sama dengan M for Malaysia dan BoBoiBoy Movie 2 telah mengungguli carta Top 10 Pilihan Penonton Golden Screen Cinemas, di mana Sangkar menduduki tangga ke-3, sementara BoBoiBoy Movie 2 berada di tangga ke-6 dan M for Malaysia berada di tangga ke-7.[9]
Sambutan
Kutipan
Dalam tempoh lima hari selepas tayangan perdana, Sangkar telah mencatat kutipan hampir RM5 juta. Jumlah tersebut ialah hasil tayangannya di tiga buah negara, iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei. Tiket bagi 107 slot tayangan di pawagam tempatan juga habis ditempah pada 1 September.[10] Jumlah kutipan filem Sangkar meningkat apabila hampir mencecah RM6 juta pada hari keenam tayangannya.[11] Selepas 10 hari ditayangkan, Sangkar telah mendapat kutipan sebanyak RM7.2 juta.[12] Sehingga 15 September 2019, filem ini berjaya meraih jumlah jualan tiket sebanyak RM10.3 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.[13][14][15][16]
Ulasan kritis
Dalam ulasan retrospektif mengenai filem ini, Hilmi Ismail dari Astro Awani berkata: "Walaupun Sangkar dipasarkan sebagai sebuah filem MMA, tetapi anda tidak perlu menjadi peminat MMA untuk terhibur dengan filem ini".[17] Haider Yutim, juga dari Astro Awani, menyifatkan "filem ini bukan hanya mengenai MMA".[18] Dalam ulasan retrospektif untuk filem ini, Bissme S. dari The Sun Daily berkata: "Biarpun Sangkar dianggap sebagai filem Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA), ternyata lebih banyak filem tentang penebusan untuk salah satu peranan protagonis".[19]
Muzik
Lagu tema filem ini, "Fighter", dipersembahkan oleh Aman RA.[20] Terdapat juga tiga buah lagu baharu yang dimuatkan dalam filem ini—Dinho, DeLaFlare, Mali & SXPH ("Sangkar"), NtahSape2Ntah ("Luar Biasa"), 000 & Kid Raww ("Jangan").
Anugerah
Tahun | Anugerah | Penerima | Kategori | Keputusan |
---|---|---|---|---|
2021 | Festival Filem Malaysia ke-31 | Remy Ishak | Pelakon Pembantu Terbaik | Menang |
Zul Ariffin | Pelakon Lelaki Terbaik | Menang | ||
Kabir Bhatia | Pengarah Terbaik | Menang |
Rujukan
- ^ Zaidi Che (3 Julai 2019). Zul Ariffin dan Remy Ishak bertarung dalam Sangkar Diarkibkan 2019-08-20 di Wayback Machine STAIL. Dicapai pada 20 Ogos 2019.
- ^ Jessica Chua (17 Julai 2019). Fists Up! Malaysia's First MMA Film 'Sangkar' Is Coming Soon Rojak Daily. Dicapai pada 20 Ogos 2019.
- ^ Najiy Jefri (23 Ogos 2019). Sangkar buai emosi Harian Metro. Dicapai pada 30 Ogos 2019.
- ^ Rudy Imran Shamsudin (16 Julai 2019). Filem Sangkar babit empat produksi tempatan Harian Metro. Dicapai pada 30 Ogos 2019.
- ^ a b Najiy Jefri (1 Julai 2018). Sangkar satukan Remy, Zul Harian Metro. Dicapai pada 20 Ogos 2019.
- ^ Najiy Jefri (21 Julai 2019). Mira ikuti kelas lakonan Harian Metro. Dicapai pada 20 Ogos 2019.
- ^ Haider Yutim (16 Julai 2019). 'Sangkar', filem MMA pertama Malaysia tampil dengan trailer rasmi Astro Awani. Dicapai pada 20 Ogos 2019.
- ^ ‘Sangkar’ bersedia ditayangkan dengan promosi terbesar 2019 Utusan Borneo (20 Julai 2019). Dicapai pada 20 Ogos 2019.
- ^ Filem Sangkar, M For Malaysia dan BoBoiBoy Movie 2 dominasi Carta Top 10 Pilihan Penonton! Astro Awani (12 September 2019). Dicapai pada 21 September 2019.
- ^ Fatin Farhana Ariffin dan Farhana Ab Rahman (4 September 2019). Sangkar raih hampir RM5 juta lima hari tayangan Berita Harian. Dicapai pada 4 September 2019.
- ^ Syanty Octavia Amry (5 September 2019). Filem Sangkar cecah RM6 juta Harian Metro. Dicapai pada 15 September 2019.
- ^ Asraf Adied (9 September 2018). Hebat...Filem Sangkar Berjaya Kutip 7.2 Juta Dalam Masa 10 Hari! Astro Gempak. Dicapai pada 15 September 2019.
- ^ Hanisah Selamat (15 September 2019). Sangkar kutip RM10 juta 17 hari Berita Harian. Dicapai pada 16 September 2019.
- ^ Filem Sangkar raih kutipan melebihi RM10.3 juta Astro Awani (15 September 2019). Dicapai pada 16 September 2019.
- ^ Norhayati Nordin (15 September 2019). Sangkar raih RM10.3 juta kutipan Harian Metro. Dicapai pada 16 September 2019.
- ^ Dennis Chua (17 September 2019). #Showbiz: 'Sangkar' bags RM10.3mil in 2 weeks New Straits Times. Dicapai pada 16 September 2019.
- ^ Hilmi Ismail (23 Ogos 2019). Sangkar: Filem aksi MMA Malaysia yang berjaya mengusik emosi penonton Astro Awani. Dicapai pada 30 Ogos 2019.
- ^ Haider Yutim (23 Ogos 2019).Menghiburkan! 'Sangkar' bukan sekadar filem aksi MMA Astro Awani. Dicapai pada 30 Ogos 2019.
- ^ Bissme S. (3 September 2019). Movie review: Sangkar The Sun Daily. Dicapai pada 15 September 2019.
- ^ Asraf Aided (12 Julai 2019). Wow... 'Fighter' Nyanyian Aman RA Dipilih Sebagai OST Filem Sangkar! Astro Gempak. Dicapai pada 20 Ogos 2019.