Noblesse oblige ( /noʊˌblɛs əˈbliːʒ/ ; Perancis: [nɔblɛs ɔbliʒ] ; secara literal bermaksud "bangsawan bertanggungjawab") ialah ungkapan Perancis dari zaman semasa bangsawan Inggeris masih bertutur dalam Bahasa Perancis lagi. Makna ungkapan ini tetap dikekalkan dalam Bahasa Inggeris iaitu bahawasanya bangsawan tidak hanya memikul gelaran semata-mata kerana mereka yang memegang gelaran itu perlu memenuhi tanggungjawab sosial. Sebagai contoh, kewajipan utama seseorang bangsawan ialah bersikap pemurah terhadap orang-orang di sekelilingnya. Oleh kerana rakyat yang tinggal di tanah bangsawan mempunyai kewajipan kepada golongan bangsawan, golongan bangsawan pula mempunyai kewajipan terhadap rakyat mereka iaitu sekurang-kurangnya diberikan perlindungan. Menurut Kamus Inggeris Oxford, istilah ini diberikan definisi: "keturunan bangsawan dikawal supaya mereka mengamalkan tingkah laku terhormat; keistimewaan disertai tanggungjawab."
Dictionnaire de l'Académie française mentakrifkannya seperti berikut:
- Sesiapa yang mengaku mulia hendaklah berkelakuan mulia.
- (Secara kiasan) Seseorang hendaklah bertindak mengikut cara yang sesuai dengan kedudukan dan keistimewaan yang telah dianugerahkan, diperolehi dan/atau dikurniakan sejak lahir.
Maksud dan variasi
"Noblesse oblige" biasanya digunakan untuk menunjukkan bahawa dengan adanya kekayaan, kuasa, dan prestij, akan disertainya tanggungjawab.
Dalam perbincangan etika, istilah itu kadangkala digunakan untuk meringkaskan ekonomi moral di mana sesuatu keistimewaan mestilah diimbangi oleh kewajipan terhadap mereka yang tidak mempunyai keistimewaan tersebut atau yang tidak dapat melaksanakan kewajipan tersebut. Kini, ia telah digunakan untuk merujuk kepada tanggungjawab awam golongan kaya, terkenal dan berpengaruh, terutamanya dalam memberikan contoh tingkah laku yang baik yang melebihi standard kesopanan yang minimum. Ia juga telah digunakan untuk menggambarkan seseorang yang sanggup menanggung kesalahan orang lain demi menyelesaikan isu atau menyelamatkan mereka.