Satu babak dari novel, dilukis oleh Xu Baozhuan (1810–1873) | |
| Umum | |
|---|---|
| Pengarang | Cao Xueqin |
Tajuk asal | 紅樓夢 |
| Negara | China |
| Bahasa | Bahasa Cina |
| Genre | Saga keluarga |
Tarikh penerbitan |
|
Diterbitkan dalam bahasa Inggeris | 1868, 1892; 1973–1980 (terjemahan Inggeris lengkap pertama) |
| Kawalan kewibawaan | |
| 895.1348 | |
| Mimpi di Mahligai Merah | |||||||||||||||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
"Mimpi di Mahligai Merah" dalam huruf Cina Tradisional (atas) dan Mudah (bawah) | |||||||||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Tradisional | 紅樓夢 | ||||||||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Ringkas | 红楼梦 | ||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||
| Alternative Chinese name | |||||||||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Tradisional | 石頭記 | ||||||||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Ringkas | 石头记 | ||||||||||||||||||||||||||
| Maksud harfiah | "Catatan Batu" | ||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||
Mimpi di Mahligai Merah merupakan sebuah novel Cina abad ke-18 yang ditulis oleh Cao Xueqin, yang dianggap sebagai salah satu daripada Empat Novel Klasik Agung dalam sastera Cina. Novel ini terkenal kerana ruang psikologinya dan pemerhatiannya terhadap pandangan dunia, estetika, gaya hidup, dan hubungan sosial pada zaman Dinasti Qing yang maju.[1]
Plotnya yang rumit menggambarkan naik turun sebuah keluarga yang serupa dengan keluarga Cao sendiri dan, secara tidak langsung, dinasti itu sendiri. Cao menggambarkan kuasa bapa ke atas keluarga, tetapi novel ini bertujuan sebagai peringatan kepada wanita-wanita yang dikenali beliau semasa muda: rakan-rakan, saudara mara dan pembantu rumah. Pada tahap yang lebih mendalam, pengarang meneroka persoalan keagamaan dan falsafah, dan gaya penulisan termasuk gema daripada drama dan novel zaman Ming lewat, serta puisi dari zaman lebih awal.[2]
Cao dipercayai mula menulisnya pada tahun 1740-an dan bekerja sehingga kematiannya pada 1763 atau 1764. Salinan manuskrip tidak lengkapnya beredar dalam kalangan kenalan Cao, dengan tajuk Cerita Batu, dalam versi yang sedikit berbeza sebanyak lapan puluh bab. Ia tidak diterbitkan sehingga hampir tiga dekad selepas kematian Cao, apabila Gao E dan Cheng Weiyuan (程偉元) mengedit cetakan pertama dan kedua dengan tajuk Mimpi di Mahligai Merah antara 1791 hingga 1792, menambah 40 bab. Masih diperdebatkan sama ada Gao dan Cheng menulis bab-bab tambahan itu sendiri dan sejauh mana ia mewakili hasrat Cao. Edisi 120 bab mereka menjadi versi paling banyak diedarkan.[3] Tajuknya juga diterjemahkan sebagai Mimpi Mahligai Merah dan Impian Istana Merah. Kajian Redologi adalah bidang kajian yang ditumpukan kepada novel ini.
Jalan cerita

Mimpi di Mahligai Merah dipercayai merupakan sebuah novel separa autobiografi yang mencerminkan nasib keluarga Cao Xueqin sendiri. Ia bertujuan untuk dijadikan suatu peringatan kepada wanita-wanita yang dikenali oleh Cao pada masa mudanya: para kawan, saudara, dan pembantu, sebagaimana yang diperincikan oleh pengarang dalam bab pertama.
Novel ini pada dirinya merupakan sebuah catatan berepisod yang terperinci tentang hidup-hidup keluarga luas Jia yang terdiri daripada dua cabang, iaitu keluarga Ning-guo dan Rong-guo yang tinggal di dua buah halaman keluarga yang bersebelahan di Beijing, ibu negara Dinasti Qing. Nenek moyang mereka dijadikan Duke dan pada permulaan novel ini, kedua-dua keluarga masih merupakan antara keluarga-keluarga yang terbilang di dalam ibu negara. Pada asalnya terlalu kaya dan berpengaruh, dengan seorang ahli keluarga merupakan gundik empayar, keluarga ini akhirnya tidak disukai lagi oleh Maharaja dan rumah-rumah agam mereka dijarah dan dirampas. Novel ini menceritakan kejatuhan keluarga mereka dari puncak prestij dan tertumpu pada sekitar 20 watak utama serta melebihi 400 watak kecil.
