Pertempuran Bukit Candu adalah satu pertempuran semasa serangan Jepun ke atas Singapura semasa Perang Dunia II. Pertempuran ini menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani di kalangan pasukan tentera Komanwel.
Pertempuran ini adalah sebagai lanjutan kepada Pertempuran Pasir Panjang yang berlaku pada hari sebelumnya. Pertempuran ini juga menampilkan keberanian askar Melayu, khususnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi yang sanggup berkorban semasa memberikan tentangan berhabis-habisan kepada askar Jepun.
Latar Belakang
Selepas Pertempuran Pasir Panjang, Kompeni “C” dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu diarahkan berundur ke kedudukan Pt. 226 di Bukit Candu. Pemerintah Tentera British mengarahkan pasukan Askar Melayu bertahan di Bukit Candu. Sekiranya kedudukan ini jatuh ke tangan askar Jepun, mereka akan mempunyai laluan terbuka menuju Jalan Alexandra di mana terdapat depoh Tentera British, tempat simpanan peluru dan juga Hospital Alexandra Tentera British.
Setelah pasukan tentera Komanwel di sebelah kiri dan sebelah kanan barisan pertahanan pasukan Askar Melayu berundur ke garisan pertahanan yang baru, pasukan Askar Melayu juga terpaksa berundur. Kompeni “C” di bawah pimpinan Kapten H.R. Rix diperintahkan menduduki kedudukan pertahanan di Pt. 226, Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena terdapatnya sebuah kilang memproses candu milik kerajaan British di kaki bukit ini. Di bukit inilah, Kompeni “C” 1 Melayu membuat pertahanan kali terakhir mereka menghadapi serangan Jepun.
Bedilan berterusan
Kompeni “C” 1 Melayu ditugaskan bertahan di Bukit Candu (kini Kent Ridge). Mereka dibedil berterusan oleh pasukan artileri Jepun yang mahu memberikan sokongan kepada pasukan mereka yang membuat serangan. Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan yang penting kerana ia merupakan kawasan tinggi yang membolehkan pasukan yang menguasai kawasan tersebut dapat melihat keseluruhan Pulau Singapura di sebelah utara. Dan juga, sekiranya Jepun menguasai Bukit Candu, mereka akan boleh mara tanpa halangan ke Jalan Alexandra, yang menempatkan penempatan tentera yang penting.
Kedudukan Kompeni “C” dipisahkan dengan kedudukan Kompeni “D” oleh satu parit besar. Parit berkenaan penuh dengan minyak yang terbakar, akibat tumpahan daripada tangki simpanan di Depoh Normanton. Parit besar yang dipenuhi minyak yang terbakar ini menghalang pengunduran Kompeni “C” ke arah selatan. Kompeni “C” berada di bawah pemerintahan Kapten H.R. Rix, seorang pegawai yang pandai berbahasa Melayu. Kapten Rix menggesa askar-askarnya untuk berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Kapten H.R. Rix terbunuh bersama-sama anak buahnya dalam pertempuran di Bukit Candu.
Askar Jepun cuba menggunakan muslihat untuk memperdayakan askar-askar Melayu yang bertahan di Bukit Candu. Mereka menghantar satu kumpulan askar Jepun yang menggunakan pakaian uniform askar Punjabi untuk cuba menghampiri kedudukan Kompeni “C” Askar Melayu . Tetapi, anggota-anggota kompeni “C” menyedari muslihat ini apabila melihat askar Jepun yang berpakaian uniform askar Punjabi tersebut berkawat dalam barisan berempat-empat dan bukannya dalam barisan bertiga-tiga seperti kelaziman pasukan Tentera British. Mereka dibiarkan hampir ke garisan pertahanan Kompeni “C” Askar Melayu sebelum dihujani dengan peluru dari mesingan Lewis , mengakibatkan kehilangan jiwa yang banyak dan ramai anggota Jepun yang lain cedera. Askar Jepun yang terselamat bergolek dan merangkak turun semula ke tempat selamat untuk menyelamatkan diri mereka.[1]
Serangan Terakhir
Pada jam 4.00 petang, askar Jepun melancarkan serangan habis-habisan ke atas kedudukan Askar Melayu di Bukit Candu. Walaupun hampir kehabisan peluru dan dengan bilangan anggota yang jauh lebih sedikit berbanding dengan bilangan askar Jepun, Askar Melayu terus menentang serangan askar Jepun. Tetapi mereka tidak berdaya menahan serangan daripada pasukan yang jauh lebih besar dan pasukan Jepun terus mara menghampiri kedudukan Askar Melayu . Pelbagai senjata digunakan oleh Askar Melayu yang bertahan di sana, termasuklah bom tangan, pistol dan bayonet.
