Perang Saudara Toluid | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Perpecahan Empayar Mongol | |||||||
Kejayaan Ariq menumpaskan Alghu | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
Kublai Khan dan sekutunya | Ariq Böke dan sekutunya | ||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
|
Perang Saudara Toluid merupakan perang untuk merebut jawatan pengganti yang tercetus antara Kublai Khan dan adiknya, Ariq Böke dari tahun 1260 hingga 1264. Möngke Khan meninggal pada tahun 1259 dan beliau tidak mengisytiharkan nama penggantinya. Perang saudara ini berlaku gara-gara jawatan Khan Agung yang ingin direbut oleh kerabat keluarga keturunan Tolui. Perang Saudara Toluid diikuti perang-perang saudara yang lain (seperti Perang Berke–Hulagu dan Perang Kaidu–Kublai) melemahkan kekuasaan Khan Agung ke atas Empayar Mongol sebelum empayar tersebut telah berpecah kepada beberapa kekhanan baru.
Latar belakang
Mongke meninggal dunia pada tahun 1259 ketika menjalankan kempen menentang Dinasti Song. Pada masa itu, adik Mongke iaitu Ariq sedang berada di ibu kota Mongol, Karakorum manakala Kublai dan Hulagu sedang berkempen. Kublai memutuskan untuk menghabiskan kempen menentang Song daripada pulang ke Mongolia. Ariq mengisytiharkan dirinya sebagai Khan Agung Mongol sambil disokong oleh keluarga bangsawan yang melihat Kublai terlalu lembut kerana pegangan agama Buddhanya. Setelah mengetahui akan perkara ini, Kublai juga mengisytiharkan dirinya sebagai Khan Agung Mongol dan bergerak menentang abangnya untuk memulakan satu perang saudara.
Sementara itu di barat, pemimpin Gerombolan Kencana iaitu Berke yang telah memeluk agama Islam sama sekali tidak memaafkan penjarahan Baghdad oleh Hulagu. Beliau telah menyerang kawasan Hulagu, Ilkhanate ketika Hulagu dalam perjalanan menuju ke China. Kini, Empayar Mongol berpecah kepada lima bahagian iaitu Angkatan Emas, Ilkhanate, Kekhanan Chagatai, kawasan Kublai dan kawasan Ariq.
Perang saudara
Konflik Perang Saudara Toluid bermula pada tahun 1240 dan berlangsung selama empat tahun sehingga tahun 1244. Sepanjang konflik ini, Kublai telah membuat keputusan mustahak meninggalkan China untuk kembali ke Mongolia. Sementara itu, Dinasti Song merebut kembali wilayah mereka yang telah jatuh ke tangan Kublai hasil kempen penaklukan oleh Kublai di China. Ariq menyerang wilayah Xia Barat tetapi ia berjaya dipatahkan. Kublai lalu mara ke kota Karakorum yang ditinggalkan Ariq dan membakarnya. Pada masa yang sama, Ariq dan Kublai berusaha untuk menamakan calon mereka bagi jawatan takhta Kekhanan Chagatai. Ariq bertembung dengan calon pilihan Kublai lalu membunuhnya. Cucu kepada Chagatai Khan iaitu Alghu telah dipilih untuk menjadi Khan.
Ketika keadaan menjadi bertambah buruk, Alghu meluahkan keengganan untuk menolong Ariq dalam kancah perang saudara dengan Kublai. Bahkan, Alghu telah membunuh utusan Ariq. Walau bagaimanapun, Kublai tidak sempat mengambil kesempatan ini kerana beliau perlu berpatah balik bersama tenteranya ke China untuk meredakan pemberontakan di sana. Perkara ini membolehkan Ariq pergi berperang dengan Alghu. Walaupun Ariq memperoleh kemenangan ke atas pemimpin Kekhanan Chagatai itu, beliau tetap menanggung banyak kerugian.
Ariq memiliki ramai sekutu namun mereka berlaku khianat terhadap Ariq akhirnya. Pengkhianat tersebut termasuklah anaknya sendiri yang telah mencuri Cap Khan Agung lalu menyerahkannya kepada Kublai sebagai tanda kesetiaan. Setelah tidak mempunyai penyokong atau pengikut, Ariq pergi menuju ke kota Shangdu seorang diri dan menyerah kalah kepada abangnya, Kublai.
Rujukan
- Allsen, Thomas (2001). Culture and Conquest in Mongol Eurasia. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-80335-9.CS1 maint: ref=harv (link)
- Allsen, Thomas (1994). "The Rise of the Mongolian Empire and Mongolian Rule in North China". Dalam Denis C. Twitchett; John King Fairbank (penyunting). The Cambridge History of China: Volume 6, Alien Regimes and Border States, 710–1368. Cambridge University Press. m/s. 321–413. ISBN 978-0-521-24331-5.CS1 maint: ref=harv (link)
- Rossabi, Morris (1988). Khubilai Khan: His Life and Times. Los Angeles: University of California Press. ISBN 978-0-520-06740-0.CS1 maint: ref=harv (link)
- Rossabi, Morris (1994). "The reign of Khubilai Khan". Dalam Denis C. Twitchett; John King Fairbank (penyunting). The Cambridge History of China: Volume 6, Alien Regimes and Border States, 710–1368. Cambridge University Press. m/s. 414–489. ISBN 978-0-521-24331-5.CS1 maint: ref=harv (link)