
Naraka (Sanskrit: नरक) adalah tempat seakan neraka dalam kepercayaan agama Hindu (malah merupakan asal perkataan "neraka" dalam bahasa Melayu) di mana orang-orang berdosa diseksa selepas mereka meninggal dunia.[1] Ia juga merupakan tempat Yama, iaitu dewa kematian. Ia digambarkan sebagai terletak di bahagian selatan alam semesta, di bawah bumi.
Konsep
Naraka secara literal bermaksud ‘dunia yang berada di bawah;’ ‘dunia tanpa kegembiraan’.[2]
Mungkin kelihatan pelik, tetapi benar bahawa manusia, sepanjang sejarahnya di planet ini, percaya kepada suatu Kuasa Agung atau ‘Tuhan’ yang memberi ganjaran kepada orang baik dan menghukum orang jahat. Orang baik ialah mereka yang setia mengikuti Hukum seperti yang terdapat dalam Kitab Suci, manakala orang jahat ialah mereka yang melanggarnya. Jika orang baik pergi ke syurga untuk menikmati hasil perbuatan baik mereka, orang jahat pula pergi ke neraka untuk menanggung semua dosa keji mereka melalui penderitaan yang dahsyat.
Dalam Rigveda (10.14.2), Yama dan Varuna disebut sebagai dewa yang mengawasi nasib manusia selepas kematian.
Konsep svarga (syurgaloka) dan naraka (neraka) sering ditemui dalam Upanisad. Sebagai contoh, svarga atau svarga-loka disebut dalam Upanisad berikut: Aitareya 4.6; Brihadaranyaka 4.4.8; Chandogya 3.13.6; Katha 1.12.
Sudah tentu, di sini, ‘svarga’ tidak semestinya hanya bererti syurga dari mana seseorang akan jatuh selepas kehabisan pahala agama. Kadang kala ia juga bermaksud pembebasan, seperti dalam Brihadaranyaka 4.4.8.
Perkataan ‘naraka’ telah ditakrifkan sebagai ‘turun ke bawah’ atau ‘tempat yang langsung tidak mempunyai kegembiraan’.
Nirukta memetik sebahagian ayat daripada Rigveda (khila) (10.106.1) di mana perkataan ‘naraka’ disebut. Menjelang zaman smriti dan dharmasastra, konsep ini sudah agak berkembang.
Dengan merumuskan pelbagai idea tentang naraka atau neraka, dapat dikatakan bahawa Yama (dewa kematian) memerintah dari ibu kotanya yang disebut ‘Samyamani’ yang megah dan indah. Sebahagian daripada ibu kota ini menempatkan pelbagai neraka (bilik penyeksaan?) di mana para pendosa yang dihukum dihantar.
Bilangan neraka berbeza antara tujuh hingga dua puluh satu. Purana-purana kemudian menaikkan jumlah ini kepada 140 atau lebih!
Antara neraka tersebut ialah: Andhata-misra (kegelapan yang membutakan); Tamisra (kegelapan); Raurava (penuh dengan jalan yang membara); Mahavici (ditenggelamkan dalam ombak yang besar); Tapana (panas seperti api); Kakola (dimangsa gagak); Lohasanku (ditusuk dengan paku besi); Asipatravana (dikerat dengan bilah pedang) dan Kumbhipaka (dimasukkan ke dalam periuk besar berisi minyak mendidih).
Tubuh khas diberikan kepada para pendosa (selepas kematian di bumi) di dalam neraka, yang menyebabkan penderitaan dahsyat tetapi tidak musnah.
