Perang Hamba Ketiga | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Perang Hamba Rom | |||||||
Gambaran gladiator | |||||||
| |||||||
Pihak yang terlibat | |||||||
Pemberontak hamba | Republik Rom | ||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||
Kekuatan | |||||||
120,000 hamba yang terlepas dan gladiator termasuk bukan penempur; jumlah askar tempur tidak diketahui |
3,000+ militia 8 legiun Rom yang terdiri daripada 4,000–6,000 infanti + auxilia Jumlah: 32,000–48,000 infantri + auxilia 12,000 tentera garison (unit tentera yang tidak diketahui) | ||||||
Kerugian dan korban | |||||||
30,000 dibunuh oleh Lucius, 6,000 disalib oleh Crassus, 5,000 disalib oleh Pompey | ~20,000 terkorban |
Perang Hamba Ketiga, juga dikenali oleh Plutarch sebagai Perang Gladiator dan Perang Spartacus merupakan konflik terakhir dalam siri pemberontakan hamba yang dilancarkan ke atas Republik Rom yang disebut sebagai Perang Hamba Rom. Perang yang ketiga ini merupakan satu-satunya konflik yang menembusi tanah besar Rom di Itali. Konflik ini sama sekali mengancam Rom gara-gara angkatan tenteranya gagal untuk mematahkan pemberontakan itu.
Pemberontakan telah bermula pada tahun 73 SM yang dicetuskan oleh kira-kira 70 orang gladiator hamba dari sekolah gladiator di Capua. Mereka menewaskan unit tentera Rom yang kecil dengan mudah yang dihantar untuk menangkap mereka. Selama dua tahun, puak pemberontak itu telah disertai oleh 120,000 orang yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Pemberontak itu juga merupakan sebuah angkatan tentera yang berkesan apabila mereka mampu menangkis dan mengalahkan tentera Rom dari patrol Campania hinggalah militia Rom bahkan legiun Rom yang dilatih di bawah arahan konsul. Puak pemberontak itu menyerbu ke seluruh Itali, menyerang estet dan kota serta kadang-kadang mereka berpecah tetapi masih dihubungkan oleh beberapa pemimpin termasuklah gladiator terkenal, Spartacus.
Senat Rom berasa cemas akan penjarahan dan kejayaan tentera pemberontak. Akhirnya, Rom menghimpunkan lapan buah pasukan legiun dengan bersusah-payah tetapi di bawah kepimpinan Marcus Licinius Crassus yang berkesan. Perang ini tamat pada tahun 71 SM setelah pertempuran yang panjang dan sengit antara tentera Rom dan pemberontak. Dalam pertempuran akhir, tentera Spartacus melancarkan serangan penuh ke atas legiun Crassus selepas menyedari kemaraan legiun Rom yang lain diketuai oleh Gnaeus Pompeius Magnus dan Marcus Terentius Varro Lucullus sebelum semua pemberontak itu ditewaskan secara muktamad. Kemudian, seramai 6,000 hamba yang terselamat telah disalib di sepanjang Jalan Appia.
Catatan Plutarch tentang pemberontakan ini menerangkan bahawa pemberontak sememangnya ingin membebaskan diri dan meninggalkan wilayah Rom melalui Cisalpine Gaul. Appian dan Florus menjelaskan pemberontakan ini sebagai satu perang saudara apabila puak pemberontak berhasrat untuk menawan kota Rom. Perang Hamba Ketiga meninggalkan kesan jangka panjang yang signifikan dalam sejarah Rom yang begitu luas. Pompey dan Crassus meneruskan kejayaan ini untuk melanjutkan kerjaya politik mereka masing-masing, mendapatkan sanjungan rakyat dan melibatkan ancaman legiun untuk mempengaruhi undian konsul pada tahun 70 SM dengan pilihan masing-masing. Tindakan mereka sebagai konsul telah melanjutkan subversif institusi politik Rom dan menyumbang perkembangan Republik Rom berubah menjadi Empayar Rom.
Latar belakang
Kedua-dua Perang Hamba Rom yang terdahulu telah tertumpu di Sicily apabila hak-hak golongan hamba di situ dilucutkan. Namun, masalah dalam konflik kali ini tidak hanya berlaku di Sicily sahaja, tetapi ia tersebar luas sehingga ke Magna Graecia termasuk Selatan Itali. Ribuan hamba telah dikerah bekerja di latifundia iaitu sebuah estet kebun yang luas. Akan tetapi, ramai hamba lain terutamanya yang memiliki pengalaman ketenteraan telah dihantar ke sekolah gladiator iaitu ludi untuk bertarung dalam permainan Rom. Salah satu sekolah gladiator yang terbesar ialah terletak di Capua dan seseorang yang bernama Spartacus telah dihantar ke sana. Spartacus berasal daripada suku Thracia yang berkhidmat sama ada sebagai tentera upahan ataupun auxilia untuk tentera Rom pada sebelum ini. Dalam kejadian yang tidak diketahui, beliau telah dipenjarakan dan dihantar ke sekolah gladiator. Lentulus Batiatus yang merupakan pemilik kepada sekolah itu terkenal dengan sifatnya yang kejam.
Konflik
Pemberontakan di Capua
Jadi pada tahun 73 SM, seramai 200 orang gladiator telah merancang untuk cuba meloloskan diri. Mereka kemudiannya dikhianati tetapi sebelum sempat dihalang, mereka bergelut dalam sepanjang laluan untuk keluar dari sekolah.
Setelah dapat melarikan diri, mereka berhasil merampas senjata dan perisai gladiator. Kemudian, mereka berkubu di luar kota Capua dan bersiap sedia untuk menghadapi ancaman tentera kecil yang dihantar oleh Batiatus untuk menangkap mereka semua. Di sana, Spartacus telah diisytiharkan sebagai ketua manakala Crixus dan Oenomaus yang berasal dari Gaul dijadikan sebagai orang pentingnya. Ketiga-tiga tokoh itu bersama-sama memimpin gladiator untuk bertempur dan menewaskan tentera Batiates sebelum mereka dapat memperoleh peralatan senjata dan perisai musuh dengan sebanyak mungkin.
Dengan ancaman itu segera dipatahkan, gladiator memulakan kegiatan menjarah kawasan luar bandar sekitar Capua, menyerang kawasan estet di kawasan sekitar serta mengumpulkan hamba-hamba di bawah pasukan mereka sekali gus menjadikan bilangan kekuatan mereka mungkin mencecah ribuan orang. Setiap daripada mereka telah dilengkapi dengan senjata yang dirampas sebelum mereka berundur menuju ke kawasan bertahan yang lebih kukuh di Gunung Vesuvius. Apabila pemberontakan tercetus di Campania dan tanah-tanah yang dimiliki oleh ahli politik berpengaruh, Senat melakukan tindakan yang agak pantas berbanding pada konflik Perang Hamba yang lalu. Walau bagaimanapun, pihak Senat masih lagi melihat kejadian ini seolah-olah bukan peperangan atau pemberontakan yang sebenar tetapi sebagai satu siri perompakan yang ringkas.
Senat mula mengorak langkah dengan hanya menghantar Praetor Gaius Claudius Glaber yang tergesa-gesa menghimpunkan 3,000 militia yang bertentangan dengan legiun profesional Rom. Glaber teragak-agak untuk melakukan serangan terhadap tentera musuh terlatih yang bertahan di kawasan bertahan yang kukuh. Sebaliknya, beliau memilih untuk menyekat satu-satunya laluan menuju ke pergunungan dengan harapan Spartacus lantas menyerah. Namun, Spartacus kemudiannya mempamerkan bahawa dirinya merupakan seorang pemimpin licik. Dengan memanfaatkan pokok-pokok menjalar di kawasan itu, tentera Spartacus berjaya menghasilkan tali dan tangga yang panjang sekali gus membolehkan mereka untuk memanjat kawasan curam pergunungan tanpa disedari oleh tentera musuh. Dalam kadar yang pantas, mereka segera mara dari kawasan sekitar kaki gunung dan menyerang tentera Glaber dari arah belakang. Melalui serangan mengejut itu, hampir seluruh pasukan tentera Glaber musnah dengan serta-merta.
Organisasi pemberontakan
Berikutan kejayaan itu, ribuan orang berduyun-duyun menyertai Spartacus. Beliau menjadi seorang pemimpin terkenal sambil membekalkan tenteranya dengan senjata yang telah dirampas dan membahagikan harta rampasan perang yang sama-rata kepada semua tenteranya. Seterusnya, pasukan Rom yang kedua telah dihantar. Kemungkinan pasukan ini terdiri daripada tentera legiun sepenuhnya yang dipimpin oleh Praetor Publius Varinius untuk menentang Spartacus. Namun atas sebab tertentu, Varinius mengambil keputusan untuk membahagikan pasukan tenteranya antara dua Legatus Rom iaitu Cossinius dan Furius. Tentera Furius yang mempunyai kekuatan seramai 2,000 orang dipaksa untuk memberi tentangan tetapi pasukannya dengan segeranya telah ditewaskan. Sementara itu, Cossinius yang memimpin pasukannya untuk menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Furius telah diperangkap musuh semasa beliau sedang bertapak di tepi sungai sebelum dibunuh. Jadi, hanya Praetor Rom yang dapat menyelamatkan dirinya daripada maut.
Selepas meraih kejayaan tersebut, jumlah tentera Spartacus terus bertambah sehingga hampir menjangkau 70,000 orang. Kem tentera Rom yang ditawan juga telah membekalkan kelengkapan senjata kepada tentera Spartacus yang ramai. Dengan angkatan yang begitu besar, Spartacus kini berasa cukup yakin untuk menghabiskan sisa tahun itu untuk menjarah Selatan Itali termasuklah Nola, Nuceria, Thurii dan Metapontum. Kota-kota itu cuba memberikan sedikit penentangan. Dalam satu serbuan, Oenomaus telah terkorban tetapi bilangan tentera Spartacus terus berkembang dan melonjak.
Terkesan akan kejayaan Spartacus yang mengalahkan Praetor dan kawasan berdekatan Rom, Senat benar-benar mengambil keputusan untuk menghantar dua konsul mereka, Lucius Gellius Publicola dan Gnaeus Lentulus Clodianus bersama 20,000 tentera masing-masing untuk mengatasi ancaman pemberontakan yang kini baru disedari oleh Rom sebagai satu pemberontakan yang besar dan berorganisasi. Hakikatnya, kedua-dua konsul itu yang dihantar untuk menentang Spartacus telah menunjukkan betapa takutnya Senat akan Spartacus. Bahkan, pada kemuncak kedua-dua Perang Hamba yang lalu, hanya seorang konsul sahaja yang dihantar.
Kekalahan tentera konsul
Pada permulaan tahun 72 SM, kedua-dua tentera konsul Rom akhirnya mengorak langkah untuk mematahkan pemberontakan. Peristiwa yang berlaku pada tahun itu tidak begitu jelas dan tidak diterangkan secara terperinci. Namun, dilihat bahawa tercetusnya perpecahan antara Spartacus dan Crixus. Crixus menetapkan pendiriannya untuk terus kekal berada di Selatan Itali dengan menjarah kawasan-kawasan luar bandar dan mendapatkan lebih ramai anggota untuk bergabung dengannya manakala Spartacus pula berhasrat untuk mara ke utara dengan kemungkinan melalui Cisalpine Gaul untuk mendapatkan kebebasan. Kesannya, kedua-dua tentera ini berpecah yang mana 30,000 kekal bersama Crixus di selatan manakala baki yang lain mungkin seramai 60,000 orang menuju ke utara mengikuti Spartacus. Perpecahan ini terbukti sebagai halangan pertama yang dihadapi oleh bekas golongan hamba.
Sementara itu, Publicola pula berjaya memerangkap tentera Crixus lalu memaksa mereka untuk bertempur di kawasan berhampiran Gunung Garganus. Tentera Crixus terbukti sebagai sebuah tentera yang menggerunkan tetapi tanpa kepimpinan Spartacus, tentera Rom sukar untuk diatasi. Walaupun mereka berjuang dengan berani dalam keadaan yang sukar, tentera Rom akhirnya berjaya memusnahkan mereka. Seramai 20,000 orang termasuk Crixus telah terkorban manakala sisa yang lain melarikan diri menuju ke kawasan terpencil.
Spartacus meneruskan kemaraannya melangkah ke utara tetapi laluannya telah dihalang oleh Clodianus. Selepas meraih kemenangan mengalahkan Crixus, Publicola dengan pantasnya turut bergerak ke utara sambil berharap Spartacus akan terperangkap di tengah-tengah. Spartacus sedia maklum bahawa sekiranya beliau terperangkap di antara kedua-dua tentera konsul itu akan membawa kepada kehancuran. Jadi, beliau ingin bertempur dengan mereka secara habis-habisan. Pertama sekali, beliau menumpukan perhatian ke arah ancaman yang berada di hadapan mata iaitu Clodianus. Walaupun memiliki angkatan tentera yang lengkap, kelihatan Clodianus telah merendah-rendahkan bilangan tentera yang ada bersama Spartacus. Clodianus juga menganggap bilangan tentera Spartacus seakan-akan menyamai bilangan tentera Crixus. Selanjutnya, beliau sepatutnya melengah-lengahkan laga pertempuran menentang Spartacus untuk memberikan peluang kepada Publicola datang menghulurkan bantuan ketenteraan. Namun sebaliknya, Clodianus memberikan tentangan terhadap lawannya itu. Akan tetapi, kombinasi antara jumlah bilangan tentera dan kepimpinan Spartacus memainkan peranan penting yang membawa kepada kejayaan besar tentera pemberontak.
Bermodalkan kejayaan itu, Spartacus dengan pantasnya berarak untuk berhadapan dengan Publicola sebelum berita tentang kekalahan rakan sejawatnya itu sampai kepada Publicola. Publicola juga menerima nasib yang sama apabila berdepan kekalahan dengan pantas. Kedua-dua tentera konsul Rom itu kemudiannya berundur ke Rom untuk berkumpul semula. Dalam keadaan yang terdesak untuk meraih sedikit penghargaan dan juga untuk mengelak daripada terkena tempias hinaan orang, dua orang konsul itu cuba untuk menggabungkan saki-baki tentera mereka untuk menentang Spartacus sekali lagi di Picenum. Namun, sekali lagi mereka ditewaskan. Kemenangan Spartacus ke atas konsul Rom itu telah menerima kemasukan pengikutnya yang ramai dan bilangan mereka mungkin mencapai 120,000 orang termasuklah orang awam.
Seterusnya, Spartacus berarak menuju ke Rom dengan pasukannya sendiri. Walaupun mempunyai angkatan yang besar, tentera Spartacus tidak memiliki kemahiran kejuruteraan yang diperlukan untuk menguasai kota yang kebal dan kukuh itu. Sebaliknya, bagi mengelakkan terperangkap di dalam musim sejuk di utara Itali, Spartacus sekali lagi beralih ke selatan. Beliau telah menghabiskan masa sepanjang musim sejuk dengan menjarah kawasan luar bandar dan bertukar barangan rampasan dengan perisai dan senjata yang membabitkan urusan antara tentera Spartacus dan para saudagar.
Crassus mengambil arahan
Memasuki tahun ketiga peperangan, dilihat Spartacus menghadapi banyak tentangan tetapi beliau berjaya berjuang dan menewaskan praetor dan konsul di medan pertempuran terbuka. Kesannya, apabila pengundian untuk melantik Praetor Rom diadakan, calon-calon yang layak telah dikemukakan tetapi mereka paling takut akan dipaksa untuk menentang Spartacus. Namun, muncul seorang lelaki yang bernama Marcus Licinius Crassus tampil untuk merebut peluang ini. Crassus merupakan salah satu orang terkaya di Rom dan beliau berjaya melepasi cursus honorum secara berterusan. Crassus tidak asing lagi dalam peperangan kerana beliau pernah berkhidmat sebagai komander Lucius Cornelius Sulla semasa zaman perang saudara pada tahun 82 SM. Namun beliau tahu sekiranya beliau ingin mencapai kedudukan teratas iaitu konsul, beliau perlu memastikan dirinya terlebih dahulu dapat menjayakan kempen ketenteraan secara peribadi. Hasilnya, beliau bersukarela untuk membantu praetor. Malahan, beliau menawarkan kekayaannya untuk menderma dana peperangan. Dengan pantasnya, beliau diberi arahan untuk memimpin peperangan ini dan ditugaskan membuat enam legiun baru yang terdiri daripada saki-baki tentera Publicola dan Clodianus. Secara keseluruhan semua tentera beliau seramai 30,000 hingga 50,000 orang termasuklah legiun dan auxilia.
Arahan pertama Crassus kepada tentera-tenteranya adalah supaya menerapkan disiplin. Hal ini demikian kerana legiun Rom bertempur dengan hambar sewaktu menentang Spartacus lalu memecahkan semangat dan moral berperang sekali gus memalukan Republik Rom. Crassus memahami masalah ini bukan berpunca daripada kekurangan latihan tentera tetapi disebabkan oleh ketakutan tenteranya kepada Spartacus itu sendiri. Jadi, Crassus mengambil keputusan untuk memastikan tenteranya menanamkan lagi rasa takut kepada dirinya. Dengan memimpin dua pasukan tentera konsul yang pernah dikalahkan dengan teruk oleh Spartacus, Crassus memberi arahan supaya mereka dihapuskan. Tentera Crassus berpecah kepada sepuluh bahagian, mencabut undi dan dipaksa untuk membunuh satu daripada sepuluh orang yang bernasib malang apabila namanya telah diundi. Perkara ini merupakan satu bentuk disiplin kuno yang digunakan dalam tentera Rom. Namun kesannya menjadikan tentera Rom menjadi lebih takut kepada Crassus berbanding musuh mereka.
Lantaran itu, Crassus telah mengirim dua buah pasukan legiun di bawah pimpinan salah seorang legates pihaknya, Mummius untuk berarak mengekori tentera Spartacus dari arah belakang. Mummius bertindak demikian untuk membolehkannya memintas tentera musuh semasa mereka sedang berundur. Pada masa yang sama, pasukan Mummius dapat meninjau pergerakan tentera Spartacus dan beliau telah diingatkan dengan tegas supaya tidak melakukan pertempuran. Walau bagaimanapun, Mummius yang menginginkan kemenangan supaya dirinya dapat dijulang bertindak mengingkari arahan tersebut. Beliau menyerang Spartacus dari belakang. Sekali lagi, pasukan legiun tertewas dan Mummius terpaksa berundur kembali kepada Crassus. Crassus segera berang terhadap Mummius atas keingkarannya dan beliau juga memarahi legiun kerana tertumpas. Beliau mengumpulkan 500 orang tentera yang membawa kepada kekalahan itu sebelum mereka semua dibunuh di hadapan saki-baki tentera yang lain.
Kemudian, Crassus mara bersama seluruh tenteranya untuk menentang Spartacus. Walaupun Spartacus baru meraih kemenangan, tetapi beliau gementar apabila berhadapan dengan lapan buah pasukan legiun Crassus yang berjumlah kira-kira seramai 70,000 orang. Sebaliknya yang berlaku apabila Spartacus mengambil keputusan untuk berundur ke Lucania di Selatan Itali. Sementara berada di sana, beliau cuba berunding dengan beberapa orang lanun untuk menuju ke Sicily. Beliau berharap dapat meninggalkan sebahagian tenteranya di selatan Itali untuk membolehkannya mencetuskan pemberontakan lain sambil membawa bantuan ketenteraan. Namun selepas mendapat bayaran, lanun itu mengkhianati Spartacus lantas meninggalkannya. Hal ini memberikan peluang kepada Crassus untuk memiliki kelebihan masa bagi mendapatkan Spartacus berhampiran Rhegium.
Dengan menggunakan saiz dan kemahiran angkatan tenteranya, Crassus telah memulakan pembinaan pagar berkubu dan parit sepanjang terusan yang mempunyai panjang sejauh 37 batu. Tentera Spartacus sering kali mengganggu kerja-kerja pembinaan itu dan ia hanya mendatangkan kesan yang kecil. Spartacus masih lagi bimbang untuk berhadapan dengan semua tentera Crassus yang sedang mara. Apabila kubu itu telah siap dibina, Spartacus mendapati dirinya telah terperangkap dan kekurangan bekalan. Semasa tentera Crassus sedang berbaris, Spartacus cuba untuk fokus satu titik laluan untuk membolehkan mereka melepaskan diri. Namun, ia dihalang oleh kubu Rom lalu membuatkan seramai 6,000 tentera Spartacus terkorban. Dilihat serangan ke atas kubu Rom itu tidak membuahkan hasil. Kemudian, ribut salji tebal melanda pada satu malam sehingga menyukarkan penglihatan mata. Dengan mengambil peluang ini, Spartacus bersama tenteranya menumpukan salah satu titik pada pagar berkubu Rom sebelum mereka menduduki kawasan parit dan menyerang terusan. Akhirnya, seramai 50,000 orang berjaya melepaskan diri menuju ke Lucania dan cuba memberikan tekanan ke atas kota Brundisium.
Bantuan ketenteraan Rom
Senat berasa khuatir setelah mendengar berita ini dan gusar Spartacus akan berjaya mengatasi Crassus lalu berarak ke Rom. Kemudian, mereka menghantar Pompey yang baru pulang menentang pemberontakan dari Sepanyol untuk membantu Crassus. Lebih-lebih lagi, mereka juga telah meminta Marcus Terentius Varro Lucullus, abang kepada Lucius Licinius Lucullus yang lebih terkenal untuk datang memberi bantuan ketenteraan dari kawasan pentadbirannya di Macedonia. Walau bagaimanapun, Crassus masih lagi belum menyelesaikan urusannya. Kira-kira seramai 20,000 tentera dipimpin oleh Gannicus dan Castus masih terperangkap oleh kubu Rom. Perkara ini membuatkan Crassus rasa bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan mereka semua. Crassus menghampiri musuh dengan langkah berwaspada sebelum beliau menghantar dua orang legates dan 6,000 tentera untuk menguasai kawasan tinggi yang terletak di belakang kem musuh secara senyap-senyap. Namun, kehadiran tentera Rom itu telah dikesan oleh orang setempat lalu mereka melaporkan segera kepada Gannicus dan Castus mengenai kedudukan pihak musuh.
Tentera yang terdiri daripada bekas golongan hamba itu dengan pantasnya bertembung dengan tentera Rom. Jumlah bilangan mereka yang jauh lebih ramai membolehkan hampir keseluruhan legiun Rom telah dikepung. Pertempuran ini berlangsung sengit dan tentera Rom begitu terdesak untuk melanjutkan masa membolehkan tentera utama Crassus untuk sampai. Musuh Rom pula berjaya menemui laluan pintas sebelum mengepung tentera-tentera Rom. Mujurlah bagi tentera Rom apabila tentera utama Crassus bergerak dengan pantas tiba tidak lama kemudian. Kini, giliran Cannicus dan Castus pula yang dikepung. Tentera-tentera mereka bertempur dengan garang dan cuba untuk menembusi kepungan Rom. Namun, mereka tidak diberi peluang dan menerima serangan dari semua arah. Sesudah tamatnya pertempuran, seramai 12,000 orang tentera pemberontak telah terkorban. Apabila ancaman ini dapat diatasi, Crassus kini beralih tumpuan ke arah Spartacus berikutan tenteranya menuju ke Brundisium.
Terdapat beberapa pertempuran kecil antara kedua-dua pihak semasa sedang berarak. Crassus telah berselisih dengan kumpulan kecil yang cuba melarikan diri dari Spartacus dan mereka terus memecut melarikan diri. Spartacus pula telah memintas kavalri peninjau Crassus. Namun, sebaik sahaja tentera Spartacus hampir menjejakkan kaki di kota Brundisium, mereka dimaklumkan bahawa Lucullus telah mendarat di kawasan itu dengan membawa bantuan ketenteraan. Spartacus terdesak untuk mengadakan rundingan damai dengan Crassus tetapi ditolak. Sebaliknya, beliau mula berarak bersama tenteranya ke arah utara melalui Campania untuk cuba melarikan diri. Malangnya sekali lagi, beliau mendapat berita bahawa tentera Pompey berada dalam perjalanan dari utara. Hal ini terbukti sebagai penentangan terakhir. Buat selama tiga tahun Spartacus bersama pengikutnya berjuang sebagai orang yang merdeka dan mereka tidak mempunyai keinginan untuk kembali menjadi hamba semula. Kini, ketiga-tiga tentera Rom itu memburunya dari semua arah. Percubaan Spartacus untuk melarikan diri dan bebas agak mustahil. Spartacus bersama tenteranya sebaliknya mara ke arah selatan kembali ke Lucania untuk berhadapan dengan Crassus. Namun, Crassus tidak mahu Pompey dan Lucullus merampas kejayaannya. Jadi, beliau terus mengekori rapat musuh dan kedua-dua pihak ini bertembung di Sungai Silarius di Campania. Pertempuran ini menandakan penentangan terakhir Spartacus bersama tentera-tenteranya.
Kejayaan Crassus
Kedua-dua pihak mempunyai jumlah tentera yang agak padan di mana Spartacus memiliki saki-baki 50,000 tentera manakala Crassus mempunyai 40,000 tentera bersama beribu-ribu tentera kavalri. Sebelum pertempuran bermula, Spartacus telah membunuh kudanya sendiri dengan mengumumkan bahawa sekiranya beliau menang, beliau akan mempunyai banyak kuda lain untuk dipilih. Sekiranya beliau kalah, beliau tidak memerlukannya lagi. Tujuannya jelas iaitu pengunduran bukan satu pilihan. Spartacus akan bertempur sehingga ke titisan darahnya yang terakhir. Spartacus melancarkan serangan ke arah tentera Rom dengan merempuh dinding perisai maniple Rom. Walaupun majoriti tentera Spartacus asalnya merupakan seorang hamba, mereka telah dilatih oleh pengikut gladiator Spartacus dengan menggunakan senjata Rom yang dirampas selain mempunyai tiga tahun pengalaman bertempur menentang legiun Rom. Pertempuran berdarah itu berlangsung lama apabila kedua-dua pihak tidak dapat melakukan kemaraan yang muktamad.
Spartacus telah melihat Crassus berada di atas tunggangan kuda di belakang pegawai Rom lain. Beliau dengan terdesaknya cuba mencari laluan untuk mendapatkan musuhnya itu dengan dua buah centurion Rom yang cuba menghalangnya walaupun beliau sendiri mengalami banyak kecederaan. Walau bagaimanapun, Spartacus akhirnya dikelilingi seorang diri oleh kerumunan tentera Rom dan dibunuh oleh pengawal peribadi Crasus. Kematian Spartacus ternyata memeranjatkan tenteranya lalu menyebabkan barisan tentera Spartacus bercerai-berai. Pada mulanya pertempuran terjadi dengan sengit, medan pertempuran itu kini menjadi tempat mandi berdarah. Penghujungnya, seramai 36,000 tentera pemberontak hamba telah mati terkujur tidak bernyawa berbanding dengan hanya 1,000 tentera Rom yang terkorban. Sisa-sisa pengikut Spartacus pula berjaya melarikan diri ke kawasan pedalaman. Crassus dengan pantasnya memburu mereka semua sebelum 6,000 orang telah ditangkap dan disalib sepanjang Jalan Appia dari Rom hingga ke Capua. Sementara 5,000 orang lagi telah ditangkap oleh tentera Pompey yang datang dari utara sebelum mereka semua dibunuh sekali gus menamatkan Perang Hamba Ketiga.
Kesan
Rom tidak lagi menghadapi pemberontakan hamba dengan skala ini dan Spartacus telah memberi inspirasi kepada ramai yang lain untuk berjuang demi kebebasan sepanjang sejarah. Perang Hamba Ketiga juga sangat penting dalam sejarah Republik Rom. Setelah menawan sisa tentera Spartacus, Pompey mendakwa bahawa dirinya yang sebenarnya meletakkan titik noktah kepada pemberontakan ini lalu berhak mendapatkan sebahagian daripada kejayaan Crassus. Lebih-lebih lagi, kedua-dua jeneral ini bukan hanya mempunyai populariti dengan orang yang berjaya mematahkan ancaman terbesar Rom ini semenjak ancaman daripada Hannibal, tetapi mereka berdua juga mempunyai populariti yang besar ke atas angkatan gergasi Rom yang berada berbatu-batu jauhnya dari gerbang kota Rom.
Hasilnya iaitu pada tahun 70 SM, kedua-dua tokoh itu dilantik menjadi konsul. Crassus tidak sesekali memaafkan Pompey kerana menuntut sebahagian kejayaannya. Akhirnya, Triumvirat Pertama telah dibentuk oleh mereka bersama-sama dengan Julius Caesar. Peristiwa ini telah membawa kepada kejatuhan Republik Rom dan kebangkitan Empayar Rom secara mendadak.
Pautan luar
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Perang Hamba Ketiga |
- Kerja-kerja klasik
- Kerja-kerja di LacusCurtius.
- Appian The Civil Wars.
- Frontinus The Strategemata.
- Plutarch, Life of Crassus
- Plutarch, Life of Pompey
- Kerja-kerja di Livius.org.
- Appian on Spartacus (petikan daripada The Civil Wars).
- Florus on Spartacus (petikan daripada Epitome of Roman History).
- Livy Periochae. 95:2.
- Livy Periochae. 96:1 and 97:1.
- Plutarch on Spartacus (petikan daripada Life of Crassus).
- Kerja-kerja di The Internet Classics Archive.
- Livy Histories
- Kerja-kerja moden
- William Smith, A Dictionary of Greek and Roman Antiquities di LacusCurtius.
- A scanned page version juga terdapat di The Ancient Library.