| Pertempuran Romania | |||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Sebahagian daripada Perang Dunia Kedua | |||||||
Penyerangan Tentera Merah tahun 1943–1944. Pertempuran Romania diliputi oleh kawasan berwarna biru. | |||||||
| |||||||
| Pihak yang terlibat | |||||||
|
|
| ||||||
| Komandan dan pemimpin | |||||||
|
|
| ||||||
| Unit terlibat | |||||||
| |||||||
| Kekuatan | |||||||
| 1,000,000+[1] | 1,000,000+[2] | ||||||
Pertempuran Romania dalam Perang Dunia Kedua merangkumi beberapa operasi ketenteraan di dalam dan sekitar Romania pada tahun 1944, sebagai sebahagian daripada Perbatasan Timur. Dalam pertempuran ini, Tentera Soviet mengalahkan tentera Paksi (terdiri daripada tentera Jerman dan tentera Romania), Romania beralih sokongan kepada Pihak Bersekutu, dan pasukan Soviet serta Romania menolak balik Jerman ke dalam Hungary.
Tentera Soviet memasuki wilayah Romania semasa penyerangan Uman–Botoșani pada bulan Mac 1944, dan menawan beberapa bandar di utara Moldavia, termasuk Botoșani.
Menurut sejarawan David Glantz, Kesatuan Soviet telah cuba menyerang Romania pada musim bunga 1944 melalui wilayah yang kini merupakan negara Moldova. Antara 8 April dan 6 Jun, Tentera Soviet melancarkan penyerangan Jassy–Kishinev Pertama, dinamakan sempena dua bandar utama, Iași (Jassy) dan Chișinău (Kishinev). Beberapa pertempuran berlaku bertujuan untuk memutuskan barisan pertahanan penting Paksi di Utara Romania, bagi membolehkan kemaraan selanjutnya oleh Tentera Merah ke seluruh rantau Balkan. Namun, tentera Soviet gagal menembusi pertahanan Jerman dan Romania. Menurut Glantz, operasi itu gagal terutamanya akibat prestasi tempur Soviet yang lemah serta persiapan pertahanan Jerman yang berkesan.[3]

Serangan utama dalam Pertempuran Romania – penyerangan Jassy–Kishinev Kedua antara 20 Ogos hingga 29 Ogos – berakhir dengan kemenangan Soviet.[4] Tentera Darat Ke-6 Jerman telah dikepung dalam serangan awal Soviet dan dimusnahkan buat kali kedua (kali pertama adalah dalam Pertempuran Stalingrad).
Pada 23 Ogos, Raja Michael dari Romania mengetuai rampasan kuasa terhadap Perdana Menteri Ion Antonescu. Kerajaan baharu menyerah kepada Pihak Bersekutu dan mengisytiharkan perang terhadap Jerman. Sejarawan Romania Florin Constantiniu mendakwa bahawa peristiwa ini mempercepatkan penamatan Perang Dunia II di Eropah selama enam bulan.[5]
Barisan hadapan Paksi runtuh. Di utara, Tentera Darat Ke-8 Jerman berundur ke Hungary dengan kerugian besar. Di tempat lain, ramai tentera Jerman terputus hubungan dan ditawan, termasuk pasukan keselamatan dan antipesawat yang besar di medan minyak Ploiești. Saki-baki tentera Jerman lain melarikan diri ke Hungary sambil bertempur dengan tentera Romania dan Soviet yang mara melalui Pergunungan Karpatos. (Beberapa laluan di banjaran tersebut dikawal oleh tentera Romania.)
Kemenangan Soviet di Romania menyebabkan Bulgaria menarik diri daripada Paksi pada 26 Ogos, dan ini membolehkan Soviet menyerang negara itu pada 8 September.
Menjelang 24 September, hampir seluruh wilayah Romania berada di bawah kawalan Pihak Bersekutu.
Rujukan
- ^ "Г.Ф.Кривошеев (под редакцией). Россия и СССР в войнах XX века: Потери вооруженных сил".
- ^ Mark Axworthy, London: Arms and Armour, 1995, Third Axis, Fourth Ally: Romanian Armed Forces in the European War, 1941–1945, hlm. 145
- ^ Glantz, David M. (2007). Red Storm Over the Balkans: The Failed Soviet Invasion of Romania. University Press of Kansas. m/s. 371–376. ISBN 978-0-7006-1465-3.
- ^ "United Center for Research and Training in History". Bulgarian Historical Review. Publishing House of the Bulgarian Academy of Sciences: 7. 1985.
- ^ (dalam bahasa Romania) Constantiniu, Florin, O istorie sinceră a poporului român ("Sejarah Jujur Bangsa Romania"), Ed. Univers Enciclopedic, București, 1997, ISBN 973-9243-07-X