Cerita ini didahului dengan konotasi yang berbau Taoisme dan Buddhisme. Seketul batu sentien yang ditinggalkan oleh Dewi Nüwa ketika membaiki syurga masuk ke alam manusia selepas meminta-minta seorang sami Taoisme serta seorang sami Buddhisme supaya membawanya untuk melihat dunia. Jia Baoyu, watak utama, kelihatan seorang pewaris remaja keluarga yang merupakan penjelmaan semula Batu (bagaimanapun, manuskrip Jia Xu yang paling dapat dipercayai mengatakan bahawa Batu dan Jia Baoyu adalah entiti-entiti yang berasingan, walaupun berkait). Pada hayat dahulu, beliau mempunyai hubungan cinta dengan sekuntum bunga yang dijelma semula sebagai Lin Daiyu, sepupu Baoyu yang selalu sakit serta yang terlalu mengikut perasaan. Bagaimanapun, Baoyu ditakdir berkahwin dengan lagi seorang sepupu, Xue Baochai, walaupun beliau bercinta dengan Daiyu.
Novel ini yang menceritakan cinta tiga segi yang berlatarbelakang pada nasib keluarga yang merosot adalah luar biasa bukan sahaja dari segi bilangan watak yang amat besar — melebihi 400 watak pada keseluruhannya, kebanyakannya wanita — serta ruang lingkup psikologinya, tetapi juga kerana pemerhatian yang tepat dan terperinci terhadap struktur-struktur hidup dan sosial di China abad ke-18.
Bahasa dan watak
Novel Mimpi di Mahligai Merah yang ditulis dalam bahasa Cina vernakular dan bukan bahasa Cina klasik ialah salah satu karya yang mengasaskan kesahan idiom vernakular Cina. Pengarangnya mahir dalam bahasa Cina klasik, dengan sebahagian karya ini ditulis dalam bahasa separa-wenyan ilmiah dan puisi Cina. Perbualan-perbualan ditulis dalam loghat Mandarin yang memberikan gambaran yang hidup yang kemudian menjadi asas bagi bahasa Cina pertuturan moden. Tulisan Cao juga terpengaruh setakatnya oleh loghat Mandarin Nanjing, tempat tinggal keluarganya pada awal dekad 1700-an.
Mimpi di Mahligai Merah mengandungi hampir 30 watak yang boleh dianggap sebagai watak utama, serta ratusan watak sampingan. Cao menumpukan novel ini pada Jia Baoyu, protagonis lelaki, serta saudari-saudari di sekelilingnya dan pada suatu ketika bertujuan untuk menjudulkan buku ini sebagai Dua Belas Wanita Jelita dari Jinling. Wanita-wanita dalam novel ini diberikan tumpuan utama dan seringnya ditonjolkan sebagai lebih berupaya daripada kaum lelaki. Mereka juga amat berilmu, berbanding dengan wanita-wanita yang lain pada zaman Dinasti Qing itu.
Watak-watak utama
Jia Baoyu - protagonis utama. Beliau merupakan anak remaja lelaki kepada Jia Zheng dan isterinya, Lady Wang. Dilahirkan dengan seketul batu jed yang berkilau di mulutnya (Batu yang dimaksudkan dalm judul karya ini), beliau ialah pewaris lelaki kepada jurai keturunan Rongguo. Bertentangan dengan kehendak bapanya yang tegas dan yang menganuti kepercayaan Konfusianisme, Baoyu lebih suka akan kesusasteraan biasa berbanding dengan Empat Buku dan walaupun amat bijak, tidak suka menemani para birokrat serta kebanyakan orang lelaki. Peka dan penuh belas kasihan, beliau membuat ungkapan Cina yang termasyhur seperti yang berikut: "Perempuan ialah tulang dan daging yang diperbuat daripada air, manakala lelaki ialah tulang dan daging yang diperbuat daripada lumpur". Mimpi di Mahligai Merah terutamanya merupakan sebuah cerita mengenai cinta Baoyu terhadap Lin Daiyu. Malangnya, Daiyu meninggal dunia dan Baoyu berkahwin dengan Xue Baochai.
