Pusat Pendidikan Persekitaran MNS-BOH atau juga dikenali sebagai (The MNS-BOH Nature Study Centre) telah dibina sebagai sebuah kuarters pekerja buruh yang bekerja di Ladang Teh Boh Ringlet, Cameron Highlands, Pahang, Malaysia. Kini pusat ini bergerak sebagai suatu pusat ilmiah yang membolehkan para pencinta alam sekitar berkunjung ke sini bagi menjalankan lebih banyak kajian mengenai keadaan hidupan dan persekitaran di sekitar ladang teh dan tanah tinggi selain menyemai rasa cinta yang lebih mendalam terhadap hutan tanah tinggi. Lawatan dan tinggal dipusat ini buat seketika dapat menjanjikan para pengunjungnya dapat menikmati rasa kelegaan, kedamaian, ketenangan dan keseronokan yang jauh dari kesibukan hiruk pikuk kota.
Aktiviti
Pusat ini dibina jauh dari kesibukan hiruk pikuk kota. Para pengunjung dapat menikmati pemandangan ladang teh yang segar, selain dapat melihat pemandangan ketika matahari naik dan turun dikawasan pergunungan. Para penggemar dan pencinta burung juga dapat menikmati suasana kicauan burung sejak dari waktu subuh hari lagi. Dari pusat ini, para pengunjung dapat menyaksikan 100 jenis spisies yang hidup bebas disekitar ladang teh BOH yang terbentang luas.
Kepada penggemar aktiviti lasak dan yang memerlukan stamina yang kuat, aktiviti mendaki Gunung Cantik merupakan salah satu ideal yang menarik yang boleh diterokai berdekatan dengan kawasan ini. Hutan dikawasan ini adalah dari jenis hutan berlumut (Mossy forest), jadi ia amat sesuai untuk para pendaki yang menginginkan suasana yang segar, hijau, berembun dan sedikit cabaran ketika mereka mendaki.
Pusat ini juga terletak tidak jauh dengan kilang lama pemprosesan daun teh BOH dan pusat penyambut tetamunya (BOH Ringlet Visitor Centre). Diantara aktiviti yang berguna yang boleh dilakukan oleh pengunjung di kilang ini adalah dengan mengikuti lawatan percuma ke pusat pemprosesan daun teh yang sudah dituai, menonton teater mini berkenaan dengan ladang teh BOH, membeli cenderahati dan produk teh dan menikmati minuman teh yang beraneka variasi dalam suasana yang sejuk dan tenang.
Jika ada pengunjung yang meminati aktiviti berjalan kaki secara jauh, trek perjalanan dari Pusat Pendidikan Persekitaran MNS-BOH ke Kampung Kuala Boh merupakan aktiviti yang menarik. Kampung Kuala Boh merupakan suatu destinasi perkampungan penduduk Orang Asli di Cameron Highlands. Aktiviti BBQ merupakan suatu aktiviti yang ideal untuk dilakukan menjelang malam di Cameron Highlands.
Fasiliti
Pusat Pendidikan Persekitaran MNS-BOH mempunyai kemudahan penginapan yang dapat memuatkan seramai 46 orang dalam satu-satu masa. Terdapat dua jenis bentuk rumah penginapan iaitu: 8 unit chalet (termasuk bilik air dan katil). Setiap satu unit chalet dikhaskan untuk 2 orang. Serta dalam bentuk kabin berasrama yang boleh menempatkan 30 orang) (termasuk bilik air, katil dan dapur). Katil yang disediakan juga lengkap bercadar, berbantal dan berselimut bersih.
Setiap dapur lengkap dengan fasiliti seperti dapur gas, peralatan memasak, set BBQ, peti sejuk dan lain-lain lagi. (namun plastik sampah tidak disediakan)
Kemudahan penghantaran makanan siap masak (catering) juga turut disediakan dengan penempahan dan pengurusan awal. Setiap chalet dan asrama dilengkap dengan lobang dan corong asap dan pembakaran untuk tujuan pemanasan, akan tetapi bahan bakar seperti kayu api, minyak tanah dan mancis perlu disediakan sendiri oleh pengunjung).
Setiap rumah chalet dan asrama mempunyai kemudahan verandah yang dilengkapi dengan kerusi dan meja.
Di pusat ini terdapatnya pusat sumber ataupun perpustakaan yang menempatkan banyak buku berkaitan alam sekitar, majalah, jurnal dan fasiliti audio-visual untuk menonton dukumentari berkenaan alam sekitar.