Pilihan raya kecil Sibu 2010 diadakan pada 16 Mei 2010 bagi kerusi parlimen Sibu di Sarawak, Malaysia. Pilihan raya ini diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya Timbalan Menteri Pengangkutan Robert Lau Hoi Chew pada 9 April. Pada 2008, Robert Lau Hoi Chew mengekalkan kerusi ini dengan majoriti 3,235 undi mengatasi Wong Ho Leng (DAP) dan Lim Chin Chuang (PKR).[1] Parlimen Sibu terdiri daripada 3 DUN, Bawang Assan, Pelawan dan Nangka. Terdapat 54,695 pengundi berdaftar, termasuk 2,537 pengundi pos dan 3,028 pengundi baru.[2]
Pertembungan kali ini dianggap sebagai 'Perang Sungai Rajang' antara SUPP dengan DAP yang sama-sama kuat. DAP pernah menang sekali pada tahun 1982 tetapi selepas itu ia menjadi kubu SUPP.[3] Ia juga dilihat sebagai pertarungan antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat. Keputusannya calon DAP Wong Ho Leng mengalahkan calon BN-SUPP Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Harun dengan majoriti tipis 398 undi.
Pilihan raya ini diperhatikan oleh Pemerhati Pilihan Raya Sibu.
Latar belakang
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang dikemaskini pada 9 April 2010. Pengundi berdaftar seramai 54,695 termasuk 2,537 pengundi pos. Antaranya 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis yang bertugas semasa pilihan raya berlangsung.[2] Terdapat 3 Kem tentera di Sibu iaitu Kem Batu 10 Jalan Ulu Oya, Kem Rascom dan Kem Tentera Sibu. Pengerusi SPR Sarawak Datuk Takun Sunggah menyatakan pengundian pos dijalankan pada 13-14 Mei.[4] Ada 110 saluran pengundi.
Pengundi Cina hampir 67 %, Melayu/Melanau (10.5 %) dan Bumiputera Sarawak (22 %). Parlimen ini terletak di kawasan bandar.[5]
Pada 2008, penyandang 5 penggal Robert Lau dari parti SUPP menewaskan Wong Ho Leng (DAP) dan Lim Chin Chuang (PKR) dengan majoriti 3,235 undi.
Parlimen Sibu (P212) terletak di tengah-tengah negeri Sarawak dalam bahagian Sibu. Di sebelah utaranya Mukah, manakala Sarikei di selatan dan Kapit di sebelah timur. Kawasan berkeluasan 1,399 kilometer persegi itu hampir menyamai keluasan negeri Perlis dan Pulau Pinang. Ia mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu DUN Bawang Assan (N47), DUN Pelawan (N48) dan DUN Nangka (N49).
SPR telah memilih 45 pusat mengundi yang sesuai iaitu sekolah, tadika, pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam. Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu. Pegawai pengurus pilihan raya ini ialah Pegawai Daerah Sibu, Wong See Meng.
Semua pihak diminta mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Tahun | Ahli Parlimen | Parti | Lawan | Parti Lawan | Majoriti |
---|---|---|---|---|---|
1986 | Tiew Sung Seng | BN | Ling Sie Ming | DAP | 546 |
Tang Lung Chiew | PLUS | ||||
1990 | Robert Lau Hoi Chew | BN | Ling Sie Ming | DAP | 2008 |
Tang Lung Chiew | PLUS | ||||
1995 | Robert Lau Hoi Chew | BN | Wong Ho Leng | DAP | 4845 |
Narawi Haron | BEBAS | ||||
1999 | Robert Lau Hoi Chew | BN | Wong Sing Nang | DAP | 9142 |
2004 | Robert Lau Hoi Chew | BN | Wong Ho Leng | DAP | 3340 |
2008 | Robert Lau Hoi Chew | BN | Wong Ho Leng | DAP | 3235 |
Lim Chin Chuang | PKR |
Penamaan calon
Pada 12 April, SUPP Sibu menamakan Robert Lau Hui Yew sebagai calon pilihan raya. Beliau adalah dua pupu Robert Lau Hoi Chew dan anak Lau Swee Nguong iaitu pengerusi syarikat KTS Group. Beliau mudah mesra dan dari keluarga terkenal di Sarawak.
Pada 18 April 2010, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Sibu dan membentuk Pakatan Rakyat Sarawak iaitu DAP, PKR, PAS dan SNAP. Umumnya PR setuju hanya DAP sahaja yang bertanding. DAP meletakkan calonnya iaitu Pengerusi DAP Negeri Sarawak, Wong Ho Leng. Wong, 50, yang juga seorang peguam, merupakan Ketua Pakatan Rakyat dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Penamaan calon diadakan pada hari Sabtu, 8 Mei 2010. Barisan Nasional menurunkan Robert Lau Hui Yew, DAP mewakili PR menurunkan Wong Ho Leng dan mereka disertai seorang calon Bebas, Narawi Haron. Calon BN dan DAP mencalonkan calon Cina kerana majoriti penduduknya orang Cina (66.6 %).
Narawi Haron pernah bertanding di sini dahulu pada 1995 tetapi hilang wang pertaruhan. Beliau hanya mengharapkan undi daripada pengundi Melayu / Melanau.[6]
Nama calon | Parti | |||
---|---|---|---|---|
Robert Lau Hui Yew | BN-SUPP | |||
Wong Ho Leng | DAP | |||
Narawi Haron | BEBAS |
Suasana dan isu kempen
Kempen tak meriah
Suasana kempen tidaklah semeriah pilihan raya kecil Hulu Selangor 2010 pada 25 Mac. Sebelum penamaan calon hampir tiada poster dan bendera ditampal dan digantung. Parti yang tidak bertanding tidak berpeluang menampal poster kerana SPR tidak membenarkannya dengan alasan tidak membayar wang pertaruhan.
Barisan Nasional
Kekuatan BN / SUPP ternyata kuat di Sibu. DAP hanya memang sekali iaitu pada 1982, YB Ling Soe Ming menewaskan Tan Sri Dr Wong Soon Kai (SUPP) yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Pada tahun 1986 kerusi itu kembali dirampas SUPP selama 25 tahun sehingga pilihan raya umum 2008. Mendiang Lau memenangi kerusi Sibu selama lima penggal sejak 1990.[7]
Akhbar tempatan Sarawak cuba melaga-lagakan PAS dan DAP dengan isu negara Islam. Jika mengundi DAP bermakna mengundi PAS yang mahu menegakkan negara Islam. Isu ini pernah menyebabkan DAP kalah pada pilihan raya umum Malaysia 1999 sehinggakan Karpal Singh dan Lim Kit Siang tewas di Jelutong dan Tanjung Tokong. PAS tidak mempunyai satu cawangan pun di Sibu. Sebaliknya PAS dan DAP sepentas berkempen di Sibu dan menarik perhatian pengundi. SUPP juga melabel DAP sebagai makanan non-halal merujuk kepada PAS yang hendak mendirikan negara Islam.
Polis memberi amaran agar tidak memainkan isu agama dan kalimah Allah dalam kempen.[8] Terdapat tiga laporan polis. 101 permit ceramah dikeluarkan kepada BN dan DAP. Kempen melalui jalan raya tidak dibenarkan kerana membahayakan pengguna jalan raya.
Ramai sekali menteri turun ke Sibu sehingga penduduk Sibu tertanya-tanya apakah pengaruh DAP begitu besar. Perlukah berjuta-juta projek diumumkan semasa kempen pilihan raya sahaja.
DAP
Sejak 1999, pengundi Cina cenderung mengundi DAP.[9] Calon DAP merupakan calon lama, telah bertanding dalam tahun 1995, 2004 dan 2008 dan kalah dalam kesemuanya.
DAP menggunakan sepenuhnya isu kenaikan harga barang sekiranya GST dilaksanakan juga oleh kerajaan. Masalah banjir di Sibu tidak diambil tindakan, banjir kerap berlaku kerana bandar ini terletak di persimpangan Sungai Rajang dan Sungai Agan. Tidak ada sebuah universiti pun di Sibu berbanding Kuching dan Miri. Malangnya calon BN Lau Hui Yew menghantar anak-anaknya ke sekolah antarabangsa kerana tidak percaya dengan sistem pendidikan negara.
Pembangkang juga menyalahkan BN kerana kehilangan Blok L dan M di Laut China Selatan kepada Brunei.
