Kempen Semenanjung Arab | |||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Sebahagian daripada Kancah Timur Tengah Perang Dunia I | |||||||||
Askar Tentera Arab, membawa bendera Pemberontakan Arab | |||||||||
| |||||||||
Pihak yang terlibat | |||||||||
Kerajaan Hijaz United Kingdom | Empayar Uthmaniyah | ||||||||
Komandan dan pemimpin | |||||||||
Faisal Ali Abdullah Edmund Allenby T. E. Lawrence |
Djemal Pasha Fahreddin Pasha Muhiddin Pasha | ||||||||
Kekuatan | |||||||||
30,000 (Jun 1916)[1] | 23,000[1] |
Pemberontakan Arab (1916–1918) (Arab: الثورة العربية Al-Thawra al-`Arabiyya; Turki: Arap İsyanı ) dimulakan oleh Syarif Husain bin Ali dengan tujuan mendapat kemerdekaan daripada Turki Uthmaniyyah dan membentuk satu negeri Arab bersatu yang terbentang dari Aleppo di Syria hingga ke Aden di Yaman.
Latar belakang
Suasana di Turki
Kemunculan fahaman nasionalisme Arab di zaman Empayar Uthmaniyyah bermula pada tahun 1821. Nationalisme Arab berakar di wilayah Mashriq (tanah Arab di sebelah timur Mesir), terutama sekali di wilayah Syam (wilayah Levant). Pandangan politik para nasionalis Arab sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama pada amnya sederhana.
Revolusi Turki Muda bermula pada 3 Julai 1908 dan merebak dengan cepat ke seluruh empayar Turki. Ini menyebabkan sultan memulih kembali perlembagaan 1876 dan memanggil parlimen bersidang. Tuntutan Arab bersifat pembaharuan dan terhad kepada autonomi, penggunaan bahasa Arab yang lebih meluas dalam sistem pendidikan, dan perubahan kepada peraturan pengerahan tentera dalam waktu aman yang membenarkan penugasan tempatan bagi anggota Arab yang berkhidmat dalam tentera Uthmaniyah.
Ahli parlimen Arab dalam parlimen Uthmaniyah menyokong pembubaran Perlembagaan Kedua dan mengembalikan Sultan Abdul Hamid II sebagai raja. Sultan yang digulingkan itu cuba mengambil kembali tampuk kekhalifan dengan menamatkan polisi sekular Turki Muda, akan tetapi digulingkan semula ke Selanik dan akhirnya digantikan oleh saudaranya, Mehmed V Reşad.
Suasana di Hijaz (tanah Arab)
Buat berkurun-kurun lamanya di Hijaz, wilayah barat semenanjung Arab di mana terletaknya bandar-bandar suci Islam Makkah dan Madinah, kuasa berpusat di tangan keluarga Syarif. Ahli-ahli keluarga ini, sebagai orang keturunan Nabi Muhammad, digelar Bani Hasyim. Berlainan daripada kebanyakan wilayah Empayar Uthmaniyah, di Hijaz tidak terdapat banyak fahaman politik yang bersaing di kalangan golongan elit bandar. Ketua-ketua suku kaum bertindak sebagao penghubung kaum mereka dengan syarif dan jarang sekali mencabar kuasanya. Pencabar tunggal syarif ialah vali (gabenur) Uthmaniyah wilayah itu. Vali bertanggungjawab memastikan kedaulatan kerajaan Uthmaniyah di kawasannya. Satu perebutan kuasa timbul antara syarif dan vali; dengan peredaran masa kuasa membuat keputusan berulang-alik di antara vali dan syarif. Secara keseluruhannya suasana politik memberikan syarif pengaruh yang besar dan pada awal abad ke-20, syarif itu ialah Syarif Husain.[2]
Walaupun tidak terdapat bukti yang Syarif Husain berminat akan fahaman nasionalisme Arab sebelum tahun 1916, kemunculan nasionalisme Turki di dalam Empayar Uthmaniyah yang berakhir dengan Revolusi Turki Muda pada tahun 1908 walau bagaimanpun tidak disenangi pihak bani Hasyim dan menyebabkan perselisah faham antara mereka dan para revolusioner Turki Muda Uthmaniyah.[3] Semasa tercetusnya Perang Dunia Pertama Syarif Husain pada mulanya menjadi sekutu Uthmaniyah, tetapi memulakan runfingan dengan pihak British atas nasihat anaknya Abdullah, yang telah menjadi ahli parlimen Uthmaniyah sehingga tahun 1914, dan yang yakin bahawa mereka perlu berpisah daripada pentadbiran Uthmaniyah yang semakin nasionalis.[3][4]
Syarif Husain tidak berpuas hati dengan kuasanya yang terhad dan memulakan perbincangan dengan ketua-ketua suku kaum di wilayah itu, para nasionalis Arab, dan Pesuruhjaya Tinggi British di Mesir, Sir Henry McMahon. Husain maklum bahawa ramai Muslim mempercayai bahawa Syarif Makkah merupakan orang yang layak menjadi khalifah, jawatan yang sekarang disandang ahli keluarga pemerintah Uthmaniyah. Bantuan British yang dijanjikan dalam Persuratan McMahon-Husain meyakinkan Husain bahawa tuntutan beliau menjadi khalifah dan menjadi pemerintah berdaulat tanah Arab itu benar. Lagipun – dan jauh lebih penting – janji-janji yang dibuat pihak British kepada Husain dalam Persuratan Husain-McMahon pada tahun 1915 dan 1916 membuat Husain berfikir sekiranya beliau mengetuai pemberontakan yang berjaya terhadap Uthmaniyah, pihak British akan membantunya menubuhkan Kekhalifahan Arab yang merangkumi sebahagian besar tanah semenanjung Arab, sehingga ke negeri [kini] Turki di utara. Kendatipun pihak British tidak dapat menjanjikan beberapa wilayah yang terdahulunya telah mereka janjikan kepada pihak Perancis, percaturan nampak jelas kepada Syarif Husain dan beliau membuat persediaan untuk melancarkan Pemberontakan Arab.[5]
Angkatan perang
Tentera Arab
Dianggarkan kekuatan angkatan Arab berjumlah seramai 5,000 orang.[6] Bilangan ini mungkin merujuk kepada tentera tetap Arab yang berjuang bersama tentara utama Edmund Allenby, dan Faisal. Jumlah ini bertambah besar pada beberapa ketika, khusunya semasa kempen terakhir di Syria. Ramai orang Arab menyertai Pemberontakan secara sekali-sekala dan tidak berterusan. Mereka menyertai tentera semasa kempen berjalan atau hanya apabila pertempuran berlaku di dalam wilayah mereka.[7] Dalam sergapan Aqaba misalnya, sementara bilangan asal tentera Arab hanya beberapa ratus, lebih seribu oenag lagi daripada suku-suku tempatan menyertai serangan terakhir terhadap Aqaba.
Anggaran kekuatan tentera Hussein berbeza-beza, tetapi sepanjang tahun 1918 sekurang-kurangnya, kekuatan angkatan Faisal dianggarkan seramai 30,000 orang. Tentera Hashim terdiri daripada dua angkatan berlainan: tentera tidak tetap daripada suku-suku kaum Arab yang menjalankan peperangan gerila menentang tentera Uthmaniyyah dan Tentera Sharif, yang direkrut daripada tahanan perang Arab tentera Turki, dan menjalakan peperangan konvensional.[8] Pada waktu awal pemberontakan, angkatan Hussein terdiri daripada ahli suku kaum Badwi dan suku-suku nomad lain, yang bersekutu secara longgar dan lebih taat kepada kabilah masing-masing daripada tujuan utama perang.[9] Badwi tidak akan berjuang jika tidak dibayar terlebih dahulu dengan syiling emas,[10] dan pada penghujung tahun 1916, pihak Perancis membelanjakan 1.25 juta franc untuk membiaya pemberontakan,[9] dan sehingga September 1918, pihak British membelanjakan sebanyak £ 220,000/sebulan sebagai pembiayaan pemberontakan.[9]
Faisal menaruh harapan dapat meyakinkan tentera Arab yang berkhidmat dalam angkatan tentera Turki mendahagi dan menyertai perjuangannya, tetapi kerajaan Turki telah menghantar kebanyakan tentera Arabnya ke barisan hadapan peperangan, justeru hanya segelintir pendahagi menyertai angkatan Arab sehinggalah tempoh kemudian kempen.[11] Pada awalnya tentera Hashim tidak memiliki kelengkapan yang mencukupi, tetapi kemudiannya dibekalkan senjata yang banyak, terutamanya raifal dan mesingan, dari Britan dan Perancis.[12]
Tentera Uthmaniyyah
Tentera Uthmaniyah di Hijaz berjumlah 20, 000 orang sehingga tahun 1917.[11] Semasa pemberontakan bermula dalam bulan Jun 1916, Kor ke-VII Tentera ke-4 Tentera Darat Uthmaniyah disetesenkan di Hijaz dan disertai oleh Divisyen ke-58 Infantri yang diperintah Leftenan Kolonel Ali Necib Pasha, Kuvvie- Mürettebe ("Pasukan Sementara") diketuai Mehmed Cemal Pasha, yang bertanggung jawab menjaga jalan kereta api Hijaz dan Hicaz Kuvvei Seferiyesi ("Pasukan Ekspedisi Hijaz") di bawah pemerintahan Jeneral Fakhri Pasha.[11] Kuvvie- Mürettebe Kedua ditubuhkan pada tahun 1917 oleh sebab serangan yang semakin bertambah.[11] Pasukan Uthmaniyah termasuk beberapa ketumbukan Arab yang masih taat kepada Sultan-Khalifah dan bertempur dengan berani menentang Angkatan Bersekutu.[11] Tentera Uthmaniyah pada awalnya memiliki kelebihan berbanding tentera Hashim kerana mereka dibekalkan secukupnya dengan senjata Jerman.[11] Tambahan pula, angkatan Uthmaniyah mendapat sokongan tentera udara Uthmaniyyah, skuadron udara dari Jerman dan angkatan separa tentera (gendarmerie) Uthmaniyah.[13] Lebih lagi, pihak Uthmaniyah bergantung pada sokongan Ibn Rashid, Raja Ha'il dan kaumnya yang menguasai apa yang kini utara Arab Saudi dan yang mengikat kedua-dua tentera Hashim dan Saud dengan ancaman menjalankan serangan ke atas mereka.[14] Kelemahan ketara angkatan Uthmaniyah ialah mereka berada di penghujung talian perhubungan yang panjang dan tidak berapa kukuh dalam bentuk jalan kereta api Hijaz. Oleh sebab kelemahan logistik ini, mereka sering kali terpaksa bertempur secara defensif ataupun secara bertahan.[11] Serangan Uthmaniyah ke atas tentera Hashim sering kali gagal lebih oleh sebab masalah bekalan daripada tindakan musuh.[11]
Sumbangan utama Pemberontakan Arab kepada peperangan [Perang Dunia Pertama] ialah memerangkap berpuluhan ribu anggota tentera Uthmaniyah yang jika tidak kerananya dapat digunakan untuk menyerang Terusan Suez. Ini membolehkan pihak British menjalankan operasi ofensif tanpa menghadapi risiko serangan balas oleh pihak Uthmaniyah. Sesungguhnya inilah alasan British mencetuskan pemberontakan – satu contoh klasik peperangan tak simetri.
Pertempuran
Pada 5 Jun 1916, dua daripada anak lelaki Syarif Husain, Amir Ali dan Amir Faisal, memulakan bibit-bibit pemberontakan dengan menyerang garison Uthmaniyah di Madinah. namun, serangan itu ditangkis pertahanan Turki yang dipimpin oleh Fakhri Pasha. Pemberontakan sebenarnya bermula pada 10 Jun 1916 apabila Syarif Husain memerintah penyokongnya menyerang garison di Makkah. Dalam Pertempuran Makkah berikutnya, pertempuran jalanan (bandar) berlaku di antara tentera Uthmaniyah yang lebih bilangan anggotanya tetapi lebih baik peralatannya, dengan tentera Husain. Pasukan Hashim diperkukuhkan dengan tentera Mesir yang dihantar oleh pihak British. Pasukan ini memberi sokongan artileri dan akhirnya Makkah ditawan oleh tentera Hashim pada 9 Julai 1916. Tembakan sembarangan artileri oleh pihak Uthmaniyah merosakkan Makkah. Tindakan ini digunakan pihak Hashim sebagai alat propaganda yang berkesan dengan menggambarkan pihak Uthmaniyah sebagai pihak yang merosakkan tempat suci Islam. Pada 10 Jun juga, seorang lagi anak Husain, Amir Abdullah melancarkan serangan ke atas bandar Taif. serangan ini pada mulanya dapat ditangkis pihak Uthmaniyah dan bertukar menjadi kepungan. Abdullah akhirnya dapat menawan Taif selepas dibantu artileri Mesir, pada 22 September 1916.[15]
Angkatan laut British dan Perancis telah megusir bot-bot tempur Uthmaniyah dari Laut Merah pada awal peperangan. Pelabuhan Jeddah diserang 3,500 tentera Arab pada 10 Jun 1916 dengan dibantu tembakan meriam dan pengeboman oleh kapal perang dan kapal terbang British. Garison Uthmaniyah menyerah diri pada 16 Jun 1916. Sehingga hujung bulan September, tentera Arab telah menawan bandar-bandar Rabegh, Yenbo, Qunfida, dan 6000 orang tahanan. Seramai 15 ribu orang tentera Uthmaniyah masih berada di Hijaz.[16][17]
Tahun 1916: TE Lawrence
Dalam bulan Jun 1916 pihak British menghantar beberapa pegawai bagi membantu pemberontakan di Hijaz, terutamanya Kolonel Cyril Wilson, Kolonel Pierce C. Joyce, dan Kolonel Stewart Francis Newcombe. Tambahan pula, misi ketenteraan Perancis yang diketuai Kolonel Edouard Brémond juga dihantar. Pihak Perancis mendapat kelebihan berbanding British kerana misinya termasuk beberapa pegawai Muslim seperti Kapten Muhammand Ould Ali Raho, Claude Prost, dan Laurnet Depui (Prost dan Depui memeluk Islam semasa tempoh perkhidmatan mereka di Arabia). Kapten Rosario Pisani dari Tentera Darat Perancis, walaupun bukan Muslim, juga memainkan peranan penting dalam pemberontakan sebagai seorang pegawai kejuruteraan dan artileri bersama Tentera Utara Arab.[18]
Kerajaan British di Mesir menghantar seorang pegawai muda, Kapten TE Lawrence, ("Lawrence dari Arabia") untuk bertugas bersama pasukan Hashim di Hijaz pada bulan Oktober 1916.[19] Peranan Lawrence sebagai penghubung British dengan tentera Hashim, terutamanya Amir Faisal, sangat masyhur. Namun, sejarawan British David Murphy menulis bahawa walaupun Lawrence hanya seorang daripada ramai pegawai British dan Perancis yang bertugas di Arabia, para sejarawan gemar menulis seolah-olah Lawrence seorang sahaja yang mewaliki perjuangan pihak Bersekutu di Arabia.[18]
Pendapat Murphy disokong oleh seorang ahli sastera danpegawai tentera British dalam Perang Dunia Pertama, Richard Aldington. Dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1955, Aldington, yang tercedera di Barisan Barat pada tahun 1918, menimbulkan skandal kerana beliau menuduh Lawrence sebagai seorang penipu. Namun penulisan terkemudian oleh sejarawan dan pengkaji lain menunjukkan Lawrence sebagai seorang yang berkemampuan mahupun sedikit aneh (eksentrik).[20]
Lawrence mendapat bantuan Tentera Laut Diraja British bagi menangkis serangan Uthmaniyah ke atas Yanbu pada bulan Disember 1916.[21] tetapi pada hakikatnya sumbangan utama Lawrence kepada pemeberontakan ialah meyakinkan ketua-ketua Arab, ([[Faisal I dari Iraq]|Amir Faisal]] dan Amir Abdullah, menyelaraskan tindakan mereka supaya selari dengan strategi British. Lawrence menjalin perhubungan rapat dengan Faisal berbanding Abdullah. Hubungan baik Lawrence dan Faisal membawa manfaat kepada Tentera Utara Arab, yang diketuai Faisal, yang mendapat sebahagian besar bantuan British. Sebaliknya perhubungan Lawrence dengan Abdullah renggang dan hasilnya ialah Tentera Timur Arab Abdullah kurang mendapat bantuan British.[22] Lawrence meyakinkan pihak Arab agar tidak mengusir Uthmaniyah dari Madinah (lihat Pengepungan Madinah) dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada serangan ke atas jalan kereta api Hijaz. Ini mengikat tentera Uthmaniyah yang terpaksa mempertahakan jalan kereta api dan membaiki kerosakan hasil serangan Arab berkali-kali.
Pada 1 Disember, Fakhri Pasha memulakan serangan dengan kekuatan tiga briged dari Madinah, bertujuan untuk menawan bandar pelabuhan Yanbu. Serangan ini berjaya dipatahkan oleh tentera Arab dengan bantuan tembakan oleh lima kapal perang Tentera Laut British. Tentera Syarif berjaya mencederakan dan membunuh membunuh ramai tentera Uthmaniyah – satu kekalahan yang teruk yang dialami tentera Uthmaniyah dalam kempen ini. Fakhri kemudiannya berpaling ke arah selatan dan cuba menawan bandar Rabegh, tetapi disebabkan serangan gerila ke atas laluan bekalannya serta serangan udara oleh Kor Udara Diraja British yang beroperasi dari Yanbo, terpaksa berundur ke Madinah pada 18 Januari 1917.[23]
Dalam masa ini kekuatan Arab meningkat kepada 75 ribu orang dilengkapi dengan 28 ribu raifal dan dibahagikan kepada tiga kumpulan utama. Pasukan Ali mengancam Madinah, Abdullah beroperasi mengasak talian perhubungan serta merampas bekalan Uthmaniyah sementara Faisal berpangkalan di Wejh.[24] Pasukan yang menaiki unta boleh beroperasi dalam lingkungan 1,600 km (1,000 batu), dan membawa kelengkapan serta bekalan makanan sendiri. Mereka mendapt air daripada sistem perigi dengan jaraknya lebih kurang 160 km satu dengan yang lain.[25]
Lewat tahun 1916 pihak Bersekutu menubuhkan Tentera Tetap Arab (Tentera Syarif) yang dianggotai bekas tahanan perang tentera Arab Uthmaniyah. Anggota Tentera Tetap mengenakan pakaian seragam British dengan keffiyah dan berlainan daripada tentera gerila (terdiri daripada anggota suku kaum), berkhidmat sepenuh masa dan menjalankan peperangan konvensional. Beberapa orang bekas pegawai Uthmaniyah yang berkhidmat dalam angkatan adalah Nuri al-Said, Jafar al-Askari dan Aziz Ali al-Misri.[26]
Tahun 1917
Tahun 1917 bermula dengan baik buat pasukan Hasyim dengan serangan hendap ke atas konvoi Uthmaniyah dan rampasan syiling emas bernilai £20,000 oleh Amir Faisal dan Tentera Utara Arab yang diketuainya. Emas tersebut diperuntukkan bagi menyogok kaum Badwi agar menyokong Sultan. Gerila Hasyim mula menyerang landasan kereta api Hijaz pada awal tahun 1917 dan pada awalnya menumpukan usaha mereka kepada meletupkan bahagian-bahagian jalan kereta api yang tidak dikawal. Mejar H. Garland, seorang daripada pegawai British yang menyertai pasukan Faisal telah mencipta sejenis periuk api yang disebut bom Garland. Senjata ini digunakan secara efektif terhadap landasan kereta api Hijaz.[27]
Pada kebiasaannya, serangan Arab melibatkan penggunaan periuk api. Satu contoh serangan biasa ialah operasi yang diketuai pegawai British Newcombe dan Joyce yang pada malam Julai 6/7, 1917, telah meletakkan 500 buah periuk api pada landasan kereta api Hijaz. Kesemua periuk api diletupkan serentak pada lebih kurang jam 2 pagi. Dalam satu serangan pada bulan Ogos 1917, Kapten Raho daripada Misi Perancis mengetuai sepasukan Badwi dan berjaya meletupkan landasan kereta api sepanjang lima kilometer dan empat buah jambatan.[28]
Kegagalan Uthmaniyah menawan Yanbu pada bulan Disember 1916 membawa kepada penambahan kekuatan tentera Hasyim. Tentera Uthmaniyah terpaksa menjalankan operasi pertahanan dan defensif. Namun pada bulan Mac 1917, satu pasukan Uthmaniyah yang disertai anggota suku kaum Kerajaan Ha'il yang diketuai Ibn Rashid menjalankan operasi pembersihan di Hijaz yang menjejaskan pasukan Hasyim dengan teruk mahupun tidak menawan Yanbu.[23] Pada hari-hari kemudian Lawrence mendakwa bahawa kegagalan Uthmaniyah menawan Yanbu merupakan titik perubahan yang memastikan kekalahan Uthmaniyah di Hijaz.[29]
Pada tahun 1917, Lawrence mengatur satu operasi bersama di antara gerila Arab dengan pasukan di bawah pemerintahan Auda Abu Tayi (sehingga saat itu berkhidmat dengan Uthmaniyah). Pasukan bersama ini menyerang bandar pelabuhan Aqaba dalam operasi yang kini disebut Pertempuran Aqaba.
Aqaba merupakan pelabuhan tunggal Uthmaniyah di Lautan Merah dan mengancam rusuk kanan Pasukan Ekspedisi Mesir yang mempertahankan Mesir dan yang sedang bersiap sedia untuk mara ke Maan Sanjak vilayet Syria.[30] Penawanan Aqaba akan mempermudahkan penyaluran bekalan British kepada tentera pemberontakan. Lawrence dan Auda meninggalkan Wedj pada 9 Mei 1917 dan merekrut pasukan daripada Bani Howeitat Syria. Aqaba jatuh ke tangan Arab selepas serangan darat pada 6 Julai dengan pasukan Arab mengalami hanya kecederaan ringan. Lawrence kemudian menunggang 200 km ke Suez bagi menguruskan penghantaran makanan dan bekalan oleh Tentera Laut Diraja untuk 2,500 penduduk Arab dan 700 tahanan perang Uthmaniyah. Tidak lama kemudian bandar Aqaba diduduki sepasukan besar angkatan laut Inggeris dan Perancis (termasuk kapal perang dan pesawat terbang laut), dan penempatan ini kemudiannya memperkukuhkan pegangan Arab ke atas Aqaba.[31]
Lewat tahun 1917, pejuang Hasyim membantu serangan musim sejuk Jeneral Allenby terhadap garisan pertahanan Gaza-Bersheeba yang kemudiannya membawa kepada Pertempuran Beersheba dengan menjalankan serangan kecil-kecilan terhadap kedudukan Uthmaniyah.[32] Satu contoh serangan kebiasaan ialah operasi yang diketuai Lawrence yang berjaya memusnahkan konvoi kereta api Uthmaniyah dengan meletupkan jambatan di Mudawwarah semasa konvoi itu melintasinya, dan kemudiannya menjalankan serang hendap ke atas pasukan Uthmaniyah yang datang untuk membaiki kerosakan.[33] Kemenangan Allenby membawa dengan kepada penaklukan Baitulmaqdis sebelum Hari Natal 1917.
Rujukan
- ^ a b David Murphy, (Ilustrasi oleh Peter Dennis), The Arab Revolt 1916-18: Lawrence Sets Arabia Ablaze, Osprey Publishing, 2008, m/s. 26.
- ^ Ochsenwald, William. Religion, Society, and the State in Arabia: The Hijaz Under Ottoman Control, 1840-1908. Columbus, Ohio: Ohio State University Press, 1984.
- ^ a b Avi Shlaim. Lion of Jordan. Penguin Books, Ltd. ISBN 978-0-14-101728-0.
- ^ Avi Shlaim. Lion of Jordan. Penguin Books, Ltd. ISBN 978-0-14-101728-0.
- ^ Kedourie, Elie. In the Anglo-Arab Labyrinth: the McMahon-Husayn Correspondence and its Interpretations, 1914-1939. Cambridge, New York : Cambridge University Press, 1976.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 34.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 pages 20-21.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 pages 20–23.
- ^ a b c Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 21.
- ^ Michael Korda, Hero: The Life and Legend of Lawrence of Arabia ISBN 978-0-06-171261-6, p. 19
- ^ a b c d e f g h Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 24.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 pages 21-22.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 23.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 15.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008.
- ^ Parnell, Charles L., CDR USN "Lawrence of Arabia's Debt to Seapower" United States Naval Institute Proceedings (August 1979) p.75-76
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 pages 33-35.
- ^ a b Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 17.
- ^ Parnell, Charles L., CDR USN "Lawrence of Arabia's Debt to Seapower" United States Naval Institute Proceedings (August 1979) p.76
- ^ Aldington memasuki tentera pada tahun 1917 dan tercedera di Barisan Barat. Beliau kemudian menjadi ahli kesusasteraan terkenal. Aldington membuat tuduhan dalam bukunya Lawrence of Arabia, A Biographical Enquiry (1955). Perincian di en:http://en.wikipedia.org/wiki/Richard_Aldington (Inggeris)
- ^ Parnell, Charles L., CDR USN "Lawrence of Arabia's Debt to Seapower" United States Naval Institute Proceedings (August 1979) p.78
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 13.
- ^ a b Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 36-38.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 38.
- ^ Parnell, Charles L., CDR USN "Lawrence of Arabia's Debt to Seapower" United States Naval Institute Proceedings (August 1979) p.81
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 pages 14-17.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 pages 43-44
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 45.
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 page 37
- ^ Parnell, Charles L., CDR USN "Lawrence of Arabia's Debt to Seapower" United States Naval Institute Proceedings (August 1979) p.81
- ^ Parnell, Charles L., CDR USN "Lawrence of Arabia's Debt to Seapower" United States Naval Institute Proceedings (August 1979) p.82
- ^ Parnell, Charles L., CDR USN "Lawrence of Arabia's Debt to Seapower" United States Naval Institute Proceedings (August 1979) p.83
- ^ Murphy, David The Arab Revolt 1916-1918, London: Osprey, 2008 pages 56-57.