Lin Daiyu - sepupu perempuan yatim serta kekasih kepada Jia Baoyu. Beliau merupakan anak perempuan kepada Lin Ruhai, seorang pegawai cendekiawan Jinling dan isterinya, Jia Min, kakak (atau adik) Jia Zheng. Novel yang betul-betul bermula pada Bab 3 dengan pemergian Daiyu daripada rumah Rongguo. Walaupun terlalu mengikut perasaan, mudah cemburu, serta menghidap penyakit batuk kering, beliau juga mempunyai bakat kesusasteraan yang tinggi. Daiyu adalah penjelmaan semula Rumput Mutiara Merah Lembayung yang tujuannya dalam kelahiran terkini adalah untuk menebus hutang budi penyiram air ketuhanannya yang dilahirkan semula sebagai Baoyu dengan "hutang air mata". Beliau akhirnya meninggal dunia.
Xue Baochai - sepupu perempuan Jia Baoyu yang lain dan akhirnya isteri kepadanya. Anak perempuan tunggal kepada Mak Cik Xue, kakak (atau adik) kepada ibu Baoyu dan Xue Pan, beliau merupakan watak lawan kepada Lin Daiyu. Sedangkan Daiyu seorang yang tidak mengikut kebiasaan dan terlalu peka, Baochai adalah seorang yang bersikap wajar, bijaksana, serta merupakan kesayangan keluarganya, suatu contoh unggul gadis feudal Cina. Loket emas Baochai dan batu jed Baoyu dianggap sebagai menunjukkan pertalian perkahwinan yang sempurna, akan tetapi perkahwinan mereka amat sedih.
Nenek Jia, née Shi - juga dipanggil Matriark atau Maharani Balu. Nenek kepada Baoyu dan Daiyu, beliau bukan sahaja merupakan kuasa yang tertinggi dalam keluarga Rongguo tetapi juga merupakan orang yang tertua dan yang paling dihormati di dalam seluruh suku. Beliau yang amat memanjakan keturunannya mempunyai dua orang anak lelaki, Jia She dan Jia Zheng, serta seorang anak perempuan, Min, iaitu ibu Daiyu.
Shi Xiangyun - dua pupu Jia Baoyu oleh Nenek Jia. Beliau yang menjadi anak yatim piatu sejak masa bayi lagi dibesarkan oleh bapa dan mak saudara sebelah ibunya. Seorang yang bersikap terus terang dan riang, dengan luas pengetahuannya yang setanding dengan Baochai atau Daiyu, beliau akhirnya mempunyai perkahwinan yang baik tetapi atas alasan yang tidak dapat dielakkan terpaksa berpisah.
Jia Yuanchun - kakak Baoyu yang sekurang-kurangnya sedekad lebih tua daripadanya. Dipilih dengan teliti oleh pihak berkuasa sebagai pembantu istana, beliau akhirnya menjadi Gundik Empayar. Pengaruhnya di dalam istana menandakan puncak sukunya sebelum kemerosotan kemudian. Beliau akhirnya meninggal dunia tetapi bagaimana beliau mati, tiada seorang pun yang tahu.
Wang Xifeng - sepupu ipar Baoyu yang lebih tua, isteri kepada Jia Lian, serta anak saudara kepada Lady Wang dan oleh itu, berkait dengan Baoyu bukan sahaja secara sedarah tetapi juga melalui perkahwinan. Jauh lebih tua daripada Baoyu, amat berupaya, bijak dan kekadangnya licik, beliau bertanggungjawab kepada pengendalian harian serta kewangan keluarga. Namanya diterjemahkan sebagai "Phoenix", burung mitos yang berkuasa. Beliau akhirnya juga meninggal dunia.
Jia Zheng - bapa Baoyu, seorang cendekiawan Konfusianisme yang mementingkan disiplin. Takut akan kemungkinan bahawa anak tunggalnya akan menjadi jahat, beliau mengenakan peraturan yang ketat serta kekadangnya hukuman dera ke atas anaknya. Beliau mempunyai seorang isteri serta dua orang gundik.
Lady Wang - ibu Baoyu, seorang penganut Buddhisme. Tidak banyak terlibat dalam hal ehwal kewangan keluarga, beliau masih mempunyai setakat kuasa. Beliau disalahkan kerana kematian Qingwen, pembantu perempuan Baoyu.
