Sheikh Said Hawa سعيد حواء | |
---|---|
Pengasas dan ketua Ikhwan Muslimin Syria | |
Dalam jawatan 1985–1987 | |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Hama, Syria | 27 September 1935
Mati | 9 Mac 1989 Amman, Jordan | (umur 53)
Tempat belajar | Universiti Damascus |
Said bin Muhammad Dib Hawwa atau ringkasnya Said Hawa adalah pendakwah, reformis sosial dan politik Mesir dan penggerak gerakan Ikhwan Muslimin Syria. Hawwa ialah nama keturunan yang diwarisi dari sebelah bapanya. Beliau dilahirkan pada 27 September 1935 di Hama, Syria. Keturunannya bersambung dengan Rasulullah dan ia dinasabkan kepada kabilah al-Naim yang merupakan salah satu keturunan Rasulullah. Ketika berusia dua tahun, ibunya telah meninggal dunia. Ibunya bernama Arabiyyah al-Tais dan bapa Muhammad Dib Hawwa, seorang aktivis politik yang menentang penjajah Perancis dan dipenjara pada tahun 1939 kerana tuduhan membunuh.
Fasa Kehidupan
Dalam bukunya Hadhi Tajribati Hadhi Syahadati, beliau telah mencatatkan pengalaman hidup dalam beberapa fasa seperti berikut :
- Dari tahun pertama sehingga berusia 13 tahun (1935-1948). Tempoh ini menceritakan kelahirannya di Kawasan Aliliyyat, di Hamah dan bapanya bernama Muhammad Dib Hawwa. Mengkisahkan pertempuran penduduk Jamah dengan penjajah Perancis yang berakhir dengan kemenangan penduduk Hamah. Beliau menceritakan peranan rakyat Syria dalam mempertahankan Palestin.
- Dari usia 13 tahun sehingga berusia 17 tahun. (1948-1952) Tempoh ini merupakan masa memperkayakan ilmu dengan belajar dan membaca buku-buku biografi tokoh-tokoh yang ditulis oleh Abdul Rahman Badwi dan Jurji Zaidan, Kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali. Tempoh ini beliau belajar di Sekolah Abu Fida dan juga Sekolah Menengah Ibn Rusydi. Beliau juga berdamping dengan Syeikh Muhammad Hamid di Masjid Sultan yang banyak mempengaruhi hidupnya.
- Dari tahun 1952-1955 (Berusia 18-20 tahun). Tempoh ini beliau berkecimpung dalam gerakan Ikhwan bermula dengan anggota usrah kemudian menjadi Naqib dan kemudian menjadi ketua di peringkat pelajar di Hamah. Pada masa ini, beliau telah mengambil tarekat dari Sheikh Muhammad al-Hasyimi. Tempoh ini juga menyaksikan kedatangan Sheikh Hasan Hudaibi ke Syria dan diberi sambutan yang hangat dan juga diadakan Muktamar Islam diadakan di Syria dengan kehadiran tokoh-tokoh dakwah termasuk Sheikh Abu al-A’la al-Maududi. Pada masa ini, beliau belajar dengan Abdul Karim al-Rifa’i, Said Abdullah dan dari kalangan sufi beliau belajar dengan Sheikh Mala Ramadan al-Buti dan Sheikh Muhammad Hasyimi dan berada dalam majlis-majlis mereka.
- 1956-1961M (Berusia 21-26 tahun). Pada tahun 1956, beliau memasuki Universiti dalam Fakulti Syariah dan belajar dengan guru-guru seperti Abdul Wahab Dabis dan Fauzi Faidullah, Muhammad Mubarak, Maaruf Dawalibi dan Mustafa al-Sibaie. Antara aktiviti universiti ialah menubuhkan Kelab al-Fikr al-Mutaharir (Kelab Bebas Berfikir) yang menentang Kelab Komunis. Pada tempoh ini juga beberapa parti diharamkan termasuk Ikhwan.
