Dato' Mohd Saleh Ahmad | |
---|---|
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia | |
Dalam jawatan 2003–2007 | |
Didahului oleh | Abdul Ghani Samsudin |
Digantikan oleh | Abdul Halim Abdul Kadir |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Md Salleh bin Ahmad 5 Julai 1947 Kampung Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Pulau Pinang |
Mati | 27 Mac 2022 Sungai Bakap, Seberang Perai, Pulau Pinang | (umur 74)
Mohd Saleh Ahmad (lahir di Kepala Batas, Seberang Perai, 5 Julai 1947 – meninggal di Sungai Bakap, Seberang Perai, 27 Mac 2022 pada umur 74 tahun) ialah seorang ulama Islam dari Malaysia. Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia pada 2003 hingga 2007.
Latar belakang dan pendidikan
Mohd Saleh dilahirkan pada 5 Julai 1947 di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang. Beliau ialah anak kepada tokoh agama, Tuan Guru Haji Ahmad Kampung Petai, dan adik kepada mufti Hassan Ahmad[1], dan abang kepada bekas menteri Malaysia, Idris Ahmad.[2]
Beliau mendapatkan pendidikan awal di Taiping,Perak dan menyambung pengajian menengah di Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah pada 1959 hingga 1966. Kemudian beliau menyambung pengajian ke Madrasah Irsyadiah, Batu 26 Batu Gajah, Perak pada 1967 hingga 1968. Pada 1969, beliau menyambung pengajian ke Maktab Pengajian Islam, Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan. Kemudian menyambung ke Fakulti Syariah dan Undang-undang, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri pada 1970 hingga 1974, dan memperoleh ijazah sarjana muda syariah dan undang-undang.
Kemudian, beliau menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar dengan biasiswa daripada kerajaan negeri Kelantan. Beliau menerima ijazah sarjana muda syariah pada 1976, dan ijazah sarjana fiqah perbandingan pada 1978.
Kerjaya
Sekembali dari Mesir, beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan dari 1979 hingga 1981. Apabila Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan diambil alih oleh Univerisiti Malaya, beliau menyambung tugas sebagai pensyarah di Fakulti Syariah, Akademi Pengajian Islam UM (APIUM). Beliau dinaikkan pangkat ke profesor madya pada 29 Jun 1996. Sepanjang berada di APIUM, beliau pernah memegang jawatan seperti penyelaras program pendidikan Islam, timbalan dekan fakulti syariah, dekan fakulti syariah dan ketua jabatan fiqh dan usul (bahagian pengajian syariah). Beliau berkhidmat hingga 27 Julai 2004.
Beliau juga pernah menjadi ahli jawatankuasa fatwa di beberapa negeri Malaysia seperti Perak[1], Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang. Beliau turut terlibat menjadi ahli panel kajian syariah JAKIM, dan ahli majlis pengawasan syariah bagi bank diMalaysia seperti Bank Rakyat (2000-2004) dan Bank Muamalat (2002-2006).
Anugerah dan pengikirafan
- Perak
- Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P.) - Dato' (2007)
- Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak - 1424H/2003M
- Pulau Pinang
- Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang - 1431H/2009M.
- Malaysia
- Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan - 1436H/2015M
Meninggal dunia
Mohd Saleh meninggal dunia pada 27 Mac 2022 di kediamannya di Sungai Bakap, Seberang Perai.[2]
Rujukan
- ^ a b Muhamad, Mokhtaruddin; Kusrin, Zuliza Mohd; Samsuddin, Muhammad Adib (2018-05-01). "Background And Personality Of Dato' Salleh Bin Hj Ahmad: Latar Belakang Dan Personaliti Dato' Salleh Bin Hj Ahmad". al-Qanatir: International Journal of Islamic Studies (dalam bahasa Inggeris). 10 (1): 14–30. ISSN 2289-9944.
- ^ a b Wanti, Tun Puteh (2022-03-27). "Abang Menteri Agama meninggal dunia". WacanaKini (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-12-02.