Leftenan Muda Adnan bin Saidi menggunakan mesingan Lewis untuk menentang askar-askar Jepun dan berjaya membunuh ramai askar Jepun. Walaupun terpaksa bertempur dalam jarak dekat dengan kadangkala terpaksa menggunakan bayonet dan tangan mereka, Askar Melayu terus mematahkan usaha askar Jepun untuk menguasai kedudukan tersebut. Ramai pegawai dan anggota Askar Melayu yang menjadi korban. Leftenan Muda Adnan bin Saidi sendiri cedera parah, tetapi masih berdegil tidak mahu berundur dan terus memberikan tentangan. Keberanian beliau membakar semangat anak-anak buahnya untuk terus berjuang.
Keperwiraan Askar Melayu
Walaupun dilihat sebagai satu kekalahan kepada Askar Melayu, pertempuran ini melihatkan keperwiraan Rejimen Askar Melayu dan daya juang yang tinggi. Ada pihak yang berpendapat sekiranya pasukan artileri Australia yang berada berhampiran diberikan kebenaran membantu pasukan Askar Melayu semasa pertempuran ini, kemungkinan besar keputusannya agak berlainan, dan mungkin perwira-perwira Melayu ini akan mencapai kemenangan.
Mubin Sheppard, seorang pegawai British yang menjadi tawanan perang selepas penyerahan diri Tentera British, menceritakan mengenai sahabatnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi sebagai … “walaupun bilangan musuh jauh lebih ramai daripada bilangan askar-askarnya, dan dia dibom secara berterusan, Adnan terus berjuang dan menyebabkan kemalangan jiwa yang besar di kalangan askar-askar Jepun. Adnan pasti tidak menyerah diri walau apapun yang terjadi. Dia begitu dedikasi kepada perjuangannya. Sebelum pertempuran, dia menyeru anggota-anggota platunnya untuk "biar putih tulang, jangan putih mata".
Walau apapun, Tentera British, Tentera Australia, Tentera India British dan Tentera Jepun sendiri kagum dengan kebolehan Askar Melayu.
Koperal Yaakob, salah seorang daripada hanya beberapa orang askar Melayu yang terselamat semasa Pertempuran Bukit Chandu menyaksikan pembunuhan Leftenan Muda Adnan. Dalam keliru pertempuran, Yaakob rebah dan jatuh di atas mayat askar-askar lain yang terkorban. Dia membuat seperti orang mati.
Menurut Yaakob, tentangan hebat yang diberikan oleh Askar Melayu menyebabkan orang-orang Jepun naik berang dan apabila Adnan ditawan, mereka mengheretnya dan menolaknya masuk ke dalam satu karung guni. Askar Jepun kemudiannya menggantungkan Adnan dengan kaki di sebatang pohon ceri dan menikamnya menggunakan bayonet berulang kali. Leher Adnan juga dikelar berulang kali. Askar Jepun memberikan amaran kepada orang tempatan untuk tidak mengalihkan mayat Adnan, dan mayatnya tidak diusik walaupun lama selepas pertempuran tamat untuk diuruskan pengkebumiannya. [2]
Askar-askar Australia yang bertahan berhampiran dengan Bukit Chandu melihat keberanian Askar Melayu semasa pertempuran. Menurut Leftenan Penrod V. Dean dari pasukan Batalion 2/4 Mesingan, anggota Askar Melayu menggali kubu pertahanan tetapi jelas sekali mereka tidak mempunyai persenjataan yang banyak. Mereka menentang askar Jepun dengan menggunakan senapang sahaja, dan apabila askar Jepun berjaya menembusi benteng pertahanan mereka, askar-askar Melayu melawan mereka menggunakan bayonet. Mereka menyerbu askar Jepun menggunakan bayonet dan berjaya menangkis kemaraan askar Jepun ke arah Reformatory Road. Jelas sekali askar Melayu cukup berani. Mereka berjuang bermati-matian, tetapi bilangan askar Jepun terlalu ramai - untuk setiap orang anggota Askar Melayu ada 10 ataupun 12 orang askar Jepun. Keadaan mereka bagaikan retak menunggu belah.
