Nanas Nenas | |
---|---|
Buah nanas, di atas pokok induk | |
Pengelasan saintifik | |
Domain: | Eukaryota |
Alam: | Plantae |
Klad: | Trakeofit |
Klad: | Monokot |
Klad: | Komelinid |
Order: | Poales |
Keluarga: | Bromeliaceae |
Genus: | Ananas |
Spesies: | A. comosus
|
Nama binomial | |
Ananas comosus | |
Sinonim[1] | |
Senarai
|
Nanas atau nenas (Jawi: نانس , ننس atau ناناس; nama saintifik: Ananas comosus[2]) ialah spesies tumbuhan tropika yang tumbuh asal di kawasan merangkumi sebahagian Brazil, Bolivia, dan Paraguay. Tumbuhan ini berada dalam kumpulan bromeliad, yakni tumbuhan dalam keluarga Bromeliaceae.
Buah nanas merupakan antara buah tropika paling giat ditanam dan didagangkan: hasil tanaman nanas pada tahun 2019 mencecah 28.2 juta tan metrik oleh Costa Rica, Filipina, Brazil, dan Indonesia sebagai negara-negara pengeluar terbesar.[3]
Pada tahun 2016, Costa Rica, Brazil dan Filipina menyumbang hampir satu pertiga daripada pengeluaran nanas di seluruh dunia.[4]
Peristilahan
Nama buah ini dipinjam daripada bahasa Portugis iaitu ananás[5] yang diserap daripada bahasa-bahasa Tupi[6] dan Guaraní yang serumpun iaitu naná.[6] Istilah asal naná adalah nama setempat yang diberikan oleh masyarakat lembangan-lembangan Sungai Paraná dan Paraguay di antara Brazil dan Paraguay moden di benua Amerika Selatan yang mula menanam buah ini.[2][7][8] Buah ini turut diberi nama anana yang bermakna "buah yang sangat baik" ataupun daripada ungkapan Guaraní naná naná yang bermaksud "wangian segala wangian" atau nanā "wangian hebat" (o aroma grande);[9] penutur Guaraní membezakan antara buah tumbuhan iaitu anana daripada keseluruhan tumbuhan ini iaitu nana.[10] Kata Portugis ananás turut diserap sebagai lanas dalam dialek Kelantan.[11]
Masyarakat di Sabah memberi nama seerti baranggi atau puranggi dalam dialek setempat, dipengaruhi oleh bahasa-bahasa asal yang dituturkan di negeri tersebut seperti bahasa Dusun, Rungus dan Bonggi.[12]
Botani
Ia tumbuhan saka yang rendah bak herba dengan 30 atau lebih daun yang panjang, tajam mengelilingi batang yang tebal. Buah nanas tergolong dalam buah bukan klimakterik iaitu hanya masak di pokok.
Taksonomi
Nanas mengandungi lima varieti botani, yang awalnya dianggap selaku spesies berasingan.[13]
Image | Varieties | Distribution |
---|---|---|
Ananas comosus var. bracteatus (L.B.Sm.) Coppens & F.Leal | Brazil, Bolivia, Argentina, Paraguay, Ecuador | |
Ananas comosus var. comosus (Linnaeus) Merrill | Brazil dan Paraguay; disebarkan di sebahagian Asia, Afrika, Australia, Mexico, Amerika Tengah, Hindia Barat, utara Amerika Selatan, dan beberapa pulau di Pasifik | |
Ananas comosus var. erectifolius (L.B.Sm.) Coppens & F.Leal | Peru, Ecuador, Colombia, Venezuela, utara Brazil, Guiana Perancis | |
Ananas comosus var. microstachys (Mez) L.B.Sm.; dipanggil nanas batu | dari Costa Rica ke Paraguay | |
Ananas comosus var. parguazensis (Camargo & L.B.Sm.) Coppens & F.Leal | Colombia, Venezuela, utara Brazil, Guyana, Guiana Perancis |
Sejarah
Penyebaran
Tumbuhan ini tersebar luas dari kawasan asal disebutkan serata benua Amerika Selatan hingga ke utara sejauh Amerika Tengah, Mexico dan Caribbean ditanam dalam kalangan masyarakat-masyarakat Maya dan Aztek.[14] Buah ini dicatatkan penemuannya dalam kalangan orang Dunia Lama oleh Christopher Columbus yang melakukan penerokaannya di pulau Guadeloupe bertarikh 4 November 1493.[15][16]
Pengetahuan mengenai buah ini dikongsi dari pihak Sepanyol kepada Portugis yang memperkenalkan tumbuhan ini ke Asia oleh para pelayarnya abad ke-16; ia mula dibawa ke India tahun sekitar 1540-an.[10][17] Penanaman buah ini mula dicatatkan di pulau Jawa pada 1599 dan di Singapura pada 1888.[10]
