Pengenalan
Perkara 151 terletak di bahagian ke-11 Perlembagaan Persekutuan. Bahagian ini berkaitan dengan kuasa khas menentang perbuatan subversif, keganasan terancang, dan perbuatan dan jenayah yang memudaratkan orang awam dan kuasa darurat.
Perkara 151 : Sekatan ke atas tahanan pencegahan
Perkara 151 (1) (a)
Perkara 151(1)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa apabila seseorang ditahan di bawah undang-undang atau ordinan, pihak berkuasa yang atas perintahya perlu dengan segera yang boleh, memberitahu orang itu alasan dia ditahan, tertakluk kepada fasal (3), pengataan fakta yang berasaskan perintah itu dibuat, dan hendaklah memberikan peluang kepadanya untuk membuat representasi terhadap perintah itu dengan seberapa segera yang boleh.
Dalam kes Mohaad Fikri Che Abd Latiff lwn Menteri Dalam Negeri, Malaysia, & yang lain[1], pemohon menghujahkan bahawa dia telah dinafikan hak yang diperuntukkan dibawah Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan nasihat undang-undang dari seorang peguambela semasa pendengaran Lembaga Penasihat. Mahkamah menolak permohonan tersebut kerana pemohon sendiri tidak melantik peguambela untuk mewakilinya walaupun telah dimaklumkan beberapa kali dengan haknya untuk mendapatkan khidmat seorang peguambela.
Perkara 151 (1) (b)
Perkara 151(1)(b) menyatakan bahawa tiada warganegara boleh ditahan seterusnya dibawah undang-undang atau ordinan itu melainkan jika suatu lembaga penasihat[2] yang ditubuhkan sebagaimana yang disebut dalam Fasal (2) telah menimbangkan apa-apa representasi yang dibuat oleh warganegara itu di bawah perenggan (a) dan membuat syor mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan setelah menerima representasi itu, atau dalam tempoh yang lebih lama yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985
Seksyen 3(1)(b) dalam Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (Prosedur Lembaga Penasihat) 1987 menyatakan bahawa apabila pegawai polis menyampaikan suatu perintah tahanan kepada mana-mana orang, dia hendaklah pada masa yang sama memberikan tiga(3) salinan Borang I yang ditetapkan dalam Jadual kepadanya dan mendapatkan suau akuterima mengenai penerimaan daripadanya.
Dalam kes Aw Wei Lin lwn Menteri Dalam Negeri Malaysia & Yang Lain[3], pemohon membangkitkan isu ketidakpatuhan sepada kaedah 3(1)(b) dimana penyampaian tiga salinan Borang I kepada pemohon pada waktu yang sama semasa penyerahan perintah tahanan gagal dibuktikan. Mahkamah berpendapat bahawa kaedah 3(1)(b) tidak menyatakan cara penerimaan tiga salinan Borang I tersebut harus dibuat dan tandatangan pemohon sendiri dianggap sebagai penerimaan boring-borang tersebut, maka isu yang dibangkit bukan merupakan ketidakpatuhan prosedur.
Akta Pencegahan Jenayah 1959
Seksyen 3(2) dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan Jenayah (Tatacara Lembaga Penasihat) 2014 menyatakan bahawa jika seseorang yang ditahan ingin membuat representasi, dia hendaklah melengkapkan tiga(3) salinan Borang 1 dalam masa empat belas(14) hari selepas tarikh ketibaannya di tempat tahanan bagi membolehkan Pegawai yang bertugas mengemukakan satu salinan Borang 1 tersebut kepada Setiausaha.
Dalam kes Mugilan Monyarasu lwn. Menteri Dalam Negeri,Malaysia & Yang Lain[4], pagawai yang menjaga responden keempat telah menyerahkan tiga salinan Borang 1 kepada pemohon bagi tujuan membuat representasi kepada Lembaga Penasihat. Mahkamah berpendapat bahawa walaupun salinan perintah tahanan diserahkan pada 15 April 2015 jam 12.50 malam, ianya tidak menjejaskan hak pemohon untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat mengikut seksyen 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Jenayah (Tatacara Lembaga Penasihat) 2014.
Perkara 151 (2)
Perkara 151(2) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa lembaga penasihat yang ditubuhkan terdiri daripada seorang pengerusi dan dua orang anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Pengerusi tersebut hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang menjadi atau pernah menjadi atau yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau pernah menjadi seorang hakin Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia.
Dalam kes Kaniappa Selvarajoo lwn Timbalan Menteri Dalam Negeri & yang lain[5], pemohon menghujahkan bahawa pendengaran representasi yang dijalanan oleh Lembaga Penasihat adalah tidak sah kerana responden-responden gagal membuktikan bahawa Pengerusi Lembaga Penasihat, Puan Soo Ai Lin adalah seorang yang berkelayakan di bawah per.151(2) Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah memutuskan bahawa pendengaran representasi tersebut adalah tidak sah kerana beliau tidak memenuhi keperluan kedua di bawah peruntukan per.151(2) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 151 (3)
Perkara ini tidak menghendaki mana-mana pihak berkuasa mendedahkan fakta yang pendedahannya pada pendapat pihak berkuasa itu akan bertentangan dengan kepentingan negara.
Lihat juga
Rujukan
Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |