Perang Transfermium ialah nama yang diberikan oleh sesetengah ahli kimia nuklear kepada kontroversi utama yang melibatkan penamaan unsur kimia 104 hingga 106.[1][2] Nama ini diberikan kerana ia berkenaan unsur-unsur selepas fermium (unsur 100) dalam jadual berkala.
Kontroversi ini tercetus kerana pertikaian antara saintis Amerika dan saintis Soviet berkenaan pihak mana yang mengasingkan unsur-unsur ini dahulu. Resolusi akhir bagi kontroversi ini pada tahun 1997 juga menetapkan nama-nama unsur 107 hingga 109.
Kontroversi
Menurut adat kebiasaan, hak penamaan bagi unsur kimia yang baru ditemui diberikan kepada penemu unsur tersebut. Namun, bagi unsur 104, 105 dan 106, terdapat satu kontroversi antara sebuah makmal Kesatuan Soviet dan makmal Amerika berkenaan pihak mana yang telah menemui unsur-unsur tersebut dahulu. Kedua-dua belah pihak mencadangkan nama-nama mereka sendiri bagi unsur 104 dan 105 dan tidak mengiktiraf nama pihak lain.
Nama Amerika untuk unsur 106, seaborgium juga dibangkang oleh sesetengah pihak kerana ia merujuk kepada saintis Amerika Glenn T. Seaborg yang masih hidup ketika nama ini dicadangkan.[3] (Einsteinium dan fermium juga dicadangkan sebagai nama unsur-unsur baru ketika Einstein dan Fermi masih hidup, tetapi nama-nama ini hanya didedahkan kepada umum setelah kematian mereka kerana kerahsiaan sewaktu Perang Dingin.)
Kesatuan Soviet Rusia mahu menamakan unsur 104 sempena Igor Kurchatov, bapa bom atom Soviet, dan ini merupakan satu lagi sebab mengapa nama ini tidak diterima oleh pihak Amerika.
Penentang
Dua kumpulan utama yang terlibat dalam konflik penamaan unsur ini ialah:
- Sebuah kumpulan Amerika di Makmal Lawrence Berkeley
- Sebuah kumpulan Rusia di Institut Gabungan bagi Kajian Nuklear (JINR) di Dubna
dan, sebagai penentu:
- Suruhanjaya Tatanama Kimia Tak Organik IUPAC yang mengusulkan cadangan mereka sendiri kepada Perhimpunan Agung IUPAC.
Kumpulan Jerman di Gesselschaft für Schwerionenforschung (GSI) di Darmstadt, yang telah (tanpa pertikaian) menemui unsur 107 hingga 109, telah dibawa ke dalam kancah kontroversi ini apabila Suruhanjaya telah mencadangkan nama "hahnium" yang pada asalnya dicadangkan untuk unsur 105 oleh kumpulan Amerika digunakan untuk unsur 108 yang GSI telah temui.
Kumpulan | Nombor atom | Nama | Eponim |
---|---|---|---|
Amerika | 104 | rutherfordium | Ernest Rutherford |
105 | hahnium | Otto Hahn | |
106 | seaborgium | Glenn T. Seaborg | |
Rusia | 104 | kurchatovium | Igor Kurchatov |
105 | nielsbohrium | Niels Bohr |
Cadangan
Darmstadt
Nama-nama yang dicadangkan untuk unsur 107 hingga 109 oleh kumpulan Jerman ialah:[4]
Nombor atom | Nama | Eponim |
---|---|---|
107 | nielsbohrium | Niels Bohr |
108 | hassium | Hesse, Jerman |
109 | meitnerium | Lise Meitner |
IUPAC
Pada tahun 1994, Suruhanjaya Tatanama Kimia Tak Organik IUPAC telah mencadangkan nama-nama berikut:
Nombor atom | Nama | Eponim |
---|---|---|
104 | dubnium | Dubna, Rusia |
105 | joliotium | Frédéric Joliot-Curie |
106 | rutherfordium | Ernest Rutherford |
107 | bohrium | Niels Bohr |
108 | hahnium | Otto Hahn |
109 | meitnerium | Lise Meitner |
Cadangan ini telah mencuba untuk meleraikan pertikaian dengan berkongsi nama unsur-unsur yang dipertikaikan antara Rusia dan Amerika, menggantikan nama unsur 104 dengan nama yang menghargai pusat kajian Dubna, dan tidak menamakan unsur 106 bersempena Seaborg.
Bantahan terhadap cadangan IUPAC 1994
Penyelesaian ini mencetus bantahan daripada Persatuan Kimia Amerika (ACS) dengan alasan hak kumpulan Amerika untuk menamakan unsur 106 tidak dipertimbangkan dan kumpulan tersebut sepatutnya mendapat hak untuk menamakan unsur itu dengan nama pilihan mereka sendiri. Sebenarnya IUPAC memutuskan bahawa penghargaan bagi penemuan unsur 106 sepatutnya dikongsi antara Berkeley dan Dubna, tetapi kumpulan Dubna belum mengusulkan nama mereka sendiri.
Berkaitan dengan yang di atas, kumpulan Jerman membangkang cadangan IUPAC menamakan unsur 108 sebagai "hahnium" berdasarkan cadangan pihak Amerika dan membangkitkan semula adat kebiasaan hak penamaan unsur oleh penemu unsur tersebut.[5]
Tambahan lagi, oleh sebab banyak buku Amerika telah menggunakan nama rutherfordium dan hahnium bagi unsur 104 dan 105, ACS membantah penggunaan nama-nama ini untuk unsur-unsur lain.
Penyelesaian (IUPAC 1997)
Akhirnya, pada 1997, nama-nama berikut telah dipersetujui pada Perhimpunan Agung IUPAC ke-39 di Geneva, Switzerland.
- 104 - rutherfordium
- 105 - dubnium
- 106 - seaborgium
- 107 - bohrium
- 108 - hassium
- 109 - meitnerium
Oleh itu, adat kebiasaan membenarkan penemu unsur menamakan unsur yang ditemui dikekalkan bagi unsur 106 hingga 109,[6] dan dua dakwaan yang dipertikaikan "dikongsi" antara dua belah pihak.
Ringkasan
Ringkasan pelbagai cadangan dan keputusan akhir:
Nombor atom |
Sistematik | Amerika | Rusia | German | IUPAC 94 | Nama akhir (IUPAC 97) |
---|---|---|---|---|---|---|
104 | unnilquadium | rutherfordium | kurchatovium | — | dubnium | rutherfordium |
105 | unnilpentium | hahnium | neilsbohrium | — | joliotium | dubnium |
106 | unnilhexium | seaborgium | — | — | rutherfordium | seaborgium |
107 | unnilseptium | — | — | neilsbohrium | bohrium | bohrium |
108 | unniloctium | — | — | hassium | hahnium | hassium |
109 | unnilennium | — | — | meitnerium | meitnerium | meitnerium |
Lihat juga
- Senarai asal-usul nama unsur kimia
- Senarai kontroversi penamaan unsur kimia (beserta Z = 23, 41, 70, 71, 74)
- Nama unsur sistematik
- Tatanama IUPAC
Rujukan
- ^ "The Transfermium Wars". Bulletin of the Atomic Scientists. 51 (1): 5. 1995. ISSN 0096-3402.
- ^ Fox, Stuart (2009-06-29). "What's It Like to Name An Element on the Periodic Table?". Popular Science.
- ^ Seaborg telah memberi komen secara sinis dalam satu perbualan pada tahun 1995 bahawa "Ada sedikit keberatan di sebelah pihak Suruhanjaya bagi Tatanama Kimia Tak Organik Kesatuan Kimia Tulen dan Gunaan Antarabangsa untuk menerima nama tersebut kerana saya masih hidup dan mereka boleh buktikan, katanya." (An Early History of LBNL oleh Dr. Glenn T. Seaborg [1] Diarkibkan 2004-10-21 di Wayback Machine)
- ^ [2] IUPAC verabschiedet Namen für schwere Elemente
- ^ http://www.gsi.de/documents/DOC-2003-Jun-35-5.pdf (dalam bahasa Jerman).
- ^ Kecuali penukaran daripada Nielsbohrium ke Bohrium, selari dengan adat kebiasaan unsur dinamakan bersempena nama keluarga saintis sahaja.