Isu tanah adat di kalangan Bumiputera juga dikemukakan. Bagi masyarakat Cina, isu pajakan tanah hanya 60 tahun dan perlu tambah wang untuk lanjutkan pajakan tanah. Pajakan tanah di Semenanjung 90 tahun.
Selain itu ada hegemoni politik Sarawak oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak pimpinan Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud. Tidak banyak banyak tokoh veteran ini digantung di Sibu. Lagipun beliau tidak kisah jika masyarakat Cina Sibu mengundi DAP. Pada hari terakhir, Abdul Taib mengumumkan rombakan cukai tanah supaya dipermudahkan dan difahami oleh rakyat jelata.
Kolej Universiti Laila Taib asalnya milik SUPP iaitu parti utama masyarakat Cina Sarawak. SUPP gagal mentadbirnya lalu Yayasan Sarawak mengambil alih. Sedangkan kolej ini asalnya sumbangan daripada masyarakat Cina Sarawak.
Analisis sebelum pilihan raya
Penganalisis menjangkakan Barisan Nasional akan menang dan DAP tewas dengan majoriti tipis, 1000 undi sahaja. DAP menyatakan ia mendapat 49 % sokongan sementara BN 51 %. Jika hendak menang, DAP perlu mendapat 80 % sokongan pengundi Cina, 10 % sokongan pengundi Melayu dan Iban. Pada tahun 2008, DAP mendapat 62 % undi Cina, 10 % Melayu/Melanau dan 15 % undi Iban. Dari seramai 54,695 pengundi berdaftar, 67 % pengundi Cina suku Foochow, Dayak (16.3 %) dan Melayu/Melanau (16.2 %).
Melayu/Melanau dan Dayak masih setia mengundi BN. 60 % pengundi Cina memihak kepada DAP dalam pilihan raya 2008. Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menyatakan pengundi Cina di bandar-bandar akan terus mengundi DAP. Kaum Cina bukan jenis yang mudah dipengaruhi dengan mudah. Oleh itu BN perlu mendapatkan undi Cina sekurang-kurangnya 35 %, undi Melayu/Melanau 85 %. Pengundi atas pagar 9 %. Pengundi baru 3000 orang iaitu - belum membuat keputusan dan mereka ini golongan muda yang terdedah kepada media alternatif.[10]
Kajian Zentrum Future Studies menjangkakan BN mendahului dengan 53.4 %, PR (46.2 %) dan Bebas (0.4 %). Sekiranya BN dapat menarik lima daripada 7 % pengundi atas pagar, calon BN ada peluang menang dengan majoriti sekitar 1,850 undi.[11]
Peranan tauke-tauke judi harus diambil kira. Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Shafie Ismail turut mendedahkan kononnya pihak bertaruh meletakkan kemenangan kepada BN dengan majoriti 2,000 hingga 2,500 undi. Presiden SUPP Datuk Amar Dr. Wong Sung Kai pernah kalah mengejut di kawasan Bukit Assek juga di Sibu.
Janji pilihan raya
- Komputer Rakyat 1Malaysia: 1,000 unit komputer akan diedarkan untuk anak-anak sekolah, pemimpin masyarakat luar bandar, penduduk rumah panjang.
- RM 926,200 untuk kaum Iban di Bawang Assan bagi menaik taraf laluan papan di 29 rumah panjang dan bantuan kewangan RM600 bagi setiap daripada 527 keluarga Iban.[12]
- Pusat latihan RELA terbesar dan termoden di Malaysia akan dibina di Serian, Sarawak dalam RMK10. Sarawak mempunyai anggota Rela teramai iaitu 110,558 termasuk 30,627 Rela wanita. 12,007 di Sibu mendapat mendapat peruntukan RM50,000.[13]
- RM1 bilion bagi menyediakan dan membaiki prasana berkaitan tebatan banjir serta mengumumkan 6,000 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). RM18 juta membantu sekolah rendah dan menengah Cina serta mubaligh.[14]
Hari pengundian
Pengundian diadakan pada hari Ahad, 16 Mei 2010. Hujan pada waktu subuh menyebabkan banjir di beberapa tempat sehingga pengundi tidak keluar mengundi. Jabatan Kajicuaca meramalkan ribut petir pada waktu tengah hari. Banjir berlaku kerana air pasang iaitu limpahan air Laut China Selatan.