Jia Yingchun - sepupu perempuan Baoyu yang lebih tua. Lemah tetapi baik hati serta seorang penganut Taoisme yang warak, beliau dijual sebagai isteri kepada seorang jeneral yang zalim. Akhirnya beliau meninggal dunia.
Jia Tanchun - adik perempuan tiri Baoyu oleh Gundik Zhao. Kasar dan bersifat terlalu terus terang, beliau yang hampir sama keupayaannya dengan Wang Xifeng pernah mengambil alih pengendalian kewangan keluarga buat sementara ketika Wang Xifeng jatuh sakit. Wang Xifeng sendiri memujinya secara peribadi tetapi merintih bahawa Jia Tanchun "dilahirkan daripada rahim yang salah". Jia Tanchun terpaksa pergi jauh daripada rumahnya.
Li Wan - kakak ipar Baoyu, dan balu abang Baoyu, Zhu. Tugas utamanya adalah untuk membesarkan anak lelakinya, Lan.
Jia Xichun - dua pupu Baoyu daripada keluarga Ningguo, tetapi dibesarkan di Rumah Agam Rongguo. Seorang pelukis yang berbakat, beliau seorang penganut Buddhisme yang warak yang akhirnya menjadi biarawati.
Mak Saudara Xue - mak saudara sebelah ibu Baoyu, serta ibu kepada Pan dan Baochai.
Xue Pan - abang Baochai, seorang hidung belang yang malas yang merupakan buli tempatan di Jinling. Tidak begitu berilmu, dia pernah membunuh seorang lelaki disebabkan seorang pembantu perempuan, dan menebus kes pematian orang itu melalui wang.
Jia Lian - suami Xifeng, sepupu sebelah bapa Baoyu yang lebih tua, serta kaki perempuan yang terkenal.
Miaoyu - biarawati muda daripada biara Buddhisme keluarga Rongguo. Jelita, berbakat, tetapi menghina.
Nenek Liu - wanita luar bandar yang menyelamatkan Jia Qiaojie, anak perempuan Wang Xifeng.
Xiren - pembantu perempuan utama kepada Baoyu. Seorang yang amat baik, dia akhirnya berkahwin dengan Jiang Yuhan, seorang pelakon.
Qingwen - pembantu perempuan kepada Baoyu. Kasar, angkuh tetapi jelita, Lady Wang kemudian menghalaunya balik ke rumah sendiri dan meninggal dunia di sana.
Zijuan - pembantu perempuan utama Daiyu.
Yuanyang - pembantu perempuan kepada Nenek Jia. Dia menolak pinangan Jia She.
Qin Keqing
Jia Qiaojie - anak perempuan Wang Xifeng. Dijual sebagai pelacur oleh Wang Ren dan Jia Qiang, beliau diselamatkan oleh Nenek Liu.
Tema
Fiksyen/Realiti
Rupa aksara nama keluaga utama, "賈" kelihatan serupa dengan nama keluarga pengarang 曹 dan dalam bahasa Mandarin, mempunyai sebutan yang sama dengan lagi satu aksara Cina "假" yang membawa pengertian "palsu". Oleh itu, Cao Xueqin (曹雪芹) membayangkan bahawa keluarga novel ini adalah kedua-dua bayangan keluarganya sendiri serta juga versi cereka — atau keluarga idamannya. (Baoyu sekali-sekala bermimpi tentang lagi seorang yang juga bernama Baoyu tetapi mempunyai nama keluarga "Zhen" yang mempunyai sebutan yang sama dengan "sebenar".)
Novel ini biasanya dipanggil "Hong Lou Meng" (紅樓夢) - secara harfiahnya bermaksud "Mimpi Rumah Agam Merah". "Rumah Agam Merah" ialah ungkapan untuk bilik-bilik yang didiami oleh anak-anak perempuan orang kaya; oleh itu, judul karya ini difahami sebagai "idaman wanita-wanita yang muda dan kaya". Ia juga boleh difahami sebagai merujuk kepada sebuah mimpi Baoyu di "Rumah Agam Merah" pada Bab 5 novel ini yang membayangkan takdir-takdir banyak watak perempuan. "Merah" juga membayangkan gagasan Buddhisme yang menyatakan bahawa seluruh dunia ini ialah "habuk merah" (紅塵) - iaitu hanya suatu ilusi atau salah tanggapan yang harus dielakkan. Justeranya pandangan novel ini amat selaras dengan kepercayaan-kepercayaan Buddhisme (佛) dan Taoisme (道) yang berpendirian bahawa untuk mencapai kesedaran, seseorang harus menyedari bahawa dunia ini sebenarnya hanya merupakan sebuah mimpi yang harus kita terjaga.
