Said Effendi (lahir di Besuki, 6 Ogos 1923 – meninggal di Jakarta, 11 April 1983 pada umur 59 tahun) ialah seorang penyanyi penulis lagu muzik Melayu 1950-an hingga 1970-an yang lahir di Besuki. Beliau memasyhurkan lagu Seroja yang menjadi popular hingga ke Malaysia. Selain menulis lagu dan menyanyi, beliau juga pernah berlakon dalam beberapa filem, seperti Seroja arahan Nawi Ismail, Titian Serambut Dibelah Tujuh arahan Asrul Sani, dan Pesta Musik Lobana arahan Misbach Yusa Biran.
Selepas lagu Bahtera Laju, Said Effendi menempatkan diri sebagai pelantun irama Melayu ulung dalam zamannya, dan menyamai populariti P. Ramlee. Said Effendi melantunkan lagu-lagu popular ciptaan sendiri, seperti Bahtera Laju, Timang-timang dan Fatwa Pujangga, serta karya orang lain, misalnya Semalam di Malaysia (karya Syaiful Bahri), Di Ambang Sore (Ismail Marzuki), dan Seroja karya Husein Bawafie. Lagu terakhir ini membawanya pada puncak kegemilangan.[1]
Semua penghargaan yang diterimanya adalah bersifat anumerta, mulai dari Anugerah Dangdut TPI (1998), Persatuan Wartawan Indonesia, Anugerah Seni dari PT Variapop, Nugraha Bhakti Musik Indonesia (2004), dan dari Parfi serta Persatuan Seniman Malaysia (2006).
Rujukan
- ^ "Gatra.com:Berebut Kiblat Irama Tabla" (dalam bahasa Indonesia). Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-09-24. Dicapai pada 2009-05-27.
Pautan luar
- tamanismailmarzuki.com Diarkibkan 2009-07-18 di Wayback Machine