Penanaman komersil
Para pedagang Sepanyol memperkenalkan buah ini ke kepulauan Hawaii pada abad ke-18.[18] James Dole memulakan industri penanaman secara besar-besaran di sana selepas berpindah tahun 1899[19] berikutan penggulingan kerajaan sana; suatu ladang nanas 24-hektar (60-ekar) dibukanya tahun 1900 membawa kepada penubuhan Dole Food Company.[20] Syarikat ini antara entiti yang giat selain Del Monte (1917) dan Maui Pineapple Company (1909);[21] Dole juga mempelopori pengilangan dan pengetinan buah nenas pada 1911.[22] Kedua-dua perkembangan ini menjadikan Hawaii sangat sinonim dengan industri nenas dunia bahkan juga terlambang dengan kepulauan tersebut,[23][24] penghasilan ini berterusan dari tahun 1930-an sehingga 1970-an dengan berpindahnya syarikat-syarikat besar tersebut ke tempat lebih berpotensi seperti Costa Rica.[24][25]
Kultivar
Kultivar nanas yang ditanam di Malaysia terdiri daripada 3 kumpulan yang besar iaitu Jenisnanas CAYENE, nanas SPANISH dan nanas QUEEN. Keluasan penanaman nanas di negara terus naik daripada seluas 14,833 hektar (2005) kepada 15,311 (2007) , 15,792 hektar (2009) dan seluas 17,601 (2010) seperti dilaporkan dalam Laporan Agromakanan Kementerian Pertanian 2011.[26] Sebanyak 416,070 metrik tan nanas dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai RM 644.908 juta dengan purata pengeluaran nanas negara sekitar 25.1 metrik tan sehektar. Negeri Johor merupakan pengeluar utama nanas di Malaysia dengan kawasan seluas 9,830 hektar (57% dari keluasan di Malaysia) dan menghasilkan sebanyak 163,830 metrik tan pada tahun 2010. Industri nanas telah lama di usahakan di Johor terutama ditanam di atas tanah gambut untuk di kaleng (ditinkan) atau pun untuk jualan nanas segar.
Kumpulan CAYENE
Kultivar ini mempunyai saiz buah yang besar, mata buah yang rata, isinya berwarna kuning pucat dengan kandungan gula dan asid yang tinggi. Nanas jenis ini menunjukkan pertumbuhan tampang (vegetative growth) yang cepat dengan tepi daunnya halus dan berduri dibahagian hujung sahaja. Nanas jenis ini popular ditanam di banyak lokasi seluruh dunia untuk dikalengkan dan mempuyai bentuk buah yang tirus. Senang sahaja nak kenal nanas ini iaitu nanas Sarawak dan Smooth Cayene daripada saiznya dan bentuknya. Kelebihan jenis ini dikatakan rintang terhadap penyakit reput teras dan juga penyakit buah hantu.
Pokok nanas Sarawak (Di Sarawak nanas ini dipanggil sebagai nanas 'Paun'). Ketinggian pokok sekitar 120 cm dengan bilangan daun sekitar 60 -80 helai semasa pokok tersebut berbunga. Daunya berwarna hijau dengan pigmentasi merah ungu di sepanjang bahagian tengah daun dan ianya berduri tajam di bahagian hujung. Kalau terkena durinya boleh luka dan gatal. Nanas ini mempunyai buah paling besar dengan 2-4 kg sebiji bergantung kepada jenis tanah dan kesuburan pokok. Buah nanas Sarawak berbentuk tirus dengan warna kulit hijau gelap. Maklumat dari ramai petani juga mengesahkan nanas ini kurang resposnsif terhadap hormon pil ANA untuk berbuah kerana jenis ini dipengaruhi suhu dan fotokala untuk berbuah. Kajian saintis menunjukan jenis ini perlukan suhu 20 Celsius dengan sinaran siang yang pendek yang tiada di Malaysia. Jenis nanas ini sentiasa dalam keadaan tampang (Vegetative) sahaja di Malaysia dan sukar untuk di aturkan penghasilan buah nanas Sarawak yang seragam dan komersil. Sesekali dapat makan nanas Sarawak yang cukup masak dan baru dipetik terasa 'LIDAS'.
Kumpulan SPANISH
Nanas Spanish adalah popular ditanam di Malaysia untuk tujuan pengeluaran bagi nanas kaleng (untuk di tinkan). Antara yang memang terkenal ialah kultivar Masmerah dan Gandul. Kedua-dua kultivar ini telah ditanam di Johor. Pokok ini mempunyai 35 - 70 helai daun dengan ketinggian pokok 100 cm. Daunnya mempunyai duri dibahagian hujung dan yang istimewa ialah kerana ia mempunyai banyak 'Tunas Slip' antara 2-12 tunas yang terbit pada pangkal buah. Jambulnya (Crown) nanas ini juga besar dan kadang-kadang terjadi berbilang dan juga menjadi pipih bentuknya. Saiz buah jenis ini sederhana besar sekitar 1.3 kg sebiji yang berbentuk silinder, mata agak dalam dan warna buah hijau bertukar ke ungu gelap atau jingga kemerahan apabila masak. Isinya berwarna kuning keemasan dan berserabut. Buah ini tahan lasak dan tidak mudah lebam walaupun pengendalian lepas tuai yang kasar.
Buah kumpulan Spanish seperti nanas Gandul mempunyai empulur yang kecil dengan diameter sekitar 1.8 - 2.2 cm serta mengandungi kadar gula agak rendah (sekitar 10 -12 darjah Brix sahaja) dan kandungan Asid Sitrik sebanyak 0.3 -0.6% sahaja. Nanas jenis ini kurang diserang penyakit yang lazim menyerang tanaman nanas dan mudah bertindakbalas dengan Aruhan Pembungaan. Lazimnya pil ANA atau pun Etephon akan dibubuh pada pokok yang telah sedia untuk digalakan pembungaan ( Sekitar 8 bulan ). Pokok nanas ini boleh diprogramkan bila masa menanam dan bila masa untuk menuai dengan kiraan yang betul dan jadual penanaman yang boleh di programkan.
Kumpulan Queen
Kultivar Queen merupakan antara yang paling popular ditanam di Malaysia. Nanas Moris ini merupakan nanas yang luas ditanam untuk kegunaan segar dan dimasak untuk dibuat pajeri dan sebagainya. Nama lain dalam kumpulan ini seperti nanas Tailung 2 di Taiwan dan nanas Common Rough, nanas Ripley Queen yang ditanam di Australia. Nanas Moris rasanya manis (Gula antara 13-18 darjah brix) dan bentuk buahnya yang tirus. Nanas ini tidak sesuai untuk dikaleng kerana saiznya kecil dengan tekstur isinya rapuh dan warna kuning keemasan yang menarik bila cukup masak. Pokoknya paling kecil berbanding dengan jenis lain dengan warna daun hijau kebiruan serta ungu dibahagian tengahnya dan mempunyai duri. Buah yang kecil berwarna hijau gelap dan tidak mempunyai slip tetapi mampu menghasilkan sulur (suckers) yang banyak. Kultivar ini mampu menghasilkan buah 1 bulan lebih awal daripada kumpulan Cayene dan Spanish.
Nanas Moris (Nama asal 'Mauritius') merupakan nanas yang ditanam untuk makan segar dengan jangkamasa menuai singkat sekitar 9-10 bulan sahaja. Nanas jenis ini sangat responsif atau bertindakbalas dengan baik terhadap pengaruhan pembungaan menggunakan pil ANA atau bahan hormon yang lain. Penanaman lazim menggunakan bahan tanaman daripada sulur batang yang banyak diperolehi selepas menuai buah dan mencantas daunnya. Varian nanas jenis ini seperti nanas Moris Sungai Balang (16 - 18 Darjah Brix), nanas Moris Slipping (Jenis ini pelik sikit kerana ada slip) dan juga nanas Moris Besar (Buahnya besar sekitar 1.5 - 1.8 kg sebiji).