Penerimaan dan pengaruh pada era moden

Menjelang akhir abad ke-19, pengaruh Mimpisdi Mahligai Meraj sehingga tokoh reformis Liang Qichao mengkritiknya bersama sebuah lagi novel klasik, Hikayat Pinggir Air, sebagai “hasutan kepada rompakan dan nafsu”, serta menghalang kemunculan novel gaya Barat yang disifatkannya lebih bertanggungjawab dari segi sosial.[4] Namun begitu, sarjana terkemuka Wang Guowei memperkenalkan satu kaedah baharu dalam pentafsiran sastera menerusi esei tahun 1904 yang inovatif dan berpengaruh, berasaskan falsafah Arthur Schopenhauer. Wang menyifatkan novel ini sebagai “tragedi segala tragedi”, berbeza dengan kebanyakan drama dan karya fiksyen terdahulu yang biasanya berakhir dengan kegemilangan.[5] Wang turut menyatakan bahawa novel ini “layak dianggap sebagai satu-satunya karya agung dalam dunia seni Cina.”[6]
Pada awal abad ke-20, walaupun Gerakan Kebudayaan Baru bersikap kritikal terhadap klasik Konfusianisme, sarjana Hu Shih menggunakan pendekatan kritikan teks untuk menilai semula karya ini sebagai asas kebudayaan kebangsaan. Hu dan pelajarnya, Gu Jiegang dan Yu Pingbo, mula membuktikan bahawa penulis karya tersebut ialah Cao Xueqin. Pendekatan terhadap persoalan pengarang ini mencerminkan penghormatan baharu terhadap fiksyen, memandangkan karya sastera yang lebih rendah sebelum ini tidak diberikan atribusi individu.[7] Hu seterusnya membina hasil kajian Cai Yuanpei mengenai sejarah cetakan awal untuk menyediakan teks bacaan yang sahih. Usaha terakhir dan mungkin paling penting ialah kajian terhadap kosa kata dan penggunaan dialek Beijing Cao sebagai asas kepada bahasa Mandarin Moden.
Pada tahun 1920-an, sarjana dan pembaca setia telah mengembangkan bidang Hongxue atau Redologi sebagai satu disiplin ilmiah dan minat umum. Antara pembacanya ialah Mao Zedong muda, yang mendakwa telah membaca novel ini sebanyak lima kali dan memuji karya tersebut sebagai salah satu karya agung sastera China.[8] Pengaruh tema dan gaya novel ini ketara dalam banyak karya prosa Cina moden. Awal tahun 1950-an menyaksikan kemunculan penting dalam bidang Redologi dengan penerbitan kajian utama oleh Yu Pingbo. Zhou Ruchang, yang mula menarik perhatian Hu Shih pada akhir 1940-an, menerbitkan kajian pertamanya pada tahun 1953, yang menjadi buku terlaris.[9] Namun pada tahun 1954, Mao sendiri mengkritik Yu Pingbo atas “idealisme borjuis” kerana gagal menekankan pendedahan novel ini terhadap kemerosotan masyarakat “feudal” dan tema perjuangan kelas. Semasa Kempen Seratus Bunga, Yu dikecam hebat, tetapi kritikan yang terlalu terperinci dan sarat petikan karya beliau telah menyebabkan idea-ideanya tersebar lebih luas kepada khalayak yang sebelumnya tidak mengenalinya.[10]
Semasa Revolusi Kebudayaan, novel ini pada awalnya dikritik, namun tidak lama kemudian memperoleh semula prestijnya. Zhou Ruchang menyambung semula kerja hidupnya dan akhirnya menerbitkan lebih daripada 60 kajian biografi dan kritikal.[9] Pada tahun 2006, Zhou—yang sejak lama meragui edisi Gao E—bersama novelis Liu Xinwu, menghasilkan versi baharu 80 bab yang telah disunting Zhou bagi membuang pindaan Cheng-Gao. Liu menyiapkan pengakhiran yang dikatakan lebih sejajar dengan niat asal Cao.[11] Novel ini terus mempengaruhi penyair Cina kontemporari seperti An Qi dari Generasi Pertengahan, yang memberikan penghormatan kepadanya dalam puisi bertajuk *Kepada Cao Xueqin*.[12]
Lihat juga
Rujukan
- Jonathan D. Spence, The Search for Modern China, ISBN 0-393-30780-8
- Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 1, The Golden Days. terjemahan David Hawkes. ISBN 0-14-044293-6.
- Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 2, The Crab-flower Club. terjemahan David Hawkes. ISBN 0-14-044326-6.
- Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 3, The Warning Voice. terjemahan David Hawkes. ISBN 0-14-044370-3.
- Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 4, The Debt of Tears. terjemahan John Minford. ISBN 0-14-044371-1.
- Cao, Xueqin. The Story of the Stone: a Chinese Novel: Jilid 5, The Dreamer Wakes. terjemahan John Minford. ISBN 0-14-044372-X.
- Tsao Hsueh-Chin (Cao Xueqin), Dream of the Red Chamber, diterjemahkan & diringkaskan oleh Chi-Chen Wang, Doubleday Anchor, 1958. ISBN 0-385-09379-9
Pautan luar
| Wikisumber bahasa Cina mempunyai teks asal berkaitan rencana ini: |
- Pengenalan kepada Edisi-edisi Mimpi di Mahligai Merah, David L. Steelman, The Scholar, 1981
- Garis kasar Mimpi di Mahligai Merah
- Merah pada Emas: Mengajar Honglou meng di California Diarkibkan 2008-01-24 di Wayback Machine
- Rencana dalam Program Televisyen Pusat China mengenai Mimpi di Mahligai Merah – akhbar China Daily. Raymond Zhou. 12 November 2005.
- H. Bencraft Joly. Terjemahan bahasa Inggeris Jilid 1 dan Jilid 2 daripada Projek Gutenberg
- Lukisan watak-watak novel Mimpi di Mahligai Merah, oleh An Ho Diarkibkan 2007-06-09 di Wayback Machine
- Ilustrasi-ilustrasi untuk Mimpi di Mahligai Merah Diarkibkan 2007-04-01 di Wayback Machine – dengan komik manhua
- Mimpi di Mahligai Merah, sebuah terjemahan lengkap oleh Dr. B.S. Bonsall Diarkibkan 2013-01-01 di Wayback Machine
- ^ "Pengenalan Novel". Cliffsnotes.com. Dicapai pada 2017-11-02.
- ^ Jonathan Spence, The Search for Modern China (New York: Norton, 1990), 106–110.
- ^ David Hawkes, "Pengenalan", Cerita Batu Jilid I (Penguin Books, 1973), hlm. 15–19.
- ^ Leo Ou-fan Lee, "Literary Trends I: The Quest for Modernity, 1895–1927," dalam John K. Fairbank, ed., Cambridge History of China Vol. 12 Republican China 1912–1949 Pt I (Cambridge: Cambridge University Press, 1983): hlm. 455.
- ^ Yu (1997), m/s. 119–121.
- ^ Wang Guowei, seperti yang dipetik dalam penghargaan Lin Yutang terhadap "The Red Chamber Dream", *Renditions* (Musim Bunga 1974), hlm. 23.
- ^ Saussy, Haun (2003). "The Age of Attribution: Or, How the Honglou Meng Finally Acquired an Author". Chinese Literature: Essays, Articles, Reviews. 25: 119–132. doi:10.2307/3594284. JSTOR 3594284.
- ^ Li, Zhisui (1994). The Private Life of Chairman Mao. New York: Random House. m/s. 82.
- ^ a b Prakata Editor, Ruchang Zhou, Between Noble and Humble: Cao Xueqin and the Dream of the Red Chamber (New York: Peter Lang, 2009), xiv.
- ^ Joey Bonner, "Yü P'ing-Po and the Literary Dimension of the Controversy over Hung Lou Meng," *The China Quarterly* 67 (1976): hlm. 546–581 doi:10.1017/S0305741000035517; Merle Goldman, Literary Dissent in Communist China (Cambridge, MA: Harvard University Press, 1967).
- ^ Conspiracy of the Red Mansions. Danwei (6 Disember 2006).
- ^ Ying, Li-hua (2010). "An Qi". Historical Dictionary of Modern Chinese Literature. The Scarecrow Press. m/s. 5.