Gambaran umum
Bhagavata Purana meletakkan Naraka sebagai di bawah bumi: antara tujuh petala (Patala) bawah dan Lautan Garbhodaka yang merupakan dasar alam semesta. Ia terletak di bahagian selatan alam semesta. Pitruloka, di mana nenek moyang yang mati (Pitru) yang diketuai oleh Agniṣvāttā tinggal, juga terletak di rantau ini. Yama, tuan Naraka, tinggal di alam ini dengan para pembantunya.[3] Kitab Devi Bhagavata Purana menyebut bahawa Naraka terletak di bahagian selatan alam semesta, di bawah bumi tetapi di atas Patala. [4] Vishnu Purana pula menyatakan bahawa ia terletak di bawah perairan kosmik di dasar alam semesta.[5] Epik-epik Hindu seperti Mahabharata juga bersetuju bahawa Naraka terletak di Selatan, arah yang dikuasai Yama dan sering dikaitkan dengan kematian. Pitruloka dianggap sebagai ibukota Yama, di mana Yama memberikan keadilannya.[6]
Dewa Kematian, Yama, membahagikan kerja-kerjanya kepada "duta" (utusan) atau "purusha"nya - yamaduta - yang membawa roh semua makhluk kepada Yama untuk diberikan hukuman.[3] Secara amnya, semua makhluk hidup, termasuk manusia dan haiwan, akan dibawa ke singgahsana Yama selepas mati di mana mereka diadili. Bagaimanapun, makhluk yang sangat mulia dibawa terus ke Svargaloka (syurga); terutamanya mereka yang menjalankan kerja amal seperti menderma makanan, mahupun yang sentiasa bercakap benar akan dilepaskan daripada pengadilan Yama. Pahlawan yang mengorbankan diri mereka serta mereka yang mati di tempat suci seperti Kurukshetra juga akan terlepas daripada tindakan Yama.[6] Mereka yang mendapatkan moksha (keselamatan) juga dilepaskan daripada hukuman Yama.[3] Mereka yang murah hati dan zuhud diberi layanan istimewa apabila diadili, mereka yang menyumbangkan pelita sembahyang akan diterangi jalan mereka sementara mereka yang mengerjakan puasa akan diberi tunggangan burung merak dan angsa.[6]
Yama, sang Dewa Keadilan,menghantar orang yang mulia ke Svargaloka yang indah, serta menilai kejahatan orang mati dan menjatuhkan penghakiman lalu menempatkan mereka kepada alam yang sesuai mengikut kesalahan mereka.[3][4] Seseorang tidak dibebaskan daripada Samsara (kitaran kelahiran-kematian) dan mesti dilahirkan semula lagi setelah tempoh nikmatnya yang ditetapkan di Svargaloka atau hukumannya di Naraka berakhir. [3]
Alam Neraka

Terdapat sebanyak 28 alam neraka yang wujud menurut kepercayaan orang Hindu. Nama-nama alam neraka ini diberikan dalam kitab-kitab Hindu. Sifat orang berdosa yang terseksa di dalamnya berbeza daripada kitab ke kitab.
Ringkasan alam neraka menurut Bhagavata Purana dan Devi Bhagavata Purana adalah seperti berikut:[3][4]
Tamisra: Ia menempatkan sesiapa yang merampas kekayaan, isteri atau anak orang lain. Dalam alam gelap ini, pesalah ditambat dengan tali dan tidak diberikan makanan atau air, pesalah tersebut dipukul dan dicela oleh Yamaduta sehingga pengsan.[3][4]
Andhatamisra: Di sini, lelaki yang menipu orang lain serta memperlakukan ahli keluarga orang tersebut diseksa sehingga dia kehilangan kesedaran dan penglihatannya. Penyeksaan digambarkan seakan memotong pokok pada akarnya.[3][4]
Raurava (takut atau neraka ruru ): Menurut kitab-kitab Bhagavata Purana dan Devi Bhagavata, alam ini khusus untuk orang yang mementingkan diri sendiri dan keluarganya sahaja, tetapi sanggup membahayakan hidupan lain serta sering iri hati terhadap orang lain. Makhluk-makhluk hidup yang dicederakan oleh pesalah itu berubah bentuk menjadi makhluk seakan ular dipanggil ruru dan menyeksa orang itu.[3][4] Vishnu Purana menganggap neraka ini sesuai untuk orang yang menjadi saksi palsu dan orang yang berbohong. [5]
