Roda air ialah sejenis mesin yang digunakan untuk menukarkan tenaga air yang mengalir bebas atau tercurah kepada bentuk kuasa yang berguna. Roda air terdiri daripada sebuah roda buatan kayu atau logam yang besar, dengan serantai daun atau timba yang tersusun pada rim luaran untuk membentuk permukaan pemacu. Selalunya, roda ini dipasang secara menegak pada paksi mengufuk, tetapi roda Norse dipasang secara mengufuk pada syaf menegak. Roda menegak boleh memancarkan kuasa melalui paksinya atau gear gelang dan biasanya memacu sawat atau gear; roda yang mengufuk pula biasanya memacu muatannya secara langsung.
Roda air masih digunakan secara komersil hingga abad ke-20, tetapi kini kian jarang. Antara kegunaan roda air adalah melurah tepung dalam kilang kincir, mengisar kayu menjadi pulpa untuk membuat kertas, menempa besi, menjana jentera, menghancurkan bijih serta menghancurkan serabut untuk digunakan dalam pembuatan kain.
Sesetengah roda air disuap dengan air dari kolam kincir yang terbentuk apabila anak sungai yang mengalir diempang. Saluran untuk air yang mengalir keluar masuk roda air dipanggil parit kincir (millrace) atau sekadar "parit", dan lazimnya dibahagikan kepada bahagian-bahagian. Parit yang menyalurkan air dari kolam kincir ke dalam roda air ialah parit kepala (headrace), sementara parit yang menyalurkan air yang tercurah dari roda pula dipanggil parit ekor (tailrace).[1]
Usaha penyelidikan sains terhadap roda air oleh John Smeaton mencetuskan kemajuan pesat roda air pada abad ke-18, sehingga cukup untuk membekalkan kuasa kepada Revolusi Perindustrian.[2][3]
Lama-kelamaan, roda air diganti oleh ciptaan baru yang lebih kecil, murah dan cekap, iaitu turbin yang dimajukan oleh Benoît Fourneyron, mulai model pertama beliau pada tahun 1827.[3] Turbin mampu menampung angkatan tinggi yang menjangkau kemampuan roda air yang biasa.
Kelemahan utama roda air ialah kebergantungannya pada air mengalir yang mengehadkan lokasinya. Empangan hidroelektrik boleh dipandang sebagai pewaris roda air kerana juga memanfaatkan aliran air ke hilir bukit.
Rujukan
- ^ Dictionary definition of "tailrace"
- ^
Musson (1969). Science and Technology in the Industrial Revolution. University of Toronto Press. m/s. 69. Unknown parameter
|coauthors=
ignored (|author=
suggested) (bantuan) - ^ a b Thomson, Ross (2009). Structures of Change in the Mechanical Age: Technological Invention in the United States 1790-1865. Baltimore, MD: The Johns Hopkins University Press. m/s. 34. ISBN 978-0-8018-9141-0. Cite has empty unknown parameter:
|coauthors=
(bantuan)