Penanaman
Di Malaysia, nanas banyak ditanam di negeri Johor, Selangor, Kelantan, dan Pulau Pinang.[27] Nanas ditanam daripada penunasan bahagian atas buah, anak pada pangkal pokok induk atau pangkal buah dan kultur tisu yang dijadikan benih. Burung Kelicap (Hummingbird) merupakan haiwan pendebungaannya .[28]
Antara varieti nanas yang disyorkan untuk ditanam di Malaysia ialah Sarawak, Gandol, Mauritius (Moris), N36 dan Josapine. Hanya varieti Josapine dan N36 berjaya menembusi pasaran eksport Malaysia kerana mempunyai daya tahan yang tinggi. Selain daripada mempunyai permintaan yang baik di pasaran, tanaman nanas juga tergolong dalam kumpulan tanaman yang boleh tahan kepada keadaan kemarau. Iklim untuk pertumbuhan optimum bagi tanaman Nanas ialah pada suhu sekitar 30°C dengan taburan hujan sebanyak 1250 mm setahun.[29]
Kadar pertumbuhan nanas bergantung kepada kelembapan tanah dan pokoknya selalunya tumbuh setinggi 50-150 cm. Tanah yang terlalu kering boleh merencatkan pertumbuhan nanas sementara tanah yang terlalu basah boleh menyebabkan jangkitan kulat dan akar dan pangkal pokok yang busuk. Oleh itu, pengawalan dan pengurusan air dan rumpai penting untuk menjamin pertumbuhan yang baik.
Penghasilan komersil nanas boleh didapati di Malaysia, Filipina, Indonesia, Thailand, Afrika Selatan, Brazil, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Mexico, Puerto Rico dan Taipei.
Khasiat
Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengadungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan.
Perubatan
Buah nanas dimakan atau dibuat jus minuman untuk mencuci tubuh, melawaskan buang air kecil, merangsang penghadaman, sakit kerongkong, masalah hati dan demam kuning. Air nanas muda sesuai digunakan untuk rawatan pelbagai penyakit paru-paru dan membunuh cacing dalam perut. Nanas bagaimanapun tidak sesuai untuk ibu yang mengandung.
Nanas dipercayai mampu boleh merawat barah. [perlu rujukan] Dua molekul daripada nanas menunjukkan hasil yang baik bagi melawan pertumbuhan barah. Antara kajian yang sedang giat dilakukan adalah berkenaan dengan kandungan bromelain dalam nanas yang didapati dapat mengelak barah.[30]Salah satu molekul yang dikenali sebagai CCS menghalang protin yang dikenali sebagai Ras dan satu lagi yang dikenali sebagai CCZ mengukuhkan sistem imuniti badan pesakit bagi melawan sel barah.[perlu rujukan] Buah ini mempunyai kandungan vitamin A, B, dan C yang tinggi.
Kegunaan lain
Buah dan pokok nanas boleh dijadikan sumber komersial asid organik seperti asid askorbik, asid malik dan asid sitrik. Batang dan buahnya pula boleh digunakan untuk melembutkan daging. Serabut nanas pula yang diperoleh dari daun nanas boleh dibuat kain yang berkualiti selalunya boleh didapati di Filipina dan Taipei.
Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat atasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Amalan minum jus nanas, juga berkesan untuk atasi masalah kencing tidak lawas. Enzim yang terdapat pada buah nanas dikatakan boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta hapuskan fibrin yang boleh bawa sakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid serta berkesan dalam mengatasi masalah pencernaan, pundi kencing, cacing dan kelesuan tubuh badan.
Lihat juga
Rujukan
- ^ "The Plant List: A Working List of All Plant Species". Dicapai pada 25 Julai 2014.
- ^ a b Morton, Julia F (1987). "Pineapple, Ananas comosus". Center for New Crops & Plant Products. Purdue University. Dicapai pada 22 April 2011.
- ^ "Pineapple production in 2019, Crops/Regions/World list/Production Quantity (pick lists)". UN Food and Agriculture Organization, Corporate Statistical Database (FAOSTAT). 2020. Dicapai pada 3 Mac 2021.
- ^ "Pineapple production in 2016, Crops/Regions/World list/Production Quantity (pick lists)". UN Food and Agriculture Organization, Corporate Statistical Database (FAOSTAT). 2017. Retrieved 23 February 2018.
- ^ Dalgado, Sebastião Rodolfo (1988). Portuguese Vocables in Asiatic Languages. New Delhi: Asian Educational Services. m/s. 16.
- ^ a b Navarro, Eduardo de Almeida (2013). "naná". Dicionário de tupi antigo: a língua indígena clássica do Brasil. São Paulo: Global. m/s. 326.