- 1961-1964M. (Berusia 26-29 tahun). Pada tempoh ini, beliau bertugas sebagai guru dan kemudian memasuki khidmat tentera. Beliau juga menceritakan Revolusi Hamah yang berlaku pada tahun 1964.
- 1964-1966 (Usia 29-32 tahun). Kembali mengajar dan bekerja di Arab Saudi sebagai guru di Madinah al-Munawwarah. Pada tempoh ini, Ikhwan berbincang mengenai manhaj dan sistem dalaman ikhwan
- 1966-1971M (Usia 32-37 tahun). Tinggal di Arab Saudi selama lima tahun dan menyiapkan buku al-Usul Thalathah dan Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan
- 1972-1973M (Usia 37-39 tahun). Beliau kembali ke Syria dan berlaku demonstrasi menentang perlembangaan sekular. Beliau ditangkap selama lima tahun dari 5 Mac 1973 sehingga Januari 1978.
- 1973-1978M (Usia 39-43 tahun). Beliau berada dalam penjara dan merupakan peluang untuk mendalami ilmu dan menyiapkan al-Asas fi al-Tafsir
- 1978-1982M (Usia 43-47 tahun). Datang Ustaz Adnan Saaduddin, ketua baru Ikhwan yang meminta Said Hawwa keluar dari Syria dan tinggal di Amman. Pada masa ini, beliau menerbitkan buku Tarbiyatuna al-Ruhiah (Pendidikan kita mengenai kerohanian) dan Madkhal li Dakwah al-Ikhwan (Pengenalan Dakwah Ikhwan). Beliau pergi ke Amerika Syarikat atas undangan pelajar di sana dan menghadiri Muktamar Islam di Eropah.
- 1982-1984M (Usia 47-49 tahun). Beliau bergiat dalam penulisan setelah tidak memegang jawatan dalam kepimpinan Ikhwan. Kepimpinan dalam majlis kepimpinan pusat adalah sementara kerana ia dalam peralihan dan penstrukturan baru.
- 1984-1985M (Usia 49-50 tahun). Antara peristiwa penting dalam tempoh ini, beliau dilantik menjadi ketua lujnah penasihat di Hamah dan menghadiri Muktamar di Baghdad mengenai Perang Saudara Iraq-Iran.
- 1985-1986M. Beliau melawat Pakistan dan berjumpa dengan kepimpinan Afghanistan dan kemudiannya ke Mesir.
- 1986-1987M. Beliau pergi berubat di Arab Saudi namun tidak berhasil dan jatuh sakit lumpuh pada 13 Mac 1987. Pada tempoh, beliau hanya memberi nasihat kepada sesiapa yang datang menziarahinya dan meneruskan kegiatan menulis. (www.saidhawwa.com)
Kematian
Sejak 14 Mac 1987, beliau telah lumpuh sebelah badan di samping penyakit-penyakit yang lain seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan rabun mata. Keadaan ini tidak mengizinkan untuk bergiat aktif dalam kegiatan dakwah dan kemasyarakatan. Beliau hanya menghabiskan waktu di Hospital dan rumah.
Pada 14 Disember 1988, keadaannya menjadi kritikal dan akhirnya pada 9 Mac 1989 bersamaan 3 Syaaban 1409, Said Hawwa meninggal dunia di Hospital Islam Amman, Jordan. Jenazah disembahyangkan di Masjid al-Fita’ dan dikebumikan di tanah perkuburan Sahab di selatan Amman.
Ustaz Zuhair Sharwis menyebutkan mengenai Said Hawwa: “Said Hawwa merupakan seorang pendakwah yang berjaya dan ramai orang mengenalinya melalui dakwah atau buku-buku. Beliau dapat menyampaikan mesejnya kepada sebilangan besar orang. Beliau meninggal dunia ketika usia 53 tahun iaitu umur yang pendek namun meninggalkan khazanah dan tulisan yang banyak yang tidak mampu diikuti oleh kebanyakan orang pada masa kini.”