Maharaurava: Orang yang gembira dengan kesengsaraan orang lain akan diseksa dengan ruru sengit yang disebut kravyada yang memakan dagingnya.[3][4]
Kumbhipaka: Orang yang memasak dan memakan haiwan serta burung akan dihukum dengan dimasak hidup-hidup dalam minyak mendidih oleh para Yamaduta di neraka ini. Hukuman itu berlangsung selama bertahun-tahun — dan bagi setiap tahun, penderitaan mereka akan ditambah mengikut jumlah bulu atau rambut yang terdapat pada setiap haiwan yang pernah mereka makan.[3][4]
Kalasutra: Menurut Bhagavata Purana, neraka ini diperuntukkan bagi pembunuh brahmana, manakala Devi Bhagavata menyatakan ia untuk mereka yang tidak menghormati ibu bapa, nenek moyang, atau brahmana. Seluruh alam ini diperbuat daripada tembaga panas, dipanaskan dari bawah oleh api dan dari atas oleh matahari. Pendosa di sini dibakar dari dalam oleh lapar dan dahaga, dan dari luar oleh panas yang menyeksa dalam setiap keadaan, sama ada tidur, duduk, berdiri, atau berjalan.[3][4]
Asipatravana / Asipatrakanana: Naraka ini, menurut Bhagavata Purana dan Devi Bhagavata Purana, diperuntukkan bagi mereka yang menyimpang daripada ajaran Veda. Vishnu Purana pula menyatakan ia khusus untuk mereka yang menebang pokok tanpa kawalan. Di sini, para pendosa dipukul oleh Yamaduta dengan cambuk ketika mereka melarikan diri dalam hutan berduri tajam seperti pedang. Luka-luka yang parah membuat mereka pitam atau merintih meminta tolong — namun semuanya sia-sia.[3][4]
Shukaramukha: Neraka ini menempatkan raja atau pegawai yang menghukum orang tidak bersalah, atau menjatuhkan hukuman berat ke atas seorang Brahmin. Para Yamaduta menyeksa mereka dengan menghancurkan tubuh seperti memerah tebu untuk mengeluarkan air. Teriakan mereka mencerminkan penderitaan yang pernah ditimpakan kepada yang tidak bersalah.[3][4]
Andhakupa: Neraka ini diperuntukkan bagi mereka yang berniat jahat terhadap orang lain serta yang menyeksa serangga. Para pendosa dihukum dengan dikerumuni tanpa henti oleh unggas, binatang buas, reptilia, nyamuk, kutu, lalat, cacing dan makhluk lain yang menyakitkan.[3][4]
Krimibhojana/Krimibhaksha: Naraka ini, menurut Bhagavata Purana dan Devi Bhagavata Purana, diperuntukkan bagi mereka yang tidak berkongsi makanan dengan tetamu, orang tua, anak-anak atau para dewa, serta yang makan sendirian tanpa melakukan lima yajna (pañcayajña). Vishnu Purana pula menyatakan ia bagi mereka yang membenci ayah, Brahmin, dewa-dewi, atau memusnahkan permata. Neraka ini berbentuk tasik seluas 100,000 yojana, dipenuhi cacing, di mana para pendosa dijelmakan sebagai cacing dan saling memakan selama 100,000 tahun.[3][4]
Sandansa/Sandamsa: Naraka ini, menurut Bhagavata Purana dan Devi Bhagavata Purana, diperuntukkan bagi mereka yang merompak Brahmin atau mencuri permata dan emas tanpa keperluan mendesak. Vishnu Purana pula menyatakan ia bagi mereka yang melanggar sumpah atau peraturan. Di sini, tubuh pendosa diseksa dengan bola dan penyepit besi yang membara.[3][4]
Taptasurmi / Taptamurti: Seorang lelaki atau wanita yang melakukan hubungan seksual dengan seorang wanita atau lelaki diluar nikah dipukul dengan cambuk dan dipaksa untuk memeluk patung manusia diperbuat daripada besi merah panas.[3][4]
Vajrakantaka-salmali: Neraka ini diperuntukkan bagi mereka yang melakukan hubungan luar tabii dengan haiwan atau melakukan hubungan seksual secara berlebihan. Mereka diikat pada sebatang pokok berduri tajam, lalu ditarik sehingga duri-durinya merobek tubuh mereka dengan kejam.[3][4]