- ^ Bertoni, "Contributions a l'étude botanique des plantes cultivées. Essai d'une monographie du genre Ananas", Annales Cient. Paraguay (2nd series) 4 (by1919:250–322).
- ^ KF Baker, JL Collins, "Notes on the distribution and ecology of Ananas and Pseudananas in South America", American Journal of Botany, 1939; Collins, The pineapple: botany, utilization, cultivation, (London:Leonard Hill) JL. 1960.
- ^ Revista de Portugal: Língua Portuguesa. Série A. (dalam bahasa Portugis). Tipografia de Editorial Império, Lda. 1957. m/s. 390.
- ^ a b c Sanewski, Garth M.; Bartholomew, Duane P.; Paull, Robert E., penyunting (2018). The Pineapple, 2nd Edition: Botany, Production and Uses. Boston: CABI. m/s. 1–3. ISBN 9781786393302.
- ^ "lanas". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
- ^ Lobel, Jason William (2016). North Borneo Sourcebook: Vocabularies and Functors. Honolulu: University of Hawaii Press. m/s. 177. ISBN 9780824857790.
- ^ Bartholomew, D. P.; Paull, Robert E.; Rohrbach, K. G. (2002). The Pineapple: Botany, Production, and Uses (dalam bahasa Inggeris). CABI. m/s. 23. ISBN 9780851999791.
- ^ Pickersgill, B (1976). "Pineapple". Evolution of Crop Plants, N. W. Simmonds, Ed.
- ^ Morrison, S.E. (1963). Journals and Other Documents of the Life of Christopher Columbus. Heritage Press.
- ^ Rohtbach, GKG; Leal, F. (2003). "Chapter 1: History, distributions and World Production". Dalam Bartholomew, DP; Paull, RE; Rohrbach, KG (penyunting). The Pineapple: Botany, Production, and Uses. Wallingford, UK: CABI Publishing. m/s. 21. ISBN 978-0-85199-503-8.
- ^ Collingham, L (2007). Curry: a Tale of Cooks and Conquerors. Oxford: Oxford University Press. ISBN 978-0-19-532001-5.
- ^ Brad Matthews; Paul Wigsten (9 February 2010). Kitchen Pro Series: Guide to Produce Identification, Fabrication and Utilization. Cengage Learning. m/s. 269. ISBN 978-1-4354-0121-1.
- ^ Hawkins, Richard (2007). "James D Dole and the 1932 Failure of the Hawaiian Pineapple Company". Hawaiian Journal of History. 41: 149–170.
- ^ "Pineapple". Faculty.ucc.edu. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 December 2009. Dicapai pada 6 December 2009.
- ^ "Sunrise, Sunset". Hawaii Business. 46 (2): 60. 2000.
- ^ Rohtbach, GKG; Leal, F. (2003). "Chapter 1: History, distributions and World Production". Dalam Bartholomew, DP; Paull, RE; Rohrbach, KG (penyunting). The Pineapple: Botany, Production, and Uses. Wallingford, UK: CABI Publishing. m/s. 21. ISBN 978-0-85199-503-8.
- ^ Huard, Mallory (12 November 2019). "In Hawaiʻi, Plantation Tourism Tastes Like Pineapple". Edge Effects. Dicapai pada 3 Julai 2021.
- ^ a b The Agriculture of Hawaii: Hawaii Pineapples, To-Hawaii.com; accessed 2018.08.28.
- ^ E.g., Duane P. Bartholomew, Richard A. Hawkins, and Johnny A. Lopez, "Hawaii Pineapple: The Rise and Fall of an Industry Diarkibkan 30 November 2017 di Wayback Machine", HortScience Vol. 47, No. 10, pp. 1390-1398 (October 2012).
- ^ [https://web.archive.org/web/20120413053523/http://www.doa.gov.my/web/guest/dasar_agromakanan Diarkibkan 2012-04-13 di Wayback Machine Laporan Dasar Agromakanan.
- ^ Asal usul Nanas[pautan mati kekal]. Lembaga Nanas Malaysia. Diambil 8 januari 2012.
- ^ Nanas di Malaysia
- ^ September 2008. Risalah Siri Panduan Kualiti Nanas. FAMA.
- ^ Katya, C., A.B Vernallis and A.A. Fadzilah. 2010. Bromelain’s activity and potential as an anti-cancer agent:Current evidence and perspectives Diarkibkan 2011-11-11 di Wayback Machine. Cancer Letters 290:148–156.