Willibrordus Surendra Broto Rendra | |
|---|---|
![]() W. S. Rendra | |
| Kelahiran | Willibrordus Surendra Broto Rendra 7 November 1935 |
| Meninggal dunia | 7 Ogos 2009 |
| Warganegara | Indonesia |
| Nama lain | W. S. Rendra, Rendra |
| Pusat pendidikan | Universiti Gadjah Mada; American Academy of Dramatic Arts |
| Pekerjaan | Penyair, dramatis, pelakon, pengarah teater |
| Pasangan | Sunarti Suwandi; Sitoresmi Prabuningrat; Ken Zuraida |
| Anak-anak | 11 |
Willibrordus Surendra Broto Rendra, juga dikenali sebagai W. S. Rendra atau Rendra (lahir 7 November 1935 di Solo – 7 Ogos 2009 di Jakarta), ialah seorang penyair yang dikenali dengan julukan “Burung Merak”. Beliau menubuhkan Bengkel Teater di Yogyakarta pada tahun 1967 dan kemudiannya Bengkel Teater Rendra di Depok. Sejak di peringkat pengajian tinggi, beliau aktif menulis cerpen dan esei yang diterbitkan dalam pelbagai majalah.
Pendidikan
Rendra telah menerima pendidikan awal di Taman Kanak-kanak (TK) Marsudirini sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Atas (SMA) St. Josef, Solo dari tahun 1952 hingga 1955. Beliau kemudian mengikuti pengajian di Fakulti Sastera dan Kebudayaan, Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dalam jurusan Sastera Inggeris dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (B.A.). Pada tahun 1964 hingga Ogos 1967, beliau menyambung pengajian di American Academy of Dramatic Arts, New York, Amerika Syarikat.
Hasil karya
Drama
Drama Kaki Palsu merupakan karya drama pertamanya ketika beliau masih bersekolah. Orang-Orang di Tikungan Jalan pula ialah karya drama pertamanya yang menerima penghargaan, termasuk hadiah pertama daripada Kantor Wilayah Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan, Yogyakarta, Indonesia. Selepas itu, beliau semakin aktif dalam kegiatan drama.
- Orang-Orang di Tikungan Jalan (1954)
- Bip Bop Rambaterata (Teater Mini Kata)
- SEKDA (1977)
- Selamatan Anak Cucu Sulaiman
- Mastodon dan Burung Kondor (1972)
- Hamlet (terjemahan karya William Shakespeare)
- Macbeth (terjemahan karya William Shakespeare)
- Oedipus Sang Raja (terjemahan karya Sophocles)
- Lysistrata (terjemahan)
- Oedipus di Kolonus (terjemahan karya Sophocles)
- Antigone (terjemahan karya Sophocles)
- Kasidah Barzanji
- Perang Troya Tidak Akan Meletus (terjemahan karya Jean Giraudoux) (1986)
- Kisah Perjuangan Suku Naga
Puisi
W. S. Rendra merupakan seorang deklamator puisi yang dikenali. Karya puisinya mula tersiar di media cetak pada tahun 1952 melalui majalah Siasat. Selepas itu, puisi-puisinya terus diterbitkan dalam pelbagai majalah pada masa itu, termasuk Kisah, Seni, Basis, Konfrontasi dan Siasat Baru, hingga ke dekad 1960-an dan 1970-an.
- Jangan Takut Ibu
- Balada Orang-Orang Tercinta (kumpulan sajak)
- Empat Kumpulan Sajak
- Rick dari Corona
- Potret Pembangunan dalam Puisi
- Bersatulah, Pelacur-Pelacur Kota Jakarta!
- Nyanyian Angsa
- Pesan Pencopet kepada Pacarnya
- Rendra: Ballads and Blues Poems (terjemahan)
- Perjuangan Suku Naga
- Blues untuk Bonnie
- Pamphleten van een Dichter
- State of Emergency
- Sajak Seorang Tua tentang Bandung Lautan Api
- Mencari Bapak
- Rumpun Alang-Alang
- Surat Cinta
- Sajak Rajawali – dibacakan Abdul Khalid Ibrahim sempena 'Black April 14'
- Sajak Seonggok Jagung
Bengkel Teater
Pada tahun 1961, selepas kembali dari Amerika Syarikat, Rendra menubuhkan sebuah kumpulan teater di Yogyakarta. Pada tahun 1968, beliau seterusnya menubuhkan Bengkel Teater di kota yang sama.
Pada tahun 1978, beliau pernah ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung karya-karyanya yang bersifat kritikal. Drama SEKDA serta Mastodon dan Burung Kondor telah dilarang daripada dipentaskan di Taman Ismail Marzuki.