Kesudahan
Keesokan hari Jeneral A. E. Percival megarahkan Tentera British untuk menyerah diri. Pihak Jepun mengasingkan pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari pasukan askar Melayu. Anggota-anggota lain pangkat dihantar ke Farrer Park untuk bersama-sama dengan askar-askar India. Kapten Rix dan kesemua pegawai British yang bertugas dengan Batalion Pertama Askar Melayu terbunuh.
Burhan Muslim yang tinggal di Bukit Chandu menceritakan beliau bersama sepupunya pergi ke sebuah banglo di Bukit Chandu beberapa hari selepas pertempuran itu. Di dalam salah sebuah banglo di Pepys Lane, beliau melihat mayat-mayat yang dicincang bertaburan. Di dalam sebuah bilik terdapat mayat seorang pegawai Melayu. Lehernya telah dikelar berulang kali dan uniformnya berlumuran darah. Daripada lencana di uniform tersebut Burhan merumuskan mayat itu mayat seorang pegawai. Burhan merasakan mayat itu kemungkinan merupakan mayat Leftenan Adnan.
Sepanjang kempen mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu dan khususnya semasa mempertahankan Singapura pada 12 Februari hingga 14 Februari 1942, Rejimen Askar Melayu mengalami 159 orang pegawai dan anggota yang terbunuh (6 orang pegawai British, 7 orang pegawai Melayu dan 146 orang lain-lain pangkat). Ramai lagi yang cedera. Bilangan askar Jepun yang terbunuh dalam pertempuran dengan askar Melayu tidak diketahui, tetapi bilangannya tentu ramai.
Kesan
Walaupun telah menjadi tradisi bagi Tentera British untuk mewujudkan rejimen-rejimen terdiri daripada rakyat pribumi jajahan yang ditakluki, pihak British hanya bersetuju menubuhkan pasukan Askar Melayu dalam tahun 1936 setelah didesak oleh Raja-Raja Melayu. Apabila perang meletus, banyak pihak termasuk kepimpinan tentera British sendiri meragui keupayaan anggota-anggota Askar Melayu .
Pada keseluruhannya, Pertempuran Pasir Panjang pada amnya dan Pertempuran Bukit Candu khususnya menampilkan keperwiraan anggota-anggota pasukan Askar Melayu , yang sebelum itu diragukan keupayaan mereka sebagai perwira. Menurut penulis British Noel Barber yang mengarang buku “Sinister Twilight”, menggambarkan pasukan Askar Melayu sebagai “sebuah pasukan tentera regular yang terdiri daripada anak-anak watan yang diperintah oleh pegawai-pegawai British yang berbahasa Melayu yang melukiskan kepincangan keputusan British untuk tidak mewujudkan lebih banyak pasukan sepertinya sebelum meletusnya perang, di mana askar-askar terdiri daripada anak-anak watan ini akan bermati-matian mempertahankan tanah air mereka”.
Jeneral A. E. Percival sendiri mengambil maklum bahawa pasukan Askar Melayu telah menunjukkan apa yang dapat dicapai oleh pasukan yang mempunyai semangat esprit de corps dan disiplin diri yang tinggi. Anggota Askar Melayu bertahan di pertahanan mereka sehingga mereka gugur kesemuanya.
Pertempuran Pasir Panjang dan Pertempuran Bukit Candu melibatkan pegawai dan anggota Askar Melayu mencontohkan bentuk pengorbanan tertinggi pasukan tersebut untuk menegakkan “tanggungjawab, kehormatan dan kedaulatan negara”. Pertempuran ini kini dikenangi di sebuah pusat peringatan Reflections at Bukit Chandu di Singapura dikendalikan oleh Arkib Negara Singapura.
Pautan luar
Rujukan
- ^ [http://newspapers.nl.sg/Digitised/Article.aspx?articleid=straitstimes19670213.2.39&sessionid=c247e14fb8934b1e955630826c97fde2&keyword=Pasir+Panjang+AND+battle&lang=ms The Straits Times, 13 February 1967, Page 6, The fire and death on 'Opium Hill', Article also available on microfilm reel NL12190 (Lee Kong Chian Reference Library - On shelf)]
- ^ Singapore in World War II.