SPR melarang kempen semasa hari pengundian. Barong panas yang tidak sesuai (kurang 50 meter) akan dirobohkan. Menurut Seksyen 26(C) tiada pihak boleh mendirikan pondok atau barong panas. Penggunaan alat siaraya (pembesar suara) juga tidak dibenarkan. Hanya kelihatan bendera BN dikibarkan sedangkan tidak ada bendera DAP dikibarkan pada saat-saat akhir.
Ketua Polis Sibu ACP Shafie Ismail menyatakan keadaan terkawal dan kurang meriah. Calon Wong Ho Leng mengundi di SJKC Goung Ann. Isteri Robert Lau Hui Yew mengundi di SMK Rosli Dhoby. Narawi Haron membuang undi di SK Hulu Sungai Merah. SPR membuka 110 saluran mengundi di 45 pusat pengundian. Hanya Wong Ho Leng dan Narawi Haron sahaja calon berdaftar di Sibu.
Keputusan
Pada jam 11 malam baru keputusan diumumkan di Dewan Suarah Sibu oleh pegawai pengurus pilihan raya, Wong See Meng. DAP menang menewaskan BN dengan majoriti tipis 398 undi. Calon DAP Wong Ho Leng mendapat 18,845 undi. Calon BN Robert Lau Hui Yew mendapat 18,447 undi. Manakala calon Bebas Narawi Haron mendapatkan 232 undi. Undi rosak 395.[15]
Undi pos pula, BN (2,323 undi), DAP (70 undi) dan Bebas (36 undi). Kira-kira 70 % pengundi keluar mengundi (37,919 orang). Undi pos (tentera dan polis) dikira di Wisma Sanyan tetapi keputusannya agak lewat. Ini memaksa pemimpin DAP Ng Wei Aik, Lim Lip Eng dan Ronnie Liu Tian Khiew pergi ke tempat pengiraan. Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Omar Wan Ahmad menyatakan punca kelewatan keputusan undi pos akan diumumkan. Tentera dan polis mengundi pada 13-14 Mei di Rascom dan Oya dan ibu pejabat polis daerah Sibu dan sepatutnya paling awal diumumkan keputusan.[16]
Seramai 37,919 atau 69.33 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar mengundi di 45 pusat pengundian. Bilangan itu meningkat jika dibandingkan dengan 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum Malaysia 2008.
Parti | Calon | Undian | % | ±% | |
---|---|---|---|---|---|
PR-DAP | Wong Ho Leng | 18,845 | - | ||
BN-SUPP | Robert Lau Hui Yew | 18,447 | - | ||
BEBAS | Narawi Haron | 232 | - | ||
undi rosak | 395 | - | |||
Majoriti | 398 | - | |||
Peratusan mengundi | 37,919 | 69.33 | - |
Analisis selepas pilihan raya
Teori pendulum pilihan raya Malaysia belum wujud. Mengikut teori ini, selepas 2008, sepatutnya BN akan memang besar pada 2013. Namun selepas dua tahun, bandul itu masih memihak kepada pembangkang.
Kemenangan ini bermakna Wong Ho Leng memegang dua tanggungjawab iaitu ADUN Bukit Assek dan ahli parlimen Sibu. Sebelum ini satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang dari Sarawak ialah Chong Chieng Jen (Kuching). Dalam pilihan raya umum Malaysia 2008, BN memenangi 30 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak.
Pilihan raya umum United Kingdom 2010 dan pilihan raya Filipina 2010 menunjukkan rakyat mahukan perubahan. Adakah pengundi Cina dan pengundi muda mempunyai persepsi yang sama. Keputusan ini akan mempengaruhi pilihan raya negeri Sarawak 2011 kira-kira setahun lagi, namun ia mungkin ditunda lagi ke bulan Julai 2011 atau disamakan dengan pilihan raya persekutuan.
Masyarakat Cina mahukan pendidikan yang lebih baik. Dakwaan ADUN DAP Batu Lintang Voon Le Shan melompat parti pada saat akhir tidak mempengaruhi pengundi. Voon sendiri menafikan beliau melompat parti.
Dr Jeniri Amir menyatakan gelombang politik Cina Sarawak bermula dalam pilihan raya negeri Sarawak 2006 apabila enam calon DAP menang di Kuching. Tsunami ini merebak ke Sibu dan Miri dan mungkin seluruh Sarawak.[15]
Professor James Chin daripada Universiti Monash melihat kepimpinan Abdul Taib Mahmud perlu meletak jawatan. Jika tidak, SUPP akan senasib dengan MCA, Gerakan dan MIC di Semenanjung. Umur pemimpin dunia sekarang sekitar 40-an sahaja, seperti Barack Obama, David Cameron dan Benigno Aquino, Jr. Pemimpin PBB dan SUPP lebih 60 tahun, tidak memenuhi cita rasa pengundi muda yang segar bugar.[17]
Penggunaan media nyata tidak seimbang. Media arus perdana seperti TV3, RTM1, Utusan Malaysia dan Berita Harian jelas memihak. Sementara pemimpin pembangkang menggunakan media Internet untuk mempengaruhi pengundi muda khususnya. Pendekatan menyogok pelbagai projek bagaikan tindakan ala bomba memadam api kebakaran, tetapi tidak memberi kesan jangka panjang. Pengundi Cina ada sikap berdikari yang tinggi, projek mi segera memalukan mereka. Segala projek itu sememangnya hak mereka yang tertunda sekian lama.
Jentera BN kurang berkesan berbanding DAP yang menganjurkan majlis dan ceramah khususnya sebelah malam. Penyokong BN terdiri daripada orang lama dan orang kampung tetapi ditolak oleh pengundi baru dan pengundi bandar.[18]
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi sekali lagi mendesak undi pos dihapuskan kerana ia hanyalah talian hayat.[19]
Taktik DAP meraih simpati tenyata cukup berkesan. Robert Lau Jr adalah jutawan manakala wakilnya Wong Ho Leng, rakyat biasa. Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru pengundi mengundi DAP, memberikan isyarat jelas kerjasama ikhlas DAP-PAS-PKR. Isu lompat parti di Semenanjung langsung tidak mematahkan semangat.
Rujukan
- ^ Sibu polls on May 16 New Straits Times
- ^ a b May 16 For Polling In Sibu By-Election, Nomination On May 8 Bernama
- ^ Sibu by-election to see "Battle of the Mighty Rejang" Sibu By-Election To See "Battle Of The Mighty Rejang" The Star
- ^ "Proses Pengundian Pos Berjalan Lancar Di Ibu Pejabat Polis, Kem Tentera", MStar, 13 Mei 2010.
- ^ Edward R. Henry (16 April 2010). "Sibu by-election will be on May 16, says EC". The Star (Malaysia). Star Publications. Dicapai pada 17 Mei 2010.
- ^ Philip Hii (5 Mei 2010). "Sibu by-election: Independent Narawi Haron is the third candidate". The Star (Malaysia). Star Publications. Dicapai pada 18 Mei 2010.
- ^ SUPP berdepan ujian getir di Parlimen Sibu — Dr Jeniri Amir The Malaysian Insider
- ^ Pilihan raya Sibu, isu 'Allah' tak dibenarkan Malaysiakini
- ^ Pilihanraya Kecil Kawasan Sibu P. 212: Analisis dan Ramalan
- ^ "BN dijangka pertahan kerusi Sibu dengan majoriti kecil" Berita Harian Online
- ^ RASMI...DAP menang majoriti 398 undi Diarkibkan 2008-05-04 di Wayback Machine AgendaDaily
- ^ Sibu: RM926,200 Disediakan Bagi Pembangunan Masyarakat Iban Di Bawang Assan Bernama
- ^ Anggota Rela Sibu rai hari lahir Tan Sri Muhyiddin Berita Harian
- ^ 6,000 hektar tanah NCR di Sungai Pasai, Sibu dimajukan Felcra: PM Berita Harian
- ^ a b DAP rampas kembali Sibu, bayangan benci Taib HarakahDaily
- ^ "DAP berjaya rampas parlimen Sibu" Malaysiakini.com. 14 Mei 2010.
- ^ 'Gagal pertahan Sibu bukti Taib Mahmud ditolak' malaysiakini
- ^ Najib: BN kurang 'kreativitivi' di Sibu malaysiakini
- ^ Pemuda PAS tuntut hapus undi pos HarakahDaily