Filem
Rendra membintangi filem bertema agama, Al Kautsar (1977), yang turut dikenali dalam kalangan penonton di Malaysia.[1]
Penghargaan
- Hadiah Pertama Sayembara Drama dari Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, untuk drama "Orang-orang di Tikungan Jalan" (1954)
- Hadiah Tahunan Majalah Kisah, untuk cerpen "Ia Punya Leher yang Indah" (1956)
- Hadiah Puisi dari Badan Musyawarah Kebudayaan Nasional (1957)
- Anugerah Seni dari Departemen Pendidikan & Kebudayaan, Yogyakarta (1969)
- Hadiah Seni dari Akademi Jakarta (1975)
- Penghargaan Adam Malik pada 1989
- SEA Write Award pada 1996
- Penghargaan Achmad Bakrie (2006)
Keluarga
Rendra mempunyai 11 orang anak hasil perkahwinan dengan tiga orang isteri, dua daripadanya kemudian telah diceraikan. Beliau berkahwin dengan Sunarti Suwandi pada tahun 1959 ketika berusia 24 tahun dan dikurniakan lima orang anak, iaitu Teddy Satya Nugraha, Andreas Wahyu Wahyana, Daniel Seta, Samuel Musa dan Klara Sinta.
Pada Ogos 1970, Rendra memeluk Islam ketika berkahwin dengan isteri keduanya, Bendoro Raden Ayu Sitoresmi Prabuningrat, seorang muridnya yang juga berketurunan kerabat istana Yogyakarta dan aktif di Bengkel Teater. Pada ketika itu, beliau menukar namanya kepada Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya, Willibrordus Surendra Broto Rendra. Perkahwinan tersebut berlangsung pada 12 Ogos 1970 dan disaksikan oleh penyair Taufiq Ismail serta pengkritik Ajip Rosidi. Bersama Sitoresmi, beliau dikurniakan empat orang anak, iaitu Yonas Salya, Sarah Drupadi, Naomi Srikandi dan Rachel Saraswati.
Beliau kemudiannya berkahwin lagi dengan Ken Zuraida sebagai isteri ketiga, dan dikurniakan dua orang anak, iaitu Isaias Sadewa dan Maryam Supraba. Rendra menceraikan Sitoresmi pada tahun 1979, diikuti perceraian dengan Sunarti dua tahun kemudian, susulan pelbagai konflik dalam kehidupan berpoligami.
Kritikan sastera

Karya-karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Belanda, Jerman, Jepun dan India. Dalam buku *Sastra Indonesia Modern II* (1989), Prof. A. Teeuw berpendapat bahawa dalam sejarah kesusasteraan Indonesia, W. S. Rendra boleh dikelaskan dalam Angkatan 45, Angkatan 60-an atau Angkatan 70-an. Hal ini dikaitkan dengan sifat sajak-sajaknya yang bersifat kontemporari dan merentas zaman, serta menampilkan pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan.
W. S. Rendra juga pernah menyertai beberapa festival puisi antarabangsa, antaranya The Rotterdam International Poetry Festival (1971 dan 1979), The Valmiki International Poetry Festival, New Delhi (1985), Berliner Horizonte Festival, Berlin (1985), The First New York Festival of the Arts (1988), Spoleto Festival, Melbourne, Vagarth World Poetry Festival, Bhopal (1989), World Poetry Festival, Kuala Lumpur (1992), dan Tokyo Festival (1995).
Kematian
Pada 7 Ogos 2009, tepat jam 10.15 malam, W. S. Rendra meninggal dunia pada usia 74 tahun di Hospital Mitra Keluarga, Kelapa Gading, Jakarta Utara, Indonesia selepas lebih sebulan menerima rawatan akibat penyakit jantung koronari. Jenazahnya dikebumikan selepas solat Jumaat di Bengkel Teater, Cipayung, Citayam, Depok, berhampiran Jakarta. Makam beliau terletak tidak jauh dari pusara sahabatnya, Mbah Surip, seorang penyanyi reggae yang dikenali menerusi lagu “Tak Gendong”, yang meninggal dunia seminggu sebelum itu.[2][3]
Pautan luar
- (Indonesia) W.S. Rendra di TokohIndonesia.com
- (Indonesia) Wawancara International Institute for Asian Studies (IIAS), Belanda bersama Rendra
- (Indonesia) Wawancara Sjors Bos bersama Rendra mengenai reformasi dan Indonesia di zaman yang baru
- (Indonesia) Rendra di dada akhbar
- (Indonesia) Rendra dan Bengkel Teater
- (Indonesia) Liputan Nadhlatul Ulama mengenai pementasan Kasidah Barzanji Renda
- (Indonesia) Beberapa puisi Rendra
- (Indonesia) Esai Rendra tentang Drama Modern
Rujukan
- ^ Pengarah: Chaerul Umam; penulis: Asrul Sani; pelakon: W. S. Rendra, Bagong Kussudiardjo, Soultan Saladin. Disenaraikan di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb), ID: tt0335840.
- ^ "WS Rendra hembus nafas terakhir". Malaysiakini.
- ^ "Si Burung Merah". TokohIndonesia.com (dalam bahasa Indonesia).