Vaitarni / Vaitarna (diseberang): Sungai ini membentuk sempadan antara Naraka dan bumi, dipenuhi kotoran, air kencing, nanah, darah, rambut, kuku, tulang, daging, lemak, dan makhluk akuatik buas yang memakan pendosa. Menurut Bhagavata Purana dan Devi Bhagavata Purana, ia menanti mereka dari kasta mulia — seperti kshatriya, keluarga diraja, atau pegawai — yang mengabaikan tanggungjawab mereka. Vishnu Purana pula menyatakan ia bagi mereka yang memusnahkan sarang lebah atau memusnahkan sebuah pekan.[5]
Pranarodha: Orang Brahmin, Kshatriya dan Vaishya (kasta pedagang) yang berburu haiwan secara sewenang-wenangnya di hutan akan diperlakukan sedemikian oleh para yamaduta.[3][4]
Visashana: Menurut Bhagavata Purana dan Devi Bhagavata Purana, neraka ini khusus bagi mereka yang sombong dengan pangkat dan kekayaan sehingga mengorbankan binatang sebagai simbol status.Vishnu Purana pula mengaitkannya dengan tukang yang membuat tombak, pedang, dan senjata tajam lain.[5]
Lalabhaksa: Seorang suami dari kalangan Brahmin, Kshatriya, atau Vaishya yang memaksa isterinya meminum air maninya demi hawa nafsu akan dilemparkan ke sungai berisi bendalir tersebut dan dipaksa meminumnya sendiri. Vishnu Purana pula mengaitkan hukuman ini dengan mereka yang memakan barangan pemberian untuk dewa-dewi atau nenek moyang.[5]
Sarameyadana: Penyamun yang membakar rumah, orang yang meracun untuk kekayaan, serta raja atau pegawai yang merampas wang pedagang, membunuh ramai, atau merosakkan negara dihumbankan ke neraka ini. Di sana, 720 anjing ganas bergigi tajam membaham mereka atas perintah Yamaduta.[3][4]
Avici/Avicimat: Orang yang bersumpah palsu atau menipu dalam perniagaan diseksa dengan dilempar berulang kali dari gunung setinggi 100 yojana, dihempas batu tanpa air. Tubuhnya patah berkali-kali tetapi tidak mati, agar sengsara kekal.[3][4]
Ayahpana: Seseorang yang bersumpah palsu atau Brahmin yang meminum minuman keras dihukum di sini. Yamaduta berdiri di atas dada mereka dan memaksa mereka meminum besi cair.[3] [4]
Ksarakardama : Orang yang angkuh dan tidak menghormati orang lebih tua atau lebih tinggi dari segi darjat, pengetahuan, tingkah laku, kasta, atau kedudukan agama akan diseksa di neraka ini.[3][4]
Raksogana-bhojana (makanan Rakshasas): Mereka yang melakukan pengorbanan manusia atau kanibalisme dihukum di neraka ini, di mana mangsa mereka muncul sebagai Rakshasas yang mencincang tubuh mereka dengan senjata tajam, berpesta dengan darah mereka sambil menari dan menyanyi dengan gembira.[3] [4]
Shulaprota: Mereka yang berpura-pura melindungi haiwan tetapi kemudian menyeksanya secara kejam akan dihukum dengan lapar dan dahaga, ditusuk tombak tajam, serta daging mereka direbut dan dimakan oleh burung pemangsa seperti helang dan hering.[3][4]
Dandasuka (ular): Mereka yang dikuasai iri hati dan kemarahan hingga merosakkan orang lain akan dihukum dimakan oleh lima atau tujuh ekor ular beracun di neraka ini.[3][4]
Avata-nirodhana: Mereka yang memenjarakan orang lain di tempat sempit dan gelap seperti telaga atau gua akan dihukum di neraka ini, yang dipenuhi nyalaan api dan asap beracun yang menyesakkan.[3] [4]
Paryavartana: Tuan rumah yang melayan tetamu dengan buruk atau mendera mereka akan dihukum di neraka ini, di mana gagak, hering, dan helang mencungkil serta memakan bola mata mereka tanpa henti.[3][4]
Sucimukha (jarum muka): Mereka yang penuh curiga dan berdosa demi mempertahankan kekayaan akan dihukum dengan seluruh tubuhnya dijahit oleh para Yamaduta.[3][4]
Senarai Neraka menurut Vishnu Purana
Kitab Vishnu Purana memberikan senarai 21 alam neraka seperti berikut: [5]
Rodha: Mereka yang menggugurkan kandungan, membunuh lembu, menyamun atau mencekik seorang sehingga mati dibuang ke sini.
Sukara: Mereka yang membunuh seorang Brahmin, mencuri emas atau ketagihan alkohol serta yang berkaitan dengannya ditempatkan ke neraka ini.
Tala: Mereka yang membunuh seseorang daripada kasta Kshatriya atau Vaishya atau berzina dengan isteri guru agama ditempatkan di sini.
Taptakumbha: Mereka yang menjalinkan hubungan seks dengan kakak atau adik perempuan mereka atau membunuh seorang duta besar akan diseksa dalam neraka ini.
Taptaloha (besi panas): Mereka yang menjual isteri, atau yang mengabaikan pengikut-pengikutnya diseksa di sini.
Mahajwala (api besar): Mereka yang melakukan seks dengan anak sendiri atau menantu akan dijatuhkan ke neraka ini.
Lavana: Orang yang memfitnah gurunya, orang atasannya, atau kitab Veda ditempatkan di neraka ini.
Vimohana (tempat yang membingungkan): Pencuri atau sesiapa yang membenci hari upacara agama yang ditetapkan diseksa di sini.
Krimisha (neraka serangga): Mereka yang menggunakan sihir untuk membahayakan orang lain diseksa di sini.
Vedhaka (menindik): Pembuat anak panah dihukum ke neraka ini.
Adhomukha (kepala terbalik): Neraka untuk pemakan rasuah, yang melakukan kerja nujum dan orang yang menyembah benda yang tidak patut.
Púyaváha (di mana perkara jatuh): Seorang Brahmin yang menjual daging, alkohol dan garam; yang melakukan kekerasan mahupun tidak berkongsi manisannya ditempatkan di neraka ini.
Rudhiradhndha (sumur darah): Penggusti atau peninju yang melakukan keganasan untuk tujuan hiburan, nelayan, pengikut anak haram, mereka yang melakukan jenayah kebakaran, yang meracun, yang membocor maklumat sulit, yang menyihir, yang mengkhianat, yang bersetubuh pada hari-hari suci serta mereka yang hidup hasil pelacuran isteri mereka ditempatkan di sini.
Krishna (gelap / hitam): Penipu, orang yang memasuki kawasan larangan dan orang yang menyebabkan kemandulan dilemparkan ke neraka ini.
Vahnijwala (nyala api): Pembuat tembikar, pemburu dan gembala dihukum di sini.
Shwabhojana (makanan anjing): Seorang pelajar agama yang tidur di siang hari dan orang yang tidak mempunyai pengetahuan rohani dikutuk di sini.
Lihat juga
Rujukan
- ^ Dallapiccola, Anna L. (2002). "Naraka". Dictionary of Hindu Lore and Legend. Thames & Hudson. ISBN 978-0-500-51088-9.CS1 maint: ref=harv (link)
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y z aa ab ac ad Prabhupada. "Bhagavata Purana 5.26". The Bhaktivedanta Book Trust International, Inc. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-11-13. Unknown parameter
|dead-url=ignored (bantuan) - ^ a b c d e f g h i j k l m n o p q r s t u v w x y z aa Mani, Vettam (1975). Puranic Encyclopaedia: A Comprehensive Dictionary With Special Reference to the Epic and Puranic Literature. Delhi: Motilal Banarsidass. m/s. 368–70. ISBN 0-8426-0822-2.
- ^ a b c d e f Wilson, Horace Hayman (1865). "Chapter VI". The Vishnu Purana (Translation). II. London: Trubner & co. m/s. 207–11.
- ^ a b c Hopkins, Edward (1969). Epic Mythology. Motilal Banarasidass. m/